Saturday, April 5, 2014

Fenomena 'Spring' di Malaysia: Satu Hipotesis dan Korelasi

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapakah baru-baru ini terdapat satu fenomena yang agak menarik berlaku di Malaysia iaitu fenomena pokok-pokok mula mengeluarkan bunga-bunga yang lebat seperti spring di negara-negara yang mempunyai empat musim. Mungkin bukan kali pertama, tetapi seperti apa yang kita amati fenomena ini seolah-olah menjadi satu perkara yang begitu luas sekarang. Sama ada bermula dari utara semenanjung sehinggalah ke selatan semenanjung.


Gambar asal daripada kawan akan fenomena pembungaan di Malaysia baru-baru ini. 
[kredit gambar: Akmal Hayat]


Kredit gambar: Visit Perlis (FB page)

 Kredit gambar: Visit Perlis (FB page)


Pembungaan ciptaan Allah SWT
Tidakkan kita bertanya kenapa ini terjadi? Sebagai seorang manusia yang peka dan mengamati alam ciptaan Allah SWT, tidakkan kita pernah memikirkan kenapa ini mampu terjadi? Mungkin ada yang terfikir, tapi disebabkan tidak mampu menghuraikan secara hujah yang mendalam. Saya merupakan pelajar jurusan Bioteknologi dan mengkaji perkara ini secara mendalam. Saya belajar di Edinburgh, UK sebuah negara yang mempunyai empat musim. Jadi sememangnya dalam silibus Bioteknologi kami mengkaji secara mendalam sehingga tahap molekul (molecular level) kenapa dan mengapa proses pembungaan ini terjadi. Jika di UK, sebab utama proses pengguguran daun dan pembungaan berlaku adalah disebabkan oleh kesan pencahayaan yang berbeza dan seterusnya mengaktifkan genes yang dikenali sebagai florigen. Jumlah pendedahan kepada cahaya memainkan peranan besar terhadap kadar pembungaan dan proses ini dipanggil sebagai photoperiodism. Photoperiodism memainkan peranan penting dalam mengawal proses domancy, proses tumbesaran pokok, pengguguran daun dan seterusnya pembungaan.

Hipotesis
Itu di UK, bagaimana pula di Malaysia? Malaysia secara umumnya berada di tengah-tengah garisan khatulistiwa dan hal ini tidak menyebabkan perbezaan kadar cahaya yang berbeza sepanjang tahun. Purata kadar daylight di Malaysia adalah di sekitar 12 jam 9-10 minit sehari dan ianya agak konsisten sepanjang tahun. Jadi, faktor cahaya tidak terlibat dalam fenomena yang kita lihat baru-baru ini. Persoalannya, apakah faktor lain yang menyebabkan berlakunya pembungaan? Apakah correlation yang mampu kita kaitkan? Saya tertarik untuk membuat satu konjektur menarik di sini dengan menghuraikan bahawa apa yang terjadi baru-baru ini adalah kesan daripada perubahan cuaca sedunia ataupun global climate change. Berdasarkan data yang kita miliki baru-baru ini, wujud satu korelasi yang kuat antara perubahan suhu dan faktor pembungaan. (ini hypothesis saya).

Kesan suhu terhadap proses pembungaan
Saintis mula menyedari baru-baru ini bahawa selain pencahayaan, suhu turut memainkan peranan penting dalam menyebabkan pembungaan. Dalam beberapa kajian saintis daripada John Inns Institute yang ditaja oleh Biotechnology and Biological Sciences Council (BBRSC) UK baru-baru ini pada tahun 2013, mereka mendapati bahawa sejenis gene yang dikenali sebagai FIP4, yang terlibat secara langsung dalam proses pembungaan, mampu diaktifkan oleh faktor suhu (Thines et al., 2014). Gene FIP4 terlibat secara langsung dalam flowering pathways dan dikawal oleh kadar suhu luaran. Dalam kajian tersebut, saintis mendapati bahawa suhu yang panas mampu menyebabkan flowering pathways teraktif. Ianya tidak teraktif sekiranya suhu berada di bawah paras tertentu. Apabila FIP4 genes diaktifkan, FIP4 akan secara tidak langsung menempel (bind) pada Florigen genes dan mempercepatkan proses pembungaan. Ini bukanlah kali pertama FIP4 dikaitkan dengan pembungaan cuma baru-baru ini saintis mula lebih memahami bahawa suhu sahaja sudah mampu mengaktifkan pembungaan pada pokok-pokok, penemuan ini diperkuatkan lagi dengan hujah dan dapatan bahawa pokok-pokok yang hidup di sekitar kawasan perumahan yang lebih panas kebiasaanya akan berbunga sedikit awal (early flowering) dari pokok-pokok yang berada di suhu yang rendah.

Data dan Report Cuaca
Daripada data suhu dan report yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia (2009) dalam tajuk Climate Change Scenario for Malaysia, jelas menunjukkan wujud  satu trend peningkatan suhu yang secara perlahan-perlahan bermula dari tahun 1968 sehinggalah 2007 (data yang ada) dalam rajah 1. Jika kita lihat dalam rajah 3 pula menunjukkan jangkaan perbezaan (anomaly) suhu pada tahun hadapan, jelas menunjukkan satu peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun. Jika dahulu purata suhu adalah sekitar 25-27 degree celcius, kini ianya mungkin mencecah sekitar 27-29 degree celcius. Dalam rajah 2 pula menunjukkan taburan purata suhu dari Disember (D) sehinggalah ke November (N) serta perbandingannya antara tahun 1961-1990 dengan 1998-2007. Kelihatan pada kotak di senarai kedua iaitu MAM (Mac,April Mey) menunjukkan kadar suhu tertinggi bagi kedua-dua tahunan mana suhunya MAM pada 1998-2007 mencatatkan paling tinggi mencecah sekitar 29 degree celcius dan ke atas. Paling tidak, hari ini kita mampu melihat wujud perubahan cuaca yang ketara dalam jangkamasa beberapa bulan lepas, wujud penurunan suhu yang mendadak diikuti dengan suhu yang panas pada bulan Mac 2014 sehinggalah sekarang.

Rajah 1 menunjukkan data purata suhu tahunan di Malaysia di beberapa kawasan sejak 1968 sehingga 2007
Sumber: Malaysian Meteorological Department (2009), Climate Change Scenario for Malaysia


Rajah 2 menunjukkan perbandingan suhu antara tahun 1961-1990 dengan 1998-2007 dari bulan Disember (D) sehinggan November (N). 
Sumber: Malaysian Meteorological Department (2009), Climate Change Scenario for Malaysia


Rajah 3 menunjukkan jangkaan perbezaan (anomaly) dari suhu pada tahun 2000 sehingga 2098.
Sumber: Malaysian Meteorological Department (2009), Climate Change Scenario for Malaysia


Diskusi & Kesimpulannya
Daripada correlation study mudah yang kita lihat di sini, saya membuat satu konjektur ataupun hipotesis bahawa fenomena berlakunya pembungaan secara drastik ini adalah berkait rapat dengan perubahan suhu. Mac, April, Mei merupakan bulan yang mencatatkan suhu tertinggi setiap tahun. Tahun ini perubahan cuaca dan suhu mencatatkan satu yang luar biasa, termasuklah kesan-kesan yang dikatakan menyebabkan hujan lebat, salji (rumour) dan paling utama dengan suhu kemarau selama hampir tiga bulan. Perubahan suhu sejuk yang kemudiannya diikuti suhu panas secara mendadak mungkin memainkan salah faktor penting terhadap proses pembungaan ini. Genes FIP4 mungkin salah satu yang turut terkesan daripada kesan peningkatan suhu ini. Dan kemungkinan kesan yang dapat kita lihat ialah 'fenomena' pembungaan ini.

Tidak dinafikan, mungkin ada faktor lain, tapi berdasarkan pemerhatian dan penelitian, suhu menunjukkan satu perubahan yang ketara menampakkan satu faktor besar dalam memahami kenapa dan mengapa fenomena ini mampu dilihat baru-baru ini ataupun beberapa tahun lepas. Andaian ini bukanlah berdasarkan teori semata-mata tetapi berdasarkan fakta, statistik yang kita ada. Apa-apa pun saya ingin menyatakan bahawa setakat ini, ianya adalah andaian dan konjektur semata-mata cumanya mempunyai korelasi yang kuat. Saya juga tidak menafikan bahawa wujud genes mahupun faktor lain yang terlibat. Kajian seterusnya perlu dilakukan. Tambahan lagi, penemuan kesan suhu terhadap gene FIP4 masih baru dan membuka satu penilaian baru akan kesan suhu terhadap pembungaan. Fenomena yang berlaku di Malaysia juga bukanlah pertama kali bahkan kita pernah melihatnya berlaku di beberapa tahun yang lepas. Mungkin disebabkan kadar pertukaran suhu yang mendadak baru-baru ini telah menyebabkan biological system ini terganggu dan seterusnya menyebabkan fenomena ini berlaku secara agak luar biasa.

Dengan hipotesis ini, paling tidak ia mampu membuka minda masyarakat umum bahawa sistem penciptaan Allah SWT sangat hebat dan unik. Paling tidak, ia akan memberi sedikit penjelasan secara saintifik. Paling tidak, masyarakat  perlu mula sedar bahawa aspek pemerhatian alam ini harus dilakukan secara berkala. Negara barat sudah lama memperaktiskan budaya ini kerana mereka hidup dilitupi pelbagai suasana yang berubah-ubah, musim luruh, musim bunga, musim salji dan musim panas; melatih individu dalam masyarakat menjadi 'saintis' yakni, melihat, memerhati, memikir dan membuat satu sintaksis idea dalam menjawab berbagai-bagai persoalan mahupun permasalahan. Malaysia, sebuah negara yang panas di lembah khatulistiwa tidak banyak mengalami perubahan, maka fenomena ini serba sedikit membuka minda dan sudut pandang kita.

Sudah tentu, fenomena ini bakal menarik ramai peminat. Proses yang sama berlaku di negara-negara empat musim kini mula kelihatan di negara-negara sekitar khatulistiwa. Mungkin berkata: Ah Malaysia juga ada, kenapa perlu pergi ke luar negara? Pasti akan ada gambar-gambar menarik yang menginspirasikan bunga sakura Jepun. Mungkin satu hari nanti bunga-bunga Tulip bakal membesar di tepian jalanan lebuh raya? Siapa tahu. Kita hanya hamba, meneliti dan memahami Sunnah Allah.



Mungkinkah akan ada ladang tulip pertama di Malaysia? (gambar hiasan)

Ditulis oleh:
Amin Rukaini Mustafa
Bsc Biotechnology (Edinburgh), Msc Biotechnology (current)
The University of Edinburgh
United Kingdom.


* Diingatkan, ini hanyalah satu korelasi, dalam dunia sebenar ada pelbagai jenis genes dan faktor-faktor lain yang mungkin terlibat, gene PIF4 ini hanyalah salah satu daripadanya dan ini juga konjektur. 

Konjektur = Satu teori yangdilandaskan kepada informasi yang tidak lengkap
_________________________________________________________________________________


Rujukan:

  • It’s Official: Warm Weather Causes Flowers To Bloom. Read more ahttp://www.redorbit.com/news/science/1112499151/its-official-warm-weather-causes-flowers-to-bloom/#pdb28eg9y2m0kcvz.99
  • Jason Koebler (2013), Report: Climate Change Causes Plants to Flower Historically Early, http://www.usnews.com/news/articles/2013/01/17/report-climate-change-causes-plants-to-flower-historically-early
  • Wanginngen University, "Extreme Autumn Temperatures causes unseasonable Flowing in the Netherlands", Sciencedaily, 22 December 2006.
  • Thines et al., (2014), The time of day effects of warm temperature on flowering time involve PIF4 and PIF5, J. Exp. Bot.65 (4): 1141-1151.
  • Malaysian Meteorological Department (2009), Climate Change Scenario for Malaysia, Scientific Report, 1-67.

1 comments:

Fatimah Untong said...

saya suka bait-bait perkataan ni sbb sya menjaganya & sdg berusaha supaya bunga tulip terus hidup di W.P.Labuan:

"Mungkin satu hari nanti bunga-bunga Tulip bakal membesar di tepian jalanan lebuh raya? Siapa tahu. Kita hanya hamba, meneliti dan memahami Sunnah Allah."