Sunday, March 1, 2015

7 Expectation & Reality Perkahwinan Yang Sepatutnya Aku Sudah Tahu

Pada bulan lepas, saya ada berkongsikan berkenaan perkara-perkara yang sepatutnya anda tahu sebelum bernikah. Boleh baca di pautan ini. Ianya merupakan satu perkongsian yang amat penting bagi saya kerana di dalamnya terkandung beberapa persediaan yang amat penting untuk diambil tahu sebelum melangkah ke arah pernikahan.

Perkahwinan [gambar hiasan]

Expectation VS Reality
Kali ini saya akan cuba membahaskan pula berkenaan expectation dan reality pernikahan yang perlu anda tahu. Expectation ataupun tanggapan akan alam perkahwinan dan realiti perkahwinan mempunyai perbezaan yang jarang-jarang dijelaskan.

Peranan buku-buku picisan, novel cinta, cerpen-cerpen romantik, lagu-lagu yang mengasyikkan, drama korea serta filem-filem Hollywood semuanya mengembar-gemburkan persoalan cinta dan pernikahan dalam bentuk virtual dan akhirnya mewujudkan satu expectation kendiri terhadap alam perkahwinan. Maka, tidak hairanlah majoriti pemuda pemudi yang masih bujang akan mengimpikan sebuah pernikahan yang cukup membahagiakan. Tapi benarkah sedemikian rupa? Jawapannya amat mudah. Hanya yang telah melaluinya sahaja akan mampu menjelaskannya.

Peranan media dalam hidup cukup besar

Sebelum saya membawa anda dengan lebih mendalam, secara amnya, pernahkah anda membaca sebarang buku psikologi rumah tangga yang bernadakan lebih serius daripada buku-buku picisan novel-novel cinta? Pasti anda akan sedar bahawa begitu banyak buku-buku motivasi dan kaunseling rumah tangga yang cuba mengembalikan pudarnya rasa cinta dalam kekeluargaan. Mengapa begini? Begitu teruk sangatkah perkahwinan ini sehinggakan begitu banyak buku-buku berbentuk psikologi rumah tangga ini di pasaran.

Pernah jugakah anda persoalkan, kenapa dan mengapa begitu ramai pasangan yang berkahwin namun akhirnya berpisah dan bercerai-berai. Di manakah silapnya expectation kebahagian yang kita inginkan tersebut? Adakah selama ini kita ditipu oleh segala jenis media berbaurkan cinta tersebut?

Jawapannya ada banyak tapi salah satunya saya pasti semua jenis media berkisarkan percintaan tersebut sebenarnya telah mengambil peluang terhadap kehendak jiwa para pemuda dan pemudi. Pada abad-abad di mana hormon percintaan (testosterone & oestrogen) semakin melonjak, semakin tinggi jugalah demand terhadap bahan-bahan bacaan serta media seperti itu.

Isunya bukan soal salah siapa, tetapi isunya ialah generasi muda mudi akhirnya 'melengkap diri mereka' dengan persepsi dan expectation yang kendiri menjangkaui dunia realiti. Banyak faktor-faktor sampingan turut mempengaruhi seperti pengalaman peribadi, pengalaman ibu bapa, adik-beradik dan lain-lain. Ada yang melihat perkahwinan ini satu perkara yang terlalu berat, ada pula yang terlalu meyakini bahawa perkahwinan ini menjanjikan sesuatu yang penuh kenikmatan, kebahagiaan. Masing-masing terlalu extreme, tidak berpijak di bumi yang nyata.

Berikut ialah beberapa contoh yang saya ingin saya jelaskan.

EXPECTATION #1
Pernikahan ini adalah sweet-sweet (best) belaka

REALITY #1 
Pernikahan memberi ruang kebahagiaan selagi mana kedua-dua pasangan saling menyediakan komitmen dalam membahagiakan satu sama lain. Sweet ataupun tidak sweet, semuanya bergantung kepada kedua-dua individu tersebut dalam mengekalkan sweetness tersebut.

Saya bagi contoh, salah satu tabiat positif dalam perkahwinan ialah selalu berjalan secara berdampingan walaupun usia perkahwinan telah mencecah tua. Sesetengah orang ambil isu ini isu mudah. Di awal perkahwinan, saling bergandingan tangan. Namun, beberapa bulan kemudian tiada lagi sweetness tersebut kerana si suami kini berjalan sehasta, sedapa dan sejela jauh di hadapan meninggalkan isteri yang terkedek-kedek jalan di belakang. Realitinya, semua ini tertakluk kepada kedua-dua pasangan tersebut. Masing-masing perlu cipta sweetness tersendiri dan tidak menjadikan perkara tersebut sebagai rutin tetapi sebagai salah satu simbol kasih sayang bersama.


Maka, secara ringkasnya. Sweetness akan kekal dengan komitmen. Tiada komitmen maka tiadalah sweetness. Semudah itu penjelasannya.

EXPECTATION #2 
Bila dah kahwin, akan sentiasa kekal bahagia selama-lamanya.

REALITY #2 
Oopps. Sebelum pergi ke realiti perkahwinan, kebahagiaan yang kekal selama-lamanya hanyalah wujud di syurga Allah SWT.
Dalam realiti perkahwinan ini, analogi paling mudah saya kemukakan ialah ibarat air pasang dan surut. Maksudnya sudah tentu akan ada masa-masa yang kurang menyenangkan lantas menghilangkan rasa bahagia. Rasa bahagia ini bagi memudahkan faham ialah ada tiga perasaan iaitu: mahabbah (cinta), mawaddah (ketenangan) dan rahmah (belas kasihan). Mahabah bermakna kita cintakan isteri kita seadanya sebagai seorang insan. Ketenangan pula menyebabkan kita rasa selesa, hati jadi tenang, tiada gundah gulana. Manakala belas kasihan adalah perasaan paling penting, rasa kasihan yang menyebabkan kita akan melayani seseorang itu bukan atas dasar cinta tapi kita merasi sayu dan syahdu dalam melengkapi pasangan kita.

Kedua-dua perasaan mahabah dan mawaddah mampu hilang disebabkan oleh faktor-faktor kelemahan yang wujud pada 'al-insan' (manusia) tu sendiri. Contohnya seperti bila masing-masing sibuk dan stress, pasti akan menghilang ketenangan, niat untuk bermesra dan saling bergaulan ataupun tatkala pasangan kita kurang sihat dan sebagainya.

Tetapi hebatnya perkahwinan ini ialah walaupun kedua-dua perasaan ini boleh hilang sementara, rasa rahmah (belas kasihan) itu masih wujud. Ianya akan menjadi benteng terakhir dalam mendepani kerukunan rumah tangga. Dan semua perasaan ini sudah tentu adalah kurniaan Allah SWT. Maka, kebergantungan kita kepada Allah SWT merupakan kunci kepada mengekalkan kebahagiaan bersama. Andai kata perasaan rahmah ataupun belas kasihan ini hilang, maka terjadilah banyak keadaan yang menghilangkan nilai kemanusiaan sehinggakan akan berlakulah kes jenayah berat seperti suami mendera isteri, ayah mendera anak, isteri menikam suami dan lain-lain. Nauzubillah.

Yang pasti, wujud korelasi kuat antara keimanan dan akhlak kita dalam mendepani semua ini. Keimanan yang utuh kepada Allah SWT dan sunnah sebagai rujukan, maka ianya akan menjadi petunjuk sepanjang jalan.

EXPECTATION #3
Lelaki: Bila dah kahwin nanti, sudah tidak perlu menguruskan soal hal-hal rumah seperti lipat baju, basuh baju dan sidai baju kerana isteri kita yang disayangi akan menguruskan segala-galanya.

REALITY #3 
Saya suka mengupas isu ini kerana ini adalah salah satu tanggapan salah yang jelas-jelas perlu diperbetulkan. Saya suka frasa ini:

Your wife is not your maid. She is your -mate. 
Seorang isteri bukan pembantu rumah peribadi kita, tetapi dia adalah peneman kita sama ada teman sebilik, teman sekereta, teman gelak ketawa, teman menangis, teman bersolat dan macam-macam lagi.

Bila dah kahwin, tugas asalan beliau bukanlah untuk menjaga hal-hal rumah dan peribadi kita. Bahkan jika kita beranggapan isteri kita ialah maid, maka tidak perlulah berkahwin, memadai dengan mengambil pembantu peribadi.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu kita harus kembali kepada contoh teladan terbaik, iaitu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW ialah insan yang paling terbaik dalam melayani keluarga bginda. Walaupun Rasulullah bergelar seorang suami, baginda menguruskan hal-hal diri sendiri tanpa memerlukan bantuan isteri-isteri beliau.

Aisyah R.A. berkata yang maksudnya: "Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia biasa. Baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya." (HR Tirmidzi)
"Sebaik-baik di antara kamu adalah yang berbuat baik kepada keluarganya, aku adalah yang terbaik dalam kalagan kamu terhadap keluargaku."  (HR Tirmidzi)
Maka, seorang lelaki dan bakal suami perlu jelas bahawa hal-hal menguruskan rumah tangga adalah menjadi tanggungjawab bersama. Lelakilah seharusnya menunjukkan kebertanggungjawab yang lebih. Seorang suami paling tidak harus merasai sendiri penat lelah menjadi seorang pengemas rumah, pencuci baju, penyidai baju, pencuci sampah dan lain-lain kerana kelak jika isteri yang mengambil dan melakukan tugas tersebut, si suami pasti lebih memahami kepenatan juga keletihan yang si isteri alami. Maka dari sinilah akan wujud rasa belas kasihan, cinta dan penghargaan.


Kesimpulan: Kesanggupan seorang isteri menguruskan hal-hal rumah tersebut adalah satu hadiah dari Allah SWT. Lelaki, jangan sesekali berasa berat dan malas untuk turut lebih melakukan bersama. Dia (isteri) bukan maid, tapi dia ialah -mate.


EXPECTATION #4
Perempuan: Bila dah kahwin nanti mesti suami aku akan jadi romantik sokmo. Hari-hari dapat surprise. Setiap saat akan mendendangkan ayat-ayat cinta. Tak pun macam cerita drama korea.. bla..bla..bla.. (bosan).

REALITY #4
Benar semua ini boleh dicapai dalam perkahwinan. Tidak dinafikan seorang suami sepatutnya menjadi seorang yang romantis. Cumanya, bagi saya expectation yang perlu diperbetulkan ialah kita seharusnya membebaskan diri daripada terpengaruh dengan drama-drama korea, jepun dan sebagainya yang terus terang hanya menekankan soal percintaan semata-mata.

Dalam perkahwinan percintaan sememangnya perlu diraikan. Namun ianya kadang-kadang tidak se-ideal drama-drama tersebut. Inilah hakikat perkahwinan. Bahkan perasaan yang wujud dalam perkahwinan ini amat unik, tidak sama sekalipun dengan perasaan percintaan yang cuba ditonjolkan dalam drama-drama.

Saya katakan unik kerana:
  1. Rasa cinta ini boleh wujud dengan sekelip mata. Contoh, baru sahaja berpisah selama sehari, bila berjumpa kembali dengan isteri ibarat rasa macam pertama kali bercinta.
  2. Ada perkara yang kadang-kadang kita rasa kurang suka dengan pasangan kita, tetapi tanpa kita sedari ada banyak lagi benda yang menyebabkan kita suka. 
  3. Kita bercinta bukan sahaja dengan pasangan kita, tetapi ia melebihi itu. Kita akan melalui fasa 'bercinta' yakni berbaik-baik dengan kedua belah pihak keluarga. Jalinan kasih sayang kesemua ini menjadikan hubungan ini sungguh unik. 
  4. Kita bercinta tetapi pada masa yang sama akan ada bebanan amanah dan komitmen.  
Huraiannya No. 4:- 

Percintaan dalam perkahwinan adalah berlandaskan amanah dan komitmen. Bercinta dalam perkahwinan mengkehendaki kedua-dua pasangan memberi komitmen yang berterusan. Bila kita sebut komitmen, maka ianya memerlukan usaha dan ianya amanah yang perlu sentiasa dipelihara. Uniknya perasaan cinta dalam perkahwinan ini ialah ianya mampu kekal selagi mana kekalnya manifestasi kerukunan rumah tangga, kesefahaman, penghormatan serta penghargaan.

Ikatan amanah inilah yang menjadikan seorang lelaki lebih dewasa dan jelas hala tuju. 
"Sebelum berkahwin, aku hanya fikir soal diri sendiri. Selepas berkahwin, aku kena fikir soal orang lain. Soal isteri, soal anak-anak, soal ibu bapa, soal saudara mara serta lain-lain"
Tampak mudah tetapi semua ini memerlukan komitmen dan keseriusan dalam melaksanakannya. Namun, inilah salah satu latihan paling kritikal dalam menepani masyarakat. 

Sudah tentu, lelaki bukanlah robot untuk sentiasa menjadi lelaki budiman yang sentiasa romantis. Akan ada masa dia letih, ada masa dia tertekan. Semua ini adalah hakikat manusia yang perlu difahami. Lelaki pula, tidaklah menjadikan ini sebagai alasan untuk tidak romantis bahkan inilah salah satu gerbang pahala yang wujud dalam perkahwinan. Ucapan cinta, ciuman kasih sayang dan lain-lain merupakan salah satu perkara yang mampu menjadikan perkahwinan sebuah syurga dunia.

Kesimpulan: Perkahwinan bukan drama, ianya sebuah layaran kehidupan, tidak sesempurna tapi perlu berpada-pada.

EXPECTATION #5
Orang bujang yang skeptikal: "Kahwin ini nanti akan selalu bergaduh suami isteri."

Orang bujang yang over-optimis: "Kahwin ini takkan gaduhnya punya.."

REALITY #5
Dalam kekeluargaan, memang benar pasti akan ada yang akan tergigit lidah. Namun ianya bukanlah satu perkara yang selalu berlaku andai kata masing-masing memahami perbezaan ketara antara lelaki dan wanita, psikologi lelaki dan wanita dan kehendak masing-masing. Saya pernah menulis konsep perbezaan ini dalam entri 'perkara yang sepatutnya aku tahu sebelum menikah'. Boleh lihat kembali. 

Saya pernah memetik isi kandungan tersebut daripada buku 'Why Mars and Venus Collide?' dikarang oleh John Gray yang berkisarkan tentang perbezaan yang wujud antara lelaki dan perempuan. Semua ini menyumbang kepada salah faham dan akhirnya akan membawa kepada 'collision'. Beberapa buku lain yang turut menyatakan perkara yang sama ialah 'Hold me Tight' karya Dr. Sue Johnson, buku 'I Love You, But I am Not In Love with You' karya Andrew G. Marshal serta buku 'His Needs, Her Needs' karya Willard F. Jr. Harley.


Bagi saya, selepas mengamati kesemua buku-buku di atas, wujud persamaan yang ketara akan hakikat ini. Asas-asas yang saya rasa anda perlu faham dalam mengelakkan sebarang salah faham yang membawa kepada pergaduhan berlaku ialah seperti berikut:

Asas #1 - KEPERLUAN lelaki & perempuan adalah berbeza

Contoh: Seorang perempuan mempunyai keperluan untuk merasai affection (menawan/menarik perhatian) kepada suaminya dan hal ini secara tidak langsung sepatutnya dizahirkan melalui pujian, rasa sayang dan kata-kata indah oleh si suami. 

Andai kata tidak dipenuhi keperluan ini, maka akan wujudlah berbagai-bagai persoalan negatif dalam diri wanita seperti: "Aku ini tidak cantik/menawan ke bagi suamiku". Maka, lelaki perlu memahami isu ini dengan baik dan sepatutnya memberi komplimen dengan cara yang terbaik. 

Dan hal ini juga diperlukan oleh seorang lelaki. ie mahu kelihatan macho dan ect. Sekali sekala isteri perlulah komen: "Awak memang hensem". 

Secara umumnya, masing-masing perlu mengenal pasti keperluan pasangan dan cuba memenuhi keperluan tersebut dengan sedaya mampu. Sesetengah buku seperti Five Love Languages oleh Gary Chapman dan I Love You, But I am Not In Love with You'  oleh Andrew G. Marshal seringkali mengklasifikasikan keperluan ini sebagai Love Bank ataupun 'bank cinta'. Apa pun terminologi yang digunakan, pada hemat saya ianya membawa maksud yang sama, iaitu keperluan manusia. 

Asas #2 - STRESS merupakan kunci kepada pergaduhan
Ramai orang gagal mengenali hakikat ini bahawa stress merupakan kunci utama kepada kebanyakan pergaduhan. Kenapa tidak, ramai yang beranggapan bahawa stress adalah perkara normal dan rutin dalam kehidupan lantas menjadikan ia sebagai satu 'cabaran'. 

Namun, hakikatnya stress sepatutnya tidak perlu wujud dalam sistem kekeluargaan. Impak stress terhadap sistem keluarga amat besar. Stress boleh datang daripada pelbagai aspek. Aspek dalaman mahupun luaran. Contoh aspek dalaman ialah rasa tidak sihat, letih dan tidak bermaya. Manakala contoh stress luaran ialah tekanan kesibukan dari tempat kerja, belajar dan sebagainya. 

Apabila rumah dijadikan tempat terkumpulnya stress-stress ini. Maka, ianya akan menjadi satu 'ticking bomb' menunggu masa untuk meletup. Saya bagi contoh, andai kata pasangan kita pulang dari kerja, letih dan serabut. Sudah tentu keperluan beliau pada masa tersebut ialah untuk berehat. Tapi andaikata kita pula memberi stress tambahan seperti meminta itu dan ini, sudah tentu akan memberi tekanan yang extra. Akhirnya 'stress bank' beliau bertambah-tambah dan 'overloaded'. Otak yang letih mampu menjadikan emosi negatif. Maka pada ketika inilah mampu melahirkan kesan negatif kepada kedua-dua pasangan. 
Maka kunci untuk menyelesaikan perkara ini ialah mudah - belajar menguruskan stress. Tampak mudah tapi amat kritikal. Tanpa stress, otak dan badan mampu berfikir dengan lebih positif.


Asas #3 - KOMUNIKASI buka ruang toleransi, kesefahaman dan elak pergolakan
Ya, komunikasi tanpa perlu diperjelaskan merupakan salah satu teknik merungkai segala konflik yang wujud. Gagalnya komunikasi yang baik mampu melenyapkan suasana positif dalam kekeluargaan. Banyak jenis komunikasi, anda boleh rujuk kepada buku-buku yang telah saya cadangkan seperti 'His needs, her needs' oleh Willard F. Jr. Harley yang ada menekankan soal peranan conversation.

Manakala bahasa cinta turut ditekankan oleh Gary Chapman dalam bukunya 5 Love Languages yang bagi saya ianya merupakan skills yang perlu dikuasai oleh mereka yang ingin berkahwin dan sudah berkahwin. 

Asas #4 - ARGUMENT bukan penyelesaian
Tambahan kepada aspek komunikasi, para pasangan bagi saya WAJIB elakkan sebarang jenis argument. Ianya bukan jalan penyelesaian kepada apa yang telah terjadi. Rumah tangga bukan mahkamah untuk menentukan siapa betul siapa salah. Rumah tangga ialah sebuah institusi cinta yang di dalamnya sepatutnya ada nilai kasih sayang, cinta dan perasaan ketenangan. 

Manakala argument walaupun pada konotasinya nampak menarik untuk digunapakai dalam menegakkan natijah, hakikatnya argument ini ibarat racun saraf yang seringkali dilabel sebagai ubat ketenangan!

Kesemua buku yang saya telaah di atas sama ada oleh Gary Chapman, Sue, Johson, Andrew G. Marshal dan lain-lain menyatakan dengan nada yang sama bahawa para pasangan perlu menjauhi argument. Andai pun kadang-kadang kita merasakan bahawa kita benar dan pasangan kita salah, ianya tidak memberi ruang untuk kita terlibat dalam argument

Maka, untuk pasangan yang bakal berkahwin. Jadikahlah ini satu input yang jelas lagi terang. 

Asas #5 - AGAMA & TUHAN jadikan pegangan
Ini adalah input yang saya sendiri ingin tambahi. Jangan ambil remeh peranan Islam dalam mendepani semua aspek rumah tangga. Bahkan Islam itu hadir adalah untuk membaiki akhlak manusia termasuklah dalam soal rumah tangga. Saya letakkan isu ini kerana wujud juga pertelingkahan dan perceraian yang bermula oleh faktor agama. Suami tidak pernah solat, isteri tidak bertudung dan sebagainya. Ini semua faktor pencetus. Namun, saya lebih berminat mengutarakan peranan agama dan tuhan dalam memulihkan keadaan.

Dalam Islam, contoh terbaik kita ialah dari Sunnah Rasulullah SAW yang menjadi salah satu syariat dalam rutin harian kita. Bermula dari pemilihan calon isteri, proses pernikahan sehinggalah kepada pembahagian harta benda. Semua ini telah menjadi satu garis panduan yang amat jelas untuk diikuti. Benar, ramai penulis-penulis soal psikologi perkahwinan menetapkan teori dan falsafah yang berhikmah. Namun, tanpa kita sedari semua itu telah lama wujud dalam kaedah dan akhlak yang digariskan Islam. 

Faktor keimanan yang kuat kepada Allah menjadi tunggak dalam keharmonian rumah tangga. Amal ibadah dalam kekeluargaan sebenarnya menerapkan aspek kebersamaan yang amat mendalam. Ambil contoh, suami isteri bersolat jemaah bersama-sama. Hikmah yang amat besar di sini. Seorang suami mengimamkan isterinya adalah satu manifestasi penghambaan dan keterikatan yang amat kukuh. Suami kini berhadapan dengan Allah membawa amanah isteri yang penting di sampingnya. 

Jika si suami faham, kelak di Akhirat beliau akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT akan amanah yang beliau terima. Konsep solat jemaah dalam kekeluargaan ini jelas menampakkan hakikat ini. Suami membawa isteri bersolat, yakni berjumpa dengan Sang Khalik bersama-sama. Dan jika si isteri faham, beliau perlu memberi khidmat kepatuhan kepada suami sebagai ketua keluarga selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan tidak memberati suami dengan perkara-perkara yang tidak mampu.

____________________________________________________________________________________
Berbalik kepada persoalan, adakah dalam perkahwinan ini dipenuhi dengan pergaduhan sahaja belaka ataupun tiada langsung erti pergaduhan dalam perkahwinan? 

Sudah tentu jawapannya sudah terjawab. Ianya norma dalam mana-mana perkahwinan tetapi ianya tidak menjadi rutin harian selagi mana masing-masing memahami asas-asas yang saya singkapkan dalam LIMA asas di atas. Semua jenis pergaduhan biasanya berlaku bermula dari titik tolak di mana salah satu asas di atas tidak kuat dan utuh.


EXPECTATION #6 
Kena layan suami/isteri sahaja bila dah kahwin 

REALITY #6
Ini satu lagi persepsi tidak tepat dan berbahaya. Saya sudah tekankan bahawa uniknya perkahwinan ialah kita akan turut bersama dengan kedua-dua pihak keluarga masing-masing. 

Maka, bila dah kahwin, kita bukan sahaja akan kena layan suami ataupun isteri kita sahaja tetapi juga dengan ibu bapa, ibu mertua, abang ipar, kakak ipar dan saudara mara yang sudah tentu mempunyai pelbagai ragam yang berbeza. Semua ini adalah lumrah dalam kekeluargaan dan ianya akan mendidik diri menjadi insan yang cakna dengan manusia yang lain. 

Bahkan, melihat dari sudut positif, mereka inilah yang akan membantu dan memberi nasihat kepada kita secara berterusan andai kata kita menghadapi sebarang masalah mahupun cabaran mendatang. Maka, jangan ambil remeh semua ini. Bina hubungan dan bina kepercayaan kerana mereka juga ialah insan.

EXPECTATION #7
Nak kahwin isteri/suami mesti kena yang cantik/kacak dan duit banyak. Sebab nanti senang hidup sebab dia mesti rajin, romantis dan tiada kelemahan seperti dalam drama korea, novel cinta, filem hollywood dan sebagainya.

REALITY # 7 
Tanggapan ini tidak perlu dipanjang lebarkan. Bagi saya, Rasulullah SAW telah memberi kita panduan yang amat jelas. Pilihlah yang beragama. Yang lain (cantik, kaya, keturunan) adalah bonus extra

Kenapa pilih yang beragama? Sudah tentu ialah mereka yang mempunyai kefahaman adalam agama yang baik mampu menyedari hakikat dunia ini dengan lebih jelas. Segala ujian mahupun cabaran yang menimpa tidak akan dijadikan alasan dalam meruntuhkan perkahwinan yang dibina. 

Ianya juga memberi pakej terbaik kepada soal akhlak seorang suami ataupun isteri yang lebih jauh penting dalam menjalani hidup bersama. Lelaki kacak tapi jika sikapnya malas, memberati isteri dengan kerja-kerja yang membebankan tanpa sebarang bantuan sudah tentu bukan pilihan yang baik. Lelaki yang kacak tetapi jika tidak mampu bersabar dengan kekurangan dan kerenah isteri lebih berbahaya dari suami yang hidung tak mancung tapi peribadi amat penyayang, setia dan suka membantu isteri. Begitu juga sebaliknya.

Cantik, kaya, ataupun berketurunan hebat; yang pasti ianya ialah manusia. Maka, keterikatan kepada kekurangan dan kelemahan sentiasa ada. Maka jangan expect jika kita miliki seorang isteri yang cantik menawan bak ratu cantik dunia sekalipun, realitinya, beliau pasti memiliki kelemahan tersendiri. Hal ini juga sama bagi lelaki yang kacak lagi macho. Maka, andai dapat yang cantik mahupun kacak lagi beragama, berpada-padalah. Mereka juga manusia. 

Yang akan kekal ialah peribadi. Yang akal hilang dan luput ialah tubuh fizikal. Kecantikan yang berasaskan peribadi (akhlak) akan kekal selamanya selagi mana individu tersebut mengekalkannya. Manakala kecantikan fizikal seperti akan luput walaupun disuntik botox mahupun make-up yang tebal-tebal. Jelas di situ. 

Konklusi
Secara umumnya, pemuda-pemudi akan menghadapi satu fasa di mana mereka akan dihujani dengan pelbagai tanggapan terhadap perkahwinan. Sama ada negatif mahupun positif. Semua wujud disebabkan oleh limitasi pengalaman, suasana serta pengaruh media sosial. 

Tanggapan optimis dan pesimis ini telah diperjelaskan dalam kerangka kehidupan yang realiti. Pemuda-pemudi perlu sedar bahawa hidup ini tidak se-ideal ataupun seteruk apa yang ditayangkan di kaca mata TV, youtube, drama-drama, cerpen-cerpen mahupun novel-novel. Apa yang dipaparkan hanyalah mungkin sekerat dari babak-babak kehidupan. 

Realitinya, perkahwinan tidak perlu digeruni. Perkahwinan adalah sunnah kehidupan yang hikmahnya begitu banyak untuk difikirkan. Perkahwinan adalah pentas mendidik individu-individu dengan penuh keunikan, kesusahan, kesenangan, kenikmatan dan kebertanggungjawaban. 

Semua ini tidak wujud melalui platform media-media. Ianya hanya mampu dilalui oleh pengalaman. Jangan terlalu menunggu-nunggu jangan pula terburu-buru tapi laluilah ia dengan ilmu. 

Telah saya lampirkan adanya perbezaan antara expectation dan reality. Jadi apakah jalan kesudahannya? 

Saranan saya, tidak salah bina expectations kendiri tetapi binalah expectations yang berteraskan kepada sumber reality. Anda pasti akan lebih bersedia dan menyedari hakikat pernikahan yang bakal ditempuhi. :)
_____________________________________________________________________________________
Nukilan Amin Rukaini Mustafa dan Atikah Nur Dzulkhefli
'Cinta sampai syurga'
Enam bulan perkahwinan.
Doakan kami.

0 comments: