Thursday, January 15, 2015

Perkara Sepatutnya Aku Tahu Sebelum Menikah

Sudah lama tidak menulis soal hal kendiri dan peribadi. Alhamdulillah, sedar tidak sedar saya kini sudah bergelar seorang suami hampir empat bulan lebih. Walaupun masih baru, tetapi ternyata perkahwinan merupakan satu perkara yang cukup mengubah erti hidup. Sudah banyak yang diperkatakan oleh orang lain akan erti perkahwinan dan begitu popular tajuk ini sehinggakan sesiapa sahaja berkahwin pasti akan menerima banyak kerlingan orang ramai.

Ada beberapa isu besar dalam menelusuri ke arah perkahwinan ini. Antaranya ialah persediaan ke arah perkahwinan, pemilihan calon pasangan, proses ke arah perkahwinan sehinggalah kepada persediaan sebagai seorang suami dan isteri. Besar untuk diperkatakan dalam semua konteks ini, yang pasti ianya memerlukan perancangan yang cukup rapi. Bergelar seorang suami, bunyinya satu perkara yang besar bagi individu yang bakal menamatkan zaman bujangnya. Wujud berbagai-bagai persepsi yang sukar diterjemahkan ke dalam realiti sebenar. Hanya yang melaluinya sahaja akan merasai segala perasaan, peristiwa dan keadaan yang sebenar.

"Baca buku pasal persediaan kahwin ni banyak-banyak, get ready!"

"Simpan duit banyak-banyak!"

"Pergi la ceramah A tu.. dan ini.. "

Dan macam-macam lagi pesanan dan tindakan yang disarankan. Hakikatnya perkahwinan bukanlah seperti Exam - bersedia dan kemudiannya duduki. Ianya tidak sama sekali dengan akademik. Nilai ilmu tidak akan diuji secara tempoh masa tertentu seperti 50 minit atau 3 jam. Ilmu persediaan perkahwinan akan diuji bermula dari awal akad nikah sehinggalah selama-selamanya bersama pasangan kita.

Kahwin bukannya sehari. [Gambar hiasan]

Perkahwinan Tidaklah Sesusah Yang Disangka
Ada persepsi tipikal orang bujang, perkahwinan ini terlalu berat. Berat sehinggakan mengelak daripada berkahwin. Ada juga persepsi mengatakan: "Perempuan itu begini dan begitu - sangat kompleks. Baik jangan kahwin, nanti sudah kahwin akan susah nak buat itu dan ini. Enjoy dulu zaman bujang".

Pendapat peribadi saya, perkahwinan tidak sesusah itu bahkan yang membezakan seorang bujang dan seorang yang sudah berkahwin ialah wujudnya peneman bersama di kala susah dan senang. Ianya tidak sesusah yang kita sangka (sewaktu zaman bujang), akan ada banyak kelebihan, keindahan, kenikmatan serta kepuasan apabila sudah berkahwin.

Banyak perkara yang kita tidak dapat lakukan semasa bujang. Kelebihan hidup berdua menggandakan pahala berjemaah, akan ada perasaan kasih dan sayang sesama suami isteri, akan wujud kenikmatan yang Allah berikan, nafsu, pandangan dan kemaluan kita terjaga, kehidupan kita bukan lagi untuk kesoronokan yang lagha di facebook, twitter, dan sebagainya tetapi bersama insan yang Allah amanahkan kepada kita.

Perkahwinan memberi peluang suami isteri berjemaah, mengikatkan ikatan atas landasan yang diredai Allah. 


Perkahwinan juga memberikan satu impak sinergi. Segala jenis keputusan akan dimusyawarahkan bersama, memberikan peluang untuk membetulkan mana-mana keputusan yang kurang sesuai. Diri kita akan dibaiki dari hari ke hari dengan teguran yang penuh hikmah. Pasangan kita akan menjadi cermin kepada diri, teguran yang ikhlas dari seorang suami/isteri adalah satu nasihat yang membaluti diri kita dari segala kekurangan dan kelemahan. Inilah serba sedikit erti perkahwinan, tidak sesusah mana. Tapi..

Ada tapinya, pemilihan pasangan yang baik mampu merubah diri kita. Namun awas, perubahan tidak bermula dengan sebab orang lain. Konsep perubahan bermula dengan diri kendiri.

Ianya juga Tidak Sesenang Teori Semata-mata
Sebelum saya berkahwin, saya seringkali menerima komentar sebegini:

"Kahwin dulu baru hang (kamu) tahu"

"Baca buku banyak-banyak pun tapi tiada praktikal tak berguna"

Awalnya saya agak skeptikal, tapi bila sudah melalui baru saya faham. Aspek teori dan pelaksanaan praktikal adalah sangat berbeza sama sekali. Namun, keperluan memiliki nilai ilmu sebelum perkahwinan adalah penting yang seharusnya tidak terlepas pandang.

Ilmu akan memberi ruang kepada setiap pasangan memahami perbezaan yang ketara wujud antara satu sama lain terutamanya dalam soal psikologi dan fisiologi laki dan perempuan. Perbezaan jantina memberi impak yang besar kepada mereka yang baru mengenali alam perkahwinan tetapi dengan ilmu dan kefahaman ianya membantu kita mengenali pasangan kita dengan lebih rapat dan harmoni.

Beza fisiologi & emosi
Ambil contoh mudah, bagi seorang lelaki yang tidak pernah mengambil tahu soal perubahan kitaran haid seorang perempuan, ianya merupakan benda baru yang perlu dipelajari fisiologinya serta kesannya terhadap emosi wanita. Kadang-kadang orang kata wanita ini kompleks. Sebenarnya, wujud korelasi yang kuat antara kitaran haid seorang perempuan dengan kestabilan emosi beliau. Ini adalah fitrah yang Allah telah kurniakan kepada seorang wanita.

Kitaran haid bukan sahaja mempengaruhi ketebalan endometrium membrane, ianya mempengaruhi perubahan hormon dalam tubuh wanita yang secara langsung akan mempengaruhi perubahan emosi wanita. Jika kita memahami fisiologi kitaran haid dan hormon secara terperinci, saya rasa untuk memahami perempuan tidaklah begitu kompleks. Untuk penerangan contoh yang baik, boleh rujuk salah satu penulisan saya berkenaan ini. (klik sini)

Beza Psikologi & Bahasa
Soal psikologi pula, wujud perbezaan yang juga begitu ketara, perlu ditelaah terlebih dahulu dan faham konsepnya. Sebagai contoh, bahasa yang digunakan oleh seorang perempuan dalam kebanyakan keadaan secara umumnya ialah bahasa indirect atau saya suka klasifikasikan sebagai bahasa emosi. Berbeza dengan perempuan, otak lelaki lebih biasa menggunakan bahasa direct atau bahasa logik yang mudah.

Bahasa indirect ini memerlukan kefahaman emosi dan perlu ditafsir oleh individu yang mendengar. Manakala bahasa direct ini bersifat logik, jelas dan descriptive- tidak memerlukan tafsiran lanjur.

Dengan wujud perbezaan ringkas yang ketara ini sudah mampu menimbulkan konflik sekiranya kita tidak memahaminya dengan baik. Contoh:

Semasa berjalan-jalan, tiba-tiba si isteri terlihat sebuah kedai yang dipenuhi dengan baju-baju.

Isteri: "Wah, cantiknya baju-baju tu"
Suami: "Haah cantik-cantik" (full stop. Tiada perasaan dan meneruskan perjalanan)
Isteri: :"( 

OK, kat atas ini adalah bahasa conversation yang seringkali berlaku, tetapi hakikatnya masing-masing lelaki dan perempuan dalam konteks ini menterjemahkan kehendak dan kefahaman mereka secara berbeza. Ini adalah maksud sebenar dari sudut pandangan masing-masing yang noob.

Isteri (indirect): "Awak, jomlah masuk ke kedai tu, saya nak tengok-tengok apa yang best dan apa yang boleh dibeli"
Lelaki (direct): Melihat dan menganalisis kedai dan baju. [LOGIK] Ya, memang cantik. "Benar awak cakap boleh tahan cantik". 
Satu contoh yang ringkas telah mampu mengeruhkan keadaan jika kedua-dua tidak memahami percaturan bahasa masing-masing. Maka, telaahlah ilmu-ilmu berkaitan psikologi lelaki dan perempuan agar bisa praktisnya pada perkahwinan nanti. Serius. Walaupun tampak mudah, ianya tidak sesenang teori semata-mata.

Terdapat beberapa jenis buku yang boleh dibaca untuk memantapkan pemahaman dalam konsep ini, antaranya ialah Men from 'Mars Women from Venus', 'Why Mars & Venus Collides' kedua-duanya oleh John Gray dan 'Things I Wish I'd Known Before We Got Married' oleh Gary Chapman.



Kasih Sayang Kita Berbeza
Satu perkara lain yang akan membezakan kita secara ketara ialah aspek penyampaian dan penerimaan kasih sayang kita berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi semua ini antaranya ialah perbezaan didikan dan latar belakang keluarga masing-masing. Apa yang ingin kita sampaikan sebagai tanda kita kasih dan sayangkan si dia kadang-kadang tidak kesampaian disebabkan perbezaan ini. Maka terjadilah situasi seperti 'percakapan ayam dan itik'.



Mengikut Gary Chapman, pengarang buku 5 Love Languages, terdapat 5 jenis klasifikasi kasih sayang yang diketahui umum, iaitu (1) sentuhan, (2) Bahasa/pujian yang baik, (3) khidmat, (4) Masa berkualiti dan (5) Hadiah/pemberian. Kelima-lima jenis kasih sayang ini wujud dalam setiap insan dan salah satunya akan menjadi dominan. Salah satu faktor wujudnya dominan ini adalah disebabkan oleh pembentukan dalam keluarga sejak dari kecil.

Contohnya, andaikata seseorang itu dibesarkan dalam keluarga yang mana ibu bapanya seringkali memberikan hadiah sejak dari kecil, maka lama-kelamaan bahasa 'hadiah/pemberian' akan menjadi bahasa dominan beliau. Petanda jenis kasih sayang hadiah/pemberian ini adalah dominan dapat dikaji apabila eliau akan rasa disayangi apabila diberi hadiah atau pemberian manakala sekiranya kasih sayang ini ditarik seperti seseorang itu terlupa menghadiahi beliau, beliau akan mudah tersinggung dan rasa tidak disayangi.

Sekiranya kita mampu mengenalpasti jenis dominan bahasa kasih sayang dalam diri pasangan kita, ianya akan memudahkan proses menyampaikan rasa kasih sayang kita. Jika tidak, konflik dalaman boleh terbentuk. Sebagai contoh, si suami memiliki jenis bahasa kasih sayang 'Khidmat' manakala si isteri pula dominan kepada kedua-dua 'sentuhan' dan 'pujian'. Mari kaji situasi di bawah.
Suami: Si suami ingin memberikan rasa kasih sayang beliau kepada isteri, maka sebagai tanda kasih sayang, beliau membantu isteri mengemas rumah dan membuang sampah serta lain-lain (tanpa memberitahu secara langsung rasa cinta beliau kepada isteri).Ingat: tujuan suami adalah menunjukkan rasa cinta beliau.  
Isteri: Si isteri melihat proses mengemas, membuang sampah ini sebagai satu rutin harian biasa. Walaupun dia rasa berbangga dengan khidmat suami beliau, tetapi secara dalamannya beliau tidak begitu merasai erti kasih sayang sebenar. Beliau tidak terlalu rasa disayangi dan bahkan tidak menyedarinya. 

Kesannya jelas. Maklumat perasaan cinta si suami tidak sampai dengan bandwidth isteri. Apa yang difahami dan ingin disampaikan oleh kedua-dua pasangan tidak kesampaian.

Tafsiran perasaan mereka masing-masing begini:

Suami: Saya sayangkan kamu, maka saya kemaskan rumah.
Isteri: Terima kasih. Saya hargai tetapi saya tidak rasa disayangi sedemikian rupa. 
Bandwidth kasih sayang mereka kini berbeza. Suami terasa sudah memberikan sepenuhnya tetapi isteri tidak merasai apa. Akhirnya, lama kelamaan love bank mereka berdua merosot. Andaikata berlaku sedikit isu ringkas, berlakulah apa yang dikatakan ticking bomb.

Andaikata kedua-dua memahami bahasa kasih sayang dominan satu sama lain, proses memahami menjadi lebih mudah. Isteri terasa disayangi akhirnya feedbacks kedua-dua ini mampu menambahkan perasaan kasih sayang dalam rumah tanggan. Simple tapi kegagalan untuk berkomunikasi bahasa cinta inilah merupakan salah satu cabaran bagi pasangan yang baru berkahwin.

Kerukunan Rumah Tangga

Dalam buku 'Thing's I Wish I'd Known Before I Get Married' oleh Gary Chapman ada menekankan peri pentingnya menguruskan soal kerukunan rumah tangga seawal dan sebelun perkahwinan.

Berkahwin bukan soal hidup bersama sahaja bahkan segala pengurusan hidup akan dikongsikan bersama. Bermula dari pengurusan diri, kewangan sehinggalah kepada pengurusan buang sampah dan cuci jamban. Isu ini nampah remeh temeh.

'Eleh, cuci jamban je pun, biar jela dia buat nanti. Confirm dia ok.' 
Nampak macam 'eleh' tapi hakikatnya jika gagal menguruskan kerukunan ini dengan baik, mampu menggoyahkan suasana rumah tangga. Suami jangan beranggapan dengan menjadi ketua keluarga, maka akan menjadi ibarat raja segala-galanya hatta tidak langsung pernah memegang kuali di dapur. Bahkan, secara sunnahnya, suamilah yang sepatutnya menyediakan segala makan dan minum.

Namun, di sinilah wujudnya musyawarah bersama. Adalah perlu untuk menentukan peranan tugas masing-masing dalam rumah. Siapa basuh baju, siapa sidai baju, siapa memasak, siapa membeli barang-barang dapur dan lain-lain. Waktu bujang, memang kita anggap semua ini kita sudah tahu dan tidak perlu diberitahu tapi bila kahwin, semuanya perlu dibincangkan. Nampak remeh temeh tapi semua ini adalah salah satu perkara penting yang telah lama dipraktikkan oleh datuk nenek kita.

Begin with the end in mind
Nak kahwin, jangan fikir sekadar nak seronok-seronok. Seronok-seronok - fikir soal seks dan cintan-cintun. Ya, semua itu anda dapat tapi semua itu akan menjadi perkara biasa dalam hidup anda selepas beberapa bulan. Bila jadi perkara rutin, matlamat dan kehendak tersebut tidak menjadi satu prioriti lagi pada masa itu.

Maka berkahwin ini perlu fikir soal mencari lampin, fikirkan soal nak beli susu anak, nak hantar anak ke sekolah, beri didikan ilmu agama dan fardhu kifayah kepada ahli keluarga, soal bagaimana mahu tegur dan nasihat ahli keluarga daripada kemaksiatan, bagaimana mahu kejut keluarga untuk sama-sama bangun qiamulail, hidupkan solat berjemaah, hidupkan budaya membaca al-quran, suasana biah hasanah dalam rumah dan lain-lain.

Untuk lakukan semua ini, ianya sudah pasti perlu bermula dalam diri seawal sebelum berkahwin. Latih diri untuk ajak diri terlebih dahulu untuk memikirkan dan melakukan secara peribadi. Mulai dengan mengajak rakan-rakan sekeliling. Semua ini membantu. Untuk mempunyai sebuah keluarga yang baik bukan sahaja perlu memikirkannya tapi perlu berusaha ke arah melakukannya. Mulakan yang awal ini dengan gambaran pengakhiran.

Bina Iman, Bina Suasana (biah)
Perkahwinan sebenarnya telah memelihara dan menjaga pandangan para pemuda pemudi secara tidak langsung memelihara imannya pada tahap yang lebih stabil. Namun, sekadar memelihara tidak mencukupi. Ianya perlu dibina. Iman yang tidak dibina lama-kelamaan akan runtuh dan roboh. Pembinaan ini dapat dilaksanakan dengan amalan kebajikan bersama-sama.

Solat berjemaah bersama-sama adalah satu ibadah yang banyak memberi manfaat dalam pembentukan keluarga yang harmoni. Suami mengimami isteri merupakan salah satu simbol yang tiada taranya. Suami akan menyedari bahawa beliau kini bukan lagi berseorangan mengadap Allah SWT dalam solatnya, tapi di sisi belakangnya wujud satu amanah yang beliau bawa bersama. Kelak, Allah SWT akan menyoalnya jika beliau gagal dalam menjadi ketua keluarga yang baik. Manakala isteri yang solehah pasti menyedari bahawa ketaatan kepada suami dalam hal-hal kebajikan menjanjikan syurga hakiki di akhirat yang kelak.

Keluarga beriman tunggak kejayaan masyarakat .


Mulakan dalam rumah tangga dengan aktiviti yang membina suasana seperti bacaan Al-quran bersama-sama, bacaan terjemahan mahupun tafsir, bedah buku ataupun bacaan mathurat. Semua ini ke arah membina biah hasanah ataupun suasana yang baik. Juga, bagi yang memiliki usrah kumpulan, terus ikuti usrah dan tingkatkan prestasi diri. Usrah peribadi bersama isteri sahaja seeloknya diwujudkan dalam kegiatan dalam rumah. Ianya tidak perlu berbentuk 'bulatan gembira', usrah kekeluargaan dengan isteri perlu lebih bersahaja tetapi terisi kandungan, teguran dan perbincangan bersama.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ajarilah wanita itu dengan cara sebaik-baiknya kerana sesungguhnya perempuan itu dijadikan (seumpama) dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk paling bengkok ialah yang di atas sekali. Jika engkau memaksa meluruskannya, nescaya (patah) dan jika engkau biarkan saja, sentiasa ia akan bengkok. Sebab itu, nasihatilah perempuan itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” [1467] Sahih Bukhari dan Sahih Muslim 

Satu perkara penting yang perlu dipelihara ialah hubungan kekeluargaan dengan pihak isteri mahupun lelaki. Berkahwin ini, bukan soal kita dan si dia tapi juga mereka - sanak saudara, ibu dan bapa mertua, abang ipar, adik ipar kakak ipar dan lain-lain. Bina dan jalinlah hubungan kemesraan ini, ianya akan menjadi indah andai kata orang di sekeliling kita menyayangi diri kita.

Berjenakalah: Pahala di Sisimu
Kahwin tidak semestinya kita menjadi seorang yang serius lagi bengis. Bahkan kahwin menuntut kita menjadi orang ceria, kelakar dan mampu berhibur dengan peneman kita.

Apakah jenaka dan gelak tawa paling menggembirakan melainkan jenaka bersama pasangan tersayang. Bina suasana humor. Sudah pasti dalam ketawaan keceriaan ini, akan wujud pahala yang kita tidak pernah sangka. Kenapa tidak pula, dialah individu halal bagi kita yang bakal menemani perjuangan bersama. Hargailah dia, ceriakanlah dia. Sunnah Rasulullah SAW sudah jelas lagi terpampang. Ikutilah.

Berjenaka dan bermesralah dengan ahli keluarga - salah satu sunnah yang besar kesannya.


Dari Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku.” [1621] Sahih Ibnu Majah

Berdoa dan berusahalah
Ini mungkin pesanan yang paling cliche namun adalah perkara penting untuk dibuat. Sebaik-baik perancangan hanyalah perancangan Allah. Kita mampu berfikir, mentelaah serta mengambik tindakan tapi akhirnya hanya Allah yang akan menentukan-Nya. Yang baik kita terima, kita bersyukur. Yang buruk, kita bersabar dan terus berusaha. Sunnah melakukan kebaikan, pasti akan ada beberapa mehnah (ujian) di sepanjang jalan.

Berkahwin, memang tampak senang tapi sesiapa yang sudah melalui pasti akan ada saat kesusahan dan cabaran. Sesusahmanapun, dalamnya pasti ada bibit dan hikmah kesenangan. Jangan berputus asa, Allah pasti akan bersama.


Pengalaman Jualah Mengajari Kita
Seperti di awal pembukaan, banyak mana pun kita baca, telaah dan cuba bersedia - pengalaman jualah akan menjadi pengajar kepada kita. Apa yang saya ceritakan ini pun hanyalah pengalaman dan kefahaman yang masih tidak sempurna dan masih bersambungan.

Perhatikanlah sejak dari kecil. Kita selalu akan melalui satu-satu era perubahan. Ada peristiwa kita kena lalui yang mendebarkan seperti mahu berkhatan, dicucuk vaksin BCG serta lain-lain. Semua ini kita pernah terasa sukar tapi akhirnya kini kita telah lalui semua itu. Allah telah mendidik kita tanpa kita sedari.

Maka, usahlah terlalu risau dan usahlah terlalu ambil remeh temeh. Bersederhana dalam segala perkara merupakan satu polisi paling baik. Laluilah, pasti ianya satu fasa baru kepada semua individu.

Bacalah buku itu dan ini, simpanlah duit banyak ini dan itu, dengarlah pesanan senior ini dan itu, pergilah program persediaan berkahwin apa-apa sekalipun: hakikatnya pengalaman juga pengajar kita.

Sekian.

Nukilan: Amin Rukaini Mustafa & Atikah Nur Dzulkhefli. 
Genap empat bulan lebih perkahwinan. 'Jika bercinta, bawalah ke syurga' 

PS: Jika anda membaca ini, jangan lupa kirimkan doa kepada saya dan isteri untuk terus sentiasa cemerlang, bahagia di dunia dan di akhirat. 


4 comments:

amirfazwan said...

Banyak buku saudara baca ya.
Hasil tulisan yang baik, terima kasih!

- nnt sy try cari buku2 yg dinyatakan dlm blogpost ni :P

Sofea said...

Terima kasih utk tips berguna ni. Suka baca.

Anonymous said...

terima kasih saudara, banyak input2 berguna

cahaya said...

Terima kasih atas perkongsian. Barakallahulakuma..