Friday, September 2, 2016

Zika, Isu dan Alternatif Penyelesaian: Satu Cadangan

Artikel asal diambil daripada penulisan di FB page saya:

Sebagai individu yang memiliki latar belakang bioteknologi, saya melihat perkembangan kes jangkitan virus Zika sebagai sesuatu yang merisaukan kerana saya yakin sesiapa yang memahami epidemiology, sains biologi dan seangkatannya pasti mampu untuk bersetuju dengan saya, iaitu jangkitan virus Zika ini mungkin telah merebak ke dalam masyarakat Malaysia. Hal ini berdasarkan kes-kes yang mula dikenalpasti positif yang juga berlaku di negara jiran kita Singapura dan Thailand. Memandangkan jangkitan virus Zika ini tidak terlalu teruk bahkan asimptomatik (tiada tanda-tanda gejala), maka keberangkalian untuk ia sudah berada di Malaysia itu amat tinggi hinggalah apabila ianya mula dikesan dan dikenal pasti oleh pihak KKM melalui laporan gejala yang jelas.
Walaupun jangkitan virus Zika tidak teruk pada individu biasa, ianya memiliki hubungan penyebab (causal relationship) dengan kes-kes microcephaly untuk ibu mengandung dengan peratusan 1-13% kes. Inilah yang menjadi isu besar dan penting dalam menangani kes Zika ini dan memaksa saintis di seluruh dunia memberi fokus yang serius dalam membanteras virus ini.
Setakat ini, terdapat progres penting dalam penghasilan vaksin dan therapeutic drug (ubatan rawatan). Satu calon vaksin telah memasuki percubaan klinikal yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal, Inovio Pharmaceutical. Dengan menggunakan cebisan DNA sintetik sama seperti yang terdapat dalam virus Zika, ianya diharapkan mampu menjana sistem imun dan pertahanan yang mencukupi dalam melawan virus tersebut. Ketika ini, ianya mula melalui fasa percubaan klinikal di mana hampir 160 orang telah disuntik dengan vaksin tersebut. Terdapat dua therapeutic drugs yang sedang berada dalam reliminary study (kajian permulaan) yang dikatakan mampu melindungi sel otak daripada rosak namun kajian selanjutnya diperlukan.
Saranan untuk mengelak daripada mendapat anak yang dikeluarkan itu ada benarnya. Cuma, ianya mungkin bersifat jangka masa pendek kerana seperti yang sedia maklum, mana-mana jangkitan yang melibatkan bawaan vektor nyamuk ini adalah satu wabak penyakit yang sukar dikawal dan akan kekal dalam herd (kelompok) ini untuk beberapa lama mungkin berdekad-dekad. Hal ini kita dapat lihat daripada kes-kes jangkitan bawaan nyamuk yang lain seperti Denggi dan Malaria. Ditambah dengan ketiadaan vaksin bagi kedua-dua jenis jangkitan ini, faktor vektor bawaan nyamuk menjadi masalah utama kerana ianya amat sukar dikawal dan berubah mengikut persekitaran (suhu, kebersihan, dan cuaca). Semua ini di luar jangkauan kita. Hal ini sudah pasti sama dengan virus Zika kerana saya pasti untuk meneruskan kelangsungan dalam sesuatu herd (kelompok), ianya pasti akan sedaya upaya untuk terus hidup di dalam reservoir (pembawa/penyimpan) tersebut. Jadi, kerisauan saya ialah saranan untuk tidak conceive itu sebenarnya bukanlah bersifat sementara tetapi sebenarnya boleh jadi berdekad-dekad, dengan assumption virus ini akan terus kekal dalam herd ini seperti denggi dan malaria selagi mana vaksin dan therapeutic drug tidak wujud.
Dari sudut perkembangan bioteknologi pula, secara global usaha pencarian dalam menyelesaikan masalah ini adalah amat aktif. Banyak cadangan-cadangan pelaksanaan termasuklah baru-baru ini kita dengan tentang penggunaan genetically modified(GM) mosquitoes yang telah digunakan dalam mengurangkan vektor nyamuk Aedes. Namun, seperti biasa apa-apa penggunaan yang melibatkan kejututeraan genetik (genetic engineering) pasti akan menerima tentangan yang cukup hebat daripada pihak pendesak. Maka, usaha menggunakan GM mosquitoes ini amat sukar menembusi ruangan global.
Salah satu alternatif lain yang seringkali dipandang tidak besar ialah penggunaan bakteria Wolbachia sp. dalam mengurangkan penyebaran virus atau pathogen dalam serangga khususnya nyamuk aedes. Wolbachia-infected mosquitoes kini dikatakan menjadi harapan besar dalam menangani vektor nyamuk aedes ini. Wolbachia bakteria adalah bakteria semula jadi yang mampu menyerang dan hidup di dalam serangga di dunia ini, Ianya dikatakan hidup hampir 60% di dalam serangga di muka bumi ini.
Tetapi bagaimana ia mampu menghalang Virus Zika?
Idea disebalik pencarian ini ialah: Wolbachia bakteria memerlukan host terutamana serangga untuk terus survive dan akan membunuh sebarang jangkitan lain jika wujud. Ianya hidup di dalam abdomen serangga dan tidak mengakibatkan kematian terhadap serangga tersebut tetapi persekitaran tersebut akan bebas daripada jangkitan virus ataupun bakteria lain. Namun, yang menariknya - ianya jarang sekali berada dalam abdomen nyamuk Aedes. Menyedari hakikat ini, kajian yang berpusat di Monash University dan kerjasana dengan Brazil telah memperkenalkan Wolbachia kepada nyamuk Aedes dan kesannya amat memberangsangkan. Hasil kajian mendapati nyamuk aedes yang diberi suntikan Wolbachia (Wolb+) dengan jayanya menghapuskan virus Zika secara total. Bahkan kajian lain juga konsisten dengan menyatakan bahawa paling tidak hampir 90% virus Zika tersebut dilenyapkan daripada nyamuk Aedes dengan menggunakan Wolbachia. Kajian ini sebenarnya dipelopori dalam menangani kes denggi namun menjadi popular kerana kes Zika yang melanda dan dijangka akan memberi impak yang besar kelak kerana ianya lebih natural dan tidak melibatkan perubahan genetik.
Walaubagaimanapun, kajian wolbachia-infected mosquitoes ini masih dalam kajian dan setakat ini memberangsangkan. Dari sudut pelaksanaan, nyamuk Aedes yang bebas dari virus akan dipilih dan disuntik dengan Wolbachia dan bakteria ini akan terus hidup di dalam host nyamuk tersebut. Wolbachia-infected mosquito tersebut akan dibebaskan ke persekitaran. Sekiranya nyamuk tersebut mengawan dengan mana-mana nyamuk lain yang memiliki bawaan Virus Zika mahupun denggi, Wolbachia akan menghapuskan jangkitan tersebut menggunakan kaedah dan strategi tertentu dan kesannya - nyamuk tersebut akan bebas jangkitan Zika mahupun Denggi. Hal ini juga sama dengan anak hasil persenyawaan nyamuk tersebut. Secara perlahan-lahan, kaedah ini akan menghasilkan kelompok nyamuk Aedes yang bebas daripada jangkitan Zika dan denggi bagi tempoh jangka panjang. Ianya dikatakan sebagai one-shot (satu usaha sahaja) dan tidak memerlukan pengulangan seperti GM mosquitoes.
Kesimpulannya, saya melihat perkembangan wabak Zika ini sebagai suatu yang serius. Banyak usaha yang boleh dibuat bermula daripada setiap individu dan target utama seharusnya dalam menangani vektor pembawa itu sendiri iaitu nyamuk Aedes. Dengan wujudnya Zika ini, kita mula sedar bahawa usaha menghapuskan vektor ini adalah serius dan kita juga menyedari bahawa vaksin dan therapeutic drugs adalah kritikal. Ini mengingatkan kita akan kepentingan vaksin secara jelas. Ianya merupakan satu-satunya harapan paling besar untuk mengatasi masalah ini. Namun, perlu juga kita sedari penghasila vaksin sudah pasti mengambil masa bertahun-tahun (6-7 tahun bergantung kepadap progres dan keberkesanan). Moga apa yang berlaku ini kita muhasabah, tidak terlalu gusar tetapi meletakkan usaha dan tawakal ini kepada Sang Pencipta.
Wallahualam.
disclaimer: apa yang ditulis ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata dan ianya mungkin tidak selari dengan mana-mana pendapat dan dapatan yang lain.
Sekian, terima kasih
Amin Rukaini Mustafa
MSc, BSc Biotechnology (Edinburgh)
Commencing PhD candidate, Biotechnology (Cambridge) (soon)
Credit gambar: Cell and Host (2016)

0 comments: