Showing posts with label kahwin. Show all posts
Showing posts with label kahwin. Show all posts

Thursday, January 15, 2015

Perkara Sepatutnya Aku Tahu Sebelum Menikah

Sudah lama tidak menulis soal hal kendiri dan peribadi. Alhamdulillah, sedar tidak sedar saya kini sudah bergelar seorang suami hampir empat bulan lebih. Walaupun masih baru, tetapi ternyata perkahwinan merupakan satu perkara yang cukup mengubah erti hidup. Sudah banyak yang diperkatakan oleh orang lain akan erti perkahwinan dan begitu popular tajuk ini sehinggakan sesiapa sahaja berkahwin pasti akan menerima banyak kerlingan orang ramai.

Ada beberapa isu besar dalam menelusuri ke arah perkahwinan ini. Antaranya ialah persediaan ke arah perkahwinan, pemilihan calon pasangan, proses ke arah perkahwinan sehinggalah kepada persediaan sebagai seorang suami dan isteri. Besar untuk diperkatakan dalam semua konteks ini, yang pasti ianya memerlukan perancangan yang cukup rapi. Bergelar seorang suami, bunyinya satu perkara yang besar bagi individu yang bakal menamatkan zaman bujangnya. Wujud berbagai-bagai persepsi yang sukar diterjemahkan ke dalam realiti sebenar. Hanya yang melaluinya sahaja akan merasai segala perasaan, peristiwa dan keadaan yang sebenar.

"Baca buku pasal persediaan kahwin ni banyak-banyak, get ready!"

"Simpan duit banyak-banyak!"

"Pergi la ceramah A tu.. dan ini.. "

Dan macam-macam lagi pesanan dan tindakan yang disarankan. Hakikatnya perkahwinan bukanlah seperti Exam - bersedia dan kemudiannya duduki. Ianya tidak sama sekali dengan akademik. Nilai ilmu tidak akan diuji secara tempoh masa tertentu seperti 50 minit atau 3 jam. Ilmu persediaan perkahwinan akan diuji bermula dari awal akad nikah sehinggalah selama-selamanya bersama pasangan kita.

Kahwin bukannya sehari. [Gambar hiasan]

Perkahwinan Tidaklah Sesusah Yang Disangka
Ada persepsi tipikal orang bujang, perkahwinan ini terlalu berat. Berat sehinggakan mengelak daripada berkahwin. Ada juga persepsi mengatakan: "Perempuan itu begini dan begitu - sangat kompleks. Baik jangan kahwin, nanti sudah kahwin akan susah nak buat itu dan ini. Enjoy dulu zaman bujang".

Pendapat peribadi saya, perkahwinan tidak sesusah itu bahkan yang membezakan seorang bujang dan seorang yang sudah berkahwin ialah wujudnya peneman bersama di kala susah dan senang. Ianya tidak sesusah yang kita sangka (sewaktu zaman bujang), akan ada banyak kelebihan, keindahan, kenikmatan serta kepuasan apabila sudah berkahwin.

Banyak perkara yang kita tidak dapat lakukan semasa bujang. Kelebihan hidup berdua menggandakan pahala berjemaah, akan ada perasaan kasih dan sayang sesama suami isteri, akan wujud kenikmatan yang Allah berikan, nafsu, pandangan dan kemaluan kita terjaga, kehidupan kita bukan lagi untuk kesoronokan yang lagha di facebook, twitter, dan sebagainya tetapi bersama insan yang Allah amanahkan kepada kita.

Perkahwinan memberi peluang suami isteri berjemaah, mengikatkan ikatan atas landasan yang diredai Allah. 


Perkahwinan juga memberikan satu impak sinergi. Segala jenis keputusan akan dimusyawarahkan bersama, memberikan peluang untuk membetulkan mana-mana keputusan yang kurang sesuai. Diri kita akan dibaiki dari hari ke hari dengan teguran yang penuh hikmah. Pasangan kita akan menjadi cermin kepada diri, teguran yang ikhlas dari seorang suami/isteri adalah satu nasihat yang membaluti diri kita dari segala kekurangan dan kelemahan. Inilah serba sedikit erti perkahwinan, tidak sesusah mana. Tapi..

Ada tapinya, pemilihan pasangan yang baik mampu merubah diri kita. Namun awas, perubahan tidak bermula dengan sebab orang lain. Konsep perubahan bermula dengan diri kendiri.

Ianya juga Tidak Sesenang Teori Semata-mata
Sebelum saya berkahwin, saya seringkali menerima komentar sebegini:

"Kahwin dulu baru hang (kamu) tahu"

"Baca buku banyak-banyak pun tapi tiada praktikal tak berguna"

Awalnya saya agak skeptikal, tapi bila sudah melalui baru saya faham. Aspek teori dan pelaksanaan praktikal adalah sangat berbeza sama sekali. Namun, keperluan memiliki nilai ilmu sebelum perkahwinan adalah penting yang seharusnya tidak terlepas pandang.

Ilmu akan memberi ruang kepada setiap pasangan memahami perbezaan yang ketara wujud antara satu sama lain terutamanya dalam soal psikologi dan fisiologi laki dan perempuan. Perbezaan jantina memberi impak yang besar kepada mereka yang baru mengenali alam perkahwinan tetapi dengan ilmu dan kefahaman ianya membantu kita mengenali pasangan kita dengan lebih rapat dan harmoni.

Beza fisiologi & emosi
Ambil contoh mudah, bagi seorang lelaki yang tidak pernah mengambil tahu soal perubahan kitaran haid seorang perempuan, ianya merupakan benda baru yang perlu dipelajari fisiologinya serta kesannya terhadap emosi wanita. Kadang-kadang orang kata wanita ini kompleks. Sebenarnya, wujud korelasi yang kuat antara kitaran haid seorang perempuan dengan kestabilan emosi beliau. Ini adalah fitrah yang Allah telah kurniakan kepada seorang wanita.

Kitaran haid bukan sahaja mempengaruhi ketebalan endometrium membrane, ianya mempengaruhi perubahan hormon dalam tubuh wanita yang secara langsung akan mempengaruhi perubahan emosi wanita. Jika kita memahami fisiologi kitaran haid dan hormon secara terperinci, saya rasa untuk memahami perempuan tidaklah begitu kompleks. Untuk penerangan contoh yang baik, boleh rujuk salah satu penulisan saya berkenaan ini. (klik sini)

Beza Psikologi & Bahasa
Soal psikologi pula, wujud perbezaan yang juga begitu ketara, perlu ditelaah terlebih dahulu dan faham konsepnya. Sebagai contoh, bahasa yang digunakan oleh seorang perempuan dalam kebanyakan keadaan secara umumnya ialah bahasa indirect atau saya suka klasifikasikan sebagai bahasa emosi. Berbeza dengan perempuan, otak lelaki lebih biasa menggunakan bahasa direct atau bahasa logik yang mudah.

Bahasa indirect ini memerlukan kefahaman emosi dan perlu ditafsir oleh individu yang mendengar. Manakala bahasa direct ini bersifat logik, jelas dan descriptive- tidak memerlukan tafsiran lanjur.

Dengan wujud perbezaan ringkas yang ketara ini sudah mampu menimbulkan konflik sekiranya kita tidak memahaminya dengan baik. Contoh:

Semasa berjalan-jalan, tiba-tiba si isteri terlihat sebuah kedai yang dipenuhi dengan baju-baju.

Isteri: "Wah, cantiknya baju-baju tu"
Suami: "Haah cantik-cantik" (full stop. Tiada perasaan dan meneruskan perjalanan)
Isteri: :"( 

OK, kat atas ini adalah bahasa conversation yang seringkali berlaku, tetapi hakikatnya masing-masing lelaki dan perempuan dalam konteks ini menterjemahkan kehendak dan kefahaman mereka secara berbeza. Ini adalah maksud sebenar dari sudut pandangan masing-masing yang noob.

Isteri (indirect): "Awak, jomlah masuk ke kedai tu, saya nak tengok-tengok apa yang best dan apa yang boleh dibeli"
Lelaki (direct): Melihat dan menganalisis kedai dan baju. [LOGIK] Ya, memang cantik. "Benar awak cakap boleh tahan cantik". 
Satu contoh yang ringkas telah mampu mengeruhkan keadaan jika kedua-dua tidak memahami percaturan bahasa masing-masing. Maka, telaahlah ilmu-ilmu berkaitan psikologi lelaki dan perempuan agar bisa praktisnya pada perkahwinan nanti. Serius. Walaupun tampak mudah, ianya tidak sesenang teori semata-mata.

Terdapat beberapa jenis buku yang boleh dibaca untuk memantapkan pemahaman dalam konsep ini, antaranya ialah Men from 'Mars Women from Venus', 'Why Mars & Venus Collides' kedua-duanya oleh John Gray dan 'Things I Wish I'd Known Before We Got Married' oleh Gary Chapman.



Kasih Sayang Kita Berbeza
Satu perkara lain yang akan membezakan kita secara ketara ialah aspek penyampaian dan penerimaan kasih sayang kita berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi semua ini antaranya ialah perbezaan didikan dan latar belakang keluarga masing-masing. Apa yang ingin kita sampaikan sebagai tanda kita kasih dan sayangkan si dia kadang-kadang tidak kesampaian disebabkan perbezaan ini. Maka terjadilah situasi seperti 'percakapan ayam dan itik'.



Mengikut Gary Chapman, pengarang buku 5 Love Languages, terdapat 5 jenis klasifikasi kasih sayang yang diketahui umum, iaitu (1) sentuhan, (2) Bahasa/pujian yang baik, (3) khidmat, (4) Masa berkualiti dan (5) Hadiah/pemberian. Kelima-lima jenis kasih sayang ini wujud dalam setiap insan dan salah satunya akan menjadi dominan. Salah satu faktor wujudnya dominan ini adalah disebabkan oleh pembentukan dalam keluarga sejak dari kecil.

Contohnya, andaikata seseorang itu dibesarkan dalam keluarga yang mana ibu bapanya seringkali memberikan hadiah sejak dari kecil, maka lama-kelamaan bahasa 'hadiah/pemberian' akan menjadi bahasa dominan beliau. Petanda jenis kasih sayang hadiah/pemberian ini adalah dominan dapat dikaji apabila eliau akan rasa disayangi apabila diberi hadiah atau pemberian manakala sekiranya kasih sayang ini ditarik seperti seseorang itu terlupa menghadiahi beliau, beliau akan mudah tersinggung dan rasa tidak disayangi.

Sekiranya kita mampu mengenalpasti jenis dominan bahasa kasih sayang dalam diri pasangan kita, ianya akan memudahkan proses menyampaikan rasa kasih sayang kita. Jika tidak, konflik dalaman boleh terbentuk. Sebagai contoh, si suami memiliki jenis bahasa kasih sayang 'Khidmat' manakala si isteri pula dominan kepada kedua-dua 'sentuhan' dan 'pujian'. Mari kaji situasi di bawah.
Suami: Si suami ingin memberikan rasa kasih sayang beliau kepada isteri, maka sebagai tanda kasih sayang, beliau membantu isteri mengemas rumah dan membuang sampah serta lain-lain (tanpa memberitahu secara langsung rasa cinta beliau kepada isteri).Ingat: tujuan suami adalah menunjukkan rasa cinta beliau.  
Isteri: Si isteri melihat proses mengemas, membuang sampah ini sebagai satu rutin harian biasa. Walaupun dia rasa berbangga dengan khidmat suami beliau, tetapi secara dalamannya beliau tidak begitu merasai erti kasih sayang sebenar. Beliau tidak terlalu rasa disayangi dan bahkan tidak menyedarinya. 

Kesannya jelas. Maklumat perasaan cinta si suami tidak sampai dengan bandwidth isteri. Apa yang difahami dan ingin disampaikan oleh kedua-dua pasangan tidak kesampaian.

Tafsiran perasaan mereka masing-masing begini:

Suami: Saya sayangkan kamu, maka saya kemaskan rumah.
Isteri: Terima kasih. Saya hargai tetapi saya tidak rasa disayangi sedemikian rupa. 
Bandwidth kasih sayang mereka kini berbeza. Suami terasa sudah memberikan sepenuhnya tetapi isteri tidak merasai apa. Akhirnya, lama kelamaan love bank mereka berdua merosot. Andaikata berlaku sedikit isu ringkas, berlakulah apa yang dikatakan ticking bomb.

Andaikata kedua-dua memahami bahasa kasih sayang dominan satu sama lain, proses memahami menjadi lebih mudah. Isteri terasa disayangi akhirnya feedbacks kedua-dua ini mampu menambahkan perasaan kasih sayang dalam rumah tanggan. Simple tapi kegagalan untuk berkomunikasi bahasa cinta inilah merupakan salah satu cabaran bagi pasangan yang baru berkahwin.

Kerukunan Rumah Tangga

Dalam buku 'Thing's I Wish I'd Known Before I Get Married' oleh Gary Chapman ada menekankan peri pentingnya menguruskan soal kerukunan rumah tangga seawal dan sebelun perkahwinan.

Berkahwin bukan soal hidup bersama sahaja bahkan segala pengurusan hidup akan dikongsikan bersama. Bermula dari pengurusan diri, kewangan sehinggalah kepada pengurusan buang sampah dan cuci jamban. Isu ini nampah remeh temeh.

'Eleh, cuci jamban je pun, biar jela dia buat nanti. Confirm dia ok.' 
Nampak macam 'eleh' tapi hakikatnya jika gagal menguruskan kerukunan ini dengan baik, mampu menggoyahkan suasana rumah tangga. Suami jangan beranggapan dengan menjadi ketua keluarga, maka akan menjadi ibarat raja segala-galanya hatta tidak langsung pernah memegang kuali di dapur. Bahkan, secara sunnahnya, suamilah yang sepatutnya menyediakan segala makan dan minum.

Namun, di sinilah wujudnya musyawarah bersama. Adalah perlu untuk menentukan peranan tugas masing-masing dalam rumah. Siapa basuh baju, siapa sidai baju, siapa memasak, siapa membeli barang-barang dapur dan lain-lain. Waktu bujang, memang kita anggap semua ini kita sudah tahu dan tidak perlu diberitahu tapi bila kahwin, semuanya perlu dibincangkan. Nampak remeh temeh tapi semua ini adalah salah satu perkara penting yang telah lama dipraktikkan oleh datuk nenek kita.

Begin with the end in mind
Nak kahwin, jangan fikir sekadar nak seronok-seronok. Seronok-seronok - fikir soal seks dan cintan-cintun. Ya, semua itu anda dapat tapi semua itu akan menjadi perkara biasa dalam hidup anda selepas beberapa bulan. Bila jadi perkara rutin, matlamat dan kehendak tersebut tidak menjadi satu prioriti lagi pada masa itu.

Maka berkahwin ini perlu fikir soal mencari lampin, fikirkan soal nak beli susu anak, nak hantar anak ke sekolah, beri didikan ilmu agama dan fardhu kifayah kepada ahli keluarga, soal bagaimana mahu tegur dan nasihat ahli keluarga daripada kemaksiatan, bagaimana mahu kejut keluarga untuk sama-sama bangun qiamulail, hidupkan solat berjemaah, hidupkan budaya membaca al-quran, suasana biah hasanah dalam rumah dan lain-lain.

Untuk lakukan semua ini, ianya sudah pasti perlu bermula dalam diri seawal sebelum berkahwin. Latih diri untuk ajak diri terlebih dahulu untuk memikirkan dan melakukan secara peribadi. Mulai dengan mengajak rakan-rakan sekeliling. Semua ini membantu. Untuk mempunyai sebuah keluarga yang baik bukan sahaja perlu memikirkannya tapi perlu berusaha ke arah melakukannya. Mulakan yang awal ini dengan gambaran pengakhiran.

Bina Iman, Bina Suasana (biah)
Perkahwinan sebenarnya telah memelihara dan menjaga pandangan para pemuda pemudi secara tidak langsung memelihara imannya pada tahap yang lebih stabil. Namun, sekadar memelihara tidak mencukupi. Ianya perlu dibina. Iman yang tidak dibina lama-kelamaan akan runtuh dan roboh. Pembinaan ini dapat dilaksanakan dengan amalan kebajikan bersama-sama.

Solat berjemaah bersama-sama adalah satu ibadah yang banyak memberi manfaat dalam pembentukan keluarga yang harmoni. Suami mengimami isteri merupakan salah satu simbol yang tiada taranya. Suami akan menyedari bahawa beliau kini bukan lagi berseorangan mengadap Allah SWT dalam solatnya, tapi di sisi belakangnya wujud satu amanah yang beliau bawa bersama. Kelak, Allah SWT akan menyoalnya jika beliau gagal dalam menjadi ketua keluarga yang baik. Manakala isteri yang solehah pasti menyedari bahawa ketaatan kepada suami dalam hal-hal kebajikan menjanjikan syurga hakiki di akhirat yang kelak.

Keluarga beriman tunggak kejayaan masyarakat .


Mulakan dalam rumah tangga dengan aktiviti yang membina suasana seperti bacaan Al-quran bersama-sama, bacaan terjemahan mahupun tafsir, bedah buku ataupun bacaan mathurat. Semua ini ke arah membina biah hasanah ataupun suasana yang baik. Juga, bagi yang memiliki usrah kumpulan, terus ikuti usrah dan tingkatkan prestasi diri. Usrah peribadi bersama isteri sahaja seeloknya diwujudkan dalam kegiatan dalam rumah. Ianya tidak perlu berbentuk 'bulatan gembira', usrah kekeluargaan dengan isteri perlu lebih bersahaja tetapi terisi kandungan, teguran dan perbincangan bersama.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ajarilah wanita itu dengan cara sebaik-baiknya kerana sesungguhnya perempuan itu dijadikan (seumpama) dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk paling bengkok ialah yang di atas sekali. Jika engkau memaksa meluruskannya, nescaya (patah) dan jika engkau biarkan saja, sentiasa ia akan bengkok. Sebab itu, nasihatilah perempuan itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” [1467] Sahih Bukhari dan Sahih Muslim 

Satu perkara penting yang perlu dipelihara ialah hubungan kekeluargaan dengan pihak isteri mahupun lelaki. Berkahwin ini, bukan soal kita dan si dia tapi juga mereka - sanak saudara, ibu dan bapa mertua, abang ipar, adik ipar kakak ipar dan lain-lain. Bina dan jalinlah hubungan kemesraan ini, ianya akan menjadi indah andai kata orang di sekeliling kita menyayangi diri kita.

Berjenakalah: Pahala di Sisimu
Kahwin tidak semestinya kita menjadi seorang yang serius lagi bengis. Bahkan kahwin menuntut kita menjadi orang ceria, kelakar dan mampu berhibur dengan peneman kita.

Apakah jenaka dan gelak tawa paling menggembirakan melainkan jenaka bersama pasangan tersayang. Bina suasana humor. Sudah pasti dalam ketawaan keceriaan ini, akan wujud pahala yang kita tidak pernah sangka. Kenapa tidak pula, dialah individu halal bagi kita yang bakal menemani perjuangan bersama. Hargailah dia, ceriakanlah dia. Sunnah Rasulullah SAW sudah jelas lagi terpampang. Ikutilah.

Berjenaka dan bermesralah dengan ahli keluarga - salah satu sunnah yang besar kesannya.


Dari Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku.” [1621] Sahih Ibnu Majah

Berdoa dan berusahalah
Ini mungkin pesanan yang paling cliche namun adalah perkara penting untuk dibuat. Sebaik-baik perancangan hanyalah perancangan Allah. Kita mampu berfikir, mentelaah serta mengambik tindakan tapi akhirnya hanya Allah yang akan menentukan-Nya. Yang baik kita terima, kita bersyukur. Yang buruk, kita bersabar dan terus berusaha. Sunnah melakukan kebaikan, pasti akan ada beberapa mehnah (ujian) di sepanjang jalan.

Berkahwin, memang tampak senang tapi sesiapa yang sudah melalui pasti akan ada saat kesusahan dan cabaran. Sesusahmanapun, dalamnya pasti ada bibit dan hikmah kesenangan. Jangan berputus asa, Allah pasti akan bersama.


Pengalaman Jualah Mengajari Kita
Seperti di awal pembukaan, banyak mana pun kita baca, telaah dan cuba bersedia - pengalaman jualah akan menjadi pengajar kepada kita. Apa yang saya ceritakan ini pun hanyalah pengalaman dan kefahaman yang masih tidak sempurna dan masih bersambungan.

Perhatikanlah sejak dari kecil. Kita selalu akan melalui satu-satu era perubahan. Ada peristiwa kita kena lalui yang mendebarkan seperti mahu berkhatan, dicucuk vaksin BCG serta lain-lain. Semua ini kita pernah terasa sukar tapi akhirnya kini kita telah lalui semua itu. Allah telah mendidik kita tanpa kita sedari.

Maka, usahlah terlalu risau dan usahlah terlalu ambil remeh temeh. Bersederhana dalam segala perkara merupakan satu polisi paling baik. Laluilah, pasti ianya satu fasa baru kepada semua individu.

Bacalah buku itu dan ini, simpanlah duit banyak ini dan itu, dengarlah pesanan senior ini dan itu, pergilah program persediaan berkahwin apa-apa sekalipun: hakikatnya pengalaman juga pengajar kita.

Sekian.

Nukilan: Amin Rukaini Mustafa & Atikah Nur Dzulkhefli. 
Genap empat bulan lebih perkahwinan. 'Jika bercinta, bawalah ke syurga' 

PS: Jika anda membaca ini, jangan lupa kirimkan doa kepada saya dan isteri untuk terus sentiasa cemerlang, bahagia di dunia dan di akhirat. 


Thursday, March 27, 2014

Apa rasanya 'mood swing' ketika period? [untuk bacaan lelaki]

Khas buat mereka yang bakal kahwin dan baru berkahwin. Tahukah anda kenapa perempuan selalunya mudah mood swing semasa berada dalam tempoh 'period'? Dan bagaimana dan apa rasa 'mood swing' ini? 

Saya akan cuba menjawab persoalan ini dari sudut penemuan biologi dan ini merupakan hasil kajian peribadi dan independent, maka ia tertakluk kepada kekurangan serta correlation study tetapi berdasarkan argument dan justifikasi saintifik, semoga bermanfaat. Segala rujukan saintifik saya telah letakkan di bahagian paling bawah untuk rujukan lanjut. Oh ya, saya cuba melaraskan bahasa penulisan saya kepada bahasa 'layman' yakni untuk mereka yang tidak biasa dengan bahasa sains untuk memudahfahamkan. 

Terlebih dahulu, diharapkan anda memahami konsep-konsep di bawah:
________________________________________________________________________________

Sekitar sebelum tempoh period bermula, paras hormon progestrone turun mendadak. 

Konsep 1A: Seorang wanita dicipta oleh Allah SWT dengan sistem period cycle yang kompleks dengan keperluan yg khas demi melangsungkan kitaran biologi seorang manusia untuk melahirkan anak. Dan untuk mengawal sistem ini, Allah SWT menciptakan sejenis mekanisme melibatkan signal yang kita panggil sebagai hormone. Dalam kaedah biologi, terdapat beberapa hormone penting yang dikenal pasti terlibat dalam mengawal proses period ini. Semasa period salah satu hormone dikenali sebagai progestrone akan menurun dengan mendadak. 

Konsep 1B: Progestrone memainkan banyak peranan dalam sistem tubuh manusia dan salah satu yang ingin diperkatakan ialah sebagai pencetus kepada penyaluran 'brain fuel' iaitu memastikan tenaga dalam bentuk glucose (ATP) disalurkan dengan baik kepada otak. Dalam keadaan yang stabil, jumlah tenaga yang disalurkan adalah mencukupi. Ssekiranya hormone ini berkurang, ianya  menyebabkan jumlah 'tenaga' ini juga berkurang dan menyebabkan sel otak tidak mampu bekerja dengan baik. Dan hal ini menyumbang kepada satu keadaan yang kita panggil sebagai mood swing, kejap ok, kejap tak ok. 

Mood swing. [gambar hiasan]


Konsep 2A: Hal ini juga berlaku kepada mana-mana manusia termasuk lelaki. Tetapi tidak disebabkan oleh hormone progestrone. Sebaliknya disebabkan faktor semula jadi iaitu semasa terlalu letih ataupun mahu tidur. Pada saat seorang lelaki terlalu mengantuk atau letih, mengikutk kajian, jumlah tenaga yang disimpan dalam sel otak berkurangan kepada tahap yang rendah, akibatnya beberapa signal disebarkan dalam bentuk adenosine. Adenosine ialah signal untuk tidur. Semakin banyak adenosine terkumpul, otak secara perlahan menerima isyarat dan menjana output mengantuk. Maka, secara mudah, lelaki juga mengalami proses 'brain fuel deprivation' yang hampir sama cuma boleh berlaku sekirangnya terlalu letih seperti selepas sukan lasak.

Konsep 2B: Sedarkan anda (wahai kaum lelaki) dalam saat-saat anda letih dan tidak bermaya ditambah mahu tidur, apakah perasaan anda jika anda diganggu dan didatangkan dengan berbagai-bagai masalah dan isu yang perlu diselesaikan? Sudah tentu anda akan rasa mudah marah, tidak rasional dan tidak mahu diganggu. Hal ini secara langsung disebabkan oleh otak anda kekurangan tenaga simpanan dan perlu berehat. 

_________________________________________________________________________________

Perkaitannya?
Jadi apa perkaitan antara konsep 1A/B dan konsep 2A/B. Perkaitannya mudah untuk difahami dan anda akan bertambah memahami jika anda pernah pengalami peristiwa 2B dalam hidup anda yakni tidak cukup tidur. Perkara asas di sini ialah 'brain fuel deprivation'. Hal ini termasuklah kekurangan tenaga dalam bentuk glucose (ATP), kurang peredaran darah dan kurang oksigen. Semuanya berbalik kepada konsep asas keperluan sel untuk 'bernafas' dan terus segar. 

Bagi pihak perempuan, salah satu faktor yang menyebabkan kandungan 'brain fuel' ini berkurang adalah disebabkan turunnya kadar hormon progestrone secara mendadak semasa waktu period (haid). dan hal ini menyebabkan emosi seorang wanita itu menjadi 'spatial' (dipengaruhi oleh faktor sekeliling) dan mudah mood swing. 

Jadi apa yang pihak perempuan rasa pada waktu ini? Sudah tentu hampir serupa dengan yang anda (lelaki) rasa semasa anda tidak cukup tidur dan tidak mahu diganggu dengan isu-isu yang memeningkan kepala. Rasa mudah beremosi, mudah marah, mudah cepat melenting dan sebagainya (anda sendiri tahu apa akan jadi jika tidak cukup tidur). 

Konklusi
Bagi seorang suami yang telah lama mendirikan rumah tangga, saya kira benda ini difahami secara pengalaman, mungkin tidak pada saintifiknya. Khsus kepada kaum lelaki yang baru sahaja mendirikan rumah tangga ataupun bakal mendirikan rumah tangga, ambillah satu kajian ringkas dan perkaitan ini sebagai satu konsep yang perlu difahami. Allah SWT tidak menciptakan seorang wanita itu sama dengan seorang lelaki. Adalah sangat bagus jika anda cuba ambil tahu soal hukum biologi dan kesannya terhadap kesan psikologi, emosi dan perasaan seorang wanita. Namun, sejauhmana kita mampu mengukur mood swing ini serta apa faktor-faktor lain ini masih banyak boleh dipersoalkan, apa yang saya sajikan ini hanyalah kajian secara correlation study. 

Jadi apa perasaan seorang wanita yang mood swing? Hampir sama apabila anda (lelaki) tidak cukup tidur!

Anda (lelaki) mungkin dengan tidur mampu memulihkan balik sumber tenaga kepada sel otak ini, tetapi cuba bayangkan seorang wanita yang harus melalui naik turun emosinya selama hampir 7 hari atau mungkin berlanjutan. ;)

Anda tidak akan faham jika anda tidak pernah mengantuk teramat-amat dan terpaksa menyelesaikan masalah rumit pada masa yang sama.

Maka saya rasa, haruslah para suami yang baru berkahwin memahami soal ini dengan baik. Seharuslah beliau tidak membuat perkara-perkara berikut semasa dalam tempoh kritikal ini seperti:

-keluarkan isu-isu sensetif
-membebankan isteri
-memberikan perkara-pekara yang memeningkan isteri
-membuat isteri 'confuse'
-menyakiti hati (mungkin ibarat ticking bomb)
dan lain-lain (anda sendiri patut tahu).

Wallahualam, sekadar pandangan peribadi. Sedangkan diri tidak ada pengalaman. Perkara ini mungkin lebih 'make sense' bagi yang sudah berkahwin. ;)

Ditulis oleh:
Amin Rukaini, Bsc Biotechnology, Msc Biotechnology (current)
University of Edinburgh.
_________________________________________________________________________________

Rujukan:
Bennington, 1995, Restoration of brain energy metabolism as the function of sleep, Prog Neurobiol. 45(4):347-60.
Cobb, K. (2002), Sleepy heads: Low fuel may drive brain's need to sleep. Science News, 162: 38. doi: 10.2307/4013835
L. Kravitz,A. Cazares, C. Mermier, Women, Hormones, Metabolism & Energy Expenditure, drlenkravitz (online). 
 D'Eon T. and Braun, B. (2002). The roles of estrogen and progesterone in regulating carbohydrate and fat utilization at rest and during exercise. Journal of Women's Health & Gender-Based Medicine 11(3), 225-238.


Monday, August 22, 2011

Berdating Bersama Bakal Mertua

Bila tengah bercinta, bukan main gentlemen yer, tapi bila dah berkahwin, lain pula jadinya.

Ingin mencari realiti sebuah hakikat percintaan yang suci? Islam ada jalannya. Kadang-kadang, yang menafikan hak fitrah diri bukanlah Islam, tetapi hakikatnya ialah diri sendiri yang enggan menerima saranan yang Islam gariskan. 

Semahunya, hendak berpegang-pegang tangan sahaja. Berpeluk-peluk, ini mungkin berlebihan pada hemat saya bahkan pula bercumbuan-cumbuan. Nah itu lagi over, 18 tahun ke atas. Semuanya menjadikan budaya barat yang non-practicing religion sebagai pengukur dan contoh teladan. 

Sabda Nabi s.a.w. : “Tidak boleh bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan ada mahramnya”. (Mafhum HR Bukhari).
Jangan Coba-coba

Fitrah manusia mengharapkan sebuah pertemuan antara laki dan perempuan yang bukan muhrim. Rasa manis dan indah berputik tatkala mata bertentang mata, suara lunak berkata-kata, ayat-ayat cinta memain rasa. Seperti pancaran kilat, tersirap darah bila bersama, terpancut aliran adrenalin menerokai ruang-ruang salur darah, menghembuskan sebuah nafas nafsu yang makin bergelojak.

Allah berfirman yang mafhumnya, "Jauhilah zina!".

Si A: Yela, aku bukan berzina pun. Takda la sampai berzina kalau pegang-pegang tangan.

Berapa banyak alasan perlu direka untuk menangkis rasa bersalah dan juga rasa ingin mencuba dalam diri. Al-hawa sentiasa mengarahkan diri ke lembah kehinaan. Al-hawa berkata: "Its ok, jangan lepasi 'garisan' dah la, pegang-pegang tangan je pun, jumpa-jumpa je. Ada orang tengok. so fine jer.."


Tidak salah untuk berdating, tapi jika anda berani dan mahu sangat, kenapa tidak ikuti saranan ini yang rasanya amat berkesan dan efektif. Bagaimana? Pergi jumpa keluarga si tercinta, kenali keluarga bakal pasangan anda. Ada BRAND (berani)? Berjumpa dengan ibu bapa si tercinta. kalau nak berdating, boleh! Jom, ajak mereka turut bersama, anda mahu berjalan berdua-duaan? Boleh! Tapi biar ibu atau bapa berada di belakang tidak lebih dari 1-2 meter, ataupun di sebelah anda. Bawalah berjalan-jalan ke tepian pantai, tasik indah mana pun, anda secured! Rasanya, tak perlu berpegang-pegang tangan di hadapan ibu atau bapa tercinta, pernah makan penampar? Kalau nak, boleh cuba. (tidak disarankan) Kalau penampar, itu baru dengan ibu or bapa tercinta, tapi tanya diri, bagaimana pula dengan Sang Pencipta? .....

Isu perbincangan semasa berdating hendaklah benda-benda yang serius dan yang baik. Jaga percakapan yang baik, jaga pandangan mata, peliharalah hubungan yang sederhana dalam erti kata mahu berbincang sebuah isu yang sangat besar >> seperti perancangan ke arah perkahwinan dan lain-lain. (ada BRAND?)

Last resort, apa kata >> Kumpul duit sikit, masuk minang, kahwin. Langsai, berdating sepuasnya. Anda akan jadi insan paling bahagia di dunia pada waktu itu. (orang kata) 

Yang kanan atau yang kiri?






Tuesday, August 24, 2010

Resolusi Kes Buang Bayi. Nikah

Secara terus terang bagi mereka yang tidak mengenali saya, saya merupakan seorang yang beridentitikan personality INTJ, iaitu seorang penganalisa yang jika dirangsang mampu menghasilkan idea yang bernas dalam situasi-situasi terdesak. Pendek kata, memang dalam diri saya wujud disiplin Natural Leader. Saya tidak sangkal, itu anugerah tuhan, saya mampu melihat jauh dari orang biasa.(maaf, bukan untuk riak, tapi kefahaman terhadap diri saya)

Terima kasih kepada saudara Syahmi kerana memberi satu link yang bak dikongsi bersama, iaitu satu artikel berkenaan pernikahan yang ingin saya maksudkan. (tak sangka idea saya ada juga dipersetujui, apa yang ingin saya maksudkan ialah corang pelaksanaan itu pasti ada sistem yang baik, bukan pakai main redah) Maka ikutilah artikel yang dipetik dari Al-Ahkam.net di bawah ini oleh Nasruddin Hassan At-tantawi.


Nikah Khitbah satu Alternatif
Oleh: Nasrudin Hassan at Tantawi

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :
dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui . An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :
* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
* Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
* Merendahkan hantaran perkahwinan

6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
* Suami
* Isteri
* Wali
* Saksi
* Aqad [ Ijab Qabul ]

cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :
* Masih menuntut di kolej atau uniersiti
* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .





Blogger Templates

Saturday, February 13, 2010

Barakallahulakum

Sebentar tadi, motosikal yang saya naiki bersama-sama Syamil memecut laju ke arah Jitra setelah usai solat Maghrib. Setiba di rumah Akmal, Syahmi sudah pun selamat tiba. Kami bergerak ke rumah Zahid. Kami menghadiri Kenduri 'Kahwin Zahid'. Kononnya. Beliau sebelum ini asyik menyebut tentang Kenduri Kahwinnya. ^_^ [padahal kenduri kakak dia]

Maka kami pun menerjah si Zahid pada waktu malam. (kenduri pada waktu malam) Ternyata Zahid segak bersampin, bagai raja sehari!

Tatkala kami disambut,
"Ai..Zahid, mana orang rumahnya? Baju dah hensem dah!" Zahid tersenyum blushing [ maaf, jangan tiru penggunaan bahasa]

Isi penting perbualan semasa makan : Kahwin3!! Tut... (Jangan tiru aksi kami, mungkin nature call kot)

Selesai makan. Kami bergambar. Jeng3.

Zahid tampak comel dan tampan sekali, bak raja sehari!

Akmal, bab makan toksah cakap la, tengok kaki la..


Syahmi, driver kereta paling extreme, kecut perut nek ngan dia, catat rekod Jitra-Penang - sejam!
Tapi tahniah sebab sanggup datang jauh!


SYAMIL???
Sorry la weyh, gambaq hang takda.
Bawak motosikal jgn laju sgt.. ^_^

Pengantin memotong kek.

Sekadar Trivia.

Kepada bakal atau pun yang telah menjadi pengantin,
*(entah kenapa makin lama makin saya tidak kisah membicarakan tentang perkahwinan, dulu segan silu!)

Barakallahulakuma wabarakaalaikh kuma wajamaa bainakuma fikhair

Bila pulak la giliran saya??? oops..