Friday, June 22, 2012

Dillema Post-SPM

Bismillahirahmanirrahim.

Entri kali ini berbentuk menjawab soalan berkenaan keraguan dan ianya berkaitan rapat dengan proses membuat pilihan ke university dan juga kolej persediaan. Beberapa bulan ini saya mula menerima trafik dan soalan berkenaan isu dan konflik yang dialami oleh rata-rata pelajar lepasan SPM dalam menentukan hala tuju masa depan mereka.

Konflik Norma
Kebanyakan yang bertanya soalan adalah mereka yang baru sahaja mendapat pilihan untuk menyambungkan pelajaran ke luar negara mahupun untuk sambung ke kolej persediaan seperti di Kolej MARA Banting dan Kolej MARA Seremban sama ada untuk membuat International Baccalaureate mahupun A-Level. Rata-rata dari pengamatan saya sedang berada dalam konflik norma bagi seorang pelajar iaitu terpaksa membuat dua pilihan serentak pada masa yang sama. Dan sesungguhnya, perkara ini merupakan perkara asas dan fitrah dalam kehidupan. 'Decision' ataupun keputusan adalah satu perkara pokok yang wajib khususnya para lepasan SPM ambil tahu dan peduli. Jadi, usah bimbang kerana yakinlah keputusan yang anda buat itu sebenarnya sebuah didikan khusus buat anda lepasan SPM. Kerna selepas ini anda akan menghadapi berbagai-bagai cabaran dan juga memerlukan komitmen yang tinggi dan cekal dalam membuat keputusan sendiri. Namun persoalannya, bagaimanakah kita mahu membuat keputusan?

SWOT Analysis
Keputusan ataupun kata putus pada lahiriahnya hanya ibarat logic gate, namun ianya membawa impak yang besar dalam kehidupan kita. Prinsip pertama dalam membuat keputusan ialah menganalisis kekuatan diri kita dan juga melihat peluang yang ada terhadap sesuatu keputusan itu. Di samping itu kita jua perlu menganalisis di manakah kelemahan yang kita ada dan juga cabaran yang bakal dihadapi sekiranga mengambil sesuatu keputusan. Teknik ini dikenali SWOT analysis, sangat terkenal bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam business and managements. SWOT bererti, Strength, Weakness, Opportunity dan Threats.
SWOT Analysis

 Dengan menganalisis kesemua aspek ini, sebagai seorang pelajar anda mampu melihat jauh ke hadapan dengan lebih jelas dan yakin. Kebiasaannya, ianya memerlukan kesabaran dan kesediaan yang tinggi untuk duduk sebentar dan berfikir ke hadapan. Anda juga perlu mencari maklumat (intelligent) daripada sumber-sumber sahih seperti orang perseorangan (senior) dan juga orang yang berpengalaman (pernah melaluinya) serta mungkin juga pihak univerisity. Semua ini dikumpulkan dan dijadikan rujukan dalam membuat kata putus tersebut. Jangan dilupakan pihak-pihak lain yang sangat penting seperti pandangan ibu bapa. Hal ini kerana mereka adalah insan yang lebih tua dan perlu dihormati. Namun tidak bererti anda perlu menerima pendapat mereka semuanya. Keputusan berada di tangan anda. Jangan sesekali terpengaruh oleh ajakan kawan. Hal ini seringkali terjadi tatkala wujudnya 'peer pressure' yang kuat. Silap langkah, anda boleh terjerumus dalam polemik 'ikut kawan'. Paling utama, setelah berusaha, jangan lupa untuk turut beristikharah dalam menentukan hala tuju anda, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Minat dan cita-cita
Rata-rata penyoal menghadapi konflik yang hampir sama iaitu terpaksa membuat pilihan sama ada ingin ke luar negara ataupun di dalam negara. Bagi saya, melalui pengalaman yang ada, saya meletakkan cita-cita saya pada tahap tertinggi dan berani mencabar diri. Saya juga pernah menghadapi krisis yang sama tatkala menerima dua tawaran serentak iaitu daripada Universiti Teknologi Petronas untuk Chemical Engineering (dalam negara) dan tawaran Tajaan Ijazah Luar Negara oleh MARA dalam bidang Bioteknologi. Namun, saya memilih untuk mengambil Bioteknologi memandangkan bioteknologi merupakan salah satu bidang yang saya minati sejak di MRSM dan saya sedar bahawa kekuatan yang dimiliki saya ialah minat yang mendalam terhadap segala aspek Saintifik. Bagi anda yang masih ragu-ragu, soalan pertama yang perlu anda tanya terhadap diri anda ialah apakah yang anda betul minati? Dan apakah yang anda betul-betul mahu jadi pada suatu masa nanti? Usah menipu diri dengan mengatakan suatu bidang yang anda tidak minati dan cuba untuk meminatinya, ianya tidak mustahil tetapi kebarangkaliannya adalah tipis untuk kebanyakan orang. Jika anda jelas hala tuju, maka pemilihan berada di tangan anda.

Suasana
Perbezaan yang ketara dalam aspek pemilihan tempat dan bidang ialah dari aspek suasana. Hal ini kerana setiap tempat mempunyai suasana yang berbeza. Keadaan di luar negara sudah tentu berbeza dengan keadaan di dalam negara. Berada di luar negara, pemikiran anda mungkin akan jauh lebih ke hadapan dan terbuka. Anda akan lebih terdedah dengan berbagai-bagai budaya dan secara tidak langsung mematangkan pemikiran anda untuk berdikari dan mampu berdaya saing. Namun, yang pasti ianya tidak menentukan tahap kejayaan anda secara total. Tidak bererti berada di luar negara menjanjikan anda dengan kejayaan yang hebat kerana semuanya bergantung kepada sejauh manakah usaha anda dan komitmen yang anda berikan. Jadi berbalik kepada persoalan keraguan dalam menentukan hala tuju; suasana bagaimanakah yang anda ingin rasai? Suasana dalam negara ataupun suasana luar negara. Jika anda rasai ianya lebih seronok dan berbaloi di dalam negara, maka pilihlah dalam negara ataupun sebaliknya. Namun jua diingatkan bahawa untuk ke luar negara tidak semudah yang disangka, ianya susah bagi saya kerana memerlukan persediaan yang awal dari segi mental, fizikal dan rohani. Penekanan terhadap rohani ada penting memandangkan anda bakal terdedah dengan anasir-anasir luar yang membingungkan. Kenapa saya kata membingungkan? Hal ini kerana berbagai-bagai budaya dan 'lifestyle' yang sangat berbeza dengan budaya kita. Ada yang baik dan ada juga yang buruknya. Yang merisaukan ialah yang buruknya. Berada di perantauan, bukanlah semuanya mengasyikkan, kadang-kadang ada perkara yang perlu kita berhati-hati. Contohnya ialah dari aspek pemakanan, halal dan haram, dari aspek akhlak yang teruk (minum arak dan pemakaian yang menjelikkan) dan lain-lain. Semuanya memerlukan persediaan yang mantap.

Mastering Self-image
Imej kendiri ataupun dalam bahasa Inggeris ialah 'Self-image' adalah satu faktor yang penting dalam membantu anda membuat keputusan. Menguasai imej-kendiri (mastering self-image) bererti anda mampu merealisasikan imej ataupun gambaran diri anda dalam minda sejajar dengan kehendak anda. Hal ini kurang berlaku dalam masyarakat Malaysia khususnya kaum Melayu yang majoritinya orang Islam. Menguasai imej-kendiri ini merupakan satu kemahiran yang sepatutnya dikuasai oleh ramai orang terutamanya para pelajar. Saya menyedari hakikat ini tatkala tiba di luar negara dan melihat perbezaan yang wujud antara orang Malaysia dan juga orang Barat. Walaupun secara akhlaknya orang Barat berada pada tahap yang agak teruk, iaitu menjadikan wanita sebagai hiasan percuma, suka minum arak dan lain-lain, namun mereka telah diasuh dengan satu kemahiran luar biasa iaitu mampu menguasai imej kendiri dengan baik. Imej kendiri ialah satu kemahiran yang menjadikan diri anda berkeyakinan diri dan unik pada pandangan orang lain. Anda mampu membuat keputusan sendiri kerana yakin dan tahu keadaan diri anda. Seorang yang hebat penguasaan imej kendiri adalah mereka yang mampu tersenyum tegap di atas pentas, di khalayak ramai dan mampu berdiri dengan penuh keyakinan. Golongan ini juga tidak cuak (takut) dalam melontarkan pendapat secara percuma pada sesuautu isu. Untuk membina individu-individu yang mempunyai imej kendiri yang kuat, pembinaan seharusnya bermula daripada kedua ibu bapa itu sendiri dan sistem pendidikan khususnya perlu menerapkan budaya ini dengan lebih proaktif.

Menguasai imej kendiri adalah sangat penting. 


Cerita Pak Pandir VS Imaginasi
Budaya kita seringkali menceritakan adanya kisah yang dinamakan kisah pak pandir dan golongan yang dikategorikan sebagai 'pak pandir' ini dianggap tidak professional dalam kehidupan mereka. Cerita Pak Pandir mengisahkan angan-angan kosong yang tinggi melangit namun akhirnya tidak menjadi. Bagi pendapat saya, cerita ini sebenarnya mampu diubahsuai konsepnya untuk menjadi sebuah cerita yang memberi pedoman dan lebih optimistik. Namun, apa yang terjadi ialah ramai orang pula mula takut untuk mengeluarkan angan-angan (cita-cita) tinggi kerana risau dikategorikan sebagai pak pandir.Sedangkan jika kita mengkaji secara mendalam, kebanyakan penciptaan teknologi baru dan juga penemuan baru terhasil atas banyak sebab dan salah satunya disebabkan daya imaginasi yang tinggi. Ironinya, budaya kita seolah-olah me'risau'kan mana individu untuk berfikir dan berimaginasi. Albert Eistein dalam catatannya menyatakan bahawa beliau tidak terus sampai kepada formula E=MC2 tetapi ianya melalui proses dan proses pertama ialah dengan daya imaginasi yang tinggi. Namun, tidak bererti jua kita hanya perlu terlalu berimaginasi tanpa ada sebarang tindakan, jika itu berlaku maka itu barulah dikatakan sebagai Angan-angan Pak Pandir! Jelas di sini bahawa imaginasi merupakan satu 'toolbox' penting dalam membina keyakinan dan ianya boleh aplikasikan oleh sesiapa sahaja memandangkan telah terbukti secara santifik mahupun fisilogi. Sebagai seorang pelajar, saya meyakini konsep imaginasi ini boleh diadaptasikan dengan lebih positif. Dalam skop membuat pilihan ini, anda boleh membayangkan siapakah diri anda pada keputusan yg anda letakkan itu. Bayang sedalam-dalamnya sehingga anda jelas segala-galanya. Ianya berkesan dan perlu diulang-ulang dalam minda.


Siapakah Anda?
Seorang pelajar seharusnya menyedari siapakah dirinya yang sebenar. Apakah nilai kekuatan yang dipunyainya? Menyedari kesemua aspek kekuatan dan kelemahan yang anda, kini anda mengenali siapakah diri anda. Anda sebenarnya mempunyai satu daya kekuatan yang sangat hebat dan tidak diragui lagi. Allah SWT menciptakan manusia dengan penuh sempurna. Kita dilengkapkan dengan sebuah ' ultimate machine' yang sangat hebat iaitu otak. Ketahulilah bawah kita hanya menggunakan beberapa peratus sahaja kebolehan otak kita. Sekiranya digunakan secara optimum dan betul tekniknya, pasti impaknya sangat hebat. Akhir kata, sebagai seorang abang mahupun senior, usah cepat mengalah, teruskan daya usaha, sentiasalah bersedia dalam setiap keadaan, berpegang teguhlah kepada Al-quran dan Hadis pedoman sepanjang zaman dan ikhlaskanlah diri untuk beribadah kepada Allah SWT. Sesungguhnya sedarlah bahawa semua yang kita buat di dunia ini pasti akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak. Orang yang bijak ialah orang memikirkan soal masa depannya di akhirat kelak. Sebarang persoalan bolehlah terus hubungi saya melalui emel mahupun di ruangan komentar.


Kejayaan memerlukan segala resepi keyakinan, kesungguhan, ke'tawakal'an, kesanggupan dan banyak lagi jenis ke___an. Moga kejayaan bersama anda!





0 comments: