Monday, July 23, 2012

Berbezanya Kita Untuk Bersama



(gambar paling famous bila orang dah berkahwin, sengaja diletak awal untuk dijadikan main thumbnail
:P






"Bro dengar kata dah nak kahwin?"

"Haah nak kahwin la bila tiba masanya nanti"

"Cliche jer jawapan hang! Memang la semua orang nak kahwin tapi bila?"

"Bila? itu rahsia! InsyaAllah bila tiba masanya aku akan beritahu, tunggulah invitation di Facebook!"

"Amboi, mentang-mentang la semua dah ada facebook kan. Tadak, aku nak surat walimah jugak!"

"Ya la, ya lah.. =__= " 

Kerenah Yang Berbeza
Penat kita melayan kerenah kawan-kawan kita. Ada yang jenis pelawak (kelakar), ada yang jenis serius (senyum pun tak mahu), ada juga yang jenis emotional dan ada yang jenis pendiam (berfikir panjang agaknya). Semuanya mempunyai kerenah masing-masing. Sedarkah kita bahawa setelah dilahirkan dan dibesarkan oleh kedua ibu bapa kita, setiap individu kita mempunyai perbezaan tingkah laku yang berbeza sama sekali. Sedangkan adik-beradik sesama sendiri adalah sangat berbeza, masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza antara satu sama lain. Topik inilah yang saya ingin perkatakan dalam kesempatan menulis ini. Namun, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah perkaitan dengan sketsa dialog di atas? Jawapannya akan anda temui setelah mengikuti penulisan ringkas saya ini. Sekadar membicarakan setinta ilmu dan perkongsian dengan kalian semua. Mungkin benar mungkin tidak. Anda berhak membuat kata putus kerana anda adalah insan. Ikutilah.

Teori Tarikan Magnet
Berbezanya kita daripada sudut perwatakan adalah lumrah kehidupan. Unik dan menonjol. Itulah dua frasa adjective ringkas untuk ungkapkan perbezaan kita. Namun adakah perbezaan ini merupakan perbezaan yang ketara? Sejauhmanakah perbezaan ini merapatkan kita? Hakikat 'teori tarikan (ataupun penarikan) ' adalah apabila dua bahagian itu mempunyai karakter yang berbeza. Contoh ringkas ialah magnet. Magnet punyai kutub utara dan kutub selatan; berbezanya kedua-dua ini mewujudkan satu daya tarikan yang kuat. Maka begitu jualah hakikat 'teori tarikan' kepada manusia. Seorang insan yang lahir ke dunia ini turut mempunyai tarikan terhadap individu yang berbeza. Dan dari situ jualah Allah jadikan setiap makhluk ini berpasang-pasangan. Allah jadikan Hawa kepada Adam sedangkan Adam masih berada di Syurga. Jadi adakah Adam tidak bersyukur dengan nikmat Syurga Allah? Tidak sama sekali, Allah menciptakan Hawa kerana naluri Adam memerlukan pasangan yang berbeza dan itulah Sunnatullah penciptaan Allah SWT.

Magnet yang berbeza kutub saling menarik antara satu sama lain.

Persediaan Perkahwinan
Saya percaya subtajuk ini bakal mengundang kontreversi. Chillax (chill + relax), baca jer. Perbezaan yang ada membentuk kebersamaan. Baru-baru ini saya telah berkesempatan menelaah beberapa buah buku berkenaan berbezanya lelaki dan perempuan. Dan acapkali pun kita seringkali terserempak dengan fakta-fakta menarik akan keperihalan berbezanya dua jantina ini. Bahkan dalam sebuah buku karya tersohor daripada John Gray seorang kounselor terkenal Amerika yang menulis tentang 'Men are from Mars Women From Venus' telah banyak memberi kita banyak fakta menarik akan perbezaan lelaki dan perempuan. Bagi mereka yang telah, bakal dan akan memasuki alam perkahwinan; saya berani percaya bahawasanya golongan inilah paling ramai berminat untuk membaca buku-buku seperti itu. Paling tidak pun telah membeli buku tersebut atas rekemen orang-orang tertentu. Hal ini kerana persediaan yang mencukupi sudah pasti akan banyak membantu tatkala sudah mendirikan rumah tangga. (akhirnya penulisan saya menjadi sangat MATANG juga). Selain membaca buku penulisan J. Gray tersebut, saya juga telah menelaah buku karya Michael & Hilary Perrot bertajuk 'The Highway Code for Marriage'. Menariknya buku tersebut adalah disebabkan content ataupun isi kandungannya yang cukup jitu, padat dan ringkas seolah-olah buku rujukan untuk mengambil exam lesen kereta. Sangat mudah dan praktikal; rumusan alternatif kepada buku karya J. Gray yang agak panjang untuk dijadikan bahan bacaaan. InsyaAllah akan saya cuba kongsikan sedaya mampu.

Berkahwin bukan sekadar menyarungkan cincin.


Berbezanya Kita Untuk Bersama

          'BERBEZANYA KITA UNTUK BERSAMA'

Sesetengah para pembaca akan memahami frasa ayat tersebut sebagai 'kita adalah berbeza sama sekali; jadi sukar untuk kita bersama'. Dan ini adalah tafsiran mereka yang pesimis dalam kehidupan dan seringkali berpandangan negatif akan setiap tindakan yang akan diambil. Manakala mereka yang berfikiran positif dan optimistik mungkin membaca dengan nada dan kefahaman sebegini: 'Berbezanya kita; (adalah) untuk bersama'.

Siapakah Anda Kepada Anda?
Jika bertanyakan soalan di manakah posisi anda dalam kes di atas? Apakah jawapannya? Situasi tersebut samalah seperti teori Gelas: Separuh Penuh atau Separuh Kosong yang pernah saya nukilkan seketika dahulu. Semuanya bergantung kepada persepsi anda dan juga tafsiran anda. Tetapi kita meraikan perbezaan ini walaupun kadang-kadang ianya merupakan sikap yang tidak baik. Namun sekiranya diadaptasikan dengan baik, saya yakin dan percaya ianya mampu menjadikan diri anda sebagai seorang berkeyakinan tinggi. Penulis buku 'Mastering A Healthy Self Image', iaitu Darrel Knoch dalam buku tersebut menggariskan bahawa seseorang individu itu dapat membangunkan 'self-esteem' ataupun kepercayaan diri dengan selalu menjadikan perkara-perkara positif sebagai satu elemen penting dalam kehidupan. Sebagai contoh, D. Knoch menyarankan para pembaca agar selalu menggunakan imaginasi dan kata-kata 'affirmation' (penegasan) ditambah lagi dengan 'setting up clear goal' (menyediakan sasaran yang jelas) untuk menjadikan diri kita benar-benar berkeyakinan tinggi dalam hidup ini. Bahkan beliau turut menyarankan agar kita sentiasa senyum setiap hari secara rela ataupun paksa. Hal ini kerana dengan senyum secara paksa atau rela, lama-kelamaan kita akan melihat dunia ini dengan lebih positif disebabkan senyuman tersebut. Cubalah! Cubalah senyum walaupun anda bersendirian, anda akan sedar diri anda amat berharga dengan sekuntum senyuman tersebut. :)


Senyumlah anda pasti melihat satu perubahan pada diri anda!


Berbezakah kita?
Bagi yang jarang sekali mengambil tahu soal ilmu perbezaan psikologi jantina; yang anda tahu hanyalah dunia jantina anda, ini mungkin menjadi satu titik tolak untuk anda bermula. Umumnya mengetahui, Allah ciptakan manusia itu berpasang-pasangan lelaki dan perempuan dan kedua-dua insan ini adalah sangat berbeza satu sama lain. Dari sudut pandangan ahli genetik, lelaki terhasil daripada kromosom XY manakala perempuan pula daripada kromosom XX. Dan jika ingin diceritakan dari sudut genetik, panjang lebar boleh saya ceritakan namun cukuplah sekadar makluman ringkas. Bukan sahaja dari sudut genetik berbeza bahkan banyak lagi perbezaan seperti dari aspek fizikal, mental dan fisiologi. Bahkan di dalam Islam sekalipun, Allah menurunkan syariat yang selari dan meraikan perbezaan tersebut. Sebagai contoh, adanya pengecualian kepada perempuan yang uzur disebabkan kitaran haid, kehamilan dan lain-lain lagi. Semua ini membuktikan bahawa kita sangat berbeza. Dan yang paling utama yang ingin saya tekankan ialah kita amat berbeza daripada sudut pemikiran dan psikologi. Inilah yang akan saya bicarakan serba sedikit mengupas daripada beberapa buah buku yang sempat saya hadamkan pada cuti summer ini.



CAREFUL 
'Careful', mungkin terjemahan Bahasa Malaysia ialah berhati-hati. Tetapi perkataan tersebut sangat berharga dalam buku tulisan Michael & Hilary Perrot yang mengisarkan kod-kod penting dalam 'lebuhraya sebuah rumah tangga'. Acapkali dari segi pemerhatian dan pembacaan saya (walaupun ianya satu persepsi), ramai pasangan mempunyai masalah yang hampir sama di awal-awal perkahwinan memandangkan proses taaruf (berkenalan) itu tidak dilandaskan kepada ilmu dan tauladan. Kebanyakannya hanya main 'redah' mengikut gaya dan stail masing-masing. Michael & H. Perrot menyatakan bahawa kebanyakan pasangan seringkali bergantung kuat kepada pengalaman yang dilalui oleh kedua ibu-bapa mereka. Dan bagi yang pernah melalui kehidupan kekeluargaan yang penuh trauma, maka impaknya adalah sangat besar dalam hidup mereka semasa berpasangan. Bahkan lagi, ada pula yang berani sekali menggunakan prinsip 'trial and error'. Maka pada hemat saya, penggunaan akronim CAREFUL yang digunakan oleh penulis sebenarnya mempunyai maksud 2 dalam 1; pertama berhati-hatilah dan kedua ialah maksud akronimnya yang akan saya kongsikan di sini.  Berhati-hati bererti kita bersedia dalam menghadapinya dalam situasi-situasi tertentu.


Berhati-hatilah ketika melintas [gambar hiasan]




Mengapa Perlu Bongkar The Davinci Code (The marriage code)?
Subheader yang membingungkan.Sebenarnya ianya bukanlah satu pembongkaran pun tetapi mungkin satu peringatan dan naseehah ataupun tazkeerah. Dalam soal ini saya suka guna frasa naseehah dan tazkeerah kerana ianya mengingatkan kita akan tanggungjawab seorang Muslim terhadap diri, isteri dan keluarga. Hal ini ditekankan oleh penulis The Ideal Muslim dan juga The Ideal Muslimah, iaitu Dr. Muhammad Ali Al-Hashimi berkenaan sifat-sifat umum yang sepatutnya wujud dalam seseorang individu Muslim. Beliau menyatakan bahawa pada era kini, seorang Muslim hanya dilihat sebagai ahli ibadah pada siang hari dan malam hari serta berpakaian compang-campin berbau busuk. Sedangkan nilai seorang Muslim sebenar itu sangat syumul yang melibatkan berbagai-bagai aspek kehidupan seperti hubungan dengan Allah, Rasullullah, diri sendiri, isteri, anak-anak, keluarga,masyarakat dan negara. Semua ini adalah menyeluruh pada skop di mana seorang individu Muslim itu melaksanakan semua tanggungjawab tersebut secara total dan sempurna. Namun, malang sekali hari ini bila mana seorang individu muslim yang ideal itu hanya dilihat dari sudut ibadat sahaja. Dan dalam hal kekeluargaan dan bersama isteri Rasulullah SAW merupakan contoh tauladan paling mulia dan baik untuk kita contohi. Bahkan Rasulullah merupakan seorang role model sebagai individu Muslim yang ideal. Sebagai contoh, akhlak terbaik dalam melayani kerenah isteri ialah Rasulullah sendiri. Dalam sebuah hadis: "Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat at-Tirmizi). Rasulullah SAW juga mempamerkan kefahaman ilmu psikolgi yang sangat hebat untuk kita contohi dalam kehidupan seharian baginda. Contohnya, dalam berurusan dengan orang ramai, Baginda melayani setiap kerenah para sahabat dengan begitu hikmah bahkan melayani mengikut jenis orang-orang yang Baginda jumpai. Pernah sekali baginda disergah atau disapa oleh seorang yang bersuara keras dan lantang; mendengarkan tingkah laku orang tersebut yang kurang ajar terhadap Rasulullah, para sahabat mula berang dengan tindakan tersebut. Namun, Rasulullah membalas kembali dengan jawapan yang cukup lantang juga. Di situ jelas kepada kita betapa pentingnya ilmu psikologi dalam menghadapi kehidupan harian terutama sekali dalam lapangan dakwah. Jadi, jelaslah bahawa 'The Marriage Code' ini perlu juga kita bongkar kerana ianya sebuah hikmah/ilmu yang hilang dari ummat Islam


The Highway Code for Marriage [gambar hiasan]




Terbongkarnya 'The Marriage Code'
Dalam buku tulisan Michael & H. Perrot seperti yang saya maklumkan sebelum ini, penulisan meletakkan akronim CAREFUL sebagai satu frasa yang penting. Hal ini kerana akronim tersebut bakal membicarakan isu-isu pokok dan juga perkara cabangnya. CAREFUL bererti:


C - Communication (komunikasi)
A - Affection (Tarikan)
R - Respect (Penghormatan)
E - Encouragement (Galakan)
F - Forgiveness (Kemaafan)
U - Unselfishness (Tidak pentingkan diri)
L - Loyalty (Kesetiaan)

Tujuh perkara pokok diletakkan sebagai subtopik utama yang dibacakan oleh penulis, iaitu Komunikasi, Tarikan, Penghormatan, Galakan, Kemaafan, Tidak pentingkan diri, dan Kesetiaan. Saya akan cuba mengupas ketujuh-tujuh topik ini secara ringkas untuk mereka yang benar-benar ingin memahami. Namun saya tidak berniat untuk menulis secara berterusan dalam satu entri kerana adalah sangat panjang untuk mengumpulkan semuanya sekali. Apa yang boleh saya buat ialah memecahkan kesemua tersebut kepada beberapa entri agar lebih terfokus. Dan saya jugak tidak akan membahaskan dengan menggunakan buku 100% tetapi cuba menggunakan gaya yang tersendiri menggabungkan berbagai-bagai latar belakang disiplin dan cuba memfokuskan kepad isu yang penting sahaja. 

Code #1: Communication
Komunikasi adalah aset paling penting bagi kita. Komunikasi antara dua orang pasangan adalah untuk memastikan dua pihak itu saling memahami antara satu sama lain. Dan falsafah berkomunikasi adalah untuk memahamkan dan difahami. (to understand and to be understood). Ianya penting dalam menyampai hasrat dalam kita kepada dalam orang lain. Penulis buku tersebut terlebih dahulu menyatakan beberapa halangan yang menghalang effective communication yang seringkali terjadi dalam kehidupan seharian kita. Antaranya ialah:

1. Ketakutan untuk memberi pendapat dan berkongsi perasaan
2. Jenis yang suka ketenangan (tidak mahu langsung konflik)
3. Kritisme yang melampaui batas (sakit hati jer bila sembang)
4. Televisyen. Ya, televisyen sangat mengganggu konsentrasi.
5. Kesibukan. Mungkin asyik sibuk baca surat khabar atau kerja jer.
6. Terlalu banyak bercakap menyebabkan pasangan fed up untuk mendengar.
7. Pengalaman lalu yang mengecewakan.

To understand and to be understood

TIPS KOMUNIKASI EFEKTIF
Antara tips komunikasi efektif yang boleh dipraktiskan ialah:

1. Memberi prioriti kepada yang lebih prioriti. Contoh: Tutup terus handphone bila mahu bersembang, ianya sangat dihargai oleh pasangan anda jika dia tahu prioriti anda. Berilah masa untuk bersama.
2. Kuatkan azam. Kadang-kadang bila terasa letih, sangat susah untuk kita meluangkan masa, jadi kuatkan azam untuk waktu tersebut.
3. Tanya soalan. Ya tanya memberi makna anda prihatin terhadap pasangan anda. Tanyalah walaupun ringkas dan tidak bermakna bagi anda tapi amat bermakna bagi pasangan anda. Contoh: "Bagaimana dengan pekerjaan awak hari ini? Any progress?"
4. Berkongsi makanan. Ini bukan sahaja effective tapi sangat romantik untuk dipraktis.
5. Berkongsi minat. Cuba mencari minat yang sama. Kalau suka berkebun, berkebunlah di taman rumah bersama-sama. Ianya memberi aura yang kuat akan erti kebersamaan.
6. Berkongsi perasaan. Cara lelaki bersembang biasanya adalah bahasa yang direct dan practical, tapi untuk mendekati pasangan mereka memerlukan keazaman yang kuat untuk menukar gaya bahasa yang membincangkan akan perasaan; itulah bahasa perempuan!
7. Pergi solat bersama. (dalam buku tersebut penulis menggunakan gereja kerana beliau beragama Kristian; bagi kita pula saya rasa masjid sangat praktikal walaupun disunatkan perempuan solat di rumah)
8. Bersiar-siar bersama. Ambil waktu sebulan sekali paling kurang untuk bersiar-siar. Ingat jika sudah mempunyai anak-anak, tinggalkan! (maksud bukan biar keseorangan tapi tinggalkan kepada penjaga ataupun baby-sitter). Gunakan waktu tersebut untuk mengenangkan memori dahulu.

TIPS MENYELESAIKAN KETIDAKFAHAMAN
Namun kadang-kadang ketidakfahaman antara satu sama lain mungkin akan berlaku. Dalam hal ini penulis buku tersebut memberi beberapa cadangan dalam menyelesaikan ketidakfahaman tersebut dengan cara yang berhikmah. Antaranya:

1. Terbuka dalam berkongsi apa yang kita fikirkan terhadap sesuatu keadaan. Jangan simpan di dalam hati.
2. Berlemah lembut dalam menyatakan ketidakpuasan hati tersebut.
3. Berbincang secara tertutup bukan di khalayak ramai. Pilih tempat yang sesuai.
4. Pilih nada tona suara yang rendah. Ianya membantu mengawal perasaan kita dan pasangan.
5. Sentiasa jujur dalam menyatakan pendapat tetapi awasilah penggunaan ayat, kurang penggunaan ayat yang menuduh-nuduh (blaming). Contoh: "Awaklah penyebabnya!" tetapi gunalah ayat seperti ini "Secara jujurnya saya rasa awak yang salah tapi saya lihat saya juga terlibat sekali, maafkan saya". :)
6. Dengan penuh kasih sayang. Bersembang dengan mesra dan pastikan muka anda mengadap mukanya bertentangan satu sama lain.
7. Secara praktikalnya pilihlah waktu yang sesuai, waktu yang dia tidak letih dan sibuk. Jika anda rasa sudah tidak mampu mengawal situasi, ajak pasangan anda lupakannya ia seketika, pilih di lain waktu untuk membincangkannya.
8. Dengan penuh kesedaran cuba bincangkan sama ada berbaloi atau tidak berbaloi untuk bertelagah hal tersebut. Contoh: "awak berbaloikah kita bertelagah?" Persoalan seperti ini menyedarkan kembali pasangan anda bahawa apa tujuan sebenar perkahwinan. Dan besar kemungkinan dia pun akan tersenyum dan tergelak bersama-sama.

TIPS MENJADI PENDENGAR YANG BAIK
Menjadi pendengar yang baik adalah sangat penting dalam rumah tangga. Jadi, adakah anda selama ini pendengar yang baik? Tips-tips menjadi pendengar yang baik yang perlu diambil berat ialah:

1. Ke manakah arah mata anda? 
Hal ini adalah sangat penting memandangkan pandangan mata anda memberi impak yang besar dalam aspek komunikasi. Adakah anda melihat surat khabar ketika pasangan anda 'mengomel-ngomel'? Awas! Ini tabiat buruk. Lihatlah dan pandangan matanya ataupun telinganya. Fokus kepada kata-katanya tapi janganlah berbuat demikian semasa anda memandu!

2. Apa yang anda sedang berfikir?
 Si dia mengharapkan sesuatu respond daripada anda selepas di bercakap, jadi teruskan berfikir untuk memberi respond.

3. Cuba tafsirkan perasaan di sebalik baris perkataan yang dilontarkan kerana boleh jadi satu perkataan itu melambangkan emosi dan perasaannya. Sebagai contoh: Si dia berkata: "Saya dah dapat kerja" jangan pula anda mengganguk-ngangguk sahaja. Jika anda faham ianya satu perasaan kegembiraan dan dia mahukan respond kegembiraan, paling tidak ucapkanlah tahniah kepadanya.

4. Apa yang anda buat jika anda tidak faham maksud pasangan anda? 
Jangan segan untuk bertanya pasangan anda: "Apa yang awak maksudkan?". Jangan cuba anggap bahawa anda adalah pendengar professional, tetapi memadailah dengan cuba mengambil tahu apa yang ingin disampaikannya.


Kita diberi dua telinga satu mulut kerana kitaperlu banyak berdiam tapi banyak mendengar

TIGA PERKARA 'JANGAN LAKUKAN' SEMASA MENDENGAR:

1. Jangan mengganggu percakapan. Gangguan semasa si dia bercakap adalah satu perkara yang mengecewakan. Jadi cubalah mendengar terlebih dahulu apa yang ingin disampaikannya.
2. Jangan menamatkan cerita semudah drama cerita. Sebagai contoh, kadang si isteri terasa tertekan dan menceritakan perasaannya kepada anda. Suami, anda jangan senang-senang berkata: "Takpe, nanti awak ok lah besok", jangan ringan-ringakannya, tetapi layanilah perasaan tersebut dengan baik dan fahamilah perasaannya. Dan isteri, anda pula jangan senang-senang kata: "awak memang tak pernah dengar kepada saya" tetapi katalah "terima kasih kerana mendengar", si suami pasti bermotivasi.
3. Jangan memberi nasihat. Kecuali ditanya. Inilah masalah paling kritikal bagi orang lelaki. Mr Perfectionist (lelaki) seringkali ingin membaiki dan menyelesaikan masalah dengan memberi cadangan praktikal. Sedangkan perempuan hanya mahu si suami faham perasaannya sahaja.


AKHIRNYA
Akhir sekali pesanan ringkas daripada penulis buku tersebut dalam komunikasi ialah:

1. Memahami. Anda akan lebih berasa terbuka antasa satu sama lain sekiranya masing-masing saling memahami. Study lah pasangan anda dan kenal pasti sudut pandangannya, kekuatannya dan kelemahannya, cara dia mengatasi tekanan, apa yang dia mahukan dari kita, dan apa yang menjadikan dia rasa istimewa. Pertama sekali biarlah tujuan komunikasi adalah untuk memahami antara satu sama lain dan yang kedua adalah untuk difahami.

2. Nilai Kebaikan. Berkongsi nilai yang baik bagi sepasang suami isteri dalam amat memberangsangkan dalam menjalinkan perhubungan yang mesra dan indah. Namun, sekirannya salah seorang mendokongi nilai yang buruk manakala seorang lagi pula menyokong nilai yang baik, maka di sinilah bermulanya sketsa keruntuhan nilai-nilai dalam institusi kekeluargaan. Jadi adalah penting untuk memilih pasangan yang terbaik dan juga suami dan isteri perlu memainkan peranan menasihati antara satu sama lain sekiranya salah seorang tergelincir daripada nilai-nilai kebaikan.

3. Menjadi Orang yang Positif. Sikap negative bakal menghantui hidup anda dan menutup segala jiwa. Manakala kritikan yang membina mampu menjadi lebih effektif dengan puji-pujian. Jadi budayakanlah sikap positif dalam kekeluargaan kerana pastinya ia akan membuahkan suasana yang sangat harmoni.

4. Bersolatlah bersama. Dalam buku ini, penulisnya menggunakan perkataan 'prayer' pada lenggok bahasa Kristian. Namun sebagai orang Islam solat adalah kunci utama mencapai kebersamaan yang sangat kuat. Apabila hubungan jiwa manusia diperkuatkan dengan hubungan Pencipta, ianya menjadi satu kekuatan dalam menyatukan kedua-duanya. Jadi, si suami memainkan peranan penting dalam menjadi imam kepada isteri. Kesannya bukan sahaja dari aspek suasana bahkan dari aspek batiniah dan lahiriah. Solatlah berjemaah sekiranya rumah anda berjauhan dari masjid. Dan berdoalah, kerana dengan berdoa satu nilai kebaikan dicipta dengan kefahaman bersama.

5. Berehatlah. Berehatlah sekiranya anda terlalu sibuk dengan kerja. Ambil peluang dan waktu untuk memberikan diri hadiah ringkas. Rehatkan minda dengan rehat diri yang secukupnya. Anda akan tampak lebih ceria kepada pasangan anda dengan kerehatan yang sempurna. Berilah waktu kepada pasangan anda untuk merehatkan diri.

6. Pohonlah kemaafan. Sekiranya terjadi sedikit pertelingkahan dan salah faham. Mengapa tidak anda kata: "maafkan saya". Jadikanlah ia satu tabiat. Walaupun ianya ringan di bibir namun ianya mampu membuka ruang-ruang komunikasi dan kesefahaman. :)


Berbezanya Kita Adalah Untuk Bersama
Akhir sekali untuk entri ini (walaupun agak anti-klimaks), saya ingin menegaskan sekali lagi isu utama yang ingin disampaikan ialah berbezanya kita adalah untuk bersama. Perbezaan kita seharusnya digunakan untuk saling memahami antara satu sama lain. Dalam entri ini, saya tidak sempat untuk menulis betapa berbezanya kita lelaki dan perempuan. InsyaAllah saya kan menyambung pada hari-hari mendatang. Doakan agar diberikan kekuatan! Kesimpulan daripada sedikit perkongsian pada entri ini ialah penting komunikasi dalam rumah tangga bahkan jua dalam kehidupan seharian. Ingat, kita berkomunikasi untuk memahami dan untuk difahami. To understand and to be understood.

Bersambung..

P/S: Nukilan ini special untuk bakal isteri saya (sesiapa pun dia), maaf tidak sempat untuk saya sampaikan buku tersebut kepada anda sebelum ini. Jadi memadailah saya berkongsi di sini untuk tatapan dan kefahaman bersama. 

0 comments: