Tuesday, July 3, 2012

Metafora Yang Menguning Layu: D.U.N.I.A


Kepanasan Rindu
Saya sudah pun pulang ke tanah air lebih kurang seminggu yang lalu. Seronoknya bila dapat kembali ke tanah air sendiri. Hirupan udaranya sungguh mekar dan segar. Dengan suhu yang agak panas, ianya kadang-kadang menjadi cabaran pertama buat saya. Namun, untuk mengadaptasikan dengan persekitaran luar, badan kita mampu lakukannya dengan mudah sekali. Dalam masa lebih seminggu saya kini sudah mula selesa dengan suhu Malaysia. Dan alhamdulillah hari ini, Allah turunkan pula hujan lebat. Terasa nikmat menhirup udara nyaman yang terhasil dari luar tingkap rumah sungguh enak sekali. Jika di UK, susah benar mahu memperoleh hujan lebat begini, jika ada pun pasti sejuk teramat ditambah angin yang kencang. alhamdulillah.

Deruan yang Menenangkan
Berderai-derai air mencurah jatuh ke bumi di luar jendela sana. Laksana dijirus bertubi-tubi. Detusan air hujan dan kicauan burung serindik belaan sungguh menenangkan minda hinggak ke puncak kebahagiaan. Tumbuhan hijau hasil tanaman ayah dan emak kelihatan segar bugar di luar sana. Ada pepohon ulam raja, pepohon belimbing, pepohon cili dan berbagai-bagai macam tanaman yang diusahakan secara kecil-kecilan untuk kemudahan sendiri. Saya ada cuba untuk menanam sebegini sewaktu di UK, namun tidak sangat menjadi. Barangkali kerana kekurangan tanah dan kawasan. Alhamdulillah, berada di kampung membolehkan kita bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman kesukaan kita. Dari ulam-ulaman sehinggalah buah-buahan. Kata orang, inilah hasil kita berbakti kepada tanah.

Hujan lebat di luar sana. Udara yang menyamankan!

Padi oh Padi
Saya dibesarkan di daerah Kubang Pasu yang begitu terkenal dengan ekonomi pertanian, iaitu sawah padi dan lain-lain tanaman. Seronoknya ialah bilamana padi-padi mula menguning dan masak lebat. Maka bolehlah padi-padi tersebut dituai dengan menggunakan mesin padi. Pada waktu inilah sangat cantik pemandangannya. Padi yang luas menguning menggamit sesiapa sahaja yang melihatnya. Bagi si petani, ianya seolah-olah rezeki yang melimpah ruah hasil berbakti kepada tanah. Jika baik kualiti padi yang dituai, maka berlipatkali gandalah pulangan yang bakal diperoleh nanti. Namun, jika buruk kualiti padi yang dihasilkan, maka sedikitlah pulangannya. Begitulah resmi kehidupan para petani. Pokok padi yang telah dituai itu kemudian layu dan dibakar jeraminya, bermulah semula kitaran seterusnya.

Padi yang menguning, menambat pemandangan sesiapa sahaja. Si petani pasti tersenyum lebar. :D


Ayat-ayat Cinta untuk Awak ^_< (untuk awak la, siapa lagi)
Sungguh menarik perumpamaan yang Allah SWT sering berikan kepada kita manusia supaya kita berfikir dan tadabbur. Dalam satu surah, iaitu surah Al-hadid ayat kedua puluh, Allah SWT berfirman:


اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي اْلأَمْوَالِ وَاْلأَوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَفِي اْلآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُوْرِ

“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang kerananya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan- Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al- Hadid: 20)

Nah, ambillah satu pedoman ringkas daripada petikan ayat cinta ini. Sungguh mendalam bagi jiwa-jiwa yang ingin mengerti. Tumbuhan adalah organisma organik, ianya hidup dan pasti ia akan mati. Sel-sel yang membina tumbuhan adalah terdiri daripada sel tumbuhan yang rigid terdiri daripada pelbagai komponen seperti cellulose, hemicellulose, lignin dan lipid untuk memberikan kekuatan kepada tumbuhan agar kekal kuat. Proses pembesaran tumbuh-tumbuhan kebanyakkannya bergantung kepada proses photosynthesis, iaitu satu proses bahan organik dihasilkan daripada bahan bukan organik karbon dioksida lalu ditukarkan kepada glucose dengan bantuan cahaya matahari. Proses ini berterusan. Bila cukup matang tumbuh-tumbuhan mula memunculkan hasilnya sama ada buah-buahan ataupun bijirin. Bagi manusia, hasil inilah yang kita idami kerana ia memberikan kita sumber nutrient yang banyak sekali. Bagi seorang petani, pastilah dia akan merasai cukup bertuah sepertimana yang saya singkapkan sebelum ini. 


Petani rajin mampu tersenyum lebar, petani malas tungkat dagu!


Kesenangan yang Menyenangkan
Allah SWT terus terang memberikan perumpamaan kepada kita untuk duduk dan berfikir sejenak akan hakikat kehidupan di dunia ini. Hari ini, kita boleh saja memiliki berbagai-bagai kesenangan yang melimpah-limpah. Ada yang mampu membeli kereta mewah dengan harga yang cukup mahal sekali, rumah besar dengan harga mencecah jutaan ringgit, gadget-gadget canggih seperti iphone 4s, ipad, ipod dan sebagainya. Semua ini adalah permainan dunia yang secara terus terang Allah SWT nyatakan semuanya itu melalaikan yang boleh membuatkan kita berbangga-bangga diri dengan harta dan wang ringgit yang kita miliki. Apa tidaknya, semua itu adalah barangan lumayan dan sudah pasti manusia yang alpha akan berbangga dengan apa yang dia usahakan. Sedangkan Allah SWT yang memberikan kurniaan nikmat yang melimpah ruah menjadi ujian buat mereka. Seperti pesawah padi, mereka pasti akan kagum kerana padi mereka menjadi atas usaha dan titik peluh mereka serta sudah pasti pulangannya nanti cukup lumayan. Cubalah lihat kembali kitaran hidup si pepohon hijau, apakah penghujung kisahnya? Adakah ianya akan terus segar-bugar? sesekali tidak.

Bosanlah!
Samalah seperti apa sahaja yang ada di dunia ini, keseronokannya tidak berkekalan. Saya berani menyatakannya dengan pengalaman sendiri bahkan anda juga pernah dan pasti pernah melaluinya. Sebagai contoh, saya dahulu pernah terkial-kial inginkan iphone 4 kerana keperluan yang mendesak. Memanglah seronok pada awal hendak membelinya. Dan juga seronok setelah membelinya kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kebolehan dan kemampuan. Lama-kelamaan, perasan seronok itu hilang dan pudar ibarat layunya si pepohon hijau. Sudah tiada lagi perasaan yang tinggi terhadap iphone tersebut. Kini saya hanya boleh menjeling sebelah mata sekiranya kawan-kawan saya menunjukkan iphone. "Ok, saya dah rasai. Bosan". Begitu kita sebagai manusia dan begitulah hakikat kesenangan di dunia, tiada yang kekal abadi melainkan apa yang ada di akhirat sana.

Tafsir
Ini pula saya petik dari tafsiran Asy-Syaikh rahimahullahu , “Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan permisalan bagi dunia dengan hujan yang turun di atas bumi. Suburlah kerananya tumbuh-tumbuhan yang dimakan oleh manusia dan haiwan. Hingga ketika bumi telah memakai perhiasan dan keindahannya, dan para penanamnya, yang cita- cita dan pandangan mereka hanya sebatas dunia, pun terkagum-kagum kerananya. Datanglah perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang akhirnya tanaman itu layu, menguning, kering dan hancur. Bumi kembali kepada keadaannya semula, seakan- akan belum pernah ada tetumbuhan yang hijau di atasnya. Demikianlah dunia. Tatkala pemiliknya bermegah-megahan dengannya, apa saja yang ia inginkan dari tuntutan dunia dapat ia peroleh. Apa saja perkara dunia yang ia tuju, ia dapatkan pintu-pintunya terbuka. Namun tiba-tiba ketetapan takdir menimpanya berupa hilangnya dunianya dari tangannya. Hilangnya kekuasaannya… Jadilah ia meninggalkan dunia dengan tangan kosong, tidak ada bekal yang dibawanya kecuali kain kafan….” (Taisir Al-Karimirir Rahman, hal. 841)

Pemuda dan kita
Jadi kelalaian apakah yang kita seringkali lakukan ini? Inilah kelalaian dunia. Kita pasti tidak akan lari dari kelalaian ini melainkan jika kita benar-benar sedar akan hakikat ini. Wahai pemuda yang seusia denganku, aku berpesan dengan nama Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Pada usia begini, kita amat mudah sekali terikut-ikut akan budaya dan trend mereka-mereka yang sudah lama terkubur dalam keseronokan dan kesenangan dunia. Hati mereka mengeras dan mereka berterusan dalam berseronok dengan harta ringgit. Kita pemuda bukanlah mahu bencikan keduniaan, tapi kita pemuda yang lantas sedar dari bisikan permainan yang melalaikan. Laksana kita bermain permainan video games, begitulah lalainya permainan ini. Jika ada yang datang menyedarkan kita dengan mengejutkan kita agar berhenti sebentar dan muhasabah kembali, seharusnya kita menyahut cabaran itu walaupun ianya amat berat bagi kita. Kerana kita pemuda harapan, kerana kita pemuda yang mampu menongkah arus kebinasaan, Kerana kita pemuda yang sedar bahawa kita masih punyai masa dan waktu untuk berubah. Kita masih miliki kekuatan fizikal dan mental. Kitalah pemuda yang cekal dan tabah dengan segal rempuhan ujian. Kita pemuda yang bersepakat dengan kebenaran dan menolak kebatilan. Bangunlah wahai pemuda dari lena yang panjang. Jalan juang kita jauh.. Jika hari ini kita tewas, ke manakah destinasi generasi pengganti kita?

Kesimpulannya, keseronokan ini dirasai oleh sesiapa sahaja. Sama ada muda-mudi mahupun tua bangka. Maka, berhati-hatilah. ianya mengasyikkan, tapi merugikan. ingatan buat diri dan para pembaca.

Jadilah di dunia ibarat pengembara. 



0 comments: