Sebelum saya tiba di UK, persepsi saya terhadap negara barat adalah buruk. Kerana barangkali ideologi yang sampai pada saya seusia kecil ialah melalui televisyen dan internet. Kita dihumban dengan unsur-unsur 'budaya kuning', iaitu budaya buruk orang barat seperti hedonisme, seks bebas, pergaulan bebas, minum arak dan lain-lain. Bahkan, teringat saya: dalam karangan penulisan Bahasa Melayu dahulu- itulah juga yang saya tulis.
Persepsi saya sedikit berubah tatkala menjejakkan kaki di sini. Memang orang barat suka hedonisme, tapi ada budaya Islamik yang telah digunapakai. Bahkan banyak sekali untuk dihitung. Rata-rata yang pernah sampai di negara maju ini faham. Dan kini saya mula faham kenapa British pada suatu masa mahu menjajah dengan alasan ingin membangunkan peradaban. Kerana mereka benar-benar mempunyai nilai peradaban pada tafsiran mereka. Mereka berasa yakin dengan apa yang mereka bawa dan terbukti sama sekali. Tetapi bukan soal akidah yang mereka laungkan, soal kemajuan teknologi, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain.
Secara lihat sebelah mata, ianya seolah-olah tidak Islamik. Tetapi awas, jika anda menafsirkan sedemikian rupa anda mungkin telah membuang nilai-nilai baik Islam dalam dunia ini. Sedar tidak sedar, orang barat telah 'mencilok' (mengambil) budaya dan keperibadian Islam dan diadaptasi ke dalam hidup mereka. Nilai ini tidak pernah wujud dalam masyarakat Barat pada zaman kegelapan dahulu. Bahkan mereka hidup dalam keadaan tiada peradaban dan mereka mengakuinya sendiri.
Pengalaman mengajar saya memahami sikap orang UK. Mereka hidup dalam serba keteraturan dalam hal pengurusan. Mereka bersistematik! Pernah saya menaiki bas di Edinburgh, UK dan jarang sekali bas tersebut lewat pada waktunya. Ini nilai pengurusan masa! Mana mungkin nilai ini dijumpai di negara-negara yang penduduknya Islam. Sukar. Jika saya menjumpainya saya mungkin menangis kegembiraan.
Pengurusan sosial pula, saya mendapati sistem zakat ala UK diperaktikan dengan baik. Warga negara UK pada awalnya mempersoalkan:" kenapa perlu kami membayar cukai untuk menjaga orang miskin? penat-penat kami bekerja mereka yang merasa, ini tidak adil!" Nah, itu beberapa tahun dahulu, tapi kini mereka pula bertanya: "Kenapa kamu tidak membayar cukai? Itu tanggungjawab diri kepada negara!" Tetapi kenapa? Jawapannya ialah konsep yang sama dengan hikmah zakat cumanya di sini disebut sebagai cukai/tax. Ulasan ringkas, jika orang kaya mengeluarkan duit hanya beberapa peratus dari gajinya dan kemudiannya menyara hidup orang miskin dan homeless. Kesannya sangat besar. Sukar sekali menjumpai masalah sosial di jalanan. Tiada pencuri, tiada pengemis tegar. Mereka golongan terpinggir dari segi pekerjaan tapi mereka dijaga dari sudut kebajikan. Selamat. Tenteram. Nah, zakat di UK.
Pertama saya berjumpa dengan orang-orang di UK, satu nilai yang terpampar di wajah mereka ialah kemesraan. Dan inilah nilai yang jarang sekali saya jumpa di negara saya khususnya. Sukar walaupun tidak mustahil. Kita kurang nilai kita kurang adab.
Duduk dan fikir. Orang UK mereka duduk bukan sekadar melepak-lepak. Mereka guna otak untuk berfikir. Fikir dn terus fikir untuk atasi masalah. Suasana di negara kita lain, duduk dan lepak. Di UK ada golongan yang berkerja kuat memikirkan segala jenis penyelesaian yang ada. Inilah nilai Islam. Nilai kerajinan, nilai ulul-albab! Nah, duduklah kita minum kopi.
Sistem di UK tidak statik. Satu-satu perkara yang diputuskan tertakluk kepada perubahan. Barangkali mereka yakin bahawa tiada yang terbaik namun perlu mencari yang lebih baik. Dan inilah salah satu budaya yang paling saya suka. Mereka punyai sistem feedback yang kuat. Cuba mencari kekuatan dari kelemahan yang ada. Kita, mencari kelamahan dari kekuatan orang lain. Terbaik.
Setapak ke hadapan, mungkin inilah beberapa perkongsian untuk kita reflek dalam erti kata memeterai nilai-nilai Islamik dalam diri ummat Islam. Soal akidah, ya kita benar. Tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Tetapi soal nilai kita kurang, di sini kita perlu berubah ke arah yang lebih mapan. Mungkin barangkali jua, silap tanggapan terhadap umat Islam hari ini adalah disebabkan nilai buruk yang kita bawa. Barangkali juga, Islam tidak tertarik oleh orang ramai kerana kita sendiri. Sikap, adab, akhlak, sahsiah kita ketepikan. Mungkin sudah tiba masanya kita berubah dari tampuk kejumudan kepada tampuk keintelektualan. Kita punyai contoh gemilang: Ibnu Sina, Ibnu Haitham, Al-khawarizmi dan lain-lain. Ilmu kita martabatkan, masyarakat kita perkuatkan.
Tanggungjawab sebegini jatuh kuat kepada insan seperti saya, generasi muda. Perubahan tidak berlaku jika generasi hari ini leka dan alpa. Tanggungjawab belajar satu hal, tapi tanggungjawab membawa pulang pemikiran dan nilai Islam adalah perkara yang sangat penting. Di manakah kita dalam menggerakkan nilai Islami?
Kita mungkin menjumpai harta, tapi tiada lebih bermakna dari menjumpai hikmah yang hilang.
0 comments:
Post a Comment