"Vaksin dicipta sekadar untuk melindungi komplikasi penyakit, kematian dan mengelakkan simtom".
Penyataan ini selalu saya dengar dari orang ramai dalam pelbagai isu dan keadaan.
Daripada perspektif sains biologi, ianya hampir tepat. Namun, tahukah anda bahawa semua tujuan vaksinasi yang disebut dalam penyataan tersebut hanyalah sebahagian daripada peranan vaksin yang paling ASAS.
Tujuan Vaksin: Sterilising vs non-sterilising immunity
Matlamat utama atau ultimate goal bagi sesuatu vaksin itu jauh lebih daripada sekadar mampu mengelakkan simtom, komplikasi serta kematian, bahkan berperanan mewujudkan satu sistem imuniti yang mampu menghalang jangkitan dan penyebaran daripada terus berlaku. Dalam istilah Sains, inilah yang kita panggil sebagai 'sterilising immunity' (imuniti nyah jangkitan). Bahasa mudah bagi istilah sterilising immunity ini ialah jika seseorang individu itu telah diberi vaksin, sistem imuniti yang telah ada mampu menangkis dan menghapuskan agen penyebab penyakit (pathogen) secara langsung. Baru sahaja sesuatu virus atau bakteria masuk ke dalam tubuh badan melalui mana-mana jenis laluan (sel dan sebagainya), dah kena 'cantas' dengan agen-agen imuniti (antibodi dan sebagainya). Maka, dalam situasi ini, tiada jangkitan berlaku kerana agen penyebab penyakit telah dinyahkan secepat mungkin. Bila tiada jangkitan berlaku, maka tiadalah simtom mahupun komplikasi daripada jangkitan yang boleh membawa kematian.
Manakala, kemampuan untuk mengelakkan simtom, komplikasi jangkitan serta kematian seperti mana yang dinyatakan dalam penyataan awal tadi itu dipanggil sebagai 'non-sterilising immunity'. 'Non-sterilising immunity' atau imuniti tidak nyah jangkitan terdiri daripada dua kategoti: (1) imuniti terhadap simtom dan (2) imuniti terhadap penyakit (yang boleh membawa komplikasi dan kematian). Jika kita memiliki imuniti tidak nyah jangkitan, ianya bererti, badan kita memiliki imuniti (antibodi dan sebagainya) tapi imuniti ini tidak mampu menghalang jangkitan daripada berlaku kerana tidak cukup 'kuat' atas sebab dan faktor tertentu yang akan diperbincangkan dengan lebih lanjut.
Kemampuan sesuatu vaksin dalam memberi kesan 'sterilising immunity' amat penting dalam beberapa aspek. Antaranya ialah dalam penubuhan imuniti kelompok (herd immunity) dan pembasmian (eradication) penyakit secara total. Dalam sejarah vaksin dunia, tidak semua jenis vaksin mampu memberikan kesan 'sterilising-immunity' ini. Antara yang mampu memberikan kesan 'sterilising-immunity' yang efektif termasuklah vaksin bagi penyakit cacar (smallpox). Disebabkan kemampuan menghasilkan 'sterilising immunity' ini, juga penyakit smallpox kini sudah berjaya dibasmi secara total dari muka bumi.
Sejarah Vaksinasi Dunia
Jika kita menelusuri sejarah pembangunan vaksin, vaksin terawal ditemui, iaitu vaksin bagi smallpox, dikaitkan dengan kemampuan menghalang jangkitan daripada berlaku. Pada sekitar tahun 1790-an di Britain, Edward Jenner, iaitu seorang pengamal perubatan yang mempelopori kaedah vaksinasi telah membuat pemerhatian penting apabila mendapati pekerja tenusu (dairymaid) telah dilindungi daripada jangkitan smallpox yang berleluasa pada ketika itu setelah dijangkiti dengan cacar lembu (cowpox). Melihat kepada situasi ini, beliau membuat hipotesis bahawa jangkitan cowpox bukan sahaja mampu melindungi seseorang itu daripada jangkitan smallpox bahkan boleh diberikan secara sengaja. Untuk menguji hipotesis ini, beliau telah mengambil sebahagian sampel daripada luka seorang pekerja tenusu yang dijangkiti oleh cowpox dan secara sengaja beliau telah memberikannya kepada seorang kanak-kanak bernama James Phipps. Phipps kemudiannya mula mengalami demam sederhana namun kembali pulih beberapa hari kemudian. Beberapa bulan kemudian, beliau dengan sengaja mendedahkan Phipps dengan agen penyebab smallpox dan Phipps tidak mengalami sebarang jangkitan. Hasil eksprimen ringkas ini (walaupun tidak beretika untuk dilakukan pada zaman sekarang) jelas membuktikan bahawa individu yang telah diberikan agen penyebab cacar lembu (cowpox), iaitu sejenis virus dipanggil vaccinia (inilah asal usul nama vaksin), tidak akan mengalami sebarang jangkitan atau simtom apabila didedahkan secara sengaja kepada agen penyebab cacar manusia (smallpox). Lantas, lahirlah konsep asas proses dikenali 'vaccination ' yang berasal dari perkataan vaccinia (dalam Bahasa Latinnya ialah vacca yang bermaksud lembu), iaitu nama yang diberikan kepada virus penyebab cacar lembu.
Sebelum kaedah yang lebih selamat ini digunapakai, wujud kaedah popular lama yang dikenali sebagai innoculation. Kaedah innoculation sudah lama dipraktiskan oleh peradaban manusia beribu-ribu tahun lalu. Namun, catatan sejarah hanya mula tertulis apabila Lady Montogu yang merupakan isteri kepada konsulat British di Turki telah menyaksikan kaedah innoculation ini dilakukan dengan secara meluas di kota Constantinople pada kurun ke-17.
Berbanding vaccination, kaedah innoculation ini memiliki risiko berbahaya kerana mempertaruhkan agen penyebab cacar smallpox yang masih hidup aktif dan mampu menyebabkan penyakit sebagai kaedah mewujudkan imuniti, sepertimana konsep vaksinasi. Melihat keberkesanan kaedah innoculation ini, Lady Montogu kemudiannya membawa pulang ‘teknologi’ ini ke Britiain dan idea ini pada awalnya telah menerima tentangan yang hebat daripada pengaman perubatan konventional. Beberapa tahun kemudian, idea ini telah diadaptasi oleh Edward Jenner dan akhirnya lahirlah kaedah vaccination yang jauh lebih selamat dan berjaya meyakinkan komuniti sains dan seterusnya mempelopori kaedah vaksinasi sedunia. Begitulah serba sedikit latar belakang sejarah vaksinasi.
Apakah Hala Tuju Wabak COVID-19 Pada Pasca Vaksinasi?
Sedar tidak sedar, ‘pertarungan’ antara kita dengan wabak COVID-19, kini sudah berlarutan sehingga hampir dua tahun.
Apakah nasib dan hala tuju wabak pandemic COVID-19 pada masa hadapan selepas program imunisasi terlaksana dengan jayanya?
Adakah akan terbasmi wabak ini?
Walaupun kita masih belum mengetahui dengan tepat sama ada vaksin COVID-19 mampu memberikan perlindungan ‘sterilising immunity’ kerana masih tiada data rasmi yang dikeluarkan, namun, berdasarkan pemerhatian awal - kesan ‘sterilising immunity’ seolah-olah gagal diberikan oleh vaksin COVID-19 yang ada di pasaran sekarang, berdasarkan kepada laporan-laporan jangkitan yang berlaku dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksin seperti frontliners. Adapun kajian mengaitkan pengambilan vaksin Pfizer mampu mengurangkan kadar penyebaran sebanyak 50%, ianya lebih menggambarkan bahawa vaksin tersebut tidak memiliki sterilising immunity yang kuat.
Ketidakmampuan untuk mewujudkan 'sterilising immunity' ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor termasuklah (1) penghasilan antibodi yang rendah (memerlukan dos penambah atau booster dose), (2) ketidakstabilan imuniti (antibodi); untuk vaksin COVID-19 - kita akan hanya dapat mengetahuinya hakikat kestabilan antibodi ini dalam beberapa bulan akan datang selepas vaksinasi ini, (3) virus mampu menyelinap lari (evade) daripada sistem imun badan sama ada disebabkan antibodi tak dapat akses ke kawasan serangan atau, (4) kewujudan varian baru yang lebih ‘fit’ dan pelbagai dan (5) wujud banyak hos perumah haiwan selain daripada manusia. Semua ini serba sedikit menyumbang kepada ketidakmampuan vaksin COVID-19 dalam memberi impak 'sterilising immunity' yang diharapkan.
Jadi, Apakah Jangkaan Kita Terhadap Hala Tuju Wabak COVID-19?
Adakah dengan ketidakmampuan vaksin COVID-19 ddalam memberikan ‘sterilising immunity’ ini akan menghalang penubuhan imuniti kelompok (herd immunity)? Imuniti kelompok bermaksud, andaikata majoriti sesuatu komuniti sudah memiliki imuniti, golongan yang tiada imuniti atas sebab-sebab tertentu seperti bayi dan kanak-kanak akan terlindung. Penubuhan imuniti akan menjadi lebih mudah sekiranya sesuatu vaksin itu mampu memberikan kesan sterilising seperti yang dibincangkan.
Bagi wabak COVID-19, saya menjangkakan akan ada dua kebarangkalian atau jangkaan hala tuju yang mungkin akan berlaku:
Jangkaan Pertama: Imuniti kelompok berjaya ditubuhkan, tetapi saya menjangkakan tahap ambang (threshold) bagi liputan peratusan vaksinasi mungkin akan memerlukan angka yang jauh lebih tinggi menjangkaui nilai kebiasaanya (70-80%), mungkin memerlukan 80-95% nilai ambang. Hal ini kerana disebabkan ketiadaan faktor sterilising immunity yang kuat, bermakna jangkitan dan penyebaran masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksinasi. Namun, kemampuan untuk tersebar dan berjangkit ini mungkin lebih rendah berbanding kelompok masyarakat yang langsung tidak diberikan vaksin. Maka, lama-kelamaan kitaran rantaian penyebaran virus akan menjadi semakin perlahan dan terbantut secara sendirinya. Untuk mencapai jangkaan pertama ini, aspek pelaksanaan SOP seperti pemakaian mask dan penjarakan sosial perlu tetap dikekalkan untuk beberapa ketika sehingga kadar jangkitan mula perlahan dan tiada. Perlu juga diingat, pada ketika ini juga, masih wujud golongan yang terdedah seperti bayi dan kanak-kanak yang belum diberikan vaksin – maka pelaksanaan SOP menjadi bertambah kritikal sebelum tugas imuniti kelompok mengambil alih.
Jangkaan Kedua: Imuniti kelompok mungkin akan gagal untuk ditubuhkan secara konsisten. Dalam hal ini, kes jangkitan akan tetap berlaku (outbreak) di beberapa kawasan tertentu (endemik). Kita mungkin akan melihat satu trend di mana wabak COVID-19 akan menjadi seperti apa yang berlaku kepada wabak Flu (influenza virus) yang muncul secara bermusim dan dalam berbagai jenis varian. Perlu diingatkan, wabak Flu bukan penyakit demam selsema biasa seperti yang disangka oleh sesetengah orang Malaysia, kerana Malaysia jarang-jarang terkena tempias Flu. Kes Flu banyak berlaku di negara beriklim empat musim dan selalu pada musim sejuk, biasa di UK dan Eropah (hemisfera utara) serta Australia dan NewZealand (hemisfera selatan). Kes kematian dikaitkan dengan Flu juga tidak kurang banyaknya terutama dalam kalangan orang tua dan golongan berisiko. Walaupun wujud vaksin bagi wabak Flu, tetapi disebabkan wujud banyak varian virus, maka usaha membasmi wabak Flu amat sukar dilakukan dan kini ianya menjadi satu kitaran norma bagi negara-negara yang terlibat. Kebarangkalian untuk COVID-19 menjadi sedemikian rupa juga tinggi bahkan banyak saintis merasakan begitu juga.
Konklusi
Sudah tentu jangkaan yang kedua itu bukanlah sesuatu yang kita inginkan untuk berlaku dek setelah hampir dua tahun ‘terkurung’ dalam arena pandemik. Apa yang pasti – keadaan (InshaAllah) akan kembali seperti sedia kala, ie. ekonomi dan aktiviti sosial akan berjalan seperti biasa. Sama ada wabak COVID-19 ini akan tetap berada dalam komuniti kita – suatu yang belum pasti. Boleh jadi, akan wujud varian-varian baru yang akan mendominasi di beberapa kawasan terutamanya di negara-negara miskin di mana vaksinasi bukanlah satu pilihan yang ada. Kesimpulannya, apa yang dikupaskan di atas hanyalah beberapa kemungkinan yang akan berlaku berdasarkan kepada kefahaman sains biologi dan juga trend sejarah yang lepas.
0 comments:
Post a Comment