Tuesday, October 23, 2012

Aku Ingin Jumpa dengan Semua orang!

Subuh di Edinburgh selalunya cukup mencabar bagi setiap golongan. Sejuk, dan sunggu sedap untuk dibuai mimpi indah ditambah dengan tilam yang empuk serta duvette (sejenis selimut tebal) yang panas. Namun, langkah pertama perlu diambil sebelum kita tidur ialah sentiasa menanamkan azam untuk bangun awal. 

Pagi itu suhu tidaklah berapa sejuk, tapi masih cukup untuk membuatkan diri menggeletar tatkala air wudhu diambil. Kira-kira pukul 6.15 pagi, saya bergerak ke masjid, Edinburgh Central Mosque yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah saya. Biasanya, dengan berjalan kaki, saya mengambil masa selama 10-15 minit untuk ke sana. Jadi sudah menjadi kebiasaan untuk keluar awal agar tidak terlepas takbiratul ula. 

Usai solat subuh. Suasana begitu tenang sekali. Masing-masing memanjatkan doa kepada Allah SWT. Subuh adalah masa yang terbaik untuk 'recharge' semula tenaga kita. Acapkali kita menganggap ia sebagai satu perkara yang berat, tetapi sedar tidak sedar ia merupakan sumber inspirasi tenaga dalaman yang cukup mengagumkan!

Semasa ingin saya keluar dari masjid. Terlihat seorang kanak-kanak lelaki comel, berumur dalam lingkungan 5-7 tahun. Beliau sungguh petah berkata-kata. Kedengaran sedang berbicara bersama seorang lelaki besar, yang saya amati mungkin juga abangnya.

"I want to wait for everybody to come out", leter kanak-kanak itu kepada abangnya meminta agar abangnya itu menunggu beliau siapkan tugasnya. Saya kepelikan. Apakah yang ingin dilakukan oleh kanak-kanak ini? Kenapa mahu tunggu semua orang keluar?

Beliau mengomel-ngomel lagi dengan bahasa slang british yang ternyata saya sendiri sukar memahaminya. Walaupun mukanya iras ala-ala kanak-kanak pakistan tapi mungkin keluarganya sudah bermastautin di sini. Saya terkebil-kebil melihat aksi kanak-kanak itu. Sangsi.

Kemudian dia datang kepada saya. Sambil menghulurkan tangan, saya membalas salaman beliau, kemudia beliau bergerak kepada rakan saya pula. Disalam secara penuh sopan. 

Sekarang dia melihat kepada abangnya lantas berkata: "Let's get in to the mosque, i want to meet all of the people!" Dengan kelantangan suara yang sedikit kuat. Baru saya perasan, beliau ingin bersalaman dengan semua jemaah! Alangkah terkejutnya saya pada ketika itu. Jiwa si kecil ini sungguh murni. Bersih. Barangkali ianya mungkin satu amalan yang beliau sendiri tidak ketahui. 

Peristiwa itu cukup memberi saya satu pengajaran ringkas dalam hidup ini. Bertegurlah dengan orang yang anda tidak kenali. Cukup sekadar memberi senyuman ringkas. Ianya bukan sahaja memberi kegembiraan kepada diri orang lain bahkan diri sendiri!

Dahsyat jiwa yang punyai semangat itu, berani dan lantang berkata: "Aku ingin jumpa dengan semua orang!"


Edinburgh Central Mosque, sebuah masjid yang tersergam indah di tengah-tengah City of Edinburgh. 




0 comments: