Showing posts with label Peluang Bioteknologi. Show all posts
Showing posts with label Peluang Bioteknologi. Show all posts

Monday, September 11, 2023

Peluang Master Graduate Research Assistant (GRA) 2023

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya sedang mencari calon bagi MSc (by research mode) di UniMAP dalam bidang bioteknologi/mikrobiologi (seperti poster di bawah)

Wang bulanan akan diberikan sebanyak RM2000 (maksimum) selama tempoh dua bulan. 

Bagi yang berminat, mohon email atau hantar CV anda ke aminrukaini@unimap.edu.my

Sekian, terima kasih. 

Tarikh tutup permohonan: 24 September 2023




Tuesday, April 16, 2013

Siri I: Kenapa Bioteknologi?

Seringkali orang bertanyakan saya: "kenapa ambil Bioteknologi tak ambil medic?". Bila dengar soalan begini saya senyum. Senyum mengimbau bagaimana saya boleh membuat keputusan memilih bioteknologi. Ceritanya mudah. dari segi kelayakan semasa SPM, saya sememangya layak untuk mengambil jurusan bidang perubatan bahkan jurusan ini pernah menjadi salah satu cita-cita saya pada suatu masa dahulu. Bahkan saya dahulunya mempunyai tiga cita-cita iaitu menjadi seorang Chemical Engineer, doktor perubatan, dan ahli sainstis atau ahli fizik. Minat saya sangat mendalam terhadap bidang sains lahir sejak dari kecil lagi, maka saya amat berbelah bahagi dalam membuat keputusan ini, bahkan saya menyukai ketiga-ketiga bidang ini. Jadi kenapa saya membuat keputusan dengan Bioteknologi dan ada apa dengan Bioteknologi?

Jurusan Perubatan dan Trendnya
Tidak dinafikan bahawa seorang doktor pada umumnya dianggap sangat berprestij dalam profesionalisme. Sehinggakan semasa saya berada di MRSM langkawi, sebuah maktab yang bercirikan teras sains tulen (pure science), bila sahaja ditanya oleh guru-guru apa yang kamu mahu jadi? Maka majoritinya mahu menjadi ahli perubatan. Tetapi persepsi itu tidak bagi saya, saya lebih suka menganalisis fakta berbanding persepsi semata-mata. Faktanya negara kita sedang menghala ke arah negara maju, dan jumlah doktor kian meningkat dengan meningkatnya polisi kerajaan ke arah memperbanyak jumlah doktor di pasaran perubatan.  Dan bagi saya pula, hal ini mungkin satu faktor kecil yang membuatkan saya menoleh kepada bioteknologi, tetapi satu faktor besar lain ialah sikap diri sendiri yang suka mencuba dan berkeyakinan tinggi akan perkara yang telah dikaji rapi. Bagi saya, saya lebih melihat ke hadapan. Negara kita kaya dengan biodiversiti ataupun biokepelbagaian. Kita punyai banyak sumber yang Allah kurniakan, dengan hutan hujan yang begitu luas, dengan flora dan fauna yang bermacam-macam, namun satu perkara yang saya sedar sejak di MRSM ialah kita kurang daya sumber manusia bagi mengeksploitasi sumber ini dengan baik. Andai kata negara ini diserahkan kepada tangan Barat, pasti mereka sudah terokai habis-habisan dengan teknologi yang mereka miliki. Jadi, fikir di luar kotak persepsi, saya mengorak langkah, mengkaji bidang ini dan akhirnya membuat keputusan tetap untuk mengejar cita-cita ini sebagai seorang ahli sainstis atau ahli Bioteknologi.

*P/S: bukan mahu merendah-rendahkan kerjaya doktor, sekadar perkongsian pengalaman. i wish i could be all of them.

Before you walk and choose, anticipate it! With facts. Lot of facts.

Ada apa dengan Bioteknologi?
Pada awal mulanya setelah membuat keputusan untuk mengambil bidang ini dan telah pun ditawarkan untuk menyambung ijazah luar negara dalam bidang Bioteknologi, wujud soalan-soalan yang agak sukar saya perjelaskan kepada orang ramai akan apa itu Bioteknologi? Sukar bukan kerana saya tidak tahu tetapi sukar kerana persepsi masyarakat yang menyerong jauh dek mungkin kerana kurangnya ilmu dan pendedahan. Ditambah lagi sukar jika bersembang dengan makcik-makcik kampung yang tidak faham Sains secara amnya. Maka ada yang mengatakan Bioteknologi ini ibarat petani moden, ibarat seorang ahli kaji pokok, ibarat seorang ahli kaji makanan dan lain-lain. Saya terpaksa mengiyakan dengan sedikit pembetulan. Pada tahap mereka, kita terpaksa memudahkan bicara dan kadang-kadang terpaksa mengiyakan juga. Hakikatnya tidak begitu, seorang ahli bioteknologi bagi saya ialah seorang yang mempunyai gabungan ilmu biology yang luas, paling tidak memahami konsep asas segala lapangan ilmu yang wujud dalam Biologi baik dari aspek mikrobiologi, genetik, fisiologi haiwan dan tumbuhan, genomic, genes, molecular biology bahkan ilmunya merentasi beberapa aspek kejuruteraan serta fizik. Dengan kefahaman segenap disiplin-disiplin ilmu ini, beliau kemudiannya mencari sesuatu dari kesemua ilmu itu untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan manusia. Tugas yang agak berat, tapi itulah yang dilakukan oleh seorang ahli Bioteknologi. Setiap ilmu dan penemuan baru yang dikaji oleh ahli bioteknologi menjanjikan seribu peluang untuk aplikasi-aplikasi lain. 



Ada Contoh lagi Mudah?
Contoh lagi mudah? Hurm. Ok macam ini. saya ambil contoh yang saintifik sikit dan mudah difahami kerana ia dekat dengan kita. Kita tahu bahawa pesakit diabetes (kencing manis) memerlukan insulin untuk merendahkan tahap gula dalam darah, dan biasanya doktor akan menyuntik insulin tersebut kepada pesakit. Tetapi pernahkah anda ambil tahu dari mana datangnya insulin ini? Lebih kurang 40 tahun yang lalu, insulin diambil secara terus daripada haiwan setelah ditapis. Namun, proses ini sangat tidak effective dan tidak menghasilkan banyak insulin dalam sesuatu masa kerana kadar insulin yang dihasilkan oleh haiwan seperti lembu adalah sangat sedikit. Jadi, dengan adanya genetik modification, genes yang menghasilkan insulin ini telah diklon dan dimasukkan kepada bacteria. Disebabkan bacteria mampu membiak dengan laju, maka kadar penghasilan insulin adalah sangat besar dan mampu dijana secara mass production. Kesannya, para pesakit diabetes kini mampu dirawat dengan mudah dan lebih murah kosnya berbanding dahulu. Inilah yang dikatakan bioteknologi, menggunakan aplikasi teknologi yang ada untuk kegunaan manusia. Dalam contoh ini, teknologi yang dimaksudkan ialah genetic modification. Genetic modification merupakan satu teknologi alam ciptaan Allah yang sedia ada dalam bacteria, dan ianya dieksploitasikan oleh ahli bioteknologi untuk digunakan dalam menghasilkan pelbagai produk yang banyak membantu ke arah kebaikan manusia sejagat digabung dengan teknologi-teknologi lain.

Peluang Luas Ke?
Saya jika orang bertanyakan soalan ini, saya akan jawab: "Luas, awak rasa bumi ini ada luas ke tidak? Dalam bumi ini ada macam-macam jenis biological substances yang belum lagi diterokai. Jadi luaslah". Itu jawapan skema untuk membuat perumpamaan spektrum yang ada bagi bidang ini, selagi mana ada kehidupan (biological organism), selagi itulah bidang ini akan terus bernyawa. Dan untuk lebih mendalam, manusia dari dahulu tidak berputus asa mencari penemuan baru dan terus menerus mengkaji demi kebaikan mereka. Dan ini juga tugas seorang khalifah di muka bumi, menggunakan segala sumber yang Allah berikan kepada kita dengan baik. Ok, itu bab nak jawab secara umum, jika soalan tersebut berkisar tentang peluang pekerjaan, saya akan katakan ya juga. Kerana peluang pekerjaan ada di mana-mana dengan lahirnya terlalu banyak syarikat-syarikat Biotechnology. Jika ianya dimaksudkan peluang, maka perlulah ada orang yang merebutnya, apa yang saya mahu katakan ialah mestilah perlu berusaha mencari. Dan perlu lihat fakta daripada perspesi. Lihat di mana kekurangan dan di mana ada permintaan yang tinggi. Dan disiplin mana yang anda minat? Research-based? Academic? Industrial-based? Biopharmaceutical-based? Lihat keupayaan anda dan minat! Jika anda rasa anda tidak mahu bekerja dengan orang dan mahukan gaji lumayan, percayalah bidang Bioteknologi merupakan salah satu bidang yang menjana kekayaan, maka pilihlah usahawan muda Bioteknologi - pasti jalan ini lebih jauh terkehadapan tetapi sudah tentu punyai risiko yang tersendiri. 

"Selagi mana ada DNA (kehidupan), selagi itu peluang Bioteknologi masih ada."- AminRox-


Pengalaman Sendiri Setakat Ini
Alhamdulillah, saya mampu katakan bidang ini amat kena dengan personaliti diri saya yang suka mengkaji. Ianya satu bidang yang lebih fleksibel dalam erti kata, jika anda ada idea gempak, nampak peluang dan potensi sesuatu perkara, anda boleh pergi jauh ke hadapan - ianya memerlukan imaginasi dan pelaksanaan. Satu perkara yang perlu anda tahu, Bioteknologi merupakan bidang core ataupun engine kepada banyak bidang perubatan yang ada sekarang. Kebanyakan aplikasi dari peringkat penemuan ubat-ubatan (protein based) kepada tahap klinikal, boleh dikatakan hampir 70 peratus adalah disumbangkan oleh bioteknologi dan peranan doktor hanyalah menggunakannya dengan baik kepada pesakit. Dan kajian mendalam terhadap sesuautu penemuan baru itu dimainkan oleh ahli-ahli sainstis dari berbagai-bagai lapisan latar belakang ilmu. Jika anda benar-benar berminat dalam lapangan ilmu sains biologi, bidang ini sangat menjanjikan kepuasan ilmu serta eksploitasinya. Orang kata bidang ini hanya di Lab sahaja. Mungkin juga jika anda sedang dalam project ataupun anda memilih untuk membuat research-based. Tetapi realitnya lebih dari itu. Ianya bergantung kepada pilihan yang anda buat. 

Bersambung..
InshaAllah saya akan sambung dengan Siri II dan seterusnya, menjelaskan beberapa idea dan produk-produk menarik yang mampu dijana dari bidang Bioteknologi. Antara yang bakal saya jelaskan ialah: Microbial Fuel cells (sel bateri dari mikroorganisma), Monosodium Glutamate (MSG) production, Biofuel, Antibiotik dan kesannya, Biosensor, serta lain-lain. Saya juga akan cuba menerangkan beberapa idea yang mungkin amat menarik untuk difikirkan untuk tatapan umum dan juga perkara-perkara yang mungkin tidak pernah terfikir yang ada dalam kehidupan biologi. 





Friday, October 5, 2012

Bioteknologi & Anda



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sidang pembaca. Acap kali saya ingin menulis akan tajuk ini, banyak sekali halangan yang tiba. Tapi saya tetap terpanggil juga untuk menulis tajuk ini kerana saya yakin ramai adik-adik dan orang ramai di luar sana ingin tahu apakah itu sebenarnya bioteknologi. Juga bagi rakan-rakan yang lebih muda dari saya yang dalam preparation programm seperti IB, A-Ievel dan sebagainya, mereka sudah pasti ingin tahu dengan lebih lanjut soal ini. Di sini saya juga ingin merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT, tiada tuhan melainkan Dia yang hanya layak disembah kerana memberikan saya peluang melanjutkan pelajaran pada tahap ini. Alhamdulillah dan perjalanan ini masih jauh untuk diterokai.

Bioteknologi. Sekali imbas, ia hanyalah satu bidang biasa. Namun, pada hakikatnya bioteknologi merupakan salah satu bidang paling banyak memberikan impak kepada kemajuan manusia di seluruh dunia. Bahkan terdapat begitu banyak sekali sumbangan bioteknologi dalam kehidupan yang tidak pernah kita terfikir dan ambil tahu. Sebagai contoh, dunia kini bergantung kepada sumber makanan utama iaitu makan ruji seperti beras, gandum, jagung dan ubi-ubi. Sedar ataupun tidak sedar, bioteknologi telah meningkatkan kualiti pemakanan kita pada hari ini pada tahap di mana kita mampu memiliki tumbuh-tumbuhan yang mampu mengeluarkan hasil yang banyak, berkualiti tinggi, mempunyai daya tahan terhadap cuaca, angin, dan serangan serangga perosak. Bahkan, beras yang anda makan hari ini adalah beras yang telah melalui begitu banyak proses kacukan baka dan teknologi genetik.

Tambahan lagi, dunia kini diancam dengan berbagai-bagai jenis penyakit terutamanya disebabkan oleh mikroorganisma seperti virus, bacteria dan fungi. Contoh umum ialah terjadinya wabak pandemic H1N1 di seluruh dunia baru-baru ini. Kini kita mula memahami bagaimana mekanisme yang diperlukan untuk melawan penyakit seperti ini. Berbagai-bagai vaksin dikeluarkan untuk melindungi manusia dan ianya tidak lain tidak bukan melalui sebahagian ilmu bioteknologi. Bahkan banyak lagi contoh-contoh lain seperti penghasilan aspartame (pemanis tiruan) untuk diabetes, kit ujian kehamilan, kit ujian darah, kit ujian virus dan lain-lain, penghasilan makanan sihat seperti yogurt, penghasilan penyedap makanan (ajinomoto), bahan pencuci pakaian, penghasilan protein ubat-ubatan serta banyak sekali.

Secara ringkas, bioteknologi ialah satu bidang yang memerlukan seseorang itu memahami secara menyeluruh kefahaman cabang biologi seperti genetik, genomic, fisiologi, biologi sel, immunology, tumbuhan, haiwan, microbiology dan lain-lain. Dengan mengabungkan segala jenis disiplin yang ada, seorang ahli bioteknologi mampu menjana idea-idea yang menarik; menggunakan teknologi biologi yang ada seterusnya menghasilkan satu produk baru demi kebaikan bersama. Bahkan bioteknologi juga dianggap sebagai satu bidang untuk menjana kekayaan kerana mampu mempelopori keusahawanan dan bisnes.

Konsep bioteknologi telah lama wujud dalam masyarakat di dunia ini sejak zaman kuno dahulu. Manusia dilengkapi dengan pemikiran dan kebolehan berfikir dengan baik. Oleh itu, sejak dahulu lagi telah wujud 'bioteknologi' tapi fokusnya lebih kepada pemakanan, pertanian dan kemandirian hidup. Sebagai contoh, daging-daging yang diperoleh daripada pemburuan biasanya akan disimpan terlebih dahulu melalui proses peraman (fermentasi) untuk meningkatkan tempoh pakainya. Selain itu, wujud penghasilan arak dan alcohol secara meluas di pelusuk dunia. Namun kini, era bioteknologi berkembang dari konsep pertanian dan sara diri kepada era perindustrian dan komersialisasi. Kini, sesuautu produk itu perlu dipasarkan secara meluas kepada seluruh dunia. Jadi, wujud satu keperluan untuk memastikan ianya dapat dilakukan dengan skala besar dan efisyen. Contoh, satu-satu vaksin yang ditemui bukan sahaja perlu effektif dan selamat, tetapi ia juga perlu digandakan jumlah keluaran secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan dunia.

Dalam sebuah buku tulisan Richards W. Oliver yang bertajuk, The Biotech Age. Beliau membahaskan bahawa bioteknologi akan mendominasi dunia dalam masa beberapa tahun lagi. Beliau memberikan beberapa hujah yang menarik untuk difikirkan. Antaranya ialah dunia bermula dengan Era Agraria (pertanian), Era Perindustrian, Era Teknologi Maklumat (kini) dan sudah pasti akan diganti dengan satu era baru! Melalui dapatan kajian beliau, beliau medapati bahawa era teknologi maklumat sekarang sedang berada pada taham maksimun (plateau) dan menunggu masa untuk digantikan dengan era baru. Beliau menyebutkan era tersebut sebagai era 'Bioterial era' di mana manusia akan mula berfokus kepada teknologi alam semula jadi. Segala bahan-bahan ada berasaskan kepada sumber semula jadi yang mesra alam sekitar dan mapan. Dan ini dijana oleh satu bidang yang lain tidak bukan iaitu Bioteknologi!

Satu perbezaan ketara antara zaman kini berbanding pada zaman dahulu ialah munculnya syarikat-syarikat bioteknologi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini disebabkan oleh berbagai-bagai penemuan baru yang menjadi impetus kepada pencarian dan penghasilan produk bermutu tinggi. Sebagai contoh, teknologi 'recombinant DNA' serta 'recombinant protein' ternyata memberi peluang luas kepada jurutera genetik untuk menghasilkan berbagai-bagai produk bermutu tinggi dan membawa pulangan lumayan. Sebagai contoh, hari ini protein seperti insulin, hormone tidak lagi diambil dari sumber binatang tetapi dihasilkan oleh mikrob. DNA yang mempunyai maklumat sesuautu protein boleh diekstrak dan dimasukkan kedalam mikrob seterusnya dalam menghasilkan protein tersebut secara lambakan! Dan teknologi ini mula mendominasi dalam bidang perubatan dan biopharmceutical.

Penemuan-penemuan lain yang mesra alam seperti penciptaan microbial fuel (bateri janaan mikrob), penghasilan bioethanol dari cellulose, Bioremediation (rawat kawasan tercemar), Waste-water treatment plant (rawatan air) dan lain-lain. Paling giat kajian dijalankan ialah berkaitan dengan drug melawan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS, Heptstein Barr Virus diseases, penyakit kanser dan penyakit bawaan genetik. Proses kajian biasanya mengambil masa yang lama, namun ianya memberikan peluang yang luas kepada ahli-ahli bioteknologi untuk bergiat aktif.

Malaysia khususnya mempunyai peluang yang amat luas dalam bidang Bioteknologi. Hal ini disebabkan beberapa faktor utama seperti biodiversiti yang begitu luas, pengurusan sumber pertanian yang belum efisyen, penerokaan sumber hijau, tenaga sumber manusia yang makin meningkat, peluang komersialisasi dan bisnes yang tinggi, polisi kerajaan, serta penyelidikan yang berterusan. Namun, beberapa halangan masih wujud terutamanya kurangnya kesedaran umum, kurangnya elemen pendidikan yang menyeluruh, masih wujud peratusan buta huruf serta sains, kemiskinan tegar, serta sikap negatif masyarakat yang memandang remeh akan soal ilmu. Kemiskinan jika dilihat satu halangan bagi sudut bioteknologi, namun bioteknologi sebenarnya berperanan kuat dalam membangunkan taraf hidup masyarakat. Kemiskinan dan pertanian merupakan satu ikatan yang kuat namun dapat dibantu dengan wujudnya teknologi. Sebagai contoh, nelayan yang tidak mengaplikasikan kefahaman teknologi dalam tangkapannya tidak akan kaya tetapi seorang nelayan yang mempunyai ilmu mampu menjana pulangan yang sangat lumayan. Hari ini bioteknologi membolehkan konsep akuakultur dijalankan di mana-mana sahaja. Ini satu peluang yang sangat luas kepada pengusaha ikan air tawar mahupun masin.

Golongan-golongan yang terlibat dalam bidang bioteknologi sangat banyak. Ada di antara mereka adalah para saintis yang berterusan menjalankan kajian, para cendekiawan, para pensyarah, para usahawan moden, para petani moden, para kejuruteraan, para penyelidik kecil-kecilan, serta lain-lain. Masyarakat khususnya perlu diberi pendedahan yang luas akan bioteknologi. Murid-murid seharusnya diberi pendedahan agar mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu sains. Setiap masyarakat berperanan untuk merebut peluang yang ada serta mengaplikasikan segenap ilmu dalam kehidupan. Kerajaan perlu lebih proaktif dalam melaksanakan segala agenda pembangunan ilmu dan pembelajaran, dana-dana seharusnya diperuntukan dengan baik dan digunapakai secara berhemat dan cermat. Ibu bapa pula perlu juga proaktif memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak. Sains seharusnya tidak dipisahkan daripada agama (khususnya Islam) kerana sains dan Islam adalah sangat selari dan saling melengkapi.

Kesimpulannya, Bioteknologi adalah sebuah bidang yang mapan. Sebuah bidang yang menjanjikan satu pulangan yang lumayan untuk generasi akan datang. Walaupun timbul berbagai-bagai isu sampingan, namun kesan jangka panjang bioteknologi ada sangat baik. Bidang ini merupakan bidang yang telah lama wujud dan memerlukan kecekapan tinggi dalam mengaplikasikan cabang-cabang ilmu biologi dalam kehidupan. Usaha-usaha perlu dilakukan bagi menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah hub-bioteknologi pada masa hadapan. Generasi pelapis perlu sedar tanggungjawab yang ada bagi memakmurkan dunia yang kita miliki.


Ditulis oleh,
AMIN RUKANI MUSTAFA
Pelajar Tahun Terakhir Bioteknologi (Hons)
University of Edinburgh, UK.

Membangunkan Teknologi Hijau