Monday, September 5, 2011

Oh Produk Pembersih Hati!

Sebuah syarikat joint ventures yang sangat maju dalam menyediakan produk bahan pencuci sedang mengadakan sesi mesyuarat sesama ahli-ahli syarikat yang ingin bekerjasama. Sesuci Ventures kini sedang mencari idea baru dalam meningkat pemasaran produk baru bagi menembusi pasaran baru. Namun, semuanya buntu kerana masing-masing ahli syarikat tidak mampu menjana idea-idea yang baik disebabkan masing-masing ingin mengaut keuntungan syarikat masing.

Ali, Abu dan Ahmad; tiga orang sahabat sudah lama berkecimpung dalam kerjasama ini dan syarikat masing-masing sangat maju di pasaran tempatan. Ali mengusahakan produk pencuci tangan menggunakan wangian istimewa sebagai agen utama cucian, Abu pula mengusahakan produk scrub muka yang menjanjikan pemutihan muka kepada para pengguna manakala Ahmad mempunyai produk sabun mandi yang mampu menyegarkan kulit dan memberi kelembapan pada kulit dalam tempoh 24 jam.

Dalam mesyuarat yang dijalankan. Ali dan Abu mula bertelagah dah masing-masing mula menanam perasan hasad dengki dan ingin membolot tender bagi projek kerjasama yang bakal dilaksanakan. "Apa kata pada projek kita kali ini, saya cadangkan produk syarikat saya diguna pakai sebagai produk joint venture kita yang baru, itu lebih baik daripada kita membuat produk baru" Jelas Ali yang ingin mendominasi projek tersebut. Abu yang tidak berpuas hati terus mengherdik. "Ah.. kamu, tamak haloba! Tidak, aku tak bersetuju, produk kamu terbukti tidak berkesan dan orang sudah tidak menggunakan lagi pencuci tangan 'tradisional' kamu tuh! Dah la wangian dah macam bukan wangian lagi dah. Kalian apa kata kita guna sahaja produk syarikat saya yang terbukti mendapat sambutan tinggi dalam kalangan masyarakat."

Kemudian, keadaan bertambah gamat apabila wakil-wakil lain syarikat Ali dah Abu mula bertelagah. "Ah.. Mengarut! @#$%^, itu semua dusta. Kami lebih berhak!" Jerit seorang wakil yang bangun tangkas tatkala Abu memberikan ulasannya terhadap syarikat Ali. "Cis, oi bedebah, engkau apa tahu! duduk la #$%!" Yang lain pula menambah. Hiruk pikuk mesyuarat tersebut.


Sehinggalah tiba-tiba Ahmad bangun terdiam sambil menunjukkan satu jari ke atas sambil berkata, "Ya, aku ada satu idea baru! Produk ini pasti laku!"Pengerusi  majlis yang terkejut lantas bertanya. "Idea apa Ahmad, kemukakan."

Ahmad berdiri dengan penuh konfiden dan berkata, "Apa kata kita buat produk pembersih hati kalian semua! Pasti laris di pasaran!" Produk Pembersih Hati dicadangkan Ahmad. Bijak.


Produk permbersih hati, mungkin extract apricot mampu membersihkahnya. (gambar hiasan)
______________________________________________________________________________

Cermin dan Cahaya
Pasti dalam cerita di atas ada sebuah ibrah yang mampu kita pelajari. Dalam dunia yang penuh dengan pertandingan ingin mendapatkan harta kekayaan ini di mana materialistik menjadi ukuran, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya. Cerita di atas mungkin satu fenomena yang tidak wujud, tapi secara amnya, peristiwa yang seakan-akan di atas sentiasa berlaku. Perebutan demi perebutan. Dan akhirnya pertelagahan dan kebencian sesama sendiri timbul.

Hakikat yang ingin disampaikan, sekiranya hati kita kotor, pasti berlaku perkara-perkara di atas di mana saling mencemuh dan membenci satu sama lain. Bahkan mungkin akan berlanjutan dengan lebih teruk lagi. Jika hati dah kotor, segala tindakan jua menuju ke arah kemaksiatan dan kekotoran tindakan. Sanggup menindas dan memaki yang lain.

Pernahkah anda merasai perasaan marah yang berapi-rapi? Perasaan dendam kesumat yang tidak berbelah bahagi? Jika pernah itu tanda-tanda hati anda mula mengeras dan kotor.

Dalam kitab Ihya ulumuudin, karya Imam Al-Ghazali membicarakan bab hati. Al-Imam Al-Ghazali membuat sebuah teori yang cantik dengan memberi perumpamaan bahawa hati itu ibarat cermin dan Allah itu adalah Cahaya, Hati yang bersih dari kekotoran akan bergemalapan apabila menerima cahaya laksana sebuah cermin yang apabila dihalakan cahaya akan memantulkan cahaya yang bergemelapan. Manakala hati yang  kotor pula ibarat cermin yang muram dah pudar. Al-Quran menggambarkan hati yang kotor "bagai gelap-gulita di laut yang dalam" (Surah An-Nur: 40) Ketahuilah bahawa dengan teknologi marin yang kita ada sekarang, sememanya terbukti bahawa keadaan di dalam lautan dalam itu sangat gelap gelita, cahaya tidak dapat langsung menembusi. Hati yang bersih pasti senang menerima segala yang bersih dan baik juga.

Daripada Al-Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ketahuilah dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu. Baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah daging itu ialah hati"
(riwayat al-Bukhari, Al-Jami' al-sahih, Maktabah Salafiah 1400H, no.52)

Produk Pembersih Hati
Cahaya di atas cahaya, Allah memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah An-Nur: 35)

Ketahuilah, yang layak memberi cahaya kepada kita hanyalah Allah. Namun demikian, Allah memberi peluang kepada kita untuk berusaha membersihkan 'cermin' (hati) tersebut demi memantulkan cahaya yang Allah berikan.

Kita mungkin tidak memerlukan satu produk khas yang dibuat daripada pelbagai ramuan dan campuran bagi membersihkan hati-hati yang kotor itu. Tapi memadailah dengan apa yang Rasulullah sampaikan kepada kita iaitu mengigati mati dan membaca Al-Quran. Selain itu, perbanyakkanlah beristighfar dan bertaubat atas kesalahan yang telak kita lakukan. Selalulah berselawat dan berzikir akan kebesaran ciptaan Allah SWT. Beribadatlah dalam usaha menghapus-hapuskan dosa-dosa kecil, lantas menghilangkan kotoran-kotoran degil yang masih melekat di hati tersebut. Mungkin banyak lagi yang mampu kita lakukan, namun cukup sekadar pesanan ringkas daripada Rasulullah itu, cukup bermakna cukup bererti bagi yang mahu mengikuti. Produk Pembersih Hati yang dijamin berkesan!


0 comments: