Sedar tidak sedar, saya kini sudah hampir memasuki tahun akhir pengajian PhD di University of Cambridge, United Kingdom. Pada bulan Januari 2019 ini, genaplah dua tahun keberadaan saya di Cambridge. Dalam tempoh ini, walaupun kelihatan singkat; begitu banyak pengajaran dan pelajaran yang saya perolehi sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung semasa membuat kajian. Berikut, merupakan beberapa sikap-sikap utama yang saya pelajari selama mana saya menjadi pelajar PhD.
Nota: Maaf sekiranya dalam penulisan ini contoh-contoh yang digunakan mengandungi jargon saintifik berlebihan.
1. PhD Benar-Benar Menuntut erti Tidak Mengalah, Tidak Putus Asa dan Proaktiviti
Perkara ini merupakan perkara paling utama yang diperlukan oleh sesiapa sahaja dalam dunia kajian. Sebelum mengenali apa itu PhD, saya juga merupakan seorang yang beranggapan bahawa sesuatu kajian itu boleh 'tamat' dan 'berkesudahan' tetapi bila sudah berada dalam pengajian dan telah melalui banyak pengalaman - dapatlah saya katakan bahawa tiada istilah mengalah atau putus asa pada seseorang yang ingin melibatkan diri dalam sesuatu kajian. Kajian ini bukan seperti menjawab soalan yang memiliki jawapan pilihan: A, B, C atau D. Adakalanya, kita sudah pun menggunakan kesemua jawapan (solusi) itu terhadap permasalahan kita tetapi tetap gagal. Jika diikutkan falsafah logik soalan objektif tersebut, maka kita telah gagal menyelesaikan masalah dan tiada lagi jalan penyelesaiannya. Hakikat dunia kajian yang sebenar tidak sedemikian rupa.
Ya, kita mungkin tidak mendapat menyelesaikan sesuatu permasalahan itu dengan solusi A, B, C atau D tetapi sebagai seorang penyelidik atau ahli saintis - kita perlu cari lagi jawapan E, F, G sehinggalah Z sekalipun kerana realiti cabaran sebenar tidak semudah jawapan A, B, C dan D. Mungkin, sampai satu tahap kita terpaksa menerima dan mengguna semua jawapan (kaedah) tersebut untuk mencapai objektif kita.
Inilah apa yang terjadi kepada diri saya sendiri. Dalam satu objektif kajian yang saya lakukan bagi menentukan lokasi protin secara tepat dalam spora bakteria, saya terpaksa mencuba pelbagai jenis kaedah dan pendekatan. Kebiasaanya, untuk menentukan lokasi sesuatu protin baru yang tidak diketahui, para ahli molekul biologi akan menggunakan teknik yang dipanggil protin pelapor (reporter protein). Iaitu, dengan mencantumkan pelapor protein biasanya green fluorescent protein (GFP) dengan mana-mana protein yang ingin dikaji. Hasil pengimejan dan analisis terhadap cahaya fluorescence tersebut secara tidak langsung dapat menentukan lokasi protin yang ingin kita kaji. Dan teknik inilah yang telah saya gunakan; namun, teknik ini ternyata tidak berjaya bagi protin yang saya kaji walaupun ianya berjaya bagi kes-kes orang lain. Terlalu banyak faktor penyebab kenapa ianya tidak berjaya, antara salah satunya ialah disebabkan kegagalan protein cantuman (fusion protein) tersebut untuk berlipat (folding). Maka, pendekatan lain digunapakai seperti meembuat cantuman dari arah kepala protin (N-terminal) berbanding dari arah ekor protin (C-terminal) serta penggunaan pelapor yang berbeza seperti SNAP-tag dan Mcherry. Kesemua teknik ini juga ternyata gagal dan akhirnya saya mencuba pelapor yang jarang dipakai iaitu menggunakan pelapor Tdtomato. Proses untuk kaedah dan standard mendapatkan imej fluorescent ini telah mengambil masa selama hampir setahun dengan pelbagai percubaan demi percubaan!
Inilah salah satu contoh mudah betapa tidak semudah itu dalam realiti kajian. Sesuatu kaedah itu mungkin kita anggap boleh dilakukan semudah A,B,C atau D secara teorinya tetapi secara praktikalnya semua ini memerlukan kesabaran dan sikap tiada erti mengalah dan tidak berputus asa. Saya pasti tidak akan mencapai sebarang dapatan kajian sekiranya saya telah berputus asa mencuba sebarang kaedah-kaedah baru yang bersifat alternatif.
Kaedah kajian yang saya gunakan dalam menentukan lokasi protin dalam spora bakteri
2. Kegagalan itu Adalah Rutin dan Kebiasaan
Bagi mereka yang tidak biasa dengan dunia penyelidikan dan baru-baru berjinak dengannya, menghadapi sesuatu kegagalan akan menjadi satu mimpi ngeri. Tambahan lagi jika seseorang itu miliki sikap perfectionist. Tiada masalah untuk memiliki sikap perfectionist tetapi ianya perlu diurus dan diletakkan pada situasi yang sesuai. Saya akan terangkan di manakah situasi yang sesuai pada akhir perenggan ini. Bagi di luar dunia penyelidikan, kegagalan itu pada asasnya ditafsirkan sesuatu yang negatif dan tidak baik kerana kita sejak daripada kecil sudah dididik oleh sistem keluarga dan masyarakat bahawa kita perlu berjaya dalam segenap aspek. Kegagalan itu satu perkara yang memalukan diri.
Dalam penyelidikan, paradigma terhadap kegagalan berbeza. Kegagalan itu adalah satu cabaran dan motivasi buat para penyelidik. Sikap menghadapi kegagalan ini akan benar-benar diterapkan ke dalam diri dan jiwa pelajar PhD supaya bila sudah keluar nanti, mampu menghadapi cabaran kajian yang lebih besar dan mampu mengharunginya tanpa sebarang kesukaran. Kegagalan dianggap sebagai rutin dan perkara biasa. Apabila berhadapan kegagalan; contoh, hari ini buat eksperimen dan gagal - rileks, tiada masalah - esok boleh cuba lagi dengan cara dan pendekatan berbeza. Latihan ini sudah tentu perlu melalui jalan yang agak sukar dan perlu melaluinya sendiri.
Sama juga dengan pengalaman saya. Pada awal-awal latihan, setiap kali gagal dalam eksperimen -terbawa-bawa ke dalam mimpi ngeri. Susah mahu berubah paradigma ini kerana sebagai seorang yang perfectionist, saya pernah merasakan bahawa apa yang saya buat perlu berjalan seperti apa yang dirancangkan. Tetapi hakikat ini tidak berlaku dalam kebanyakan eksperimen berorientasikan kajian. Setiap kali buat, akan ada kegagalan demi kegagalan. Daripada sinilah, sedikit demi sedikit cara penerimaan kegagalan itu berubah daripada sesuatu yang pahit kepada sesuatu yang manis! Manis kerana daripada kegagalan inilah saya akan duduk berfikir, berbincang dan merencanakan beberapa solusi baru terhadap cabaran kajian tersebut. Akhirnya, saya menjadi seorang yang selesa dan biasa dengan kegagalan. Kegagalan bagi dunia penyelidik merupakan satu rahmat yang menghidupkan jiwa-jiwa ingin tahu akan keajaiban alam Ciptaan Tuhan.
Jadi, di manakah perlu kita letak sikap perfectionist ini? Salah satunya ialah pada sikap pengurusan projek kajian. Seperti biasa bagi pelajar PhD dalam bidang saintifik, mereka akan dibekalkan satu atau banyak projek tertentu untuk dilaksanakan. Adakalanya, kita akan mudah berasa culas dan ada rasa 'sudah cukup' dalam menguruskan projek-projek ini tatkala pasti akan ada sesetengahnya gagal mencapai objektif dikehendaki. Maka, pada ketika inilah sikap perfectionism itu perlu ditampilkan. Kita perlu ada rasa ingin perfection dalam menjawab tesis atau persoalan kajian tersebut. Walaupun ianya mungkin gagal tetapi usaha kita untuk menjawab tesis atau persoalan kajian melalui sikap tersebut dianggap sesuatu yang penting dalam dunia penyelidikan.
3. Tiada Istilah 'TAMAT' terhadap Kajian dan Penyelidikan
Bilakah sesuatu kajian itu boleh dikatakan TAMAT? Jawapannya mudah, ianya tidak akan tamat sampai bila-bila kerana tabiat ilmu manusia itu memiliki had. Jika kita beranggapan bahawa kajian dan penyelidikan boleh tamat - maka kita tersilap. Dalam dunia penyelidikan ini, anda kata sudah tiada apa yang perlu dikaji, maka akan tiadalah kajian demi kajian. Inilah tabiat sebuah penyelidikan.
Sebagai pelajar PhD, supervisor saya, iaitu individu paling rapat yang berpengalaman dan memahami selok belok penyelidikan acapkali berpesan kepada saya:
"There is always something else that needs to be done"
(Sentiasa ada sesuatu lain yang perlu dilakukan/diselesaikan)
Ya, kadang-kadang saya sendiri merasakan sudah rasa 'cukup' dengan data dan dapatan kajian yang ada tetapi setiap kali itu juga akan ada perkara-perkara lain yang kita terlepas pandang dan perlukan penelitian. Ianya satu usaha yang berterusan dan panjang, memerlukan sikap yang betul bagi menghadapi situasi seperti ini. Demikianlah tabiat sebuah penyelidikan, hanya ada permulaan tetapi tiada penamatnya kerana ilmu manusia itu terlalu cetek dengan ruang lingkup ilmu sebenar.
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad), “Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Rabbku, sungguh habislah lautan itu sebelum kalimat-kalimat Rabbku habis (ditulis), meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). (al-Kahfi/18:109)
Sebagai seorang Muslim, perkara ini kita imani sekuat-kuatnya bahawa Allah jualah pencipta yang mengetahui segala ruang lingkup ilmu. Maka, apabila kita memahami ilmu kita ini amat cetek - usaha ke arah menggali ilmu itu memerlukan satu jihad atau kerja kuat yang berterusan. Memahami kefahaman ini bermaksud seorang individu yang menggelar dirinya sebagai Muslim seharusnya memiliki sikap rajin dan tekun usaha untuk menyelami kehebatan sang Pencipta melalui pemerhatian terhadap segala keunikan penciptaanNya.
Tapi ya, pengajian PhD perlulah kena tamat!
4. PhD Mengajar Saya Selami Rasa Kebodohan atau Kebingungan
Ramai orang takut digelar diri sebagai bodoh. Bahkan ramai pula hari ini di media sosial senang-senang melabel orang lain sebagai 'si bodoh'. Tidak kurang juga ada yang menjadikan frasa 'bodoh' ini sebagai satu hujah penghabisan dalam menghadapi sesuatu perbezaan pendapat.
Dalam dunia penyelidikan, sebagai pelajar PhD - saya dididik untuk menyelami rasa kebodohan dan kebingungan. Dunia penyelidikan ini adalah dunia yang penuh kebodohan (tidak tahu menahu) dan kebingungan terhadap jawapan. Untuk menyelami rasa kebodohan ini kita perlu berhadapan dengan perkara yang kita tidak tahu menahu ataupun di luar kefahaman kita. Tetapi kebodohan yang bagaimana?
Untuk mudah faham, saya ambil contoh pengalaman saya dalam menghadapi 'kebodohan'. Saya telah ditugaskan untuk mengkaji sejenis protin yang wujud dalam spora bakteria tetapi tidak pernah ada mana-mana manusia di bumi pun yang tahu menahu dan tiada pula rekod-rekod kajian daripada journal menceritakan keperihalan protin ini. Maka - pada ketika itu bolehlah saya katakan saya menjadi insan yang 'bodoh' (tidak tahu menahu) tentang protin ini. Untuk merungkai 'kebodohan' ini, saya perlu tahu beberapa perkara penting dengan mengeluarkan beberapa persoalan, iaitu:
a) Apa tugas utama protin ini?,
b) Di mana lokasi protin ini dalam bakteria spora?,
c) Apa bentuk struktur protin ini supaya saya tahu tugasnya? dan
d) Adakah protin ini memiliki sebarang interaksi dengan protin-protin yang sudah dikenal pasti?
Semua soalan-soalan ini adalah soalan-soalan orang yang 'bodoh' dalam usaha untuk keluar daripada rasa kebodohan itu. Ianya merupakan antara contoh persoalan-persoalan yang seringkali ditanya oleh para ahli saintis bagi merungkai 'kebodohan' mereka dan kita (sebagai manusia) dan cuba merungkaikan kebingungan terhadap pengetahuan (ilmu) yang manusia ada yang memiliki had itu. Protin ini berskala nanometer, sangat kecil dan di luar kemampuan manusia dan juga mikroskop biasa untuk melihatnya. Ilmu terhadap protin tersebut bagi diri saya ibarat satu ruang hitam yang tidak kelihatan. Maka, dengan menjawab persoalan-persoalan 'bodoh' di ataslah sedikit demi sedikitlah saya dapat keluar daripada 'kebodohan' dan kebingunan itu.
Untuk menjawab persoalan-persoalan itu, sudah tentu, kami para pelajar PhD diajar untuk menggunakan disiplin dan metod pengkajian yang sesuai. Sebagai contoh, untuk menjawab persoalan 'a)', saya boleh menggunakan teknik yang ada dalam molecular genetics seperti mutational analysis dan over-expression. Begitu juga jika ingin menjawab persoalan '(b)', saya menggunakan teknik reporter protein (protein pelapor) seperti GFP dan sebagainya. Manakala persoalan (c) boleh dijawab menggunakan kaedah crystallography dan cryogenic electron microscopy (Cryo-EM) dan persoan (d) boleh dijawab dengan mana-mana kaedah molecular genetics seperti yeast hybridisation system dan lain-lain.
Menyelami rasa 'kebodohan' ini menjadikan diri kita memahami bahawa terlalu banyak ilmu yang manusia tidak ketahui dari sekecil-kecil zarah DNA dan protin sehinggalah sebesar-besar planet dan alam cakerawala.
Maka, usah takut untuk rasa 'bodoh'.
Gambar menunjukan bakteria spora bagi jenis Bacillus cereus menggunakan Scanning electron microscope (kiri) dan transmission electron microscope (kanan)
5. Bersikap Skeptikal dalam Menghadapi Kajian dan Data Kajian
Dalam kajian dan penyelidikan, sudah tentu bila sampai masanya kita akan memperoleh data hasil daripada eksperiman yang dijalankan. Dalam latihan pengajian PhD, saya dilatih untuk menghadapi data kajian dengan penuh berhati-hati, berwaspada dan skeptikal sama ada dalam menghadapi data dapatan orang lain mahupun data dapatan kajian diri sendiri.
Sikap skeptikal ini perlu wujud dalam kalangan ahli penyelidik atau saintis untuk mengelakkan daripada tersalah tafsir ataupun telah disalah tafsir. Dalam merungkai ruang lingkup ilmu yang kita 'bodoh' itu, ada kebarangkalian besar sesuatu dapatan kajian itu tidak tepat dan biased. Proses pentaakulan dan penelitian yang jitu perlu dilakukan bagi memastikan ianya benar-benar tepat.
Antara pengalaman yang benar-benar mengajar diri saya semasa dalam latihan ialah apabila dapatan kajian saya sendiri sebenarnya tidak tepat dan berkemungkinan salah. Pada ketika itu, saya bolehlah dikatakan agak 'mentah' sikap sebagai seorang ahli penyelidik 'junior'. Data kajian saya sendiri berkenaan dengan penentuan lokasi protin menggunakan kaedah cantuman SNAP-tag yang selama ini saya percaya dan yakin rupa-rupanya memiliki masalah yang besar, iaitu ianya sebenarnya adalah false positive (tidak tepat). Semua ini hanya disedari apabila mula mendapat teguran oleh supervisor saya. Beliau dengan nada yang cuak berkata kepada saya:
"Amin, I feel so nervous and my hand is shaky when you show me this data"
Beliau dapat merasakan sesuatu tidak kena dengan data yang saya miliki. Ternyata sangkaan beliau agak tepat kerana hasil penelitian lanjut, didapati terdapat beberapa isu dalam penggunaan kaedah tersebut. Akhirnya, saya perlu mengambil inisiatif untuk menggunakan teknik yang lebih baik dan terjamin.
Sikap skeptikal ini juga perlu wujud terhadap data atau dapatan kajian yang dihasilkan oleh orang lain. Boleh jadi orang lain menipu data tersebut, boleh jadi juga ada banyak errors dalam dapatan kajian yang tidak dijelaskan dalam penulisan laporannya, dan boleh jadi juga beliau hanya melaporkan sebahagian data yang signifikan berbanding yang tidak bermakna. Bahkan, dalam aktiviti harian di makmal juga perlu ada sikap skeptikal. Sebagai seorang ahli mikrobiologi atau biologi molekul, aspek berkerja dalam kondisi sterile sentiasa perlu diutamakan. Perlu ada rasa skeptikal dalam menggunakan alatan ekskperimen orang lain dan juga perlu ada rasa skeptikal sekiranya orang lain telah menggunakan alatan kita dan lain-lain lagi.
Pendek kata, sikap skeptikal adalah salah satu sikap yang penting bagi seorang penyelidik kerana seorang penyelidik bukanlah orang yang naif dan mudah untuk menerima; kerana tugasnya adalah untuk selidik dan kaji.
6. Keraguan Adalah Titik Permulaan kepada Pencarian Kesahihan
(Disclamer: Konteks ini tiada kaitan langsung dengan persoalan konteks agama)
Sikap ini mungkin akan dibaca agak sedikit janggal bagi mereka yang tidak berada dalam skop kajian dan penyelidikan bahkan boleh disalah tafsirkan. Dalam dunia penyelidikan keraguan atau skeptikal ini adalah titik permulaan kepada kesahihan. Keraguan yang dimaksudkan dalam konteks ini rasa tidak percaya atau yakin terhadap sesuatu dapatan atau penemuan. Sikap ini akan membawa kepada sikap keberhati-hatian dalam mencari kesahihan dalam menerokai ruang lingkup ilmu yang belum terjawab.
Dalam skop kajian saintifik terutamanya dalam bidang molecular biology yang mana skop kajian melibatkan kajian terhadap sesuatu yang tidak boleh nampak dengan mata kasar seperti protein, DNA dan molekul, keberangkalian untuk tersalah tafsir amat besar sekali. Setiap kumpulan penyelidik sudah pasti akan menggunakan kaedah penyelidikan yang berbeza. Untuk mudah faham, untuk menjawab persoalan (b), iaitu di mana lokasi protin tertentu dalam bakteria spora; para penyelidik boleh menggunakan berbeza kaedah. Ada yang menggunakan kaedah pelapor protin (reporter protein) seperti yang saya gunakan, dan ada ada pula yang menggunakan kaedah western blotting dan lain-lain berdasarkan hujah dan justifikasi masing-masing. Disebabkan perbezaan kaedah ini, masing-masing akan memberi tafsiran terhadap dapatan kajian yang berbeza-beza dan boleh jadi ianya disalah tafsir.
Analogi yang biasa diguna pakai oleh sesetengah dalam menggambarkan situasi dan falsafah ini ialah analogi 'Orang Buta dan Si Gajah' atau dalam bahasa Inggerisnya The Blind Men and The Elephant. Apabila si buta masing-masing mentafsirkan sesuatu 'dapatan' baru berdasarkan konteks dan kemampuan masing-masing, maka terhasillah suatu pentafsiran yang berbeza-beza. Sama juga seperti seorang ahli saintis yang cuba mengkaji sesuatu protin yang tidak dapat dilihat, bahkan disentuh. Masing-masing akan mengeluarkan tafsiran tersendiri yang barangkali 'betul' daripada perspektif kaedah yang digunakan tetapi 'salah' daripada perspektif kaedah yang lain.
Analogi Para Penyelidik 'Buta' dan si Gajah
Maka, sebab itulah sikap keraguan atau skeptikal ini perlu bagi para penyelidik khususnya dalam bidang molecular biology. Dengan adanya keraguan, barulah 'kesahihah' itu boleh dicari walaupun secara amnya, kesahihan dalam skop penyelidikan ini adalah relatif dan diluar jangakauan melainkan ianya terbukti secara teori dan praktikaliti.
7. Akhirnya, 'it is what it is', wallahua'lam!
'It is what it is' , komentar daripada supervisor saya apabila mendapat dapatan kajian yang lengkap.
Apa pun data dan kajian yang diperolehi dan mungkin berbeza daripada orang lain, itulah dapatannya. Sikap ini bukanlah bermaksud sikap mengalah tetapi lebih kepada sikap penerimaan had dan limitasi yang ada pada manusia. Buatlah kajian sehebat manapun untuk cuba buktikan sesuatu teori hebat tetapi akhirnya jika data kajian mendapati ianya tidak betul, itulah dapatannya.
Makna kata lain, jika hasil kajian yang dibuat tidak berjaya dan mendapat keputusan negatif, itulah dapatannya. Manusia hanya boleh menggunakan kaedah empirikal untuk mentafsirkan sesuatu perkara yang tidak dapat dilihat.
Sejauhmanakah 'kesahihan' dapatan kajian tersebut, manusia tidak dapat memastikannya kerana pakailah apa sahaja kaedah dalam mentafsirkan dunia molekul, semua adalah relatif dan yang lebih mengetahui adalah Sang Pecipta yang Maha Mengetahuinya. Kita hanyalah manusia yang cuba merungkai ilmu itu dengan skala yang termampu.
Sebagai seorang muslim, kita lebih memahami konteks ini kerana hakikatnya Allah jualah yang lebih mengetahui (wallahua'lam)!
2 comments:
Salam singgah dan follow :)
Welcome Bonus Code - Choco Casino
Get septcasino your Welcome Bonus Code 카지노 and enter your desired bonus code from Choco Casino and place your first wager on any casino game. Rating: 5 · 2 1xbet korean votes
Post a Comment