Saturday, January 7, 2012

Mentadabburi Alam & Hikmahnya

Puing-puing Ujian selerak berterbangan,
Angin Scotland seolah kembali bernyawa,
Tabah dan tawakal jadi medan kekuatan,
Susah senang, Moga Allah terimanya. 


Khazinatul Asrar
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk berjaulah bersama beberapa orang rakan yang sedang belajar di Scotland yang rata-ratanya pelajar University of Edinburgh, Herriot Watt Univerisity dan Dundee University. Jaulah bererti mengelilingi ataupun pusing-pusing. Dalam erti kata sebenar, ianya sejenis permusafiran kita berjalan-jalan mengelilingi sesuatu tempat dengan tujuan yang pasti dan jelas. Jaulah saya pada kali ini adalah dengan menaiki kereta yang dipacu sendiri. Jaulah menyelusuri bumi Scotland yang penuh dengan 'khazinatul asrar', iaitu khazanah yang tersembunyi. Berikut merupakan imbauan perjalanan saya.


Bumi Scotland
Bumi Scotland memang kaya dengan flora dan fauna, gunung-ganang yang menghijau. Scotland yang terletak di Utara United Kingdom merupakan salah satu tanah besar yang mandiri dan penuh misteri untuk diterokai. Dahulunya Scotland merupakan sebuah kawasan yang dipenuhi hampir 85% tumbuh-tumbuhan dan hutan. Namun kini, dianggarkan sebanyak 5-15% sahaja lagi yang tinggal akibat kesan pembalakan dan penerokaan manusia. Namun, latar belakang bumi Scotland masih kekal sehingga kini. Scotland memang unik kerana ia memiliki 'karakter'nya yang tersendiri. Edinburgh yang merupakan pusat bandar utama menampakkan keunikan sebuah sub-negara yang unik ini. Kebanyakannya yang tinggal di kawasan utara adalah mereka-mereka yang sudah lanjut usianya dan hal ini memungkin sesiapa sahaja untuk melihat peribadi rakyat UK yang sebenar. Peramah dan mesra.


Destinasi yang ditujui: Inverness, Loch Ness, Isle of Skye, Perth, Dundee, dan Portree. 


Ujian Ringan
Perjalanan jaulah tersebut telah mengambil masa selama 3 hari 2 malam. Dua buah kereta yand disewa telah dipacu merentasi tanah besar Scotland yang berbukit-bukau. Ujian pertama hadir tatkala ribut kuat mula melanda di pagi hari. 'Red Zone' katanya. Melayang-layang juga kereta yang saya pacu. Akibatnya, Forth Bridge telah ditutup dan hal ini menyebabkan perjalanan kami tergendala. Forth Bridge merupakan jambatan utama yang menghubungkan rentasan menyeberangi sebuah muara besar ke Higlands. Perjalanan kami disambut dengan hujan salji di tengah-tengah perjalanan. Pertama kali juga membawa kenderaan di dalam keadaan salji. Alhamdulillah, semuanya selamat.


Salju Tidak Jemu
Dalam perjalanan itu, kecantikan alam semula jadi menunjukkan rupanya. Samar-samar kelihatan keputihan yang teramat di ufuk awan pergunungan. Oh, snow! Gunung yang penuh dengan salji. Salji yang suci. Biarpun kadang-kadang terasa bosan dengan salji, namun biarlah berapa kali pun, saya pasti tidak akan jemu dengan ciptaan Allah yang unik ini. Menarik siapa sahaja mata memandang. Subhanallah.


“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAh) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAh…” – 'A li ‘Imran : 190



Berhadapankan sebuah tasik dikelilingi bukit-bukau keputihan




Memang sukar nak cari pemandangan seperti ini tetapi mengingatkan kita kepada penciptanya Yang Maha Esa

 Urquhart Castle, bersebelahan dengan Loch Ness, iaitu mitos naga yang muncul di tasik


Ukhuwwah itu sebuah kemanisan


You will never found this in Malaysia. Alhamdulillah, kutemui.


Laskar Pelangi


Hikmah Kembara

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).


Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada berjaulah, antaranya ialah:

1. Mentadabburi alam ciptaan Allah
2. Meningkatkan iman dan keyakinan terhadap hari akhirat dan hari pembalasan (surah-surah makkiyah memberi berbagai-bagai hentaman terhadap kejadian alam)
3. Mengeratkan ukhuwah silaturahim
4. Merasakan kekerdilan diri kepada Sang Pencipta
5. Mendidik diri menjadi insan yang sentiasa berfikir dan menelaah alam
6. Mendidik jiwa menjadi individu yang lembut hatinya
7. Melatih diri berdikari dan kemahiran kepemimpinan
8. Melatih diri menjadi insan yang terurus mampu berurusan
9. Mencintai alam semula jadi dengan menjaga alam persekitaran
10. Menyihatkan tubuh badan dan mencerdaskan otak

Adab-adab permusafiran dan kembara
Adalah menjadi satu perkara yang kurang enak sekiranya adab-adab permusafiran tidak diikuti dengan baik, sebagai seorang muslim, hendaklah kita memastikan adab-adab yang digariskan oleh Islam ini diaplikasikan dengan baik. Antaranya:

1. Melantik seorang ketua yang layak membimbing perjalanan dan patuh pada arahannya
2. Solat sunat musafir sebelum bertolak.
3. Membaca doa musafir dan doa menaiki kenderaan
4. Sunnah bersama-sama bernasyid dan berzikir semasa dalam perjalanan
5. Memperbanyakkan doa (mustajab)

Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam perjalanan dan doa orang tua terhadap anaknya.”

6. Mengingati Allah SWT dalam setiap waktu dan keindahan ciptaannya.
7. Tidak merosakkan alam sekitar dan menjaganya dengan baik
8. Disunnahkan bermusafir pada hari Khamis.

Reda Allah
Apa-apa sekalipun, sentiasalah berlapang dada dan sabar dalam menelusuri kerenah-kerenah rakan, ujian, dan segala macam dugaan. Dan tidak lain dan tidak bukan, semua yang kita laksanakan adalah berpaksikan kepada prinsip utama, iaitu mencapai mardhatillah (reda Allah) dan menggapai Mahabahtullah (cinta Allah). Sekadar coretan ringkas. Wallahualam. 






1 comments:

Unknown said...

really love the list of hikmah in a jaulah. wish I have seen it earlier.
thanks for sharing