Sunday, April 13, 2014

Peranan Ahli Akademik




Pekerjaan mencari ilmu merupakan satu pekerjaan mulia. Ianya menuntut pengorbanan juga kesungguhan yang berterusan. Andaikata ianya dibuat dengan sambil lewa, maka sia-sialah segala usaha. Tugas belajar dan mengkaji merupakan satu tuntutan bukan sahaja dituntut oleh setiap umat Islam bahkan menjadi satu keadaan kritikal sekiranya tiada seorang daripada umat Islam yang mengambilnya.

Golongan yang belajar dan mengkaji ini dipanggil golongan akademik. Mereka amat mendalami ilmu yang mereka kaji. Mereka mengetahui secara teliti segala selok belok disiplin bidang yang mereka ceburi. Bagi umat Islam, mereka ini adalah aset dan tunggak penting. Walaupun didasarkan kepada fardhu kifayah, namun tanggungjawab menjalankan kajian dan mempelajari ilmu yang mereka ceburi ini dikira sebagai satu kewajiban, yakni menjadi satu tanggungjawab besar ke atas umat Islam yang lain terutamanya bagi bidang-bidang yang sangat kritikal seperti astronomi, forensik dan sebagainya.

Hal ini kerana sejak kejatuhan kerajaan Khalifah Islam, ramai cendekiawan-cendekiawan Islam lesap ditelan zaman. Dulu, wujud pelbagai ilmuwan Islam yang hebat dan masyur, menjadi sumber rujukan umat seluruh dunia. Kini, Barat pula yang telah mengambil tugas ini, yang telah mencedok segala jenis ilmu dan memperkembangkannya. Kita bukan ingin menuding jari menuduh kepada Barat betapa jahatnya mereka. Tidak, dalam entri ini saya tidak membawa stigma begitu tetapi kita sepatutnya menuding jari kepada diri sendiri kenapa dan mengapa masih berada di tampuk yang sama.

Kegemilangan kerajaan Islam terdahulu membuktikan bahawa bidang ilmu fardhu Kifayah merupakan satu tuntutan besar yang tidak boleh dipandang enteng. Wujud daripada kalangan mereka yang mahir dalam segenap lapisan ilmu termasuklah ilmu fadhu ain dan bergiat aktif pula dalam lapisan ilmu fadrhu kifayah. Tidakkah kita pernah mempelajari daripada mereka?

Umat Islam terdahulu, pakar-pakar dalam bidang masing-masing tidak menghadkan akan aktiviti keilmuwan semata-mata tetapi diterjemahkan ke dalam bentuk aplikasi dan pelaksanaan kefahaman. Saya pasti, masyarakat umum pada masa dahulu dididik untuk mengenali segala jenis penemuan yang dilakukan. Walaupun tiada bukti secara konkrit, tetapi kita dapat melihat daripada kesan sejarah dan tinggalannya. Penterjemahan serta pengumpulan teknologi dari peradaban lain telah ditertafsirkan ke dalam bentuk teknologi fizikal menjelaskan kepada kita bahawa umat Islam seperti di Cordoba tidak membiarkan rakyat mereka tandus dengan ilmu. Pasti tugas mendidik masyarakat juga wujud. Bahkan peranan ahli akademik sebenarnya adalah merungkaikan ketidafahaman dalam kalangan masyarakat dan menjadi agen memudahbicarakan.

Cuba kita lihat ahli-ahli akademik hari ini, yang selalunya hanya berfokus kepada nilai akademik yang bersifar profesionalisme, yakni hanya golongan yang berpendidikan sahaja yang mampu memahami selok bahasa mereka. Sukar sama sekali untuk memudahfahamkan rakyat marhaen yang tidak mengenali perkataan 'jargon' perkataan saintifik dan sebagainya. Bahkan ini pula dijadikan alasan untuk tidak menwar-warkannya. Nah, cuba lihat negara Barat, mereka tidak berdiam diri. Mereka mewar-warkan kepada masyarakat umum agar masyrakat mereka menjadi sebuah tamadun yang mengenal erti ilmu.

Terdapat beberapa perkara yang seorang ahli akademik perlu menilai dan melaksanakan:

1. Menjadi orang pertama dalam memahami sesuatu teknologi yang baru. Seterusnya menjadi medium pengantara antara pelajar, juga dengan masyarakat umum.

2. Memiliki sikap proaktif. Bukan sekadar mengejar penulisan yang boleh dikeluarkan dalam journal-journal sains bahkan beliau juga perlu melibatkan diri dalam mengeluarkan penulisan kepada masyarakat umum demi tujuan mendidik dan kepentingan ummah.

3. Bersedia memberi pandangan secara peribadi dengan lenggok dan laras bahasa yang mudah difahami.

4. Bergiat aktif dengan memastikan wujudnya 'public involvement', mungkin dengan mengadakan seminar umum, perbincagan dan conference tetapi tidak mengkhususkan kepada golongan elit akademik sahaja.

5. Berfokus, dan mempunyai agenda yang jelas, yakni, ke arah manakah ingin membawa umat Islam pada masa akan datang?

6. Journalisme yang tinggi. Seorang ahli akademik juga mampu berinteraksi pada pentas artisan, pada pentas dokumentari, pada pentas yang melibatkan komunikasi secara langsung menarik minat Umat Islam yang lain untuk terus berdaya saing.

7. Yang paling penting, menjadi qudwah hasanah, contoh teladan kepada masyarakat umum, mampu melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung. Menghindari daripada reputasi buruk dan menujukkan contoh teladan yang disegani. Tidak berkepentingan dan membawa agenda kebersamaan.

8. Seorang ahli akademik juga haruslah layak membuka mulut dalam hal-hal yang melibatkan bidangnya tanpa perlu disuruh dan diminta. Hal ini menjadi kewajiban untuk menyampaikan ilmu yang dimilikinya kena dengan taraf fardhu kifayah yang dimilikinya.

9. Bertindak pada aras kemampuan yang beliau miliki, juga tidak mematahkan semangat orang lain, serta mampu memberi galakkan kepada mereka yang turut sama mempunyai azam yang tinggi.

10. Tidak memandang remeh akan pendapat masyrakat umum ataupun mana-mana pandangan peribadi lain. Hal ini kerana seorang ahli akademik tidak wajar mem'bunuh' idea-idea yang mampu membawa kebaikan bersama mengikut landasan syarak.

Sekian.


Amin Rukaini Mustafa
Bsc Biotechnology, Msc Biotechnology
The University of Edinburgh.



0 comments: