Showing posts with label Falsafah perkahwinan islam. Show all posts
Showing posts with label Falsafah perkahwinan islam. Show all posts

Saturday, August 10, 2013

7 Cabaran ke Alam Perkahwinan: Bersediakah kita?

Acapkali bila sahaja pada zaman berumur antara lingkungan 21-25 tahun ini, pasti setiap individu mula memikirkan soal berumah tangga dan mencari pasangan hidup. Ianya sudah menjadi fitrah setiap insan untuk memiliki pasangan hidup. Tidak terkecuali penulis juga yang mula merasai rasa perlunya mendirikan rumah tangga. Sedar tidak sedar, kita sudah mula melalui fasa perubahan ke arah yang lebih besar tanggungjawabnya. Barangkali, umur 21-25 tahun sebenarnya mungkin hanya wujud dalam era ini kerana zaman-zaman dahulu kebanyakan dari ibu bapa dan datuk nenek kita biasanya berkahwin lebih muda bahkan pada umur 14-16 tahun sudahpun menamatkan zaman bujang. Beberapa isu-isu akan cuba dikupaskan di sini berfokuskan kepada aspek persediaan menghadapi alam rumah tangga.


Tarikh sudah ada, tapi bersediakan kita?


Keutamaan Berkahwin
Terdapat banyak dalil secara umum mahupun dipetik dari sumber AlQuran dan Hadis menggalakkan keutamaan berkahwin dengan hikmah yang sangat luas. Diigatkan kembali Allah SWT berfirman:

"Dan sebahagian daripada ayat-ayatNya (bukti-bukti) bahawa Ia telah jadikan kamu dari jenis kamu berpasang-pasangan, yang kamu senangi kepadanya, dan Ia jadikan di antara kami rasa cinta dan kasih sayang.." Ar-Rum: 21.

FirmanNya lagi dalam surah An-Nur: 32,

"Dan kahwinkanlah laki-laki dan perempuan yang sendiri dari antara kami, dan hamba-hamba laki-laki dengan perempuan yang layak kamu nikahi. Jika mereka miskin, nanti Allah mampukan mereka dengan kurniaNya kerana Allah itu luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Juga hadis-hadis daripada Rasulullah SAW sendiri banyak memberi keutamaan kepada para pemuda agar bersegera berkahwin jika mampu. Jelas sekali kepada kita perkahwinan bukanlah satu perkara remeh temeh yang boleh kita hindari daripada aspek kehidupan bahkan seharusnya para pemuda-pemudi mengambil sebagai satu cabaran di dalam aspek kehidupan. Jadi sejauhmanakah kita bersedia dan apakah cabarannya?

1. Cabaran Nafsu
Cabaran paling besar bila berada di zaman moden ini ialah cabaran melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Terus terang di sini bahwa generasi muda-mudi hari ini dihentam dengan pelbagai-bagai ujian yang boleh melunturkan nilai keimanan bahkan mampu menodai maruah mereka jika tidak dibendung dan dikawal dengan baik. Berapa banyak kes rogol, kes zina, kes sumbang mahram dan kes buang anak dilaporkan di media perdana dan itupun hanya segelintir besar dari yang dilaporkan dan berapa banyak yang belum dilaporkan lagi. Belum dikira lagi bukan kes zina secara paksa; yakni secara sukarela, ataupun dengan lebih tepat dengan kehendak sendiri? Bagaimana pula dengan kes zina yang tidak menyebabkan kelahiran anak dengan adanya pelbagai teknik kontrasepsi di pasaran? Saya yakin jika ditebarkan statistik sebenar, masyarakat kita berada pada kadar yang parah dan semua ini menghentam golongan yang kita gelar sebagai pemuda-pemudi. Jika golongan ini tidak melatih diri melawan cabaran desakan hawa nafsu serta desus desas bisikan syaitan ditambah lagi dengan pengabaian ibu bapa, masakan semua masalah sosial tadi tidak bisa berlaku? Islam hadir membawa jalan dengan memberi ruang semua itu dengan pernikahan, tetapi sejauhmanakah masyarakat kita memahami situasi sekarang dan mengutamakan syariat dari adat?

Pernah lihat statistik seperti di atas bukan? Seringkali memenuhi ruang akbar tempatan. Sekadar buat renungan. Ini yang dilaporkan, tetapi yang tidak dilaporkan? Yang sukarela tanpa dipaksa?


2. Cabaran Adat/Kerenah Masyarakat
Seperti persoalan yang saya timbulkan, berepa kerat dalam masyarakat kita masih lagi kuat memegang adat sehinggakan menyusahkan soal perkahwinan. Saya beri contoh mudah, saya pernah bersembang beberapa orang sahabat yang pada umurnya tua dari saya dan sudah pun berkeluarga. Si A (nama sebenar dirahsiakan) menceritakan kepada saya bagaimana beliau terpaksa menunggu selama 2 tahun untuk bertunang sedangkan pada saat itu beliau sudah sangat 'desperate' untuk bernikah dengan kemampuan sudah ada dah sudah dikira pada tahap wajib. Namun, setelah menunggu sekian lama, beliau berjaya juga menamatkan zaman 'desperate' beliau. Apakah penyebabnya? Sebab utama ialah faktor adat yang terlalu melampau dalam masyarakat kita. Peranan ibu bapa yang terlalu mengikut adat sebenarnya sangatlah menyusahkan generasi yang ingin berkahwin. Ibu bapa seharusnya memahami bahawa situasi hari ini tidak sama dengan situasi 20-30 tahun lepas yang cabarannya mungkin tidak seberat cabaran hari ini dan seharusnya memudah dan mempercepat proses pernikahan. Adat kadang-kadang menyusahkan proses ini, dan yang lebih utama ialah syariat. Maka adalah penting menyedarkan ibu bapa agar tidak terikut dengan adat yang sekian lama menghantui mereka yang ingin berkahwin.

Ooops, kejap, tol dulu. Gambar Hiasan. 


3. Cabaran Akademik
Akademik juga menjadi satu penghalang terbesar pada generasi hari ni memandangkan kehendak terhadap akademik menjadi satu bualan yang sangat penting. Lantas, ia menjadi satu alasan kukuh untuk melambatkan perkahwinan anak-anak kepada 'makcik-makcik' dan 'pakcik-pakcik' yang tidak pernah mahu mengambil tahu soal peri peritnya berada di zaman ini. Pasti alasan yang kukuh diberi ialah: "Awak kena belajar dulu, nanti fail pelajaran kan susah, kahwin pun tak dapat". Ada benarnya. Tetapi sejauhmanakah statement itu benar bergantung kepada tahap individu masing-masing. Tetapi pendek kata, secara umumnya, faktor akademik banyak menyebabkan generasi pemudi khususnya hari ini hilang tempat mencari calon pasangan. Maafkan sekali lagi jika ini isu sensetif. Tapi melalui pemerhatian saya, ramai pemudi-pemudi yang mempunyai background akademik tinggi (Master/PhD) berumur dalam lingkungan 24-27 masih lagi terkial-kial mencari pasangan masing-masing. Hakikatnya ialah tidak ramai lelaki yang setinggi status akademik mereka dan bagi lelaki pula adalah merisaukan untuk mengahwini pemudi yang berkelayakan tinggi ini. Mungkin ini stigma yang selalu dirasai. Juga mungkin si pemudi pula tidaklah mahu pemuda yang berkelayakan rendah yang hanya menjual burger mahupun menjual di pasar malam sahaja sedangkan pemuda yang berkelayakan tinggi pula majoritinya sudah berpunya dan mahukan calon pasangan yang tidak sibuk dengan akademik dan mampu menjaga bakal anak-anak mereka dengan baik. Kata seorang Prof Madya dari UPM yang sempat saya berbual di Edinburgh baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa "7/10 pelajar di dalam kelas beliau ialah pelajar perempuan, mana perginya lelaki?". Lantas dengan berjenaka seorang berkata: "Itulah, orang macam Dr ni perlu mainkan peranan kuatkan sunnah kahwin empat". Semua gelak ketawa dengan nada berjenaka. Gurauan yang mungkin sukar diterima oleh golongan  pemudi. Abaikan jika sensetif.

Cemerlang atau tidak cemerlang bergantung sejauh mana kita benar-benar bersedia. Bersediakah untuk cemerlang?

4. Cabaran Kewangan
Ya, tidak semua yang mampu mengahwini seorang perempuan hari ini disebabkan faktor kewangan yang tidak kukuh terutamanya dari golongan para pelajar. Jika di Malaysia, saya difahamkan dengan elaun bulanan yang tidaklah tinggi sekitar RM700-1500 khsus untuk membiayai kos hidup di universiti, maka mana mungkin untuk mengumpul kos wang hantaran serta kos sampingan perkahwinan yang mencecah puluh ribu ringgit. Saya bertanyakan kepada rakan-rakan yang telah berkahwin, pada kadar sekarang, purata kos semua perkahwinan paling murah adalah sekitar 20 ribu ringgit. Bagi saya yang belajar di luar negara ianya bukanlah satu perkara yang besar kerana elaun bulanan kami sangat tinggi sekitar RM4000 sebulan. Tetapi bayangkan bagi golongan majoritinya yang kebanyakan belajar di dalam negara ini, mahu tidak mahu akhirnya terpaksa membuat pinjaman dari bank-bank yang ada. Akhirnya, hutang PTPTN belum terbayar, ini pula ditambah hutang perkahwinan. Kesannya pasti berpanjangan dan pasti membebankan walaupun sudah berkahwin; boleh menimbulkan konflik rumah tanggan jika tidak ditangani dengan baik. Namun, ada penyelesaiannya, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kedua-dua pihak ibu bapa seharusnya faham dan membantu memudahkan urusan perkahwinan; ibu bapa perlu memainkan perana sebagai support system bagi memastikan anak-anak boleh bertatih meniti alam perkahwinan. Biarlah majlis perkahwinan sederhana dan kos yang tidak terlalu mahal, tetapi yang lebih perlu dilihat ialah post-pernikahan, lebih kritikal dan genting. Saya rasa sudah tiba masa ibu bapa mula celik mata melihat situasi ini sebagai satu perkara keutamaan. Keduanya, pemuda-pemudi perlulah menyedari kepentingan adanya wang simpanan tetap. Seharusnya, setiap pemuda-pemudi perlu mempunya skill pengurusan wang yang effektif. Biarlah bermula sejak di bangku sekolah lagi, paling tidak mempunyai sistem wang simpanan yang berterusan. Dan sudah pasti faktor kewangan sebenarnya menguji tahap kecerdikan kita menguruskan kehidupan kita.

Belajar bijak menguruskan kewangan. Jadilah raja selama-selamanya bukan sehari.

5. Cabaran Pre-Pernikahan
Waktu-waktu paling kritikal yang saya rasa perlu dimasukkan sebagai salah satu cabaran ialah fasa pre-pernikahan ataupun sebelum pernikahan. Saya rasa lebih tepat dalam fasa pertunangan. Fasa pertunangan menuntut individu untuk benar-benar bermujahadah melawan segala godaan dan ujian yang bakal tiba. Pada saat-saat ini wujud pelbagai elemen yang boleh menghacurkan apa yang telah disepakati yang boleh membawa kepada kes putus tunang, kes zina, kes sumbang mahram kemungkaran secara nyata. Ramai yang menjadikan alasan pertunangan sebagai satu wasilah ataupun cara untuk berhubung dengan lebih rapat dengan si pasangan lantas kadang-kadang terlupa bahawa pertunangan tidak menghalalkan pegang tangan dan sebagainya. Konsep ini perlu diubah dalam masyarakat. Selagi lagi golongan yang lebih dewasa seperti pakcik ataupun makcik sedara juga ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi nasihat berterusan kepada kedua-dua bakal pasangan. Dan perlu wujud limitasi perhubungan dan memastikan setiap percampuran (ikhtilat) perlu ada mahram perempuannya paling tidak kakak ataupun abang untuk turut bersama. Komunikasi juga perlu dibataskan dalam hal yang wajib dan perlu disegerakan sahaja kerana dibimbangi bakal mencetuskan salah faham dan akhirnya berkakhir dengan kes putus tunang.


Cincin dan pertunangan, hanyalah sebuah simbol.


6. Cabaran Psikologi/Emosi
Bakal pasangan perlu memahami bahawa penting untuk menguruskan emosi dan memahami psikologi diri masing-masing dengan baik. Persediaan memahami psikologi rumah tangga juga amat penting. Melalui pengalaman saya sendiri, saya pernah mengikuti dua kursus pre-perkahwinan dan post-perkahwinan yang berbeza. Saya dapati dan saya yakini, kursus post-perkahwinan sebenarnya adalah lebih bermanfaat berbanding kursus pre-perkahwinan yang seringkali dibuat oleh majlis agama negeri. Kenapa? kerana saya merasai keperluan ilmu yang lebih mandiri dan berguna. Kursus pre-perkahwinan kebanyakan membahaskan soal hukum-hakam yang membosankan maka kebanyakan speaker menokoktambahkan elemen jenaka yang penuh dengan nilai-nilai lagha. Tetapi bagi kursus post-perkahwinan, suasananya lebih tenang tetapi serius, membicarakan soal menguruskan konflik rumah tanggan dan memahami psikologi suami isteri. Saya lebih kagum dan tertarik dengan konsep kursus post-perkahwinan ini kerana ianya lebih berunsur praktikaliti, mudah didiingati dan mempunyai impak berpanjangan. Mungkin barangkali nilai ilmu psikologi rumah tangga perlu digarapkan bersama ke dalam kursus pre-perkahwinan untuk memastikan para bakal suami isteri bersedia dengan ilmu yang lebih praktikal dan meningkatkan kadar kebahagiaan rumah tangga lantas mengurangkan kes perceraian. Selain itu, banyak juga persediaan ilmu ini melalui pembacaan kendiri. Banyak buku-buku yang berkualiti yang boleh dicari di sekitar pasaran seperti: "Man from Mars, Woman from Venus', 'The Five Love Langguage', 'Things I wish I'd Known before We Got Marriage', 'Hold Me tight' dan lain-lain buku bacaan, mungkin juga berunsur agama.

Belajar urusi konflik, emosi dan stress


7. Cabaran Membina Diri
Saya meletakkan juga topik ini kerana ianya lebih umum untuk difikirkan sendiri termasukan juga dalam aspek ini unsur cara hidup ataupun beragama. Membina diri juga boleh diertikan apa yang kita ingin jadi lebih baik, mungkin dari aspek fizikal, dari aspek mental, dari aspek sikap, dari aspek kesedaran dan lain-lain. Membina diri ini memastikan kita bersedia melalui cabaran-cabaran lain yang bakal kita lalui dan juga memastikan kita berada dalam keadaan 'tip-top'.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, di sini saya berjaya menggariskan tujuh cabaran yang biasanya bakal dilalui oleh mereka yang bakal menghadapi alam pernikahan. Walaupun ianya tidak lengkap, tapi saya rasa ia mencakupi perkara-perkara asas dan umum yang seringkali dihadapi. Pernikahan sebenarnya satu tuntutan murni yang telah Islam gariskan terdapat di dalamnya berbagai-bagai hikmah yang Allah SWT inginkan. Kadang-kadang apa yang ingin kita miliki semua ideal tetapi apa yang kita bakal lalui ataupun realitinya tidak sebegitu rupa. Maka adalah penting untuk sentiasa bersedia. Sekadar perkongsian biasa untuk tatapan bersama.

-Amin Rukaini, Di Sini Aku Menanti-

Friday, September 7, 2012

Dari Bujang Kepada Berkahwin, Falsafahnya Apa?

Yahoo!! Syoknya! (gambar hiasanya)



"Zaman kita sekarang ini tiada isu lain dah melainkan isu perkahwinan sahaja"

"Entri-entri yang menarik orang biasanya berkaitan dengan perkahwinan"

"Biasa la wei, dah sampai seru, mesti la kita sembang isu-isu macam ini"

Berikut merupakan beberapa sektsa yang sering saya dengar. Cuba anda perhatikan betul-betul. Isu perkahwinan adalah isu paling famous bagi golongan muda-mudi. 

Saya mempunyai pengalaman-pengalaman berbicara dan berbincang dengan rakan-rakan yang hampir seumur dengan saya dan juga seringkali berbicara dengan mereka yang lebih dewasa daripada saya. Mungkin puluhan tahun berbeza. Ada perbezaan ketara dalam dua kelompok ini.

Bagi kelompok bujang, perkahwinan dianggap satu fenomena besar dalam hidup. Sebab itu sampai ada yang meragam memikirkannya. (termasuk saya) Manakala bagi kelompok yang sudah berumah tangga, isu perkahwinan tidak lagi disentuh bahkan boleh dijadikan bahan senda gurau. Contoh. "Bila mahu kahwin lagi?".Fasa hidup kita berubah-ubah berdasarkan pengalaman yang kita lalui.

Gurauan atau Serius?
Ada orang ambil perkara ini terlalu serius sehinggakan langsung tidak berani mahu mencuba. Ada pula tidak langsung tergerak mahu mengatur langkah, mengaharapkan jodoh datang bergolek. Ada pula yang senang-senang mahu berkahwin tanpa memikirkan kemampuan. Jadi, di manakah kita?

Islam dan Pernikahan
Agama Islam adalah agama yang syumul, memenuhi fitrah manusia. Pembinaan keluarga pada pandangan Islam merupakan suatu perkara dan falsafah yang cukup mulia dan murni. Terkandung di dalamnya berbagai-bagai hikmah bukan sahaja mahu memenuhi fitrah manusia bahkan memberi kesejahteraan kepada ummat nabi Muhammad SAW. Kekeluargaan dalam Islam mempunyai objektif, misi, visi dan falsafah yang cukup jelas.

1. Memelihara Kesinambungan Bangsa
Perkahwinan menjamin kelangsungan biologi dan fisiologi sesuatu umat; merangkumi aspek psikologi kaum adam dan hawa. Setiap jantina mempunyai rasa tanggungjawab masing-masing. Dengan adanya kekeluargaan, ianya memberi ruang secara langsung kepada kedua-dua jantina ini untuk berinteraksi. 

2. Membina rasa cinta
Cinta seringkali terhalang disebabkan ianya tidak disalurkan pada landasan yang betul. Perasaan cinta itu adalah fitrah bagi setiap insan. Namun jika ianya terhalang mahupun terlarang, kesannya adalah sangat buruk kepada masyarakat. Islam memberi cara dengan pernikahan yang sah agar cinta ini mekar dan menambahkan lagi kemekarannya dengan cara yang cuku bermaruah, murni dan terpuji.

3. Memberi ketenangan jiwa
Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang mafhumnya menerangkan 'sakinah' ataupun ketenangan yang hadi pada suami isteri dengan pernikahan. Gambaran ketenangan ini tidak dapat direalisasikan melainkan dengan merasainya sendiri. Dalam keadaan ini, ketenangan ini pasti mewujudkan sebuah gagasan masyarakat yang stabil dan seterusnya menjana kekuatan dalaman.

4. Cinta = Tanggungjawab
Seorang lelaki jika tidak berkahwin sukar untuk membina satu pencapaian yang memberangsangkan. Tanggungjawab adalah satu perkara yang perlu manusia pikul. Tanpa tanggungjawab seorang insan akan menjadi lesu dan tidak berdaya saing. Seorang lelaki sejati akan mengambi tanggungjawab sebagai sebuah motivasi cinta. Tanggungjawab yang melahirkan rasa cinta sejati. Anda dapat rasainya jika anda melaluinya. Cuba bayangkan anda berkorban demi kekasih (isteri) tercinta dan kepuasannya ialah tatkala melihat si dia gembira. Jadi, inilah manifestasi cinta dalam perkahwinan. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur ayat 7 yang berbunyi:

"Orang yang mampu hendaklah memberikan nafkah sesuai dengan kemampunannya dan bagi yang kekurangan, hendaklah memberi nafkah sesuai dengan yang Allah berikan kepadanya. Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan pemberian yang diberikan kepadanya. Allah akan memberikan kemudahan sesudah kesulitan" 

5. Memelihara kesihatan badan
Jelas sama sekali bahawa perkahwinan membawa kesejahteraan dari aspek kesihatan. Hari ini kita mendengar bagaimana salahlaku seksualiti yang sangat berleluasa. Gejala LGBT (lesbian, gay, bisexual, transexual) memperlihatkan kepada kita satu gejala yang cukup rumit. Ianya bukan sahaja merosakkan jiwa seorang manusia tetapi juga mewujudkan berbagai-bagai penyakit lahiriah. Hubungan seksual secara LGBT itu sendiri melanggar fitrah manusia dan ianya terbukti menyebabkan banyak penyakit kelamin. Sains sendiri telah membuktikan bahawa penyakit berjangkit melalui hubungan seks seperti Syphilis adalah disebabkan hubungan seks sesama jantina. Maka, mengapa kita mahu memilih jalan yang sukar dan tidak bermaruah sedangkan Islam memberi cara yang mudah.

6. Menggandakan Pahala
Satu falsafah besar dalam pernikahan ialah usaha menggandakan pahala. Anda mungkin jarang terfikir hal ini, tapi ketahuilah dengan berkahwin anda mampu menjadikan perkahwinan anda sebagai satu laba pahala yang berpanjangan. Tetapi bagaimana? Dalam sebuah hadis riwayat bukhari menyatakan:

Dari Saad bin Abi Waqaash: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya: 'Tiada engkau memberikan belanja demi mencari keredhaan Allah, melainkan pasti akan diberi pahalam sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu"

Dan lupakah kita kepada hadis terkenal tentang tiga amalan yang pasti berkekalan sampai ke akhirat? 

"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahm ilmu yang bermanfaat bagi manusia, dan anak soleh (yang selalu) mendoakannya" (HR Muslim).

Pendek kata, siapakah yang memiliki peluang ini melainkan mereka yang sudah berkeluarga? Jadi mengapa ingin kita lepaskan peluang sedangkan Allah SWT menggesa-gesa kita dalam berlumba-lumba membuat kebaikan. Fastabiqul Khairat!

7. Membina Kematangan Keibubapaan
Orang yang tidak mempunyai anak sukar untuk merasai bagaimana timbulnya rasa kematangan di dalam diri itu. Kematangan ini bukanlah kematangan biasa, ianya kematangan yang melentur jiwa dengan rasa kasih sayang. Cuba anda bayangkan seorang lelaki dan wanita yang dikurniakan cahaya mata, apakah yang membezakan mereka dengan orang bujang? Mereka memiliki satu jiwa perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka. Perasaan ini adalah perasaan yang Allah kurniakan kepada semua makhluk. Dalam satu hadis sahih Bukhari diriwayatkan bahawa:

Dari Abu Hurairah, ia berkata: "saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Allah Azza wajalla menciptakan rahmat 100 bahagian; 99 bahagia Dia tahan di sisiNya dan 1 bahagian diturunkan ke bumi. Dari 1 bahagian ini semua makhluk saling berkasih sayang, sehingga induk kuda menarik kakinya dari anaknya kerana takut menimpanya. 

8. Menjaga Keturunan
Dalam Islam aspek keturunan dipandang dengan satu perkara yang sangat penting. Penjagaan nasab (keturunan) jelas menunjukkan bahawa Islam menjada hubungan anak dengan orang tuanya secara terperinci. Islam melarang sama sekali keturunan yang terhasil dari hubungan yang tidak halal. Hal ini secara langsung menafikan kesamaran nasabnya. Nasabnya yang jelas memastikan hak-hak keturunan tersebut terpeliharan dan terjamin.

9. Memperluas ikatan kekeluargaan
Satu perkara yang ramai bujang-bujang lupa bahawa perkahwinan sebenarnya sangat indah kerana kita berjaya menghubungkan ikatan kekeluargaan. Perkahwinan bukan bererti ktia berkahwin dengan bakal isteri kita sahaja, bahkan kita secara tidak langsung merapatkan rasa cinta sesama keluarga. Yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan, itulah falsafah pernikahan dalam Islam. Mungkin selama ini kita hidup bersendirian dan memikirkan soal diri sendiri, tapi dengan pernikahan Islami, satu kemeriahan yang sukar kita gambarkan sewaktu zaman bujang dahulu muncul dalam hidup kita. Dari beberapa jumlah kecil kaum kerabat kini kita bakal memiliki mungkin satu batalion kaum kerabat lain! Cuba anda bayangkan kemeriahan yang pasti muncul. Itulah falsafah pernikahan, ianya mengajurkan sosialisasi yang cukup memberangsankan jiwa.

10. Memelihara Martabat Wanita
Indahnya Islam ialah ianya memartabatkan kaum wanita tidak seperti jahiliyyah. Wanita diangkat martabatnya. Dahulu kala wanita dipijak-pihak dan dijadikan hamba seks. Bahkan kini perkara tersebut masih berleluasa di dunia barat juga timur. Tapi Islam mengharamkan perhambaan Seks, Islam mahu semua wanita yang mukminah dipinang dan dikahwini dengan cara yang terhormat sekali. Bahkan si suami perlu memberi hadiah maskahwin, memberi nafkah secukupnya. Bahkan secara idealisitiknya, wanita itu patut dilayan macam first class! Mengalahkan puteri di kayangan! (ok, hiperbola tapi harap-harap difahamilah).

Dalam Alquran, Allah menyebut wanita mukminah itu sebagai muhshanat iaitu benteng perlindungan yang diambil suami sebagai isteri. 

"Wanita-wanita muhshanah yang beriman dan wanita-wanita muhshanah dari ahlil kitab sebelum kamu (halal kamu nikahi) jika kamu memberikan maskawin kepada mereka sebagai isteri (ihsan), bukan sebagai pasangan berzina dan bukan pula sebagai alas tidur (gundik). Barang siapa yang kafir kepada keimanan, amalnya akan sirna dan di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi" [Al-maidah: 5]




Pendek kata, falsafah pernikahan dalam Islam itu cukup mulia dan syumul. Golongan bujang digesa agar mempercepatkan proses perkahwinan. Ibu bapa pula haruslah mengambil peranan yang proaktif dalam menggalakkan anak-anak. Adat-adat yang membebankan dan menyusahkan perkahwinan seharusnya ditolak secara keras. Apa-apa sahaja trend yang menghalang dan menyusahkan perkahwinan seharusnya dielakkan. Trend walimatul urus yang ternyata terlalu 'grand' dan wang hantaran yang terlalu mahal seringkali menjadi halangan seharusnya dikaji semula agar falsafah perkahwinan ini tidak dicemari. Masyarakt perlulah peka akan isu ini memandangkan segala gejala sosial yang berlaku ada perkaitan rapat dengan kurangnya penekanan akan aspek kekeluaragaan yang utuh. 


Amin Rukaini, Kodiang, 7 September 2012.