Saya cuba membahaskan beberapa perkara yang mungkin agak pahit untuk didengar dan agak tidak adil bagi sesetengahnya tapi ianya hanyalah satu introspeksi luaran yang secara amnya begitulah. Orang kita malas. Sejauhmanakah benarnya perkara tersebut? Dan dimanakah kekurangan kita? Analisis ini cuba menfokuskan kepada aspek akademik dan cara berfikir orang kita.
Orang kita lebih mudah mahu senang berbanding mahu susah. Semuanya ingin relax dan cepat senang. Tidak ramai yang mahu berusaha dan menggunakan buah fikiran semaksimum mungkin. Sekali usaha, cukuplah ala kadar-cukup makan katanya. Asal boleh hidup pun jadilah. Ini satu dillema orang kita, yang menyelusup masuk dek tujahan minda penjajah British dan lain-lain. Dalam karya Tun Dr Mahathir, Dillema Melayu, orang kita dianggap malas dan memadai dengan apa yang ada. Tidak mahu ada perubahan dan minda ini dididik oleh penjajah melalui konsep pecah dan perintah. Orang kita hanya diberikan tugas-tugas ringan dan norma seperti bercucuk tanam di kampung-kampung. Itu dulu, dan kini juga hampir serupa, walaupun sudah mula bangun tetapi rata-rata masih merasa mencukupi dengan bekerja sebagai pegawai biasa, kakitangan awam yang tidak berpangkat tinggi dengan alasan tiada kelayakan hebat. Malasnya orang kita. Apa yang kita mahu hanyalah mampu kumpul duit untuk kahwin, beli rumah teres, dapat hidup makan dan beranak-pinak. Itulah orang kita. Masih ditampuk mentaliti dahulu namun cuba berubah sedikit demi sedikit.
Penat berfikir, akhirnya dapat juga solve!
Orang kita begitu malas mahu berfikir. Jika dahulu, sukar sama sekali mahu melihat ramai pemikir-pemikir hebat. Namun kini sudah semakin banyak yang berilmu hebat. Mampu mensintaksiskan pelbagai pendapat yang hebat juga. Namun, masih ada golongan yang malas berfikir. Yang mahu orang lain berfikir demi mereka. Mereka wujud di celah-celah kelompok masyarakat. Bahkan menganggap ilmu pengetahuan itu cukuplah sekadar di SPM, mahu hanya mendapat sijil untuk bekerja. Tetapi jika datang sedikit masalah, maka dibiarkan ianya tidak selesai. Orang kita sukar untuk turut sama berfikir bagaimana mahu menyelesaikannya. Kita mengharapkan pemikir-pemikir luar datang ke dalam negara dan berfikir kepada kita lalu kita membayarnya. Mudah dan senang. Dan kita goyang kaki menantikan solusinya. Itulah kebanyakan orang kita.
Mungkin inikah falsafah kebanyakan orang kita?
Jarang-jarang fenomena alam diteliti dan dikaji. Orang barat jika melihat pokok meluruhkan daun pada musim luruh, mereka berfikir: bagaimana itu dan ini berlaku?. Orang kita: Oh ini sunnatullah. Allah Maha Mengetahui. Orang kita malas dengan memeberikan alasan yang tampak kukuh namun pada hakikatnya Alquran menyuruh kita sentiasa berfikir, iaitu BERFIKIR sedalamnya dengan mengkaji. Namun orang kita menganggap berfikir itu memadailah dengan melihat dan berkata sekian dan sekian. Tanpa ada bukti yang nyata. Itulah orang kita. Kesannya, kita jadi sebuah masyarakat yang mundur daru segi ilmu. Kerana pepatah kita pernah berkata: hendak seribu daya, tak hendak seribu bicara. Malas berfikir, otak jadi lembap, semua dilihat adalah perkara biasa, norma yang tiada makna sedangkan banyak ibrah dan teknologi alam yang mampu menjadikan kita khalifatullah yang terbaik. Mampu mentadbir alam. Orang kita fikir, dengan mengetahui teknologi alam, ianya akan merosakkan alam sekitar jika diterokai, sedangkan orang Barat mengkaji untuk melindungi alam sekitar. Nah, lihat siapakah yang lebih laju dalam membicarakan soal pelepasan carbon dioxide ke dalam atmosfera bumi? Siapakah pula yang mula-mula mebicarakan soal tenaga hijau? Siapakah pula yang ingin membuat Biofuel? Mereka bukan kita. Kita hanyalah pengikut tegar yang dahagakan ilmu orang hidup selesa.
Semalas-malas Isaac Newton yang berehat, tapi bila epal jatuh di kepala, tetap juga berfikir. Orang kita?
Orang kita tidak kreatif dan berstrategi dalam melakukan sesuautu perkara. Seringkali mencuba dengan pengalaman yang ada. Tidak cuba mencari ilmu yang terbaik untuk digunakan. Mahu berjual-beli tetapi tidak dipilih lokasi yang terbaik, tidak mengetahui selok-belok ilmu perniagaan. Sukar sama sekali mahu berkongsikan idea dan saling bantu-membantu. Semua mahu untung sendiri, kesannya rugi pun rugi sendiri. Mahu jadi sole-trader handalan tapi jualan kecil-kecilan. Sedangkan orang lain mahu bina sebuah empayar gergasi kerana mereka berstrategi. Bina pensyarikatan, bina jalinanan kesefahaman antara satu sama lain. Kini sudah ramai orang kita mula terlibat dalam strategi membina syarikat besar, namun masih ramai lagi yang mahu bergoyang kaki. Hanya melihat dan menganggap perniagaan ini satu perkara yang mampu membawa keji. Negatif. Sedangkan Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa rezeki ini hadirnya banyak dari jurusan perniagaan. Ke manakah orang kita? Hinggakan kadang-kadang tanah sendiri tergadai kerana ingin mahu cepat kaya sementara. Kita gagal dalam berstrategi. Itulah kita, mahu senang lenang.
Berat sama dipikul ringan sama dijinjing, tapi bila sampai bab kewangan, semua dipikul dan dijinjing. Padahnya..
Orang kita banyak ketawa. Saya fikir orang lain juga banyak ketawa tetapi tidak sepenuh masa. Orang kita barangkali kalau boleh semua perkara mahu diketawakan. Mahu gembira. "Fiesta dan Siesta". Orang kita amat suka berpesta makan sambil bersuka ria (siesta). Di situlah kebanyakan orang kita. Di waktu kerja mahu berketawa, iaitu tidak serius dalam kerja. Di waktu rehat juga ketawa, semuanya mahu seronok dan ceria. Tiada masa yang perlu serius kerana ianya membebankan minda katanya lalu kerja pula tidak seproduktif mana. Orang lain pula, bila bekerja penuh tekun, hebat dan serius, tetapi bila tiba masa mereka bergembira, kerja mereka kebanyakannya produktif. Namun perlu ingat, tidak bererti tidak boleh ceria, kerana ianya juga sunnah Nabi kita, cuma masalahnya orang kita semua mahu ketawa dan ceria. Masalah juga.
Ketawa dan terus ketawa
Kesimpulannya, orang kita ini kebanyakannya malas-malas belaka. Masih mengharap bantuan orang, bantuan kerajaan, bantuan segala-gala bantuan. Malas untuk berusaha sendiri, malas untuk mencari peluang. Tetapi ramai juga yang melepasi cabaran ini menjadi individu yang hebat. Mereka melepasi cabaran ini dan mereka tampil mewakili orang kita dengan imej yang hebat. Itulah buktinya bahawa orang kita perlu lebih rajin dengan sebenar-benar rajin. Jangan mudah untuk merungut, jangan mudah untuk berputus asa. Hakikatnya, generasi kegemilangan orang kita pada era Kegemilangan Melayu Islam Melaka, kitalah pedagang hebat, memiliki kapal-kapal jualan dunia. Kitalah yang berjual beli, kitalah orang paling rajin kerana Islam yang membawa kita naik. Kitalah pakar berurus niaga. Tapi kini realitinya kita lemah dek ditindas oleh minda penjajahan dan sama sekali pula kita mahu identiti kita dilenyapkan dengan mengiyakan kita tiada bangsa. Kita rasa jijik bila disebut bangsa sedangkan kita tidak bersyukur Allah jugalah yag menjadikan kita bangsa itu dan Islam datang untuk mebangunkannya. Hari ini, bila disebut Melayu, kita tutup telinga. Ke manakah kita? Sedangkan Islam dan Melayu telah terbukti synergistic nya. Adakah kita mahu menidakkan bangsa dan identiti kita? Dan adakah kita hanya berjaya di akhirat sahaja? Sedangkan dalam doa harian kita meminta: Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Siapakah kita? Orang malas atau orang rajin?
Rajinlah Malaysia kita! Berkibarlah!
4 comments:
Aku pernah terbaca (entah kat mana entah, dah lupa) yang orang Melayu ni malas sebab pada zaman dahulu kala, majoriti orang Melayu petani... Dan tanah kat Malaya memang subur, jadi segala apa yang ditanam, mesti akan tumbuh. Jarang berlaku kebuluran. Akibatnya, mereka ada banyak masa lapang yang digunakan untuk bersuka-ria. Tak perlu nak fikir macam mana nak pertingkatkan diri. Itulah sebabnya sampai sekarang perangai malas berfikir tu melekat...
Tapi aku tak tahulah sama ada teori tu betul atau tak...
Possibly true. Sebab suasana luar mainkan peranan penting. Macam di Eropah ini suasananya mencabar, empat musim. Berubah-ubah maka mereka perlu lebih banyak berfikir untuk atasi masalah.
I like this article, as it is the thing that have been playing in my mind that I couldn't express as clearly. Orang kita memang banyak yang mentaliti "eloklah ada daripada tiada langsung". Contoh, bersyukurlah dapat kerja pun...orang lain susah payah nak cari kerja.. padahal kita yang mempunyai degree dan belajar bersungguh-sungguh dalam sesuatu bidang patutnya kena banyak lagi promote kepakaran diri. Kawan saya, dapat ijazah dalam Biology, tapi kerja pejabat jer. Memanglah susah nak cari kerja..tapi kita sendiri pun kena berusaha dalam mencari kerjaya yang kita betul2 nak. Kalau dalam bersaing di University pun sama... "ada orang lain result lagi teruk". Anyway, good write and hopefully more people can read this :)
Orang kita suka makan gaji dari bekerja sendiri. Fenomina ni pun dah dapat dilihat yang sikap malas dan tidak mahu berusaha sendiri serta mengharapkan orang lain atau bangsa lain yg berusaha untuk mendatangkan rezeki Allah kpd mereka. Lagi satu, org Melayu kalau sembang cukup pandai, mengalah kan menteri kabinet, tapi tindakan susulan atau pelaksanaan tiada.
Walau bagaimana pun, kecian kat org melayu yang lama ditindas oleh penjajahan dan yang paling malang sekarang ini org melayu ditindas secara tak langsung oleh segolongan pemimpin2 melayu sendiri yang berebut kuasa dan tamakkan harta dunia.
Post a Comment