Bioteknologi. Sekali imbas, ia hanyalah satu bidang biasa. Namun, pada hakikatnya bioteknologi merupakan salah satu bidang paling banyak memberikan impak kepada kemajuan manusia di seluruh dunia. Bahkan terdapat begitu banyak sekali sumbangan bioteknologi dalam kehidupan yang tidak pernah kita terfikir dan ambil tahu. Sebagai contoh, dunia kini bergantung kepada sumber makanan utama iaitu makan ruji seperti beras, gandum, jagung dan ubi-ubi. Sedar ataupun tidak sedar, bioteknologi telah meningkatkan kualiti pemakanan kita pada hari ini pada tahap di mana kita mampu memiliki tumbuh-tumbuhan yang mampu mengeluarkan hasil yang banyak, berkualiti tinggi, mempunyai daya tahan terhadap cuaca, angin, dan serangan serangga perosak. Bahkan, beras yang anda makan hari ini adalah beras yang telah melalui begitu banyak proses kacukan baka dan teknologi genetik.
Tambahan lagi, dunia kini diancam dengan berbagai-bagai jenis penyakit terutamanya disebabkan oleh mikroorganisma seperti virus, bacteria dan fungi. Contoh umum ialah terjadinya wabak pandemic H1N1 di seluruh dunia baru-baru ini. Kini kita mula memahami bagaimana mekanisme yang diperlukan untuk melawan penyakit seperti ini. Berbagai-bagai vaksin dikeluarkan untuk melindungi manusia dan ianya tidak lain tidak bukan melalui sebahagian ilmu bioteknologi. Bahkan banyak lagi contoh-contoh lain seperti penghasilan aspartame (pemanis tiruan) untuk diabetes, kit ujian kehamilan, kit ujian darah, kit ujian virus dan lain-lain, penghasilan makanan sihat seperti yogurt, penghasilan penyedap makanan (ajinomoto), bahan pencuci pakaian, penghasilan protein ubat-ubatan serta banyak sekali.
Secara ringkas, bioteknologi ialah satu bidang yang memerlukan seseorang itu memahami secara menyeluruh kefahaman cabang biologi seperti genetik, genomic, fisiologi, biologi sel, immunology, tumbuhan, haiwan, microbiology dan lain-lain. Dengan mengabungkan segala jenis disiplin yang ada, seorang ahli bioteknologi mampu menjana idea-idea yang menarik; menggunakan teknologi biologi yang ada seterusnya menghasilkan satu produk baru demi kebaikan bersama. Bahkan bioteknologi juga dianggap sebagai satu bidang untuk menjana kekayaan kerana mampu mempelopori keusahawanan dan bisnes.
Konsep bioteknologi telah lama wujud dalam masyarakat di dunia ini sejak zaman kuno dahulu. Manusia dilengkapi dengan pemikiran dan kebolehan berfikir dengan baik. Oleh itu, sejak dahulu lagi telah wujud 'bioteknologi' tapi fokusnya lebih kepada pemakanan, pertanian dan kemandirian hidup. Sebagai contoh, daging-daging yang diperoleh daripada pemburuan biasanya akan disimpan terlebih dahulu melalui proses peraman (fermentasi) untuk meningkatkan tempoh pakainya. Selain itu, wujud penghasilan arak dan alcohol secara meluas di pelusuk dunia. Namun kini, era bioteknologi berkembang dari konsep pertanian dan sara diri kepada era perindustrian dan komersialisasi. Kini, sesuautu produk itu perlu dipasarkan secara meluas kepada seluruh dunia. Jadi, wujud satu keperluan untuk memastikan ianya dapat dilakukan dengan skala besar dan efisyen. Contoh, satu-satu vaksin yang ditemui bukan sahaja perlu effektif dan selamat, tetapi ia juga perlu digandakan jumlah keluaran secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan dunia.
Dalam sebuah buku tulisan Richards W. Oliver yang bertajuk, The Biotech Age. Beliau membahaskan bahawa bioteknologi akan mendominasi dunia dalam masa beberapa tahun lagi. Beliau memberikan beberapa hujah yang menarik untuk difikirkan. Antaranya ialah dunia bermula dengan Era Agraria (pertanian), Era Perindustrian, Era Teknologi Maklumat (kini) dan sudah pasti akan diganti dengan satu era baru! Melalui dapatan kajian beliau, beliau medapati bahawa era teknologi maklumat sekarang sedang berada pada taham maksimun (plateau) dan menunggu masa untuk digantikan dengan era baru. Beliau menyebutkan era tersebut sebagai era 'Bioterial era' di mana manusia akan mula berfokus kepada teknologi alam semula jadi. Segala bahan-bahan ada berasaskan kepada sumber semula jadi yang mesra alam sekitar dan mapan. Dan ini dijana oleh satu bidang yang lain tidak bukan iaitu Bioteknologi!
Satu perbezaan ketara antara zaman kini berbanding pada zaman dahulu ialah munculnya syarikat-syarikat bioteknologi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini disebabkan oleh berbagai-bagai penemuan baru yang menjadi impetus kepada pencarian dan penghasilan produk bermutu tinggi. Sebagai contoh, teknologi 'recombinant DNA' serta 'recombinant protein' ternyata memberi peluang luas kepada jurutera genetik untuk menghasilkan berbagai-bagai produk bermutu tinggi dan membawa pulangan lumayan. Sebagai contoh, hari ini protein seperti insulin, hormone tidak lagi diambil dari sumber binatang tetapi dihasilkan oleh mikrob. DNA yang mempunyai maklumat sesuautu protein boleh diekstrak dan dimasukkan kedalam mikrob seterusnya dalam menghasilkan protein tersebut secara lambakan! Dan teknologi ini mula mendominasi dalam bidang perubatan dan biopharmceutical.
Penemuan-penemuan lain yang mesra alam seperti penciptaan microbial fuel (bateri janaan mikrob), penghasilan bioethanol dari cellulose, Bioremediation (rawat kawasan tercemar), Waste-water treatment plant (rawatan air) dan lain-lain. Paling giat kajian dijalankan ialah berkaitan dengan drug melawan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS, Heptstein Barr Virus diseases, penyakit kanser dan penyakit bawaan genetik. Proses kajian biasanya mengambil masa yang lama, namun ianya memberikan peluang yang luas kepada ahli-ahli bioteknologi untuk bergiat aktif.
Malaysia khususnya mempunyai peluang yang amat luas dalam bidang Bioteknologi. Hal ini disebabkan beberapa faktor utama seperti biodiversiti yang begitu luas, pengurusan sumber pertanian yang belum efisyen, penerokaan sumber hijau, tenaga sumber manusia yang makin meningkat, peluang komersialisasi dan bisnes yang tinggi, polisi kerajaan, serta penyelidikan yang berterusan. Namun, beberapa halangan masih wujud terutamanya kurangnya kesedaran umum, kurangnya elemen pendidikan yang menyeluruh, masih wujud peratusan buta huruf serta sains, kemiskinan tegar, serta sikap negatif masyarakat yang memandang remeh akan soal ilmu. Kemiskinan jika dilihat satu halangan bagi sudut bioteknologi, namun bioteknologi sebenarnya berperanan kuat dalam membangunkan taraf hidup masyarakat. Kemiskinan dan pertanian merupakan satu ikatan yang kuat namun dapat dibantu dengan wujudnya teknologi. Sebagai contoh, nelayan yang tidak mengaplikasikan kefahaman teknologi dalam tangkapannya tidak akan kaya tetapi seorang nelayan yang mempunyai ilmu mampu menjana pulangan yang sangat lumayan. Hari ini bioteknologi membolehkan konsep akuakultur dijalankan di mana-mana sahaja. Ini satu peluang yang sangat luas kepada pengusaha ikan air tawar mahupun masin.
Golongan-golongan yang terlibat dalam bidang bioteknologi sangat banyak. Ada di antara mereka adalah para saintis yang berterusan menjalankan kajian, para cendekiawan, para pensyarah, para usahawan moden, para petani moden, para kejuruteraan, para penyelidik kecil-kecilan, serta lain-lain. Masyarakat khususnya perlu diberi pendedahan yang luas akan bioteknologi. Murid-murid seharusnya diberi pendedahan agar mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu sains. Setiap masyarakat berperanan untuk merebut peluang yang ada serta mengaplikasikan segenap ilmu dalam kehidupan. Kerajaan perlu lebih proaktif dalam melaksanakan segala agenda pembangunan ilmu dan pembelajaran, dana-dana seharusnya diperuntukan dengan baik dan digunapakai secara berhemat dan cermat. Ibu bapa pula perlu juga proaktif memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak. Sains seharusnya tidak dipisahkan daripada agama (khususnya Islam) kerana sains dan Islam adalah sangat selari dan saling melengkapi.
Kesimpulannya, Bioteknologi adalah sebuah bidang yang mapan. Sebuah bidang yang menjanjikan satu pulangan yang lumayan untuk generasi akan datang. Walaupun timbul berbagai-bagai isu sampingan, namun kesan jangka panjang bioteknologi ada sangat baik. Bidang ini merupakan bidang yang telah lama wujud dan memerlukan kecekapan tinggi dalam mengaplikasikan cabang-cabang ilmu biologi dalam kehidupan. Usaha-usaha perlu dilakukan bagi menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah hub-bioteknologi pada masa hadapan. Generasi pelapis perlu sedar tanggungjawab yang ada bagi memakmurkan dunia yang kita miliki.
Ditulis oleh,
AMIN RUKANI MUSTAFA
Pelajar Tahun Terakhir Bioteknologi (Hons)
University of Edinburgh, UK.
Membangunkan Teknologi Hijau
4 comments:
assalamualaikum.. saya ingin bertanya pendapat anda tentang research berkaitan bioteknologi yang sesuai dijalankan dalam tempoh yang singkat iaitu lebih kurang 1 bulan.
assalamualaikum..saya pelajar matrik yang agak berminat dengan biotech..tapi betul ke peluang pekerjaan dalam bidang biotech masih kurang di malaysia?
saya lepasan spm...course apa yg saya perlu ambik? utk melanjutkan pelajaran dlm biotech?
thank you dr for your writing. it is really helpful and informative. i hope you can pray for my success in pursue biotech for my degree. Thank you again.
Post a Comment