
Ramadhan Bakal Menjelang
Jiwa yang sentiasa meronta
Jiwa manusia sentiasa meronta. Ya, siapa kata jiwa manusia sentiasa tenang? Bahkan hari ini dengan kemajuan yang ada, manusia ibarat tercari-cari ruang dan keselesaan yang benar-benar mencapai tahap kepuasan mereka.
Aduhai manusia
Jiwamu sering bergolak
Jiwamu sering gelisah
Hatimu hilang tiada petanda
Kenapa perlu Bercinta?

Ini bukanlah ruangan Saifulislam.com wahai sahabat kalian. Ini jua bukanlah tempat meluahkan perasaan. Ini juga bukan simbol diri ini, tetapi sedikit kupasan yang ingin dicoretkan. Hidup tanpa cinta itu laksana bunga yang tidak mengeluarkan wanginya. Benarkah sedemikian rupa? Walhal cinta yang berputik belum tentu mengeluarkan tunas kebahagiaan. Dan ia belum tentu meraih sejuta kemanisan. Dan ia belum tentu melahirkan benih keikhlasan di hati. Adakah hati kita ini sentiasa dirundung ribut kegelisahan seperti yang dihuraikan pada awal bab tadi? Persoalannya, adakah cinta yang berseni ibarat mekarnya kasturi mampu bertahan selama-lamanya seandainya wangian itu dilepaskan tanpa asal usul kawalan. Ah, Cinta itu cinta buta! Cinta yang bertemankan nafsu syahwat. Cinta yang tergelincir dari pautan Illahi. Cinta yang membibirkan rasa takut pada Pencipta tapi diselewengkan juga.
Ini bukan masalah diri kita, bukan masalah keluarga, dan bukan masalah orang perseorangan, tapi masalah seluruh jiwa. Tatkala hari ini, ada jiwa-jiwa yang dididik dan ditarbiyah dengan sebaik mungkin oleh institusi keluarga, kadang-kadang hanyut jua dibawa ombak pesisiran. Inilah masalah kita. Inilah kelemahan kita. Inilah pelemah jiwa bangsa, jiwa syabab yang mengembang namun malap dipadam debu kegilaan nafsu.
Cuma dan Hanya
Bukan cinta itu salah. Cuma dan hanya, pendekatan dan pemahaman yang kurang jelas. Andaikata cinta dipupuk atas dasar keimanan, atas dasar penubuhan baitul Islam, pembinaan ukhuwah fillah, penjanaan semangat jihad intifada, maka itulah yang sepatutnya. Jiwa umat-umat terdahulu jua bercinta. Tatkala mereka diserang oleh musuh-musuh Allah, tatkala mereka mencari kekuatan berjihad, dan semasa mereka memerlukan insan rusuk kiri, di situlah implementasi cinta sebenar. Cinta mereka berlandaskan akidah dan jua matlamat bersama.
Kalian, sekadar coretan dari hati yang terbuku, akhirnya keluar jua agar ia tidak bernanah lagi. Kenapa perlu bercinta? Usah tepuk dada, tapi tanyalah minda, perahkalah iman, lihatlah dengan mata hati, jiwa-jiwa yang merdeka bebas dari cengkaman penggoda. Siapakah penggoda? Merekalah harta, takhta, kuasa dan wanita. Maaf kaum wanita, bukan mahu memperlekehkan kalian, tapi itu hakikat kelelakian. Kalian perlu faham biologi semula jadi mereka. Kalian tidak perlu menjadi 'penggoda', tapi jadilah pembantu ketua nakhoda yang bakal mengemudi ke lautan yang lebih hebat kelak di kala kalian mengikat ikatan yang kukuh dan sah dengannya. Di situlah cinta bakal bermula.

Jika ini yang kalian sebenar mahukan, kenapa perlu tergesa-gesa???

Janji Allah tetap akan dikota
