Dalam menjalani hidup kita seharian, adakalanya kita pasti menghadapi hari-hari tertentu di mana akal dan kewarasan kita diuji dari aspek sudut pandangan yang berbeza. Keyakinan yang kita perolehi itu berasal dari apa yang pernah kita lalui secara langsung mahupun secara tidak langsung. Mungkin anda pernah lalui pengalaman seperti ini.
Contoh sketsa
Seorang rakan anda datang lalu menghampiri anda lantas berkata. "Eh, ko tahu tak susah kot nak dapatkan internship di UK ni sebab competition terlalu banyak. Budak-budak dari IC dan university-university terkemuka pasti memberi cabaran yang hebat punya! Lupakan je lah.".
Ataupun mungkin pernah kita berkata begini kepada diri, "Aduhai, dah la fail satu paper, paper len of course da takda harapan ni.." Semua ini hanya contoh rekaan semata-mata. Tapi dalam sedetik hidup anda, anda pasti pernah dihujani dengan pemikiran-pemikiran yang 'membunuh' dan 'mematikan' seperti ini. Kenapa saya sifatkan membunuh atau mematikan? Kerana pemikiran seperti ini tidak meluaskan aspek pemikiran kita langsung bahkan membawa kepada kejumudan.
Separuh penuh atau separuh Kosong?
Ada satu pepatah yang bagi saya cukup terkenal bagi beberapa kalangan kita. Pepatah tersebut ialah "Half-full or half-empty glass" maksudnya separuh penuh ataupun separuh kosong. Analogi yang jelas sila lihat gambar di bawah.
Separuh penuh atau separuh kosong?
Sudut pandangan
Banyak buku-buku yang mengisahkan akan analogi ini dan kesimpulan dari semua buku-buku tersebut adalah hampir sama dan mengandungi amanat yang penting untuk para pembaca. Ianya memberi satu tahap kefahaman bahawasanya manusia melihat sesuatu itu dari berbagai-bagai sudut pandangan yang berbeza. Ada yang melihatnya sebagai separuh penuh, bererti masih ada air di dalamnya. Manakala sesetengah pihak melihatnya dengan tafsiran separuh kosong dengan kefahamannya bahawa di dalam botol itu, sudah hampir separuh kosong.
Otak sama, persepsi berbeza
Perbezaan kedua-dua tafsiran ini wujud akibat daya tafsir otak manusia yang berbeza-beza. Dan ada dua jenis tafsiran di sini; iaitu tafsiran secara positif dan tafsiran secara negatif. Bagi individu yang melihatnya sebagai satu yang positif, beliau pasti melihatnya dengan tafsiran separuh penuh iaitu masih ada air ataupun harapan, masih terisi juga. Beliau lebih mengutamakan apa yang dimiliki dan yang jelas berbanding dengan sudut pandangan individu yang melihat separuh kosong yang mana golongan ini biasanya melihatnya secara negatif seolah-olah sudah hilang isinya dan sudah tiada lagi separuh air. Beliau lebih menfokuskan kepada persepsi yang sudah tiada (negatif).
Kita punyai satu kapasiti yang sama, dibekalkan otak oleh Allah, tapi sejauhmanakah kita pandai menggunakannya?
Persepsi VS Sikap
Apa-apa pun tafsiran individu itu, hakikatnya keadaan kedua-dua objek ataupun keadaan yang dilihat itu serupa dan sama. Yang berbezanya dari aspek pandangan dan lebih tepat dipanggil persepsi. Dan kesannya sangat berbeza bagi kedua-dua pihak ini. Kesannya dapat dilihat dari tingkah laku dan pemikiran yang wujud. Si A mungkin menganggap sudah tiada harapan lagi, tetapi Si B melihatnya sebagai satu permulaan kerana masih ada harapan walaupun banyak perkara sudah terlepas dari peluang. Pendek kata, benda yang sama mampu ditafsir secara berlainan lantas mewujudkan perbezaan sikap dan masa depan.
Di manakah letaknya kita?
Persoalannya bukan soal kenapa penuh atau tidak penuh gelas tersebut, tetapi soalnya di manakah watak kita? Adakah positif ataupun negatif? Sudut pandangan yang berbeza menjana aspek keyakinan dalah hidup kita. Seorang pemimpin yang berkaliber dan berkarisma melayani setiap kerenah dan cabaran sebagai satu benda yang positif dengan mampu melihat ke hadapan.
Teladan Rasulullah SAW
Cuba lihat sirah Rasulullah, Rasulullah SAW merupakan watak yang tepat untuk kita ambil iktibar daripada pepatah ini. Hal ini kerana baginda merupakan seorang yang mempunyai pemikiran yang positif dan memberi layanan yang mewujudkan kesan baik pada masa hadapan. Mungkin anda pernah dengar kisah di mana ada seorang Arab Badwi masuk dalam masjid dan kencing di satu sisi masjid. Lantas apa yang Rasulullah buat? Tidakkan rasullah menunjukkan teladan yang baik berkaitan dengan pepatah ini? Adakah rasulullah melihat dengan mengherdik orang ini mampu menyelesaikan masalah? Tidak, walhal rasulullah SAW menyuruh para sahabat membiarkan orang itu menyelesaikan 'tugasnya'. Banyak hikmah dan iktibar yang sedia kita maklum jika Rasullah terus mengherdik, mungkin saya pautkan satu link untuk fahami hikmahnya tanpa perlu saya perhalusi hikmahnya di sini. [Klik untuk lihat hikmahnya]
Ayuh!
Dan banyak lagi kisah-kisah lain yang menampakkan kepada kita bagaimana, dalam setiap keadaan mahupun sesuautu perkara itu, kita perlu melihatnya secara yang positif dan berhikmah. Mungkin sudah tiba untuk kita ubah persepsi kita. Banyak cara untuk berubah. Salah satunya dengan membaca, mendengar dan berfikir. Banyak orang rasa malu untuk mendengar tapi ketahuilah bahawa orang yang suka mendengar itu punyai satu kesabaran yang tinggi dan orang yang mendengar biasanya lebih senang untuk berfikir dengan lancar. Moga kita menjadi insan yang mampu berfikiran positif.
0 comments:
Post a Comment