Thursday, July 26, 2012

Genetik: Baghal, Teknologi Hybrid Mesra Alam Masa Kini ?

Saya merupakan pelajar dalam jurusan Bioteknologi di University of Edinburgh. Dan tahun hadapan adalah tahun terakhir sebagai pelajar Bioteknologi. Minat saya dalam mengkaji bahan-bahan saintifik sudah bermula sejak kecil lagi dan saya benar-benar bercita-cita menjadi ahli saintis islam terkemuka yang bukan sahaja mempunyai ilmu luas dalam bidang sains bahkan faqih dalam bidang agama, keusahawanan dan kesusasteraan.

Semasa berada di dalam pengajian saya, ada berbagai-bagai penemuan peribadi melalui kajian dan rujukan telah saya buat. Sebagai seorang pelajar biologi, sememangnya bahan bacaan perlu sangat banyak. Satu perkara menarik yang saya terserempak dalam lapangan hidup ini ialah berkenaan ilmu biologi di dalam Al-Quran di mana teknologi hybrid ataupun kacukan dinyatakan secara jelas.


Teknologi Hybrid kini mula meluas di pasaran antarabangsa.

Al-quran dalam surah An-Nahl ayat 8 terus terang menyatakan kewujudan tiga makhluk serumpun iaitu, keldai, baghal dan kuda.




Dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.


Bagi orang biasa, ayat ini adalah ayat biasa untuk difahami. Tetapi dalam disiplin genetik, ini adalah satu perkara yang luar biasa. Maha suci Allah yang menciptakan segala makhluk menyatakan dengan begitu terperinci hakikat penciptaan baghal.

Baghal, kecil tapi sangat rajin dan bertenaga!


Frasa ' wal bighal' ataupun bererti 'dan baghal' diletakkan pada tengah-tengah frasa 'wal khaila' dan 'wal himar' iaitu kuda dan keldai. Ini satu perkara yang menakjubkan bagi ahli biologi! Kerana tahukah anda bahawa Baghal ataupun dalam bahasa englishnya Mule adalah sejenis binantang yang terhasil daripada kacukan kuda dan keldai! Ya, ini salah satu bukti keesaan Allah SWT sebagai pencipta yang Maha Agung.

Dari sudut genetik, Baghal mempunyai 63 kromosom. Manakala kuda dan keldai masing-masing mempunyai  64 kromosom dan 62 kromosom. Disebabkan keganjilan ini, baghal tidak mampu melahirkan anak dan adalah tidak subur sama sekali. Namun ada usaha-usaha daripada saintis untuk klon binatang ini disebabkan sifatnya yang cukup hebat untuk dijadikan kenderaan manusia pada suatu ketika dahulu bahkan masih lagi digunakan di sesetengah negara miskin mahupun negara maju.

Baghal sangat sesuai dijadikan sebagai kenderaan manusia kerana ianya sangat 'penyantun', mendengar kata,  mempunyai tubuh badan yang sangat kuat seperti kuda, rajin bekerja, dan sangat mudah dikendalikan memandangkan saiznya sederhana kecil. Jadi, tahukah anda bahawa ini adalah satu teknologi hybrid yang memberi kelebihan kepada manusia? Jarang sekali kita menjumpai mana-mana makhluk hybrid yang memberikan kelebihan kepada manusia.

Teknologi ini sangat canggih untuk kita bincangkan dari sudut biologi kerana tidak semua hybrid mampu hidup secara baik. Mari kita lihat dari sudut teknologi kenderaan yang kita miliki. Frasa hybrid itu sendiri sebenarnya cuba menggambarkan bagaimana tergabungnya sifat-sifat berkualiti daripada dua unit berbeza. Dalam hal baghal, ianya menggabungkan sifat kuda yang gagah, kuat, rajin dan juga sifat keldai yang mendengar cakap, bersaiz kecil dan mudah dikendalikan. Sifat-sifat buruk seperti keldai yang malas serta saiz kuda yang besar itu lenyap sama sekali dalam baghal.

Persoalannya, adakah kita mampu jadikan ini sebagai satu teknologi kenderaan pada masa kini. Dan pada hemat saya, ianya telah banyak sekali digunakan seperti muncul kereta Multiple Purpose Vehicle (MPV), Hybrid Car, dan ada juga teknologi Aqua car yang mampu turun di dalam air dan lain-lain lagi. Saya rasa banyak lagi perkara dan teknologi yang boleh kita ambil dari ibrah ini. Mungkin para cendikiawan kejuruteraan lebih faqih dalam hal ini.

Hybrid car menggunakan teknologi engine petro dan elektrik

Risaukan minyak mahal? [gambar hiasan]



Jelas sekali bahawa Allah SWT mahukan kita sebagai khalifah untuk berfikir. Sesungguhnya segala ibrah itu wujud pada penciptaan langit dan bumi dan menjadi tanggungjawab kitalah untuk mengkajinya. Namun malang seribu malang, umat Islam kini menjadi pemalas, dan malas untuk berfikir. Sedangkan generasi lalu pada zaman kegemilangan Islam begitu rajin dan berjihad memerah otak dan tenaga dalam menemui hikmah yang penuh keajaiban. Maka, jihadlah umat Islam di bidang kalian! Usah malas usah merasa lemah. Pertolongan Allah pasti datang.



0 comments: