Sunday, November 8, 2020

Mutasi Baru di Denmark: Ancaman Terbesar Terhadap Keberkesanan Vaksin COVID-19

Setelah beberapa ketika kita mendengar perkhabaran mutasi D614G yang mula tular di negara kita, mula dikesan di Kedah melalui kluster Sivagangga dan kini menjadi jenis virus utama di Malaysia terutamanya di Sabah. Walaupun mutasi ini dikatakan lebih mudah cepat merebak, ianya dijangka tidak memberi kesan negatif terhadap keberkesanan vaksin (yang dalam 'pipeline') pada masa akan datang kerana mutasi yang berlaku bukanlah pada antigen utama yang digunakan untuk penghasilan vaksin, iaitu spike protein.

Mutasi Baru Pada 'spike protein'

Namun, baru-baru ini, dunia digemparkqn dengan laporan mengatakan telah wujud satu satu lagi jenis mutasi pada spike protein virus COVID-19 di Denmark melalui transmisi zoonotik antara manusia dengan cerpelai (mink). Ceperlai atau mink merupakan 'haiwan ternakan' terbesar di Denmark kerana negara ini menggunakan haiwan ini untuk menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan bulu cerpelai.

Virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19 dikatakan telah 'melompat' ke hos lain cerpelai (dikenali sebagai proses zoonosis) dan kesan 'pengeraman' dalam kalangan ceperlai ini telah menghasilkan varian virus dengan mutasi yang baru. Berbeza dengan mutasi D614G yang selalu diperkatakan, mutasi terbaru ini jauh lebih mengancam kerana proses mutasi ini didakwa telah berlaku pada amino acid yang melibatkan struktur spike protein virus, iaitu protin penting dalam mod kemasukan virus dalam sel manusia melalui interaksi dengan protin ACE2 (angiotensin-converting enzyme 2).

Impak Terhadap Keberkesanan Vaksin

Mutasi yang berlaku pada 'spike protein' ini bermakna kemungkinan besar struktur 'spike protein' tersebut juga akan berubah. Ini sudah tentu akan menyebabkan antibodi yang akan terhasil daripada vaksin yang sedang dihasilkan sekarang (kini kebanyakannya di fasa tiga percubaan klinikal) juga tidak akan berkesan terhadap jangkitan varian virus daripada jenis mutasi baru Denmark ini. Teori ini bukan sahaja omongan kosong, bahkan ujian awal menggunakan antibodi sedia ada (daripada varian asal) terhadap varian virus baru daripada jenis mutasi Denmark ini juga menunjukkan kesan negatif, iaitu keberkesanan antibodi tidak memberangsangkan - memberi gambaran awal bahawa keberkesanan vaksin pada masa akan datang juga mungkin akan terjejas. Maka, proses untuk 'melawan' varian virus daripada mutasi baru ini akan lebih mencabar dan kemungkinan akan memerlukan penghasilan vaksin yang baharu serta mengambil masa yang lebih panjang.

Paling membimbangkan, telah terdapat beberapa kes jangkitan daripada jenis virus ini dalam kalangan manusia. Jika ianya gagal dibendung, dunia bakal berhadapan gelombang pandemik yang seterusnya dan terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan vaksin yang berkesan. Ianya mungkin akan menjadi satu yang berulang atau 'dejavu'.




Sejauhmanakah Keseriusan Mutasi Baru ini?

Walaupun masih belum ada kajian yang terperinci dan bukti yang jelas akan kesinambungan virus jenis baru ini, para saintis mula meletakkan perhatian yang mendalam dan serius terhadap potensi ancaman ini. Kerajaan Denmark mengambil kejadian ini sebagai suatu yang serius dan membuat tindakan drastik dengan menghapuskan sekitar 17 juta cerpelai secara besar-besaran bagi membendung penularan wabak daripada varian virus jenis baru ini. Selain itu seluruh kawasan utara Denmark turut menerima perintah berkurung ekoran penularan varian virus jenis baru tersebut. Suatu tindakan yang bukan remeh dan jelas menampakkan keseriusannya.

WHO pula seperti biasa masih menekankan aspek penelitian 'evidence-based' dan masih meletakkan situasi ini sebagai suatu yang belum jelas memandangkan tiada bukti saintifik yang jelas untuk mengaitkan varian virus jenis baru ini dengan kebolehan pandemik baru. Hal ini juga disokong oleh segelintir ahli virologi kerana masih tiada kajian terperinci dijalankan. Namun, semua hakikat ini mungkin akan berubah apabila data dan dapatan baru muncul dalam beberapa bulan pada akan datang.

Terlalu banyak yang tidak diketahui akan varian virus baru ini. Antaranya ialah adakah varian virus baru ini memiliki keupayaan untuk menyebabkan kematian dalam kalangan manusia? Adakah struktur spike protein tersebut benar-benar terjejas (perlu analisis mendalam oleh ahli biologi struktur)? Setakat ini, urutan genom DNA (genome sequence) bagi varian virus baru tersebut masih belum disebarkan pada khalayak komuniti saintis. Maka, amat sukar untuk para saintis menentukan hakikat yang sebenar. Selain itu, kita juga tidak pasti sejauhmanakah kemampuan virus ini menular, memandangkan spike protein yang digunakan untuk menyerang sel manusia itu sendiri terjejas - maka secara teorinya proses kebolehjangkitan juga mungkin akan sedikit terjejas. Begitu juga kadar kebolehjangkitan sesama manusia. Semuanya memerlukan penelitian yang lebih mendalam. 

Apa yang pasti, kemampuan virus SARS-CoV-2 dalam merebak kepada ceperlai merupakan satu petanda yang kurang baik kerana untuk menghapuskan (eradicate) sesuatu wabak, agen jangkitan tersebut perlulah hanya memiliki satu hos. Namun, nampak gayanya - proses eradikasi virus penyebab COVID-19 ini akan menjadi jauh lebih sukar daripada apa yang disangkakan. Vaksin mungkin hanya akan menjadi jalan penyelesaian sementara terhadap jangkitan COVID-19 seperti mana yang berlaku terhadap wabak flu yang kini bersifat bermusim (seasonal) dan memiliki banyak varian.

Apa sekalipun, masyarakat dinasihatkan supaya tidak terlalu panik kerana kes yang berlaku masih dalam siasatan awal dan memerlukan kajian terperinci. Apa yang lebih penting ialah setiap individu perlu menjaga SOP sebaik mungkin seperti yang ditetapkan oleh pihak berautoriti. Ambillah iktibar daripada kes-kes seperti ini untuk sentiasa hidup dalam norma baharu.


Rujukan berita:





0 comments: