Alam maha besar. Semut maha kecil. Semut hitam itu berjalan rakus. Memanjat laju. Deras tidak berhenti. Rasa mengah diabaikan. Seruan kebingitan dilupakan. Semut itu semut rakus. Warnanya hitam gulita. Tiada cahaya dapat memantulkan rupa dirinya. Semut itu gah memanjat batu yang tinggi. Batu itu juga berwarna hitam. "Ah, persetankan mereka, aku perlu terus memanjat! Aku ingin sampai ke kemuncak, akulah yang terhebat!" Desis hati semut hitam hitam itu.
Hujan lebat turun laju. Habis bah seluruh alam. Semut itu tetap mendaki batu itu. Hatinya keras. Lebih keras daripada batu itu dan lebih deras daripada hujan yang turun. Tinggi lagi untuk sampai ke kemuncak itu. Semut-semut lemah cuba melarang semut rakuts itu supaya berhenti. Dipersetankan jua semut-semut lemah itu. Hadirlah siapa sahaja, turut dipersetankan. "Ini urusan aku, urusan aku adalah urusan aku, bukan urusan orang lain!" Hati semut rakus itu makin bersuara lantang.
Namun, tidak tersampai-sampai jua ke kemuncak itu. Semut rakus makin pelik. Makin sayu. Makin letih. Makin lemah. Dan makin tidak bermaya. Segala rintangan dajal datang bertubi-tubi, usaha makin tidak menjadi. Hari semakin tua. Usia semakin lanjut. Harapkan puncak yang tinggi didaki, dataran rata pun tidak tercari. Punah. Hancur segala cita-cita. Semut rakus itu sudan tidak rakus. Hatinya sudah lusuh. Terik mentari membakar kehitaman dirnya sendiri. Semut hitam itu lumpuh dan remuk dibaham kuman. Hayatnya tamat di situ. Usahanya tidak menjadi.
Maka semut-semut lemah mula rasa bersalah. Semua bising-bising. "Aduhai semut hitam, kenapalah engkau begitu rakus, kenapalah engkau begitu degil, tiada makna mencari nama, tiada makna mencari kedudukan kalau diri tidak dikira, kalau keupayaan tidak diukur. Wahai semut hitam yang malang, semut-semut lain semuanya mencari keredaan, engkau pula mencari gelaran." Semuanya berasa kasihan. Kasihan semut rakus itu mati atas gelaran. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pun berciciran. Matilah ia.
-Tamat-
Amin Rox
2 comments:
hidup kita di dunia ini adalah untuk mencari keredaan ALLAH..bukan untuk mencari pangkat dan gelaran. kerana sesungguhnya, pangkat dan gelaran itu hanya akan membawa kita ke lembah kehinaan jika kita tidak dapat mengurusnya dengan baik..
yer, jangan jadi mcm semut hitam rakus itu..
Post a Comment