Showing posts with label master in biotechnology. Show all posts
Showing posts with label master in biotechnology. Show all posts

Monday, December 15, 2014

Tips Cemerlang Master/Undergraduate

Alhamdulillah, baru-baru ini keputusan MSc. in Biotechnology saya keluar dan hasilnya seperti apa yang saya harapkan iaitu cemerlang dengan Distinction. Jadi, beberapa rakan mula bertanyakan saya, apakah tips untuk cemerlang dalam Master mahupun dalam undergraduate semasa di universiti? Maka, saya mengambil inisiatif serba sedikit untuk berkongsi pengalaman yang saya miliki agar dapat membantu saudara saudari di luar sana yang juga dalam proses untuk membuat Master. Berikut ialah perkongsian saya serba sedikit secara umum.

1. Bina persepsi awal yang positif
Saya utamakan tips pertama ini kerana bagi saya ianya merupakan satu perkara penting yang selalu disalahtafsirkan oleh orang ramai termasuklah diri saya. Seingat saya, sebelum saya melanjutkan pelajaran ke Master, persepsi saya terhadap master agak negatif kerana seringkali dimomokkan bahawa 'Master ini susah, orang hebat sahaja boleh buat'. Bahkan bukan sekadar Master tetapi juga untuk undergraduate level. Momokkan dan doktrinasi negatif ini biasanya berleluasa dalam suasana budaya orang Malaysia dan ianya tidak bagus. Lagi-lagi bila buat master di UK - 'buat master di uk susah sebab compressed'. Pengalaman saya, saya mula membina persepsi positif terhadap master sejak di zaman undergraduate. Saya mula mengkaji apakah modul serta silibus yang dipelajari oleh para pelajar Master, dari situ barulah saya tahu bahawa Master tidaklah sesusah mana, cumanya level pembelajarannya mungkin sedikit tinggi berbanding dengan tahun akhir sewaktu di undergraduate. 



2. Rapati pensyarah & tanya soalan
Ini adalah perkara paling mustahak yang seringkali orang lupa. Biasanya, dalam satu-satu kelas Master, jumlah para pelajar tidak ramai, dalam anggaran 20-30 orang satu kelas bahkan mungkin lebih kurang daripada angka ini. Maka, adalah sangat rugi sekiranya kita tidak mengambil peluang untuk bina hubungan rapat dengan pensyarah terutamanya program director ataupun tutor akademik masing-masing. Biasanya, maklumat tambahan mampu diperolehi secara sembang-sembang biasa dengan pensyarah dan jangan lupa untuk sentiasa bertanyakan soalan. Soalan? Soalan yang bagaimana? Contoh mudah jika tiada sebarang soalan ingin bertanya, apa yang seringkali saya lakukan ialah menjustifikasikan kefahaman yang kita perolehi dengan pensyarah tersebut secara muka ke muka. Dari situ tanyalah soalan-soalan berkaitan dengan konteks tersebut, kembangkan skop soalan. Kadang-kadang, walaupun kita rasa kita sudah memahami sesuatu topik sejak dari undergraduate, tetapi adalah amat penting untuk menjustifikasikannya semula supaya proses memori kekal lebih lama dan 'make-sense'

3. Fahami dan teliti arahan kerja kursus
Masalah kritikal yang biasanya kita akan lakukan ialah tidak menjawab soalan kerja kursus. Pengalaman saya, setiap kali arahan kerja kursus diberikan, saya akan memberikan fokus kepada kehendak soalan. Jika satu-satu arahan kurang jelas atau samar-samar, jangan malu, terus bertanya kepada pensyarah kerana dari situ kita akan memahami apakah kehendak (expectation) yang beliau mahukan daripada para pelajar. Kadang-kadang, arahan kerja berbunyi agar samar-samar, padahal expectation pensyarah adalah sangat mudah. Maka, saya nasihatkan sentiasalah berkomunikasi dengan pensyarah hatta jika due date untuk submission sudah dekat, jangan sesekali malu bertanya!


4. Bina minat professional kendiri
Erti bina minat professional kendiri ialah cuba tanamkan dalam diri satu perasaan minat yang mendalam terhadap bidang yang dipilih. Sebagai contoh, jika anda seorang pelajar bioteknologi, maka tanamlah sikap suka membaca journal-journal online mahupun majalah-majalah sains yang berkaitan seperti mana jika seseorang itu minat kartunis mahupun sesuatu cerita, beliau sanggup melaburkan wang ringgit untuk membeli majalah-majalah yang berkaitan. Dengan adanya internet sekarang, pelbagai website percuma telah banyak wujud. Maka rebutlah peluang ini. Selain itu, minat professional ini boleh dipupuk dengan sentiasa berkomunikasi dengan individu professional seperti professor, pensyarah mahupun rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Tidak wujud persepsi negatif seperti 'budak nerd' ataupun ' budak genius' pada tahap ini. Yang wujud ialah seberapa banyak usaha yang kita letakkan terhadap bidang yang kita ceburi.

5. Jangan lambat, jangan juga tergesa-gesa
Ini adalah apa yang saya pelajari selama dalam dunia pembelajaran di universiti. Sebagai contoh, pensyarah telah memberikan kita satu assignment seperti essay yang mana kita perlu siapkan dalam tempoh sebulan. Ya, langkah pertama yang perlu kita ambil ialah terus mulakan secepat mungkin. Namun, perlu berhati-hati. Kadang-kadang kita berprasangka frasa 'secepat mungkin' bererti kita perlu siapkan kerja kursus tersebut pada kadar yang segera. Dalam hal ini, gunakanlah tempoh sebulan yang diberi itu dengan bijak. Memang kita disuruh siapkan awal tapi jangan jadikan konteks siapkan awal tersebut untuk mengurangkan kualiti penulisan kita. Berikanlah masa yang sesuai, minggu pertama untuk membaca, memahami dan mensintaksiskan idea. Barulah boleh mula menulis. Pada hemah saya, sesuatu penulisan yang berkualiti biasa mempunyai kadar yang perlu disesuaikan dengan diri. Bagi diri saya, saya biasanya menulis essay pada kadar 300 ayat sejam. Sehari mungkinlah dalam 500-600 ayat sahaja. Hal ini penting kerana setiap penulisan yang kita tulis tersebut, kita mahukan kualiti yang paling hebat. Andai kata kita menulis pada kadar 1000 ayat sejam tetapi hilang kualiti penulisan, maka ianya bukanlah satu pilihan yang bijak. Oleh yang demikian, jangan terlalu lambat dan jangan pula terlalu tergesa-gesa. 


6. Bincang dan diskusi dengan rakan

Ada masa kita tidak akan dapat berbincang secara muka ke muka dengan pensyarah mungkin disebabkan kita jenis pemalu atau pensyarah terlalu sibuk. Maka, gunalah peluang untuk berbincang dengan rakan-rakan terdekat terutamanya mereka yang suka berdamping dengan para pensyarah juga. Perbincangan ini juga boleh dilaksanakan secara berkumpulan, saling memperbetulkan kesalahan konsep mahupun membuat penerangan terhadap sesuatu topik yang tidak difahami. Satu perkara yang bagus tentang perbincangan ialah ianya melatih diri kita untuk menguasai topik yang ingin kita fahami dengan lebih mendalam dan mampu mengingatinya pada jangka masa panjang. Luahkan idea-idea masing-masing sekiranya memerlukan perbincangan brain storming dan sebagainya. Pengalaman saya, rakan-rakan yang mempunyai pengalaman yang luas dari berbeza lapangan mampu memberikan kita pendedahan terhadap sesuatu topik dan bidang dengan lebih mendalam dan menyeronokkan.

7. Nikmatilah pengalaman dengan seronok & passion!
Ya, memang akan ada situasi yang agak perit untuk dilalui semasa membuat Master dek kesibukan kerja kursus yang diberi. Tapi itu semua ialah pengalaman yang harus dilalui dan kepuasannya bakal kita rasai selepas menamatkannya. Jika tidak, tidak wujudlah program master. Satu perkara penting saya ingin pesan, kita hanya ada dua pilihan untuk lalui pengalaman membuat master: (1) dengan penuh kesuraman, kesedihan dan kemurungan atau (2) dengan penuh semangat, seronok dan enjoy! Pilihan di tangan anda, bagi saya, pilihlah yang kedua! Wujudkan satu rasa passion yang mana apa sahaja yang kita buat dengan penuh perasaan dan ikhlas kerana Allah; pasti kita akan rasa setiap kerja kursus mahupun apa sahaja cabaran yang diberikan sebagai satu permainan yang mengujakan! Tapi andaikata kita memilih untuk mengatakan Master ini susah, maka ianya akan menjadikan perasaan kita suram, sedih bahkan tidak bermaya. Hidup kita semasa proses tersebut akan berada dalam kemurungan yang bahayanya ialah ianya mampu menyebabkan kematian jiwa dan semangat yang telah lama kita bina. 


Semoga 7 tips umum ini memberi manfaat kepada rakan-rakan di luar sana. Saya tahu, bagi pengalaman PhD mungkin sedikit berbeza kerana PhD sudah tentu lebih jauh dengan skop dan konteks pengalaman yang amat berbeza. Cumanya, isi kandungannya hampir serupa. Moga-moga kita menjadi insan yang sentiasa meletakkkan nilai ilmu pada teras agama. :) 

Akhir kata, nasihat kepada diri saya:

"Semakin tinggi kita belajar dalam sistem ini, semakin 'bodoh' kita dari keluasan ilmu. Maka janganlah lagi memperbodohkan diri dengan membanggakan di hadapan Tuhanmu."

Sekian.

Amin Rukaini Mustafa
BSc.(Hons), MSc.(Dist) in Biotechnology


Wednesday, May 28, 2014

Sepintas Lalu: MSc Biotechnology

Pada entri kali ini inshaAllah saya akan cuba secara sepintas lalu menterjemahkan pengalaman peribadi selama mana berada dalam Msc Biotechnology di University of Edinburgh. Objektif saya pada entri kali ini adalah mudah iaitu untuk memberi galakan kepada rakan-rakan di luar sana yang ada keinginan untuk menyambung dalam bidang master khususnya dalam Msc Biotechnology. Bagi saya, tidak rugi untuk anda menyambung pendidikan pada level postgraduate kerana ianya menjanjikan pengalaman dan sumber ilmu yang luas.

Sepertimana yang kita tahu, Program Masters ialah satu program yang menyediakan seseorang itu ke arah menjadi tenaga pakar dalam bidang tertentu. Masters menyediakan kita juga ke arah mencari peluang pekerjaan mahupun bidang kajian (PhD). Modul yang terkandung dalam program masters selalunya agak berbeza dengan undergraduate. Jika anda seorang yang jenis menginginkan cabaran dan pengalaman baru, saya rasa teruskan menyambung paling tidak ke program masters. Hal ini kerana ianya menjadikan anda seorang insan yang lebih konfiden dengan aspek ilmu yang diceburi. Oh ya, masters di UK hanya setahun. Maka, ianya amat singkat dan mudah.

Untuk Msc Biotechnology, saya merasakan ianya sebuah program khas yang amat bagus diceburi terutamanya di University od Edinburgh (Promosi). Maaf, saya tidak dibayar untuk mempromosikan university of Edinburgh tetapi atas dasar kesedaran kendiri dan ingin melihat rakan-rakan sama berjaya. Adalah amat berbaloi untuk terus sambung ke master sekiranya mampu. Melalui pengalaman saya, kami diajar dengan berbagai-bagai pendedahan sama ada dari aspek research, industry, entrepreneurship and social sciences. Pendek kata, berbanding dengan undergraduate level, program master menjadikan anda individu yang lebih terbuka dengan bidang-bidang lain terutamanya business and management.

Susah ke?
Bagi saya, jika sudah memiliki latar belakang Bioteknologi; maka tidaklah sesusah mana bahkan anda akan mampu score dengan amat baik sekali. Selain itu, Msc Biotechnology tidaklah sesibuk mana. Ianya sangat menyeronokkan dengan modul-modul yang menarik untuk dihadam. Terdapat beberapa courses yang ditawarkan seperti, biobusiness, vaccine development, Biotech and entrepreneurship, Biotech R&D, Plant Biotech, bioinformatics dan synthetic biology. Semua courses yang disediakan ini amat membantu anda untuk menghadapi sama ada demi keperluan industry mahupun kajian mendatang.

Akhir kata, setahun berada di Edinburgh untuk Msc Biotechnology pasti menjanjikan satu pengalaman menarik. Oh ya, berikut merupakan video promosi yang dihasilkan khusus untuk tahun akan datang. Semoga bermanfaat. 















Wednesday, November 20, 2013

Ada apa dengan Master [Biotechnology]?

"Amin kenapa kamu tak sambung terus ke Ph.D?"

Soalan paling common saya selalu dengar. Sebenarnya saya mampu untuk sambung terus ke Ph.D tetapi saya memilih untuk menyelusuri Master terlebih dahulu kerana saya merasai ada lagi lompong-lompong yang belom saya isi dan juga selari dengan perancangan saya untuk masa hadapan. 

Saya telah buat keputusan untuk ambil Master by Taught sebabnya saya ingin explore lagi bidang ilmu secara meluas. Semasa di undergraduate, kami hanya diajar untuk mempelajari secara intensif akan setiap subjek ataupun course-course tententu. Tetapi bila sahaja sampai level Master, kami dilatih untuk menelusuri segala cabangan ilmu yang ada juga dilatih menjadi individu yang mampu mengintegrasikan segala lapangan ilmu ke dalam bentuk aplikasi.

Penat ke buat Master? 

Buat masa ini, saya rasa master ini lebih kurang undergraduate bahkan tidak sesibuk mana seperti yang diperkatakan kepada saya sebelum ini. Kadang-kadang saya pelik dengan manusia ini; ada-ada sahaja info yang tidak betul dan melemahkan semangat orang. Alhamdulillah, nasib baik saya dari kecil bukan jenis yang mudah terperangkap dengan omong-omongan kosong pengalaman orang lain. Biar orang kata susah tetapi yang penting ialah kita mengenali tahap kebolehan diri kita. Cuba dan mencuba inshaAllah berjaya. Jadi saya akan kata tak penat pun, cuma normal la sibuk sedikit untuk assignments. Perkara normal dan saya rasa saya amat suka terlibat dalam assignment sebab ianya melatih diri saya untuk terus membaca dan explore bidang baru.

Apa plan selepas ini? 
Plan terdekat Inshallah ingin pulang ke Malaysia menyelesaikan perkara penting dalam hidup dan kemudiannya terus sambung ke Ph.D. InshaAllah saya akan cuba melihat beberapa bidang yang sesuai dan mempunyai potensi besar di Malaysia. Adalah rugi jika saya ceburi bidang yang sekadar ingin melepaskan saya daripada job security kerana bagi saya ini mampu mengurangkan impak pada masa hadapan. Minat, kesesuaian bidang serta peluang dan potensi perlu diperhatikan secara berterusan. Saya melihat terdapat satu ruang luas dalam bidang Synthetic Biology di Malaysia memandangkan Malaysia masih jauh terketinggalan dalam bidang ini. Jadi kita memerlukan tenaga pakar dan individu-individu yang sanggup dan berani membawa pulang ke pasaran Malaysia khusus bagi bidang kajian dan pembangunan.Jadi ada apa dengan Master?
Oh ya, berbalik kepada soalan asal. Banyak perkara yang dilatih semasa di peringkat master. Tetapi secara kesuluruhannya ingin menyediakan kita ke alam pekerjaan juga ke alam pengkajian (Ph.D). Cara pengajarannya saya katakan lebih sempoi dan berfalsafah. Berbanding undergrad yang kebanyakan course kami diajar di dalam lecture, master pula selalunya diajar secara seminar dan discussion. Ianya lebih mengajak kita untuk menjadi individu yang mampu berfikir dan melontarkan idea secara terbuka dengan hujah-hujah tersendiri.

Jadi saya rasa, bagi adik-adik ataupun sesiapa yang ingin terus ke peringkat Master, saya amat rekemen supaya terus berbuat demikian dan jika mampu terus ke Ph.D. Soal kahwin? Why not sekalikan. Dan hal ini selalu sahaja dipesan oleh rakan-rakan yang lebih tua da lebih berpengalaman daripada saya. Bila dah kahwin dan settle down, usually nak sambung balik ke medan pelajaran ini agak berat dan ada inertia sikit. Jadi selagi masih bujang dan rasa tiada tanggungan teruskan sambung belajar dan jangan pula jadikan alasan ini tidak mahu kahwin. Perlu ada imbangan antara kedua-dua ini. Jika mampu sekaligus why not? :)



Gambar bersama coursemate Master in Biotechnology 2013, The University of Edinburgh. Terdiri daripada pelbagai kaum dari pelbagai negara: German, India, China, Malaysia, UK, Mexico, Greece, Cyprus, Ireland, Canada, US dan Turki.

Mengambil peluang bergambar bersama second supervisor saya semasa final year project beberapa bulan lepas semasa di undergraduate. Dia merupakan calon Ph.D berasal daripada Ghana. Sangat peramah dan sangat membantu saya semasa project tersebut. 


Tahun ini Coursemate saya terdiri dari beberapa orang pelajar perempuan. Saya seorang sahaja lelaki Melayu terakhir di sini. Tapi ALhamdulillah ternyata perempuan selalunya mendominasi di mana-mana peringkat pelajaran.