Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Sunday, September 5, 2010

Oh! Aku dan Mercun

Baru-baru ini saya dan keluarga saya dijemput hadir ke jamuan makan berbuka puasa di rumah saudara mara di Alor Star. Sudah lama rasanya kami tidak berkumpul ramai-ramai. Seingat saya hampir dua tahun saya terasing dari mereka. Mungkin disebabkan kesibukan bersama IB di KMB. Apa-apa pun peluang yang sedemikian rupa tidak dilepaskan saya untuk berjumpa kembali sanak saudara.
Oh bunga api, engkau adik beradik mercun!


Satu tembakan bunga api yang kuat di langit tinggi, sempat ditangkap oleh camera saya. Cantik.

Malam itu budak-budak diberi peluang bermain mercun. Apa mercun? Tidak. Saya fobia! Saya Sangat fobia mercun. Oh bunga api sahaja, baguslah. Hati-Hati nanti terbakar tangan. Kalau mercun saya tak larang tapi hati-hati. Bukannya saya takut kepada mercun tapi saya punyai sebab yang kukuh untuk katakan demikian rupa. Hanya orang macam saya yang pernah faham. ^_^
Kalian tidak pernah faham perasaan aku, mainlah sepuas-puasnya


Biarlah kanak-kanak ini faham dan seronok bermain bunga api asalkan mereka tidak faham akan perasaan saya terhadap mercun bola. Ia seolah olah menghantui jiwa dan perasaan saya. Hal ini terjadi kira-kira hampir 10 tahun yang lepas...

Malam itu ialah malam menunggu ketibaan kepulangan kakak saya dari KL menaiki kapal terbang. Jadi disebabkan kapal terbang masih lambat untuk tiba, Kami sekeluarga singgah sebentar di rumah saudara saya. Malangnya sepupu-sepupu saya banyak mercun. Dan yang paling menarik ketika itu ualah mercun Bola. Menarik bukan. Apa yang menarik? Satu, saya jarang bermain mercun bola. Kedua, mercun bola bunyi sangat kuat. Ketiga, ada banyak mercun bola, beratus-ratus biji. Keempat, sumbu mercun bola itu sangat PENDEK!

Melihat kepada keberanian sepupu saya, saya turut memberanikan diri untuk menyalakan sebiji mercun bola. Kali pertama ianya dinyalakan, semuanya baik belaka. Tapi buat kali kedua. Saya mengambil pemetik api, dinyala betul-betul pada sumbunya. Saya kurang jelas sama ada sumbu itu sudah menyala ataupn belum. Ragu-ragu. Hampir sahaja saya melemparkan mercun itu ke langit tinggi, kedengaran: "KedeBOOOOOOMMMMMM!". Bengong. Bengang. Sunyi. Senyap. Berdesing. Macam masa berhenti seketika. Saya lihat sepupu saya berkata-kata tapi semua kabur kerana saya tidak dapat mendengar apa-apa. BErdesing.

 Mercun ini menghantui saya selama-lamanya, Bulat dan kecil, tapi berbisa.

Dan pada ketika itulah saya mula sedar mercun bola itu tadi meletup di sipi tangan sebaik sahaja di baling. Aduh, apa sudah jadi pada diri ini. Diangkat tangan saya dan dilihat dengan bola mata saya sendiri jari sebelah kanan saya. Argh, tidak! Berdarah. Tapi saya tidak berasa sakit apa-apa lagi. Cuma terasa lebam dan sangat besar. Bengkak. Kelihatan daging-daging dari jari hantu dan jari kelingking sudah tiada. Terburai keluar. Kelihatan juga warna-warna putih di sekitar daging. Mungkinkah itu tulang saya?? Ataupun Karbaid yang terbakar. Kemudian saya perlahan-lahan mula merasai kesakitan yang teramat. Tapi nasib baik saya ialah seorang hero kecik yang tidak pernah mengalah kepada kesakitan.

 Jika anda takut, duduk dan lihat sahaja! Lagi tenang macam saya. Ataupun mainlah mercun Pop Pop. ^_^


Nah, amek ni pi main jauh-jauh. Tak meletup kat tangan. Dijamin SIRIM.

Pendek cerita, raya saya pada bulan itu tidak semeriah raya sebelumnya. Saya menanggung derita kerana tangan sebelah saya hampir sahaja kudung. Tapi yang hebatnya, seminggu kemudian saya sudah mampu berbasikal kembali. ^_^ (saya memang seorang anak kecik yang nakal dan tabah pada ketika itu). Bermula dari hari-hari itu juga Mercun Bola menghantui hidup saya selama-lamanya. Cukuplah sekadar itu. Selamat Tinggal Mercu!! Pengajarannya, berhati-hatilah bermain mercun. Jika anda sanggup bermainnya, maka sanggup jualah mangambil risikonya tercedera dengan mercun. baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian seorang budak yang tersangkut di atas pokok akibat letupan mercun secara besar-besaran. Innalillah.

Blogger Templates

Friday, August 27, 2010

Di Daerah Ini


Kadang-kadang, perlu kita melayan jiwa. Melayan jiwa ke arah muhasabah diri mampu membina personaliti yang ukuh dan jati diri yang benar-benar mantap. :) Ikuti 'tulisan hati' saya di bawah.




 
Menunggu ketibaan Keretapi Senandung Express Langkawi

 Senja menemani diri yang kesunyian berbuka puasa
Ditulis tatkala keretapi yang aku naiki meluncur bingit dari stesen Arau. 7.54 malam. Sebentar tadi, aku baru sahaja berbuka puasa menghadapkan diri ke arah jatuhnya matahari. Suasana yang cukup indah dan permai kulihat nun jauh di sana. Padi-padi sudah mula dituai, hampas padi ada pula yang sudah dibakar. Kelihatan api-api merah menyala di batas-batas sungai. Kelihatan di tengah-tengah sawah, wujud kelompok rumah-rumah kecil dihiasai banyak pohon nyiur. Aku melihat sesuatu yang takjub. Sudah lama tidak kulihat ini semua. Ah! Inilah daerahku. Di daerah inilah aku membesar. Muncul di benak hati nuraniku. Masa untuk muhasabah dan melayan jiwa!
Sesuap nasi 
Ibuku bukanlah siapa, seorang pesara pekerja bank biasa, ayahku pula hanyalah guru besar di sekolah pedalaman. Pernah dahulu ibuku menceritakan betapa susahnya keluarganya, hidup berumahkan di tengah-tengah sawah. Adik-beradik ibuku semuanya perempuan, dahulu susah, nak cari sesuap nasi pun susah. Bila malam, yang ada lampu minyak, itupun kena berjaga bimbang jikalau jelapang dimasuk orang.  Berjagalah ibuku bersama-sama adik dan kakaknya. 
Cerita mereka
Aku pernah jua melihat gambar-gambar lama ayahku. Aku kagum melihat seorang ayah yang kini begitu penuh kasih mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga demiku. Dahulunya, seorang pesawah biasa seusia aku hari ini, bila musim tuai, ayahku turut turun ke sawah menuai padi bersama-sama keluarganya. Susah pada masa itu, tapi ayahku tidak pernah mengeluh, bahkan ayahku pula memberi semangat kepadaku untuk terus belajar. Aku membesar di daerah ini, penuh dengan nostalgia dulu kala. Ayahku bukan sehebat orang lain tapi aku cukup kagum padanya, hari ini dia mampu membesarkan aku hingga berjaya.
 Juadah berbuka, simple dan mengenyangkan. (emak saya pada mulanya beri saya bekalan seakan 2 hari!, atas pengelaman sebelum ini, saya minta dikurangkan terus: membazir)
 Pelita minyak tanah
Terlihat rumah-rumah kampung di hadapan pandanganku. Gelap gulita. Adakah mereka tidak punyai elektrik? Mana mungkin! Hari ini semua sudah maju. Jika benar, teringat aku akan cerita ibuku, waktu malam adalah waktu bersama-sama dengan keluarganya pada masa dahulu. Anak-anak tidur berbaring bersama-sama ibu dan ayah tercinta. Yang menemani gelap ialah sang pelita-minyak. Asapnya berjelaga katanya. Bangun sahaja waktu pagi, hidung-hidung pun jadi hitam. Aduh, susahnya hari itu, tiada TV, yang ada hanyalah sawah-sawah yang terbentang luas dan juga bulan bintang menerangi malam.

Cerita aku
Aku jua datang dari suasana kekampungan begitu meskipun tidak pernah aku lalui cerita seperti ayahku dan ibuku, tapi aku pernah merasai susana indahnya bermain-main di saat aku seorang kanak-kanak nakal. Tidak punyai bebanan yang tahu hanyalah keseronokan. Kampungku tidaklah besar. Kecil, memadai untuk kami bermain-main. Layang-layang, Gasing, dan tarik upih pinang pernah menjadi permainan yang sangat menarik ketika itu. Musim wau kami main wau, musim gasing, masing-msing punyai gasing di tangan, pangkah memangkah di dalam bulatan pertarungan. Suasana yangg indah aku kira. Sekarang sudah tidak wujud lagi.

Jiwa seorang jaguh kampung
Aku dahulu hanyalah jaguh kampung biasa, entah bagaimana, aku membesar dengan azam yang tinggi. Pasak semangatku lebih tinggi dari si gunung everest aku kira. Ingin belajar sejauh dan setinggi mungkin. Semangat dipasak meskipun banyak kali aku tumpas menangis kerana bukan senang seorang budak kampung ingin keluar dari kepumpung biasa. Kebanyakan kawan-kawan aku tidak berani, tapi aku sanggup hadapi. Hari pertama keluar dari rumah, memang aku menangis. Tapi aku kental, tangis aku sekejap sahaja. Besok lusa aku senyum kembali. Senyum melihat dunia yang segar. Melihat peluang yang ada. Aku makin membesar matang. Aku mula melihat ke hadapan. Dan hingga kini aku mengerti bahawa aku sudah jauh ke hadapan. Aku sudah mengejar cita-cita lebih jauh dari sangkaan aku.



 Petang selepas mengambil tiket, saya memberanikan diri melihat di celah-celah kampung Arau. Masuk jalan-jalan sawah. Di sinilah dahulu track rentas desa yang digunakan sekolah saya. Melecet teruk kaki saya ketika itu, Sebab badan saya __________. 
Tapi Kerisauan Menerpa
Cuma, kadang-kadang, bila aku berasa aku terlalu mengejar cita-cita, aku mula melupai cerita-cerita lamaku di daerah ini. Cerita aku bermain di sawah padi, cerita memancing, cerita membuat wau buluh, cerita disengat sang penyengat, cerita masuk hutan pergi lombong dan sebagainya. Di daerah aku membesar, aku mula berfikir aku insan hebat berilmu, padahal aku dulu durjana, jahil. Kerisauan mula muncul, semakin aku membesar semakin pula aku lupa asal-usulku. Makin pula aku lupa cerita ibuku, cerita ayahku. Betapa hinanya aku. Sepatutnya, semakin tinggi, semakin tunduklah aku bak resmi padi. Mungkin dengan melihat-lihat deretan rumah di hadapanku tatkala keretapi yang kunaiki bergerak laju, memori itu kembali segar memutik lagi dan sekali membuatkan aku benar-benar bersyukur atas segala kurniaanNya kepadaku. Aku rindu. Aku muhasabah. Di sinilah daerahku.  

Biar jauh aku membesar, hati dan diriku itu tetap di sini, di daerah ini. 
Bersahur: Sedih, Nasi goreng dah habis . Yang tinggal hanya Maggi jer di Cafe, Layan je la Maggi + milo! Harga RM 6. -_-"


Blogger Templates