Sebagai seorang pelajar PhD dalam
bidang Bioteknologi dengan kepakaran dalam pengkhususan mikrobiologi molekul,
saya tertarik untuk membuat satu kupasan terhadap satu topik yang selalu
diviralkan oleh orang ramai, iaitu berkenaan 'Semut Charlie'. ‘Semut Charlie’
ataupun nama saintifiknya ialah Paederus
sp. sebenarnya bukanlah di bawah kategori ‘semut’ seperti yang
disangka-sangkakan tetapi merupakan sejenis kumbang daripada keluarga Staphylinidae.
Kumbang Paederus ini seringkali diviralkan di media facebook dan twitter
kerana ianya begitu terkenal dengan ‘bisa’ yang menyakitkan dan meninggalkan
kesan melecur pada permukaan kulit atau secara klinikalnya dikenali sebagai Paederus
dermatitis. Ramai menyangkakan bahawa kesan lecuran ini disebabkan oleh
sengatan atau gigitan kumbang Paederus
ini. Sangkaan ini ternyata tidak tepat kerana ianya tiada langsung kaitan
dengan gigitan atau sengatan tetapi berkait rapat dengan cecair yang dirembes oleh
kumbang tersebut.
Rembesan cecair ini mengandungi
sejenis toksin yang dikenali sebagai pederin. Teknik rembesan ini merupakan salah
satu kaedah pertahanan kimia yang diadaptasi oleh kumbang tersebut dalam menghadapi
sebarang ancaman fizikal. Menariknya, toksin pederin ini tidak dihasilkan oleh
kumbang Paederus itu sendiri, tetapi sebaliknya
penghasilannya bergantung kepada kewujudan sejenis endo-simbiotik bakteria yang
menghuni di abdomen kumbang tersebut, iaitu Pseudomonas
sp.. Hubungan rapat antara kumbang Paederus dengan bakteria ini dikenali
sebagai simbiosis, iaitu kedua-duanya memperoleh kelebihan; si kumbang
menggunakannya sebagai senjata semula jadi, manakala si bakteria pula mampu
hidup dengan baik dan ‘aman’ di dalam abdomen kumbang tersebut.
Dalam kajian sains, toksin pederin telah
pun dan mula mendapat tempat dalam kajian anti-tumor. Toksin ini secara asasnya
memiliki kebolehan menghalang proses mitosis (pembahagian sel) dengan
menghalang pensintesisan DNA dan penghasilan protein pada tahap molekul. Disebabkan
oleh faktor inilah, kesan lecuran akan terjadi sekiranya permukaan kulit
terdedah kepada cecair rembesan kumbang Paederus.
Namun, yang lebih menarik – kesan lecuran ini sebenarnya ialah satu manifestasi
bahawa pederin mampu ‘mematikan’ tumbesaran sel-sel. Maka, toksin pederin telah
pun mula dikaji secara mendalam akan potensi sebagai antitumor semula jadi.
Bahkan, terdapat kajian telah melaporkan bahawa toksin pederin ini mampu melanjutkan
jangka hayat tikus yang memiliki sel tumor. Namun, ianya sudah pasti memerlukan
kajian yang lebih mendalam bagi menyumbang terhadap kajian anti-kanser.
Secara kesimpulannya, semut Charlie
ataupun Kumbang Paederus ini sememangnya berbahaya dan langkah pengurusan
sewajarnya perlu diambil sekiranya tersentuh dengan permukaan kulit. Di sebalik
kerisauan terhadap kumbang ini, wujud satu satu hubungan rapat antara kumbang
dan bakteria dalam memastikan kelangsungan hidup masing-masing. Toksin pederin
juga memiliki aktiviti antitumor dan ianya mula mendapat tempat dalam kajian sains
walaupun ianya mungkin bukanlah satu-satunya solusi terhadap rawatan
anti-kanser. Namun, diharapkan kajian terhadap toksin ini mampu memberi sumbgan
terhadap selok-belok terhadap rawatan antitumor dan antikanser.
Sekian,
Amin Rukaini Bin Mustafa
Pelajar PhD tahun Kedua
PhD in Biotechnology,
Unviersity of Cambridge (UK).
---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rujukan lanjut:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3225135/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC137826/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22827176
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC528957/
0 comments:
Post a Comment