Friday, November 9, 2012

Dakwah adalah Cinta

Sebelum dan pada awal ketibaan saya di UK, saya mula dihampiri oleh idea-idea pelik yang dibawa oleh senior-senior dengan mesej penting mereka. Macam-macam bunyinya. Saya rakamkan serba sedikit di bawah.

"Amin, nanti di UK, banyak jemaah islamik ni."

"Jemaah islamik ni banyak sangat, susah nak bekerjasama, mereka berpecah belah!"

"Kita umat Islam tak boleh ada banyak jemaah islamik, nanti Islam tidak akan menang"

"Kita kena duduk di bawah satu bendera, sertailah kami"

"Hati-hati dengan ahli jemaah lain, nanti kena tarik"

Dan macam-macam lagi. Pendek kata, semuanya berbaur negatif dengan skop ideanya ialah kita umat Islam tidak perlu ada banyak jemaah, cukuplah dengan jemaah Islam yg telah lama berkecimpung dalam sketsa Malaysia. Juga diterapkan ialah nilai-nilai kebencian terhadap jemaah lain. Pelik tapi benar. Bunyi-bunyi ini benar-benar menghampiri saya pada di awal perkenalan saya dengan dunia tarbiyah dan dakwah.

Kenapa Ada Bunyi-Bunyi ini?
Saya tertanya-tanya kenapa ada bunyi-bunyi begini dalam ruang lingkup kemasukan saya dalam sistem tarbiyah dan dakwah. Terpinga-pinga saya fikirkan berulang kali. Tapi sekarang saya mula sedar kenapa. Pertama, jawapannya ialah semua itu mungkin ujian bagi saya. Ujian yang hadir atas asbab tertentu yang cuba menduga saya agar mula menjauhi sistem yang cukup mulia ini! Jika pada ketika itu saya mengikut asbab-asbab tersebut mungkin saya tidak akan mengenali apa itu tarbiyah dan dakwah, satu sistem yang cukup komprehensif lagi syumul; satu sistem yang menyebabkan Islam itu tersebar luas ke pelusuk dunia! Kedua, mungkin juga saya tidak mendengar dari bunyi-bunyi yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini lantas menghiraukan peri perjuangan yang mereka lalui dalam Uslub dakwah. Saya hanya mendengar dari mereka yang hanya berani berkata bahawa tugas ini perlu disatukan tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Ketiga, mungkin juga kelemahan sistem itu sendiri. Barangkali persepsi umat terhadap jemaah pada masa itu adalah sangat skeptik. Mereka melihat bahawa perbezaan jemaah ini menjadi satu penghalang besar kepada kesatuan ummah. Mereka berasa sangsi dengan apa yang diperjuangkan oleh jemaah-jemaah yang ada. Keempat, mereka yang melaungkan bunyi-bunyi di atas boleh jadi adalah mereka-mereka yang tidak pernah mendapat seruan oleh golongan yang bergelarkan diri mereka Jemaah. Kelima, faktor keluarga yang berfahaman politik Malaysia menjadikan mereka fanatik dengan parti-parti tertentu lantas menutup ruang akan kewujudan jemaah-jemaah lain. Allah Maha Mengetahui. Kami berlindung dari bersangka buruk dan berhasad dengki.

Kini: Bunyi-bunyi itu tiada lagi.
Hampir tiga tahun berada dalam sistem Tarbiyah dan Dakwah, banyak perkara yang mendewasakan diri saya. Apa yang saya lihat sekarang adalah sangat berbeza dengan apa yang saya dengar bunyi-bunyi itu pada satu ketika dahulu. Kini, bunyi-bunyi itu lenyap sama sekali. Semua itu hanyalah satu selorohan yang tidak bermakna. Mana mungkin ia bermakna. Mana mungkin jemaah-jemaah Islam yang ada ini pernah berpecah. Tidak sesekali tidak! Jemaah-jemaah Islam bahkan bersatu hati. Mereka bersatu hati dengan definisi asas yang kukuh. Pertama, mereka beriman kepada Allah dan Rasulnya. Mereka juga yakin kepada semua yang wajib diimani, yakin kepada hari kiamat, yakin kepada Qada dan Qadar. Mereka berpegang kepada pegangan ahli sunnah wal jamaah. Kedua, mereka menyuruh kepada kebaikan, menghalang kemungkaran. Ketiga, mereka merancang demi ummah! Ada sampai tidak tidur malam, keluar sana sini, tinggal keluarga, korban wang ringgit infaq dan berbagai-bagai lagi. Keempat, mereka punya wawasan yang sama - mahukan Islam kembali gemilang! Kelima, cita-cita mereka juga sama - mahu syahid di jalan Allah. Keenam, mereka bergerak secara terancang dan dirancang. Segala akviti adalah tersusun. Tidak pakai redah. Ketujuh, paling penting mereka tidak hanya berkata-kata tetapi mereka mengerjakannya.


Projek mereka juga sama. bina diri. Diri sendiri.


Jadi, di mana bezanya?
Mereka berbeza hanyalah dari segi nama gerakan jemaah, slogan, agenda, bilangan ahli, lagu rasmi, dan pendekatan gerak kerja. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

Kenapa tidak mampu duduk bersama?
Ya, soalan paling laris dilontarkan. Kenapa jemaah-jemaah ini tidak pernah duduk bersama? Jawapannya ialah mereka tidak punya TV3 mahupun TV1 bagi melaporkan kepada dunia. Mereka boleh sahaja duduk minum kopi bersama membincangkan isu ummah, tapi siapa yang akan menjadi wartawan mereka? Tiada. Mungkin juga, ujian dan dugaan Allah bagi orang-orang yang ingin berjuang; mereka diuji untuk sukar sekali dilihat untuk bersama. Barangkali menjadi satu ujian buat umat Islam di seluruhnya. Barangkali, manusia itu tidak sama. Maka, untuk bersependapat memerlukan usaha yang amat tinggi. Tidak dengan doa dan tawakal sahaja.

Hanya Mereka Yang 'Bekerja' Melupakannya
Mereka yang aktif 'bekerja' sahaja melupakan dan tidak menghiraukan bunyi-bunyi ini. Manakala mereka yang tidak 'bekerja' menjadikan bunyi-bunyi ini satu modal dan alasan kukuh untuk menjadikan mereka terus selamat. Bunyi-bunyi itu bagi saya selorohan orang biasa. Hari ini saya melihat dunia tarbiyah dan dakwah dari kaca mata yang cukup luas. Mana mungkin kami berpecah. Pengalaman saya, orang-orang yang benar-benar faham dalam gerakan-gerakan mana sekalipun, jika disebut soal ilmu agama, soal membangungkan ummah, soal akhlak, soal pembinaan diri; merekalah orang pertama yang menyahut seruan kita. Merekalah orang pertama yang membantu gerak kerja kita. Mana mungkin kita berpecah.

Dakwah itu luas dan indah
Seorang murabbi berpesan kepada saya, dakwah itu kerjanya mulia kerana ianya kerja para rasul terdahulu. Ianya sangat luas kerana selagi ada manusia selagi itulah tugas sebagai pendakwah tetap ada. Ianya indah pula kerana dalam berdakwah, kita perlu bermanis muka, mengasihani orang lain dengan penuh rasa cinta! Semua ini tidak memerlukan modal apa-apa melainkan kehendak yang tinggi dan gerak kerja yang proaktif.

Selagi ada manusia, selagi itu tugas dakwah ada.

Kita ialah kita
Dalam banyak perkara, dakwah mengajar kita memahami orang lain dan diri sendiri. Berbagai-bagai ragam manusia yang bakal kita kenali. Ada yang pendiam, ada yang peramah, ada pula yang mudah sensitif dengan kata-kata. Dakwah melatih diri kita menerokai semua ini. Memahami psikologi manusia. Dan ianya mendidik diri kita memahami diri kita. Kerana kita ialah kita bukan orang lain. Kita memahami kelemahan diri kita, mengetahui kekurangan diri. Seterusnya mengorak langkah mengatasinya.

Bunyi itu Hanyalah Biasa
Alah bisa tegal biasa. Bunyi-bunyi itu sekadar ujian biasa. Bak peribahasa, mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Semakin lama kita membesar semakin sedar bahawa diri ini perlu menyumbang pada agama. Umur-umur yang makin dewasa membuatkan kita alpa dengan bunyi-bunyi itu. Kini, banyak lagi bunyi yang perlu kita lupai. Moga-moga ianya tidak menggoncangkan hati kita. Pesanlah di dalam hati: bunyi itu hanyalah biasa! Jemaah mana pun, wawasan dan cita-citanya tetap sama. Mendapat redha Allah SWT. Semoga Allah menerima amalan kita.

Dakwah itu Cinta.
Jika kita mengenal apa itu erti dakwah maka kita dikategorikan orang bercinta. Sentiasa tersenyum, tidak tidur lena, tidak cukup makan dan mandi tidak basah. Nah, cukup syarat orang bercinta!  Dakwah itu, anda lihat manusia dengan rasa cinta. Rasa ingin berkongsi apa yang ada. Rasa ingin berkorban. Dakwah adalah Cinta. Tidak pernah mengenal erti berbeza jemaah dan bangsa!






2 comments:

Unknown said...

good entry amin.. =)

Anonymous said...

In truth, it might need the other effect and lead to greater losses. When you cease a slot machine by your self, you reduce the 'time of spin' , making the sport go faster. These players believe that should you can cease 1xbet the reels quick sufficient, you can to|you probably can} control the end result} of your spin and resolve what combination might be displayed on the display screen. Developers paid a reasonably penny to lock in the rights to convey to the market slots that feature in style manufacturers and franchises.