Tuesday, June 28, 2011

Refleksi 2.0: Sebuah Harapan dan Hiba

Acapkali saya berasa tertekan dengan situasi di Malaysia. Sudah hampir tiga minggu menapak di bumi tanah air ini setelah pulang dari percutian Musim Panas daripada Utara UK, Edinburgh. Saya tertekan kerana memikirkan keadaan semakin runcing yang sedang berlaku di atmosfera Politik, Sosial, dan Ekonomi Malaysia. Saban hari, melihat gelagat dan mentaliti rata-rata masyarakat malaysia, satu suasana atmosfera yang ganjil bermain di minda saya secara berpusing-pusing seperti cyclone yang bakal terjadi. Saban hari, berbagai-bagai isu polemik kemusnahan akhlak dan mentaliti saya telusuri. Kadang-kadang diri terasa tertekan sehinggakan menyumpah-nyumpah terhadap diri sendiri kerana tidak mampu membuat apa-apa.

Gelagat dan mentaliti masyarakat sini sememangnya saya risaukan. Hari-hari memikirkan kesalahan orang lain, menuding jari tanpa usul periksa. Menjadikan isu-isu rumit sebagai alasan untuk mengherdik, memaki hamun, menyumpah-nyumpah dan saya tidak mampu menerima ini dalam minda saya yang sudahpun dipenuhi berbagai-bagai polemik lain termasuklah isu politik, isu hak bumiputera, isu korupsi, isu ketidakadilan dan sebagainya. Masing-masing cuba bercakap, menyatakan luahan buah pemikiran yang mungkin kononnya terlalu hebat. Padahal diri sendiri tidak sedar betapa tinggi rendah langit bumi. Isu-isu hangat rajin dipersembangkan, tetapi isu-isu wajib, isu yang lebih hebat tidak pula mahu disentuh. Sinisan ini memang menujah kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam. Walaupun tidak majoriti, tapi secara rawaknya, kebarangkalian untuk mendengar isu-isu ini dipersembangkan terlalu tinggi.

Politik kini bukan di kedai kopi, tapi politik kini di rata-rata tempat. Sembanglah apa sahaja, semua isu politik keluar. Adakah politik segala-galanya dalam hidup kita? Bagi saya tidak, Islam bukan agama yang dipolitikkan, tapi Islam agama yang memandu dan mewarnai politik dengan baik. Memimpin minda manusia supaya terpimpin secara lahiriah dan batiniah. Perlu diingatkan, politik Islam anjurkan bukan untuk sebuah negara sahaja, tapi untuk diri individu, memimpin diri agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang melanggari akhlak Islamiah, mengelakkan diri dari azab Allah, dan memimpin diri agar sentiasa dalam lingkungan orang bertakwa dan beriman. Apabila pemikiran mula dikotori dengan perasaan tidak puas hati, maka keluarlah kata-kata herdik, hasad dengki, lantas tidak mampu mewujudkan mentaliti kelas pertama yang Islam mahukan.

Islam di Eropah lebih banyak Islam di tempat saya. Ini harus saya akui. Islam yang saya maksudkan ialah dari aspek tahap mentaliti. Bagaimana mengawal interaksi sesama manusia, (hablumminannas). Bagaimana berfikir secara positif, menghormati orang lain seagama mahupun tidak seagama. Rasulullah menuntukka teladan yang baik, tidak pernah mencaci mahupun memaki hamun kaum musyrikin bahkan lagi sesama Islam. Inilah sesetengah golongan dalam masyarakt kita kian porak peranda. Mungkin dilihat kembali, hari ini, proses pembentukan individu Muslim dalam kalangan masyarakat tidak berjalan dengan baik. Keluarga sendiri tidak menekankan aspek penting dan utama. Kebanyakan terus langsung menekankan aspek akhlak, adab, dan aspek-aspek sampingan Islam. Sedangkan aspek utama yang perlu ditekankan ialah dari aspek akidah dan juga keimanan. Ini juga berkait rapat dengan sistem pendidikan Malaysia yang jelas mengabaikan beberapa aspek aqidah dan keimanan. Pembelajaran hal-hal ini hanya berjalan beberapa sentuhan sahaja kemudian diabaikan.

Melihat kembali sirah Rasulullah, aspek akidah dan keimanan merupakan aspek yang terpenting dalam membentuk masyarakat Islam. Di Makkah, para sahabat ditekankan dengan hal-hal yang membangunkan iman dan akidah. Tidak langsung menyentuh hal-hal yang berbentuk akhlak, hukum hudud dan sebagainya. Namun, bukanlah perlu bererti, pada zaman sekarang kita perlu memfokuskan kembali kepada aspek-aspek tersebut sahaja, tidak, ia perlu dilakukan secara komprehensif, iaitu mengutamakan yang utama.

Ibarat sebuah bangunan ingin dibina, asas tiang utama perlu di'piling' terlebih dahulu dengan sekukuhnya. Kemudian barulah diletakkan dinding, kubah, hiasan dan sebagainya. Ironinya, masyrakat kita hari ini laksana sebuah bangunan yang diletakkan tiang tetapi tidak di'piling' dengan kukuh, kemudian terus diletakkan dinding dan diletakkan kubah bagi menunjukkan "inilah ia yang kita mahu tunjukkan - syiar". Laksana ingin mewujudkan hukum hudud, tetapi tidak sedar bahawa masyarakat tidak lagi bersedia bahkan 'over-'bersedia' seperti kubah yang tersergam indah. Sedangkan tiang-tiang asas terlalu lemah. Nah, tidak juga bermakna kita perlu menunggu sehingga semuanya sempurna. Mahu tidak mahu, setiap orang yang faham perlu mula bergerak meng'Islah'kan masyarakat. Kerja pengislahan ini adalah tugas yang Rasulullah sendiri pikul terhadap para sahabat di samping berdakwah kepada orang bukan Islam.

Persoalan besar terhadap para pembaca, "adakah anda memahami Islam kini sama seperti apa yang anda faham sewaktu anda kecil?". Jika sama, anda mungkin berada dalam zon bahaya. Islam bukanlah sebuah agama yang statik. Tassawur Islam itu luas, dan anda perlu melihatnya secara keseluruhan. Gesaan diri supaya memahami Islam secara meluas inilah yang dinamakan Islah. Pembaharuan dalam membangunkan individu Muslim.

Moga-moga, artikel ringkas ini bakal menghujani hati-hati yang ingin mendengar. Kita bukan mahu berhujah, tapi tiada tindakan, tapi kita mahu sebuah generasi yang faham akan tanggungjawab Islah dan Dakwah, sebuah generasi yang cuba menegakkan kebenaran secara adil lagi saksama. Minda generasi hari ini perlulah sentiasa positif dan terkandung nilai-nilai Islam. Eropah memang hebat dalam memiliki nilai-nilai ini, jangan sangka orang barat semuanya kotor, ya mereka mungkin kotor dari aspek akidah, tapi mereka sangat hebat dari aspek mentaliti dan pemikiran, kawan-kawan inilah hikmah yang kita hilang dan perlu kita miliki semula. Moga-moga masing-masing berlapang dada, melihat kembali asas-asas pokok yang perlu kita teliti dan telusuri.


Tiba-tiba rasa ingin pulang Edinburgh.




2 comments:

Hidayatullah said...

serious ayat ko mcm DR MAZA... ko leh jadi mufti la amin.. ha3..
nice post..

Amin Rukaini Mustafa said...

Haha, tudia, jauh beno kot nak jadi mufti. ini sekadar pandangan dan refleksi peribadi. :)