Antara salah satu kelemahan saringan menggunakan rtPCR (reverse transcriptase polymerase chain reaction) yang ramai orang awam bahkan orang atasan sekalipun tidak faham ialah kadar kemungkinan berlakunya keputusan 'False Negative' sentiasa ada.
Bagi yang tidak biasa dengan terminologi inti, 'false negative' bermaksud keputusan saringan yang negatif tersebut sebenarnya tidak tepat (dan berkemampuan menjadi positif) atau lebih bersifat 'underestimate'. Manakala 'false positive' pula bererti keputusan saringan yang positif sebenarnya adalah negatif dan bersifat 'overestimate'. Kedua-dua jenis keputusan ini adalah kelemahan yang sentiasa wujud bagi mana-mana jenis ujian saringan menggunakan kaedah molekul biologi.
rtPCR sebenarnya lebih dikait rapat dengan keputusan 'false positive' berbanding 'false negative' disebabkan kadar sensitiviti rtPCR yang cukup tinggi. Kaedah rtPCR ini mampu mengesan RNA virus walaupun pada kadar yang cukup sikit dengan melipatgandakan jumlah tersebut dalam jumlah yang besar pada skala 'exponential'.
Kemungkinan keputusan 'false negative juga' turut ada. Dengan kadar keberkesanan bukan pada 100% tetapi hanya 96%, jumlah berbaki 4% ini merupakan kelemahan rtPCR itu sendiri. Namun, mengambil kira faktor teknikal yang lain termasuklah kesukaran dan cabaran dalam proses pengambilan sampel oleh frontliners (pemakaian PPE, panas, berpeluh) menyebabkan adakalanya sampel swab yang diambil tidak sempurna (tidak mengumpulkan sel yang dijangkiti), kesalahan teknikal melabel, kesalahan teknikal dalam proses penyimpanan sampel serta kesalahan teknikal di makmal dan lain-lain; maka, peratusan untuk berlakunya 'false negative' mungkin akan lebih tinggi. Sudah menjadi kebiasaan, dalam mengendalikan pengambilan dan ujian terhadap mana-mana sampel sekalipun, terutamanya dalam skala dan jumlah yang begitu banyak, pasti akan ada yang tidak dapat disempurnakan dengan baik. Maka, kebarangkalian sampel yang diambil melalui kaedah nasopharyhgeal dan throat swab ini untuk tidak mengandungi RNA virus juga sentiasa ada.
Apa yang lebih merisaukan ialah terdapat laporan kajian santifik oleh beberapa penyelidik (Kucirka et al., 2020; Woloshin et al., 2020; Paolo et al., 2020; Wiseman et al., 2020) yang telah memberi amaran awal sejak beberapa bulan yang lepas bahawa pelaksanaan ujian rtPCR seawal waktu jangkitan mampu menyumbang kepada false negative. Salah seorang penyelidik utama, Lauren Kucirka menyatakan bahawa "keputusan negatif, sama ada seseorang itu ada simtom atau tidak, tidak menjamin dia tidak dijangkiti oleh virus tersebut". Begitu juga seseorang yang telah terdedah kepada risiko tinggi jangkitan sepatutnya dianggap sebagai telah dijangkiti lagi-lagi jika memiliki gejala yang jelas (Kucirka et. al., 2020; Paolo et al., 2020). Hal ini kerana telah terbukti secara kajian, jika proses pengambilan sampel gagal mengumpulkan sel yang baru dijangkiti atau kandungan genetik (RNA) yang terlalu rendah - menyebabkan rtPCR tidak dapat menghasilkan keputusan yang positif. Mengikut kajian tersebut, kadar false negative mampu menjangkau sehingga 38 % sekiranya sampel diambil pada hari pertama hingga hari keenpat usia jangkitan.
Dari perspektif pengurusan risiko, terutamanya dalam skop wabak COVID-19 ini, mengambil serius keputusan yang 'false positive' itu adalah perlu walaupun akan melibatkan kos masa, wang dan tenaga. Ianya bagus dari sudut mengurangkan risiko jangkitan walaupun bakal menambah nilai kos sampingan. Manakala mengambil enteng wujudnya keputusan 'false negative' itu pula perlu diteliti semula bagi mengurangkan risiko daripada terlepas pandang (under-estimate). Maka, dari sudut inilah pihak kerajaan sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam melaksanakan arahan kuarantin 14 hari mandatori terhadap mana-mana individu yang memperoleh keputusan negatif pada 1-4 hari pertama sebelum diikuti dengan ujian saringan seterusnya terutamanya bagi mereka yang pulang dari kawasan berisiko dalam dalam isu ini ialah dari negeri Sabah, contohnya. Kegagalan mengambil berat akan isu 'false negative' ini mampu menyebabkan rantaian jangkitan bertambah teruk. Hal ini telah pun kita lihat dalam beberapa kes di mana individu yang awalnya diisytiharkan negatif, kembali semua positif setelah beberapa hari - sedangkan dia sendiri telah aktif bergerak dan bertemu dengan ramai orang membuat 'close contact'.
Kegagalan melaksanakan saranan juga ini bererti pihak kerajaan secara amnya tidak effisien dalam mengurangkan risiko jangkitan dek kerana tidak meneliti secara baik segala aspek 'false positive' yang telah dinyatakan di atas. Kewujudan kes-kes false positif ini mungkin tidak pernah dipandang serius seawal PKP dahulu memandangkan skala jangkitan pada ketika itu sangat besar, maka perlu mengutamakan kes yang jelas termasuklah kes 'false positive'. Namun, pada peringkat PKPP ini - isu 'false negative' menjadi kritikal kerana kita berada di fasa bertahan atau membendung jangkitan daripada merebak semula ditambah lagi dengan kemunculan virus dari jenis D614G yang jauh lebih mudah tersebar berbanding strain yang asal.
Paling tidak, kita perlu mengambil iktibar secara serius bahawa virus D614G inilah menjadi penyumbang terbesar terhadap 'kegagalan' negara-negara Barat dalam membendung jangkitan wabak ini beberapa bulan yang lepas, sambil kita masih berbangga dek kerana telah berjaya bertarung dengan COVID-19. Walhal pada ketika itu kita sebenarnya bertarung dnegan virus dari jenis asal (yang kurang kadar kebolehjangkitan) berbanding negara-negara Barat yang telah lama berhempas pulas dengan strain D614G. Mahu tidak mahu kita kena menerima hakikat ini sedalam-dalamnya. Pahit untuk ditelan tetapi andai kata tiada iktibar kita ambil, tidak mustahil akan berlaku lonjakan kes jangkitan jauh lebih besar daripada gelombang pertama - hampir pasti boleh berlaku dengan melihat kadar jangkitan yang telah wujud sekarang! Kemungkinan besar PKP perlu dilaksanankan semula, sesuatu mimpi ngeri bagi kebanyakan masyarakat dan impaknya terhadap ekonomi negara amat jelas.
Maka, buat masyarakat marhaen, jadikanlah SOP itu satu normal baharu yang sentiasa kekal dalam setiap tindak tanduk harian kita. Bagi golongan politik, sudah-sudahlah berpolitik secara keterlaluan. Ketahuilah, rakyat sudah mula jelek dan benci dengan sikap mementingkan diri sendiri dan perebutan kuasa yang ada. Jangan sampai rakyat bangkit dan luahkan kejelekan ini pada PRU akan datang. Kesabaran rakyat juga ada hadnya.
Rujukan
1. https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMp2015897
2. https://www.acpjournals.org/doi/10.7326/M20-1495
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7357270/
4. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2213007120303531
5. False positive - https://www.thelancet.com/journals/lanres/article/PIIS2213-2600(20)30453-7/fulltext
0 comments:
Post a Comment