Friday, September 7, 2012

Dari Bujang Kepada Berkahwin, Falsafahnya Apa?

Yahoo!! Syoknya! (gambar hiasanya)



"Zaman kita sekarang ini tiada isu lain dah melainkan isu perkahwinan sahaja"

"Entri-entri yang menarik orang biasanya berkaitan dengan perkahwinan"

"Biasa la wei, dah sampai seru, mesti la kita sembang isu-isu macam ini"

Berikut merupakan beberapa sektsa yang sering saya dengar. Cuba anda perhatikan betul-betul. Isu perkahwinan adalah isu paling famous bagi golongan muda-mudi. 

Saya mempunyai pengalaman-pengalaman berbicara dan berbincang dengan rakan-rakan yang hampir seumur dengan saya dan juga seringkali berbicara dengan mereka yang lebih dewasa daripada saya. Mungkin puluhan tahun berbeza. Ada perbezaan ketara dalam dua kelompok ini.

Bagi kelompok bujang, perkahwinan dianggap satu fenomena besar dalam hidup. Sebab itu sampai ada yang meragam memikirkannya. (termasuk saya) Manakala bagi kelompok yang sudah berumah tangga, isu perkahwinan tidak lagi disentuh bahkan boleh dijadikan bahan senda gurau. Contoh. "Bila mahu kahwin lagi?".Fasa hidup kita berubah-ubah berdasarkan pengalaman yang kita lalui.

Gurauan atau Serius?
Ada orang ambil perkara ini terlalu serius sehinggakan langsung tidak berani mahu mencuba. Ada pula tidak langsung tergerak mahu mengatur langkah, mengaharapkan jodoh datang bergolek. Ada pula yang senang-senang mahu berkahwin tanpa memikirkan kemampuan. Jadi, di manakah kita?

Islam dan Pernikahan
Agama Islam adalah agama yang syumul, memenuhi fitrah manusia. Pembinaan keluarga pada pandangan Islam merupakan suatu perkara dan falsafah yang cukup mulia dan murni. Terkandung di dalamnya berbagai-bagai hikmah bukan sahaja mahu memenuhi fitrah manusia bahkan memberi kesejahteraan kepada ummat nabi Muhammad SAW. Kekeluargaan dalam Islam mempunyai objektif, misi, visi dan falsafah yang cukup jelas.

1. Memelihara Kesinambungan Bangsa
Perkahwinan menjamin kelangsungan biologi dan fisiologi sesuatu umat; merangkumi aspek psikologi kaum adam dan hawa. Setiap jantina mempunyai rasa tanggungjawab masing-masing. Dengan adanya kekeluargaan, ianya memberi ruang secara langsung kepada kedua-dua jantina ini untuk berinteraksi. 

2. Membina rasa cinta
Cinta seringkali terhalang disebabkan ianya tidak disalurkan pada landasan yang betul. Perasaan cinta itu adalah fitrah bagi setiap insan. Namun jika ianya terhalang mahupun terlarang, kesannya adalah sangat buruk kepada masyarakat. Islam memberi cara dengan pernikahan yang sah agar cinta ini mekar dan menambahkan lagi kemekarannya dengan cara yang cuku bermaruah, murni dan terpuji.

3. Memberi ketenangan jiwa
Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang mafhumnya menerangkan 'sakinah' ataupun ketenangan yang hadi pada suami isteri dengan pernikahan. Gambaran ketenangan ini tidak dapat direalisasikan melainkan dengan merasainya sendiri. Dalam keadaan ini, ketenangan ini pasti mewujudkan sebuah gagasan masyarakat yang stabil dan seterusnya menjana kekuatan dalaman.

4. Cinta = Tanggungjawab
Seorang lelaki jika tidak berkahwin sukar untuk membina satu pencapaian yang memberangsangkan. Tanggungjawab adalah satu perkara yang perlu manusia pikul. Tanpa tanggungjawab seorang insan akan menjadi lesu dan tidak berdaya saing. Seorang lelaki sejati akan mengambi tanggungjawab sebagai sebuah motivasi cinta. Tanggungjawab yang melahirkan rasa cinta sejati. Anda dapat rasainya jika anda melaluinya. Cuba bayangkan anda berkorban demi kekasih (isteri) tercinta dan kepuasannya ialah tatkala melihat si dia gembira. Jadi, inilah manifestasi cinta dalam perkahwinan. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur ayat 7 yang berbunyi:

"Orang yang mampu hendaklah memberikan nafkah sesuai dengan kemampunannya dan bagi yang kekurangan, hendaklah memberi nafkah sesuai dengan yang Allah berikan kepadanya. Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan pemberian yang diberikan kepadanya. Allah akan memberikan kemudahan sesudah kesulitan" 

5. Memelihara kesihatan badan
Jelas sama sekali bahawa perkahwinan membawa kesejahteraan dari aspek kesihatan. Hari ini kita mendengar bagaimana salahlaku seksualiti yang sangat berleluasa. Gejala LGBT (lesbian, gay, bisexual, transexual) memperlihatkan kepada kita satu gejala yang cukup rumit. Ianya bukan sahaja merosakkan jiwa seorang manusia tetapi juga mewujudkan berbagai-bagai penyakit lahiriah. Hubungan seksual secara LGBT itu sendiri melanggar fitrah manusia dan ianya terbukti menyebabkan banyak penyakit kelamin. Sains sendiri telah membuktikan bahawa penyakit berjangkit melalui hubungan seks seperti Syphilis adalah disebabkan hubungan seks sesama jantina. Maka, mengapa kita mahu memilih jalan yang sukar dan tidak bermaruah sedangkan Islam memberi cara yang mudah.

6. Menggandakan Pahala
Satu falsafah besar dalam pernikahan ialah usaha menggandakan pahala. Anda mungkin jarang terfikir hal ini, tapi ketahuilah dengan berkahwin anda mampu menjadikan perkahwinan anda sebagai satu laba pahala yang berpanjangan. Tetapi bagaimana? Dalam sebuah hadis riwayat bukhari menyatakan:

Dari Saad bin Abi Waqaash: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya: 'Tiada engkau memberikan belanja demi mencari keredhaan Allah, melainkan pasti akan diberi pahalam sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu"

Dan lupakah kita kepada hadis terkenal tentang tiga amalan yang pasti berkekalan sampai ke akhirat? 

"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahm ilmu yang bermanfaat bagi manusia, dan anak soleh (yang selalu) mendoakannya" (HR Muslim).

Pendek kata, siapakah yang memiliki peluang ini melainkan mereka yang sudah berkeluarga? Jadi mengapa ingin kita lepaskan peluang sedangkan Allah SWT menggesa-gesa kita dalam berlumba-lumba membuat kebaikan. Fastabiqul Khairat!

7. Membina Kematangan Keibubapaan
Orang yang tidak mempunyai anak sukar untuk merasai bagaimana timbulnya rasa kematangan di dalam diri itu. Kematangan ini bukanlah kematangan biasa, ianya kematangan yang melentur jiwa dengan rasa kasih sayang. Cuba anda bayangkan seorang lelaki dan wanita yang dikurniakan cahaya mata, apakah yang membezakan mereka dengan orang bujang? Mereka memiliki satu jiwa perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka. Perasaan ini adalah perasaan yang Allah kurniakan kepada semua makhluk. Dalam satu hadis sahih Bukhari diriwayatkan bahawa:

Dari Abu Hurairah, ia berkata: "saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Allah Azza wajalla menciptakan rahmat 100 bahagian; 99 bahagia Dia tahan di sisiNya dan 1 bahagian diturunkan ke bumi. Dari 1 bahagian ini semua makhluk saling berkasih sayang, sehingga induk kuda menarik kakinya dari anaknya kerana takut menimpanya. 

8. Menjaga Keturunan
Dalam Islam aspek keturunan dipandang dengan satu perkara yang sangat penting. Penjagaan nasab (keturunan) jelas menunjukkan bahawa Islam menjada hubungan anak dengan orang tuanya secara terperinci. Islam melarang sama sekali keturunan yang terhasil dari hubungan yang tidak halal. Hal ini secara langsung menafikan kesamaran nasabnya. Nasabnya yang jelas memastikan hak-hak keturunan tersebut terpeliharan dan terjamin.

9. Memperluas ikatan kekeluargaan
Satu perkara yang ramai bujang-bujang lupa bahawa perkahwinan sebenarnya sangat indah kerana kita berjaya menghubungkan ikatan kekeluargaan. Perkahwinan bukan bererti ktia berkahwin dengan bakal isteri kita sahaja, bahkan kita secara tidak langsung merapatkan rasa cinta sesama keluarga. Yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan, itulah falsafah pernikahan dalam Islam. Mungkin selama ini kita hidup bersendirian dan memikirkan soal diri sendiri, tapi dengan pernikahan Islami, satu kemeriahan yang sukar kita gambarkan sewaktu zaman bujang dahulu muncul dalam hidup kita. Dari beberapa jumlah kecil kaum kerabat kini kita bakal memiliki mungkin satu batalion kaum kerabat lain! Cuba anda bayangkan kemeriahan yang pasti muncul. Itulah falsafah pernikahan, ianya mengajurkan sosialisasi yang cukup memberangsankan jiwa.

10. Memelihara Martabat Wanita
Indahnya Islam ialah ianya memartabatkan kaum wanita tidak seperti jahiliyyah. Wanita diangkat martabatnya. Dahulu kala wanita dipijak-pihak dan dijadikan hamba seks. Bahkan kini perkara tersebut masih berleluasa di dunia barat juga timur. Tapi Islam mengharamkan perhambaan Seks, Islam mahu semua wanita yang mukminah dipinang dan dikahwini dengan cara yang terhormat sekali. Bahkan si suami perlu memberi hadiah maskahwin, memberi nafkah secukupnya. Bahkan secara idealisitiknya, wanita itu patut dilayan macam first class! Mengalahkan puteri di kayangan! (ok, hiperbola tapi harap-harap difahamilah).

Dalam Alquran, Allah menyebut wanita mukminah itu sebagai muhshanat iaitu benteng perlindungan yang diambil suami sebagai isteri. 

"Wanita-wanita muhshanah yang beriman dan wanita-wanita muhshanah dari ahlil kitab sebelum kamu (halal kamu nikahi) jika kamu memberikan maskawin kepada mereka sebagai isteri (ihsan), bukan sebagai pasangan berzina dan bukan pula sebagai alas tidur (gundik). Barang siapa yang kafir kepada keimanan, amalnya akan sirna dan di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi" [Al-maidah: 5]




Pendek kata, falsafah pernikahan dalam Islam itu cukup mulia dan syumul. Golongan bujang digesa agar mempercepatkan proses perkahwinan. Ibu bapa pula haruslah mengambil peranan yang proaktif dalam menggalakkan anak-anak. Adat-adat yang membebankan dan menyusahkan perkahwinan seharusnya ditolak secara keras. Apa-apa sahaja trend yang menghalang dan menyusahkan perkahwinan seharusnya dielakkan. Trend walimatul urus yang ternyata terlalu 'grand' dan wang hantaran yang terlalu mahal seringkali menjadi halangan seharusnya dikaji semula agar falsafah perkahwinan ini tidak dicemari. Masyarakt perlulah peka akan isu ini memandangkan segala gejala sosial yang berlaku ada perkaitan rapat dengan kurangnya penekanan akan aspek kekeluaragaan yang utuh. 


Amin Rukaini, Kodiang, 7 September 2012.



1 comments:

ursaillaes said...

amin bila nak majlis walimah ni?hehe