Monday, August 13, 2012

Oh, Husnudzon!

Sebuah gambar yang kontreversi di FB (gambar hiasan)

Gambar tersebut begitu menarik untuk diteliti. Saya membaca komen-komen di Facebook dan rata-rata pengguna Facebook mentafsirkan gambar ini sebagai satu perkara yang buruk dan pesimistik. Apa-apa pun tujuan utama saya menggunakan gambar ini adalah untuk analogi kehidupan kita. Seringkali kita menjumpai kes-kes sebegini dalam hidup kita dan bagaimanakah reaksi kita terhadapnya?

Ya reaksi kita dari aspek hati? Adakah kita seperti rata-rata pengguna Facebook lain yang turut serta membuat kutukan hebat terhadap pemandu kereta tersebut. Di manakah Husnudzon kita?

Ya, adalah satu perkara yang tidak logik jika di Malaysia andaikata pemandu kereta mewah dan hebat tersebut adalah seorang yang cacat. Tapi adakah dengan hanya melihat gambar tersebut kita akan mengatakan dalam hati kita bahawa pemandu tersebut adalah sangat kurang ajar dan tidak bersopan?! Sedangkan kita tidak melihat bukti yang jelas, walhal kita hanya diberikan sekeping gambar yang menampakkan kereta mewah sedang parking di kawasan orang cacat.

Penelaahan dan logik kita mengatakan bahawa adalah mustahil pemandu kereta tersebut cacat kerana  barangkali disebabkan suasana kita di Malaysia yang biasanya orang cacat itu miskin serta sikap buruk orang Malaysia yang suka menggunakan hak orang lain. Hal-hal ersebut sudah tentu mempengaruhi logik kita dan menyebabkan sangkaan kita beralih kepada yang negatif. Dan diakui di Malaysia adalah sangat sukar untuk kita menjumpai orang cacat memandu sebuah Lomborghini. 

Namun, apakah reaksi kita pula tatkala kita membuat tanggapan dan sangkaan buruk dan negatif namun kemudiannya kita mendapati pemandu kereta tersebut benar-benar cacat??? Apa reaksi anda tatkala beliau keluar dari kereta dengan kaki yang tempang bertungkat?

Jadi, adakah konsep sangkaan yang kita letak itu betul? Jika anda seorang yang bersangka baik anda pasti mengambil kira segala aspek kemungkinan sebelum meletakkan sebarang sangkaan at the first place. Semoga gambar dan corat-coret ini memberi gambaran jelas pentingnya kita bersangka baik dalam kehidupan.

Namun, perlukah kita bersangka baik belaka? jawapannya tidak, dalam hal-hal yang melibatkan kemudaratan keselataman, kita diharuskan untuk tidak bersangka baik. Contoh, jika pokok dah nak tumbang, jangan pula asyik bersangka baik sehinggakan sanggup lalu di bawah pokok tersebut dan seumpamanya. 

Dalam hal-hal yang kemaksiatan, kita dilarang sama sekali untuk bersangka baik. Sebagai contoh, melihatkan seorang teman kita melakukan maksiat secara terang-terangan, maka kita seharusnya tidak bersangka baik kerana bersangka baik dalam kes ini adalah berdosa; tidak mencegah kemungkaran dan reda akan kemungkaran yang dibuat. 

Akhir kalam, sebagai ibrah, Allah SWT berfirman,

“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)



0 comments: