Friday, December 16, 2011

Layunya Sehijau Warna Daun



Analogi Kehidupan
Seringkali kita mendengar banyak analogi yang menarik akan kehidupan di dunia ini. Ada yang menganalogikan dunia ibarat jambatan kepada akhirat. Jika jambatan yang dilalui rapuh, maka susahlah kita untuk sampai ke daerah sana (akhirat). Ada juga yang menganalogikan dunia ini satu tempat seakan-akan 'dangau' di sebuah kebun yang tanahnya luas terbentang untuk ditanam dengan berbagai-bagai tanaman. Hasilnya pula akan dikutip di suatu tempat yang lain, iaitu di akhirat. Dan banyak lagi perumpamaan menarik yang mampu kita fikirkan untuk menggambarkan erti sebuah kehidupan di dunia ini. Pendek kata, hidup di dunia ini merupakan satu peluang yang sangat berharga yang Allah berikan kepada umat manusia untuk memperbanyak amal kebajikan. Dan hidup di dunia ini sangat singkat sekali.

Dunia ibarat jambatan ke akhirat (gambar hiasan)

Kematian Satu Yang Pasti
Di dalam Al-Quran, Allah seringkali menggunakan beberapa analogi yang bukan sahaja menarik, bahkan sangat logik dan saintifik untuk dikaji. Cuba kita ambil satu analogi bagaimana Allah sifatkan bahawa Allah berhak menghidupkan yang mati kepada yang hidup. Hidup dan mati adalah dua perkara yang berbeza. Mati terjadi apabila jasad terpisah dengan roh. Yang dikatakan roh itu pula sangat sedikit pengetahuan kita akannya. Tetapi kematian itu satu yang pasti.


6:95

"Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup (Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah, maka mengapa kamu masih berpaling?" (QS. Al An'aam, 6: 95)

Tumbuhnya si pohon hijau daripada sebiji benih

Bioteknologi: Al-An'am (6:95) dan Kematian
Ayat di atas merupakan petikan daripada surah An-'am yang berkisarkan bagaimana Allah membuat satu perumpamaan yang menarik untuk kita fikirkan. Sebagai pelajar dalam jurusan 'Biological Science' Honour in Biotechnology. Ayat ini memberi satu impak yang sangat kuat kepada saya. Kenapa tidaknya, dalam perumpamaan tersebut jelas terkandung satu hikmah yang sangat saintifik untuk kita terokai. Dan kenapakah Allah memilih butir-butir tumbuh-tumbuhan dan biji-bijian? Orang biasa yang mungkin kurang arif dalam hal kitaran biology secara mendalam pasti merasakan ianya satu perkara yang biasa. Bahkan, saya juga turut pernah merasai ianya satu kebiasaan. "Pokok- memanglah akan hidup kembali sebab ada biji benih". Ini pandangan norma seorang manusia dan jika difahami secara literal dan logik sekalipun sudah cukup jelas kebesaran dan keesaan Allah dalam membandingkan bagaimana manusia kelak akan dibangkitkan pada alam akhirat. Bahkan perumpamaan ini Allah buatkan kepada orang-orang yang tidak mempercayai kewujudan Yaumul-Hisab. Hari penghisaban.

Law of Nature (sunnahtulah) dan Kematian
Bagi saya, ayat ini sungguh penuh dengan bukti yang logik dan sangat saintifik justifikasinya. Sebagai ahli sainstis, kami memahami bahawa kitaran alam itu merupakan satu law of nature (sunnatullah). Dan sains itu pula merupakan metodologi memahami Law of Nature (Ilmu memahami sunnatullah). Setiap benda yang hidup pasti akan mati. Mati pada tafsiran sains adalah satu proses di mana suatu organisma itu tidak lagi bernafas, tidak bergerak, dan sel tidak lagi mampu membuat sebarang mitosis mahupun meiosis (cell division) dan segala physiological (fisiologi) terhenti. Baru-baru ini, saintis mula mengatakan bahawa kematian itu bukan satu acara/hal/keadaan (event) tetapi ianya satu proses (process)! (Newscientist, Oktober 2007). Bererti mati merupakan sebuah proses yang berlaku bukan atas dasar sesuatu keadaan. Sebagai contoh, kematian seseorang individu itu bukan lagi ditafsirkan sebagai terhentinya denyut nadinya tatkala mesin pulse oximeter menunjukkan denyutan telah terhenti. Tetapi saintis kini menafsirkan kematian itu terjadi secara proses di mana kematian wujudnya hubungan di antara organ-organ, tisu-tisu dan sel-sel yang menyebabkan kematian. Secara ringkas, saya ulang kembali, kematian itu satu proses bukan satu keadaan.

Bayi dilahirkan untuk membesar, dan akhirnya akan berpusing jua kitarannya.

Neraca Logik
Berbalik kepada ayat di atas dari petikan surah An-aam. Banyak implikasi kefahaman yang dapat kita terokai. Antaranya ialah, kematian itu ibarat layunya (mati) si pohon menghijau dan kemudiaannya lenyap dari pandangan kerana kereputan (decomposation). Namun, soal ruh itu tidak perlu kita bahaskan secara mendalam, kerana ilmu ruh itu Allah lebih mengetahui. Dan lihat bagaimana Allah hidupkan si pohon hijau dari yang mati. Dari yang tiada kepada ada. Cukup jelas di sini bagi neraca logik seseorang itu untuk fahami. Dari pandangan saintifik pula, tumbuhan berasal daripada biji benih (seed). Biji benih pada physiology, tidak wujud sebarang pertumbuhan (growth) dan dianggap dalam keadaan dormancy (fasa dormansi). Pada saat ini, tiada langsung 'pokok' bahkan lagi sel-sel yang hidup. Namun, dengan Law of Nature (Kuasa Allah), biji benih yang berada dalam keadaan dormansi ini mula 'hidup' (growth) disebabkan faktor-faktor luaran seperti kewujudan air dan suhu yang sesuai. Maka sel-sel pula memulakan proses kitaran biasanya (normal cell-cycle) dan wujudlah kembali sebuah kitaran hidup si pepohon hijau.

Vegetative propagation (percambahan dedaunan)
Mungkin ada yang berfikir bahawa tumbuhan itu hanya boleh terhasil daripada biji benih sahaja. Bahkan sesekali tidak, terdapat juga tumbuhan yang tumbuh daripada Asexual reproduction system (tanpa percampuran benih). Hal ini kerana tumbuhan juga mampu hidup dengan hanya disebabkan tisu-tisu tumbuhan yang ada di tanah. Bahkan teknologi inilah sekarang yang mula digunakan oleh banyak saintis dan ahli bioteknologi dalam bidang Sel-Kultur tumbuhan. Daripada sekecil-kecil sel sehinggalah sebesar-besar tumbuhan. Semuanya dengan Law of Nature (sunnatullah).

Plant callus: teknologi Sel Kultur Tumbuhan.

Agen-agen pereputan (decomposer agents)
Di antara fasa kematian dan bermula pertumbuhan pokok-pokok tadi, wujud satu proses penguraian (decomposition) yang sangat menarik di mana peranan Fungi dan bakteria mengambil alih. Di sini, satu perkara yang menarik ialah, sumber-sumber nutrisi (nutrient) seperti nitrogen, Phosphorus, carbon dan lain-lain diuraikan daripada pokok-pokok yang mati lantas digunakan semula oleh pokok-pokok yang mula membesar. Segala macam elemen-elemen seperti nitrogen dan carbon tadi digunakan pakai oleh tumbuhan yang sedang membesar untuk membina DNA, protein, lipid dan lain lain. Sungguh takjub untuk kita fikirkan bagaimana Law of Nature (sunnatullah) memastikan proses ini berkitaran sentiasa tanpa henti. Berbagai-bagai bakteria yang terlibat dalam proses penghuraian ini. Antaranya ialah Rhizobium, Pseudomonads, dan Aspergillus. Semuanya mempunyai fungsi masing-masing dan tanpa kehadiran mereka sudah pasti kitaran alam ini tidak berjalan dengan seadanya.Dan itu baru sahaja berkenaan dengan pertumbuhan pokok dalam aspek nutrisi dan penguraian, bagaimana pula dengan air, matahari, siang dan malam (circadian clock)? Air diperlukan untuk menghidupkan semua organism hidup. Matahari diperlukan untuk proses photosyntesis di mana molekul-molekul air dipecahkan menjadi elektron-elektron. Manakala siang dan malam penting dalam pembentukan bunga-bunga dan musim luruh di hemisfera utara dan selatan. Dalam istilah plant biology, ianya dikenali sebagai circadian clock, iaitu merupakan satu mekanisma jam semula jadi berasaskan kepada jumlah pendedahan kepada malam hari disebabkan oleh sebab-sebab tertentu. Istilah Circadian clock ini juga digunakan pakai terhadap jam biologi manusia terutama berkenaan jet lag dan seasonal affective disorder (SAD) pada musim sejuk.


Saya petik ayat daripada surah Al-Mulk, Allah SWT berfirman di penghujung ayat:




67:30


Katakanlah (Muhammad): "Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?" 



Dalam surah An-Anbiya pula, Allah berfirman,

21:33
Dan dialah yang menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar pada garis orbitnya.




Toadstool ataupun Fruiting Body dalam dunia fungi lebih dikenali sebagai cendawan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ianya sebenarnya adalah organ pembiakan yang menebarkan benih-benih antara yang teraktif di dunia. 

Sama juga manusia, matahari memainkan penting sebagai circadian clock.
[Adaptasi dari www.plantcell.org]



Kesimpulan
Kesimpulannya, daripada pentaakulan ayat tadi dari aspek saintifik, maka jelas kepada kita bahawa kitaran hidup si pepohon hijau itu bukanlah satu perkara yang senang tetapi sangat kompleks dan ianya memerlukan satu kuasa 'supernatural' iaitu hanya mampu dibuat oleh Yang Maha Agung Allah SWT. Jelas juga difahami bahawa proses hidup dan mati serti urusan kebangkitan pada hari akhirat itu adalah pasti. Hal ini dibuktikan dengan jelas bagaimana pepohon hijau itu dilayukan, dihancurkan, dan dihidupkan kembali. Dan kita fahami bahawa urusan roh dan perkara-perkara ghaib adalah urusan yang hanya Allah SWT mengetahuinya dengan mendalam. Perkaitan di antara kematian manusia dengan kematian pohon hijau ini tidak dijelaskan melalui tafsiran ruh  kerana tumbuhan  tidak mempunyai ruh. Namun, secara jelas bukti ini menjelaskan satu idea bahawa manusia akan dihidupkan kembali kelak di alam akhirat. Jika pepohon hijau Allah mampu hidupkan, sudah pasti manusia juga Allah mampu! Bagaimana dan bila itu wallahualam.

Mengorak Langkah Persiapan
Sungguh kematian itu pasti dan hari akhirat itu menanti. Saya suka analogi ini. 

If we were to go on a journey to a foreign country for just a few days, we would take over a week just preparing for it, doing the shopping, packing our bags and taking ample provisions for the journey. Then, what about the Ultimate Journey, the journey that is eternal. What have we done for it? 

Jika kita pernah mahu pergi ke sebuah negara asing hanya untuk beberapa hari, kita pasti akan mengambil masa melebihi seminggu untuknya, membeli belah, mengemas beg-beg kita dan membawa bekalan yang secukupnya untuk perjalan itu. Jadi, bagaimana pula dengan perjalanan yang paling hebat, perjalanan yang abadi. Apa yang kita dah lakukan untuk ia?

Perjalanan yang abadi (gambar hiasan)

*Mohon maaf atas kesukaran bahasa yang digunakan, kebanyakan bahasa saintifik dalam bahasa Inggeris sangat susah untuk ditukarkan ke dalam bahasa melayu. Terlalu banyak terminologi.

Amin Rukaini Bin Mustafa
Third Year Student,
Bachelor of (hons) Degree in Biotechnology,
The University of Edinburgh.

2 comments:

Anonymous said...

bagaimana pulak dengan analogi kehidupan seperti chess?

Amin Rukaini Mustafa said...

tu pun menarik gak. Allah SWT ada sebutkan dalam surah al-kahfi bahawasanya hidup di dunia ini ibarat tempat ujian dan bukan sekadar keseronokan. Bahkan ianya satu permainan. :)