Sesetengahnya menggambarkan analogi aqidah itu ibarat akar kepada sebuah pokok, walau apa sekali analogi yang dibuat, kita tetap faham aqidah itu paksi kepada segala-galanya.
Pengenalan
Seorang
Muslim yang ideal itu hidup dalam kebergantungan kepada dua paksi yang utama:
Allah dan Rasul. Kecintaan kepada Allah dan Rasul pasti melebihi
segala-galanya. Segala tindakan yang dilakukan oleh seorang Muslim yang ikhlas
dan ideal pasti menyedari bahawa dirinya itu terikat oleh pemerhatian Allah SWT
lantas menjadikan beliau sentiasa mengingati Allah, berasa yakin kepada-Nya
tanpa berkurangnya usaha-usaha dalam menghadapi segala cabaran di dalam
kehidupan. Seorang Muslim yang ideal akan merasai dirinya sentiasa memerlukan
pertolongan dan sokongan daripada Allah biarpun sekuat mana yang mampu dia
usahakan. Dia juga sentiasa sedar dan berminda terbuka dalam melihat penciptaan
Allah SWT; apabila melihat keluasan alam semesta yang dipenuh dengan
planet-planet, bintang-bintang, meteor dan sebagainya tanpa sebarang kecelaruan
– sudah pasti di situ ada tanda-tanda yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa.
Dia mampu mengenali tanda-tanda ini lantas dikaitkan dengan kepercayaannya kepada
Allah SWT tanpa mengurangkan sedikit pun imannya. Dia mengingati Allah dalam
setiap keadaan yang dimiliki.
“Dan
milik Allah jugalah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha berkuasa ke atas
sesuatu. Sesungguhnya dalam peciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan
siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) nagi orang yang berakal. Iaitu,
orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan
berbaring, dan mereka memikirkan tentang peciptaan langit dan bumi (seraya
berkata): “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia;
Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka. (Ali-Imran 3:190-191)”
Sunnah
orang baik
Jadi,
sejauhmanakah realiti keadaan nilai Muslim kita pada tahap ini? Masing-masing
mampu menganalisi diri dengan lebih terperinci. Tidak rugi menjadi orang baik.
Kerana sunnahtullah, orang baik selalu akan dibantu oleh Allah SWT. Tetapi
bagaimana mahu mentafsir dan definisikan ‘orang baik’ ini mengikut arca Islam? Dalam
artikel ini, seorang muslim yang baik ataupun ideal itu dilihat dari lensa sebagai seorang
yang meletakkan Allah dan Rasul pada paksi segala-galanya. Hidupnya ialah untuk
menjadi hamba kepada Allah SWT dan mengikut segala yang dibawa oleh Rasul-Nya.
Inilah sunnah orang baik. Sunnah yang telah diikuti zaman berzaman dan telah
terbukti kejayaannya.
Seorang
yang patuh kepada arahan Allah dan Rasul
Seorang
muslim itu hidupnya adalah bersederhana dan merendah diri dengan kepatuhan
kepada Allah SWT. Dia tidak sesekali
cuba melampaui batasan syarak yang dilarang oleh Allah SWT dan mengikuti segala
suruhan-Nya walaupun kadang-kadang suruhan itu berlawanan dengan kehendak nafsu
dirinya. Hal ini kerana dia yakini bahawa semua ini adalah ujian untuknya dan
yakin dengan sabda Rasullulah:
Dari
Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a katanya : Telah bersabda
Rasulullah SAW : ' Tiada beriman seseorang dari kamu sehingga hawa nafsunya
patuh kepada apa yang aku sampaikan. ' (An-Nawawi;
Hadis 41)
Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari
apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya. Al-quran: 4:65
Seorang
Muslim yang sejati meletakkan dirinya pada penyerahan yang total kepada Allah
dan Rasul. Tanpa kedua-dua elemen penting ini, seseorang dikira tidak mempunyai
keyakinan dan terkeluar daripada Islam. Maka, seorang Muslim yang ikhlas tidak
mahu terketepi daripada bimbingan Allah SWT dan tidak menepikan suruhan oleh
pesuruh-Nya.
Analogi
Kapal Terbang
Untuk memahami peri pentingnya aqidah kepada manusia, cuba
anda bayangkan tatkala anda sedang menaiki sebuah kapal terbang, tiba-tiba
berlaku kerosakan enjin pada kedua-dua belah enjin pesawat tersebut menyebabkan
bekalan elektrik untuk satu pesawat itu terputus. Lantas keadaan menjadi gelap
gulita dalam ruang pesawat bertemankan bunyi keriuhan orang ramai yang kelam
kabut. Kini pesawat tersebut hanya mampu menjadi peluncur di ruangan udara
tanpa sebarang tujahan kuasa, seolah-olah sebuah rangka besi dan aluminium yang
bertebangan di angkasa dengan kadar penurunan altitude yang sangat drastik.
Kedengaran hiruk pikuk manusia di dalam yang mula menangis-nangis memohon
pertolongan kepada Tuhan. Apakah yang akan anda rasai pada ketika itu? Kepada
siapakah lagi yang akan anda letak harapan? Adakah kepada pilot pesawat yang
masih terkapai-kapai mencari jalan penyelesaian? Yang barangkali mereka juga
meletakkan harapan yang tinggi agar pesawat tersebut dapat membuat pendaratan
kecemasan dengan selamat. Ataupun adakah anda mengharapkan datang pertolongan
daripada flight controller yang hanya mampu menerima dan menyebarkan Emergency
declaration kepada pasukan penyelamat? Adakah anda mengharapkan kepada peramugara ataupun
peramugari yang masing-masing sedang berada dalam ketakutan melaungkan: "Brace! Brace! Be in brace position! Be brace for Impact!? Kepada siapakah
anda berharap pada masa itu? Di manakah harapan itu diletakkan?
Saat itu, pasti kita mengharapkan sesuatu.
Siapapun
manusia yang berada dalam pesawat tersebut pada masa itu; sama ada percaya
kepada Tuhan mahupun tidak percaya kepada Tuhan, lumrahnya mereka pasti
meletakkan satu harapan untuk terus hidup dan harapan inilah bukti kewujudan
dan kebergantungan kita kepada ‘Rabb’, iaitu Tuhan ataupun dengan lebih tepat
dari segi tafsiran konteks ini ialah pemelihara, pembekal dan pengekal
(sustainer, provider, and maintainer). Kerana Dialah tempat kita meletakkan
harapan kerana naluri manusia diciptakan untuk menyedari rasa wujudnya Rabb.
Maka jelaslah kita bahawa, acapkali manusia menidakkan kewujudan Tuhan tetapi
seringkali dalam situasi-situasi yang mendesak mereka akan mengakui juga. Dan
inilah Islam, menganjurkan kita meyakini wujudnya Allah dan menyakini
keesaannya dan kebesaranya serta sifat-sifatNya. Lantas menjadikan Rasul
sebagai tauladan paling terdekat yang membawa syariat Islam untuk kita semua.
Empayar
Keimanan
Sebuah
empayar biasanya hanya mampu bertahan dalam lingkungan 300-500 tahun sahaja
contohnya seperti empayar Rusia, empayar Rom, dan Disnasti Qing. Tambahan lagi,
tidak banyak tinggalan budaya serta pengaruh yang ditinggalkan oleh
empayar-empayar ini. Namun, wujud sebuah empayar hebat yang di mana walaupun
pada zahiriahnya ianya sudah terkubur beberapa dekad lalu, tapi kesan
maknawiyah dan batiniyah masih wujud dan akan bangkit semula! Empayar itu tidak
lain tidak bukan ialah empayar keimanan. Keimanan kepada Allah dan rasul-Nya.
Empayar yang dibina atas dasar keimanan yang utuh serta kepercayaan yang mantap
melalui penerapan nilai-nilai aqidah yang sejahtera. Empayar ini bermula dari
sebuah kota makkah, berpindah ke kota Madinah dan seterusnya disambung oleh
generasi khalifah Islam memegang tampuk pemerintah Empayar Umayyah, Abasiyyah
dan Uthmaniyah dengan total masa hampir lebih 1400 tahun serta nilai-nilai dan
sistemnya masih wujud utuh sehingga sekarang menantikan satu kebangkitan semula. Inilah empayar yang berasaskan pegangan aqidah.
Empayar yang berterusan generasi ke generasi; empayar keimanan
Bermula dari didikan
oleh Rasullah kepada para sahabat dan
keluarga terdekat, mereka dididik dengan nilai aqidah yang kuat sehinggakan
sanggup berkorban harta dan nyawa demi mempertahankan aqidah tersebut iaitu
mengesakan Allah SWT. Kesannya, lahir para manusia yang sangat unik, berwibawa
dan penuh dengan disiplin dan semangat yang waja, dididik dengan penuh akhlak
terpuji lantas menjadi modal kepada penyebaran Islam ke serata pelusuk dunia.
Walhal, jika dibandingkan dengan empayar hebat yang lain; empayar ini tidak
terbina atas dasar kekuatan jumlah ketenteraan yang hebat mahupun teknologi
yang canggih, tetapi hanyalah melalui pembinaan modal-modal insan yang utuh
berpaksikan Allah dan Rasul. Merekalah generasi penyambung, para sahabat, tabi’,
tabi’ tabi’in serta disambung lagi oleh generasi ilmuwan Islam terkemuka serta
pencipta teknologi dunia. Dan kini kita dilahirkan dalam suasana norma Islam;
atas usaha yang telah dilakukan oleh generasi-generasi terdahulu. Pendek kata,
kita tidak mampu melihat hebatnya empayar ini dari sudut zahiriahnya tetapi
sedar tidak sedar kita sedang merasainya setiap waktu ketika ini, menikmati
nikmat yang kekal abadi iaitu nikmat Islam yang disumbangkan oleh para mujahid,
pejuang yang dididik berlandaskan Allah dan Rasul.
Jelas
kepada kita, kekuatan aqidah yang sejahtera bukanlah calang-calang cerita
dongeng, bukanlah satu cerita epik yang dibuat-buat, bukan juga satu khayalan;
tetapi ianya satu kenyataan dan satu perkara yang akan berulang sama sekali
jika diulangi didikannya pada setiap generasi. Jelaslah jua, kekuatan aqidah
terletak tinggi pada tahap keyakinan dan kepatuhan kita kepada Allah dan Rasul
melebihi segala kepentingan yang ada dengan membawa misi yang berterusan oleh
setiap generasi yang beriman dari zaman ke zaman. Firman Allah SWT:
‘Sesungguhnya
solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS
6:162).
Pasti pada setiap cairan pena yang ditulis itu wujud satu kekuatan yang hadir dari lubuk kepercayaan yang mantap, setiap gesekkan pada kertas itu membuahkan satu rasa cinta pada Allah dan Rasul. Kini, mungkin kita mahu pada setiap taipan keyboard oleh tarian jari jemari itu juga bisa membuahkan perkara yang sama.
Pendidikan
dan usaha berterusan
Falsafah
pendidikan memainkan peranan penting dalam membina sebuah generasi yang hebat
serta cemerlang. Melihat sejarah, kita memahami bahawa falsafah pendidikan yang
wujud dalam masyarakat Islam itu bersifat syumul, melatih generasi agar
seimbang, bersepadu, intergrasi dari segala aspek dan mampu melahirkan generasi
yang utuh. Dan falsafah ini tidak berbeza dengan falsafah-falsafah yang ada
pada masa kini. Tetapi kenapakah kita masih lagi tidak mampu melahirkan
generasi seperti zaman-zama terdahulu? Jawapannya mudah, kita perlu telusuri
di manakah hilangnya kekuatan kita. Jika kita melihat falsafah pembentukan
individu Islam pada zaman kegemilangan Islam yang lalu terutamanya pada zaman
khilafah Abassiyaah, setiap individu dididik agar menjadi seorang yang seimbang
dari segenap ilmu dan pakar dalam ilmu-ilmu tertentu. Namun jika dibandingkan
dengan individu terdahulu dengan individu sekarang, wujud satu jarak yang luas
iaitu kurangnya aspek penekanan prinsip agama yang kukuh dalam jiwa.
Kita
melihat bagaimana tokoh-tokoh hebat seperti Al-Biruni yang merupakan pakar
mathamatics dan astronomi, bukan sahaja pakar dalam bidang ilmu tersebut bahkan
mampu menggerakkan seluruh ilmu dan kudrat yang ada padanya untuk pergi ke
India atas arahan Khalifah pada masa itu untuk mengkaji segala ilmu yang ada di
India. Semua ini dilakukan atas konsep ingin memenangkan syariat Islam, membawa
perintah Allah dan Rasul. Kesannya, beliau bukan sahaja pakar dalam astronomi
dan matematik, tetapi telah mendahului dalam bidang geography, antropologi
serta mengkaji tebaran social terutamanya berkait rapat dengan system kasta
yang ada di India serta banyak lagi sumbangan-sumbangan lain dalam konteks
geografi dan geofizik. Jadi apakah yang menggerak hati tokoh ini untuk berbuat
sedemikia rupa? Sudah tentu akidah yang sejahtera.
Berbalik
kepada soal pendidikan, sejauhmanakah kita sudah mampu merasai hebatnya diri
sehingga mampu menjadi mereka yang hebat-hebat seperti Al-biruni itu tadi?
Sudahkah kita bersedia dari segi kekuatan rohaniah itu? Semua persoalan ini perlu
kita lihat kembali, kenapakah kita masih jauh terkebelakang sedangkan setiap
manusia itu mampu menganjurkan anjakan paradigm dari semasa ke semasa. Dan
sudah pasti, pasak aqidah itulah yang menjadi asas kepada sifat lahiriah yang
ada. Kesedaran yang tinggi bahawa kebergantungan kita kepada Allah dan rasul
menjadikan kita insane yang unik; lantas mempunyai misi dan hala tuju yang apa
sekalipun pasti meletakkan Islam itu yang teratas. Ianya perlu usaha pendidikan
yang berteraskan paksi akidah yang sejahtera. Pendidikan seperti ini bukan
sahaja mampu melahirkan individu yang pakar dalam bidang masing-masing tetapi
individu tersebut juga faham akan tanggungjawab besar yang dipikul demi
menyebarkan Islam. Jadi, pendek kata, didiklah dengan asas yang kuat, asas
akidah yang sejahtera; dari situ kita akan lihat sebuah generasi yang
berkaliber dan waja yang bakal member sumbangan besar pada era kebangkitan
Islam ini!
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang
mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)
Ianya Satu
Praktikaliti
Pasti,
dalam membicarakan soal kegemilangan kita tidak akan berjaya dengan hanya
berlegar-legar pada kehendak teori yang ideal. Semuanya bermula dari selangkah
kita melakukan perubahan, selangkah kita melakukan usaha ringkas. Maka, penting
kepada kita untuk mula sedar dan mengambil tindakan ringkas yang semuanya
bermula dengan diri sendiri. Melatih diri agar mula fokus kepada soal aqidah
yang sejahtera dengan aktiviti-aktiviti yang ringkas juga, iaitu memperbanyakkan
kefahaman kita akan Al-quran kerana di dalamnya terkandung berbagai-bagai ayat
yang menekankan kepada akidah yang sejahtera, menghadiri usrah, melatih diri
agar mampu hadir ke majlis-majlis ilmu, melazimi solat malam, memperingatkan
kepada orang ramai akan soal akidah yang dibawa oleh Islam serta paling tidak
cuba mengamati peri pentingnya aqidah ini. Peranan individu itu perlulah
berterusan dan tidak putus dengan sekadar selangkah tetapi haruslah menjadikan
ia satu usaha yang berterusan sehinggakan ia menjadi salah satu aktiviti harian
kita. Pendidikan kepada anak-anak juga perlu ditekankan soal akidah, mereka
perlu dididik dengan akidah dari kecil lagi. Hal ini terbukti di dalam A-quran
bagaimana Lukmanul Hakim mendidik anak-anaknya:
“Dan (Ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di
waktu ia memberi nasihat kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan
Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang
besar …..”. (Surah Lukman :13)
Jelas
kepada kita contoh didikan Lukmanul Hakim yang disebut di dalam Al-Quran
bukanlah satu cerita yang diada-adakan untuk kit abaca, tetapi ianya satu
pengajaran kepada kita agar mampu mendidik anak-anak dengan aqidah yang
sejahtera. Barangkali proses ini ialah proses yang berterusan dan dengan
berhikmah. Mendidik anak-anak pasti ada cabarannya, tetapi gunalah kelebihan
dan peluang ayang ada di samping membentuk sebuah keluarga ada suasana aqidah
Islam di dalamnya. Semuanya pasti melahirkan sebuah masyarakat yang utuh dengan
didikan secara berkesan bermula dari diri sendiri sehinggalah ke peringkat
masyakat.
Konklusi
Seorang
Muslim yang ideal itu pasti meletakkan Allah dan Rasul itu melebihi
segala-ganya dengan merasakan dirinya itu sentiasa berwaspada dengan segala apa
yang berlaku di sekelilingnya. Dia juga merasai bahawa perlu mengikut sunnah
orang baik kerana menjadi orang baik itu tidak rugi. Muslim yang baik itu patuh
kepada Allah dan Rasul, mengikuti segala apa yang disuruh dan menghindari apa
yang dilarang dan mereka ikhlas dalam menurutinya. Aqidah itu satu perkara yang
asas yang perlu ada pada nilai seorang manusia, tanpa aqidah manusia pasti
terkapai-kapai. Empayar keimanan yang diasaskan oleh aqidah yang sejahtera itu
sangat jelas melalui apa yang kita rasai sekarang dan ianya pasti akan bangkit
semula sekiranya kita mengulangi perkara yang sama. Nilai pendidikan yang baik
mampu melahirkan generasi ingin mampu merubah masa depan, dan ianya bermula
dengan diri sendiri, melazimi perkara-perkara ringkas yang mampu dilakukan
dengan mudah sekali. Kemudian berusaha untuk mendidik orang lainseperti
anak-anak, keluarga dan masyarakat. Realitinya, didikan aqidah yang sejahtera bukan
satu ilusi kerana Lukmanul hakim sendiri pernah melakukannya kepada anaknya,
kenapa tidak kita? Ianya satu praktikaliti bukan ilusi. Bangkitlah.
Sekali lagi, apa-apa pun analogi yang dibuat, aqidah itu merupakan satu kekuatan kepada Umat Islam pada masa lalu, kini dan akan datang!
Rujukan:
Biography of Al-Biruni, accessed on 20/1/13
Muhammah Ali Al-Hashimi, The Muslim and His Lord, The Ideal Muslim, International Islamic Publishing House 2005.
Surah Quran, accessed on 19/1/13 <http://www.surah.my>
Tarbawi, Mendidik Jiwa, Accessed on 20/1/13
10 greatest empires in the world history, Smashisng List. Accessed on 19/1/13
0 comments:
Post a Comment