Friday, March 16, 2012

Mengenang Umur Manusia

Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 12,

Yang bermaksud:
"Dialah Tuhan yang menjadikan kamu daripada tanah, kemudian Dia pulalah yang menentukan ajal-Nya dan satu ajal yang lain lagipun Dia pulalah yang menentukannya, tetapi kamu tetap ragu-ragu."

Sudah jelas bagi kita sebagai manusia bahawa ajal dan maut ditentukan oleh Allah; saban hari kita melihat manusia dilahirkan dan menemui kematian, namun begitu masih ada manusia yang ragu, masih kabur tentang isu kematian; masih ragu dengan apa dan bagaimanakah keadaan selepas mati. Ragu-ragu dan tetap meragukan walaupun sudah beratus Nabi dan Rasul, ribuan Ustaz dan Ulama telah menerangkannya, mereka tetap berada dalam keraguan akan hidup sesudah mati dan juga tentang kehidupan di Akhirat kelak. Di manakah sumber datang keraguan itu? Sedangkan buktinya begitu besar dan banyak. Bukanlah kerana kurangnya bukti-bukti dan dan alasan tetapi disebabkan hidup mereka yang sudah terlalu tebal dan bergelumang dengan dosa noda. Keingkaran itu bukan disebabkan akal mahupun bukti tetapi adalah disebabkan soal dosa. Mereka yang hidupnya diliputi dosa maka tidak akan sanggup melihat kebenaran. Kebenaran bagi seorang pendosa akan menutupinya (hati) setebal-tebalnya.

Ayat Al-Quran ada menyebutkan bahawa Allah mengunci jiwa manusia yang membelakangi Allah SWT.

Bukan dari aspek pendek mahupun panjangnya umur manusia yang harus kita renungkan tetapi semua aspek petandaakan peningkatan umur kita merupakan sebesar-besar isu yang mampu menebalkan iman di dada kita

Umur manusia yang pendek itu dapat kita bahagikan kepada beberapa fasa iaitu fasa (1) Kanak-kanak, (2) Fasa Dewasa, dan (3) Fasa Tua. Namun demikian, daripada 3 fasa ini, dapat pula kita bahagikan kepada menjadi 4,5 atau 6 fasa ataupun lebih supaya dapat memberi kesan terhadap tujuan pembahagian kita. Ada sesetengahnya membahagikan kepada10 fasa seperti senarai di bawah berikut:


1. Fasa Kanak-kanak
Iaitu sejak hari kelahiran sampailah kita berusia hampir 7 Tahun. Setelah berumur lebih 40 hari. di samping mempunyai kepandaian untuk menangis , bayi mulai pandai melihat dan senyum mesra. Kemudia setelah umur mula mencecah 6 bulan ,  bayi tersebut seudah mula dapat memberikan isyarat – isyarat yang membayangkan kemahuannya .Dari umur tujuh bulan sehingga ke setahun pula berlakunya proses pertumbuhan gigi yang pesat. Dalam pertengahan tahun kedua, si dia mula berlatih untuk berdiri dan merangkak lalu lama-kelamaan mampu berjalan. Dalam usia tiga tahun ke atas, mulalah timbul keinginan dan kehendak manakala dalam tahun keempat pula si dia mula memiliki memori ingatan . Pada tahun kelima dan ke atas, pancaindera si dia mulai memberikan respons yang jelas. Ada yang dia sukai dan ada yang dia benci. Ada yang dia suka dekat ada ada pula yang dia takut untuk dekati. Pada tahun keenam dan ketujuh, si dia mula lebih maju dalam segala hal, baik dari aspek akal mahupun pertumbuhan jasmani  yang semakin menampakkan kegagahannya. Pada akhir masa yang pertama ini , giginya pula mula mengalami proses guguran satu persatu dan mula bersilih ganti dengan gigi yang tetap . Di samping itu perkembangan akal dan pemikirannya mulai memperlihatkan corak-corak tertentu.
Setiap pertumbuhan dan perkembangan jasmaniyah dan rohaniah pada masa kanak- kanak itu segalanya menurut sunnahtullah atau proses kejadian yang ditentukan oleh Allah SWT dan tidak ada seorang manusia atau sesiapa pun  yang dapat mengubah, menghalang atau mempercepatkannya.Semuanya  ini membuktikan bahawa Allah SWT yang menciptakan Maha Halus lagi Maha Bijaksana.
Firman Allah Surat Luqman 16:
” Wahai anakku , kata (Luqman kepada anaknya ), apa-apa punyang seberat biji sawi di dalam perut bumi atau di angkasa , Allahlah yang menciptakannya. Sungguh Allah itu Maha halus dan Maha Bijaksana .”
2. Masa Remaja
Iaitu antara 8 sehingga 14 tahun, inilah masa di mana mereka tidak pernah untuk duduk diam dan selalu aktif; selalu bergerak, berdiri, berjalan dan berlari. Mereka menghabiskan masa dengan bermain dengan pelbagai macam permainan: melompat , berteriak, memanjat, kadang -kadang berkelahi dan bertengkaran dengan tak putus-putusnya. Pada tahap ini berlakulah pertumbuhan jasmani dan rohani yang luar biasa. Timbul semangat berlumba-lumba dan berdaya saing dalam segala hal , semangat ingin menang dan semangat ingin sentiasa lebih daripada orang lain.
Pada tahap ini, jika seseorang individu itu dipimpin dengan penuh baik oleh kedua ibu bapa ataupun guru, maka akan baiklah individu ini. Namun, jika sebaliknya yang berlaku maka akan musnahlah masa depannya.

3.Masa akhil Baligh


Iaitu dalam lingkungan umur 15 sehingga 21 tahun (berbeza-beza ikut jantina dan persekitaran). Akhil baligh merupakan fasa di mana sempurnya proses pertumbuhan jasmani dan rohani seseorang individu itu. Pada masa ini, ianya merupakan masa yang penuh angan-angan, fantasi, dan cita-cita; masa yang penuh khayalan dan tipu daya. Pada masa ini juga mampu merosakkan rohani seseorang itu; mudah mementingkan diri sendiri, malas dan tidak bersungguh-sungguh dalam setiap perkara, suka bermain-main, malas untuk berfikir, suka pergaulan bebas dan segala-galanya menjadi sukar diatur.
Pada masa ini, seseorang individu itu mudah tertarik kepada yang baik, dan mudah juga untuk tertarik kepada hal-hal yang tidak baik. Hal ini kerana pada tahap ini, mereka memerlukan model dalam meniru perwatakan yang sesuai. Maka, pada masa inilah sepatutnya kedua ibu bapa mahupun guru memberikan fokus mendalam dalam gerak geri mereka. Mereka perlu diberi nasihat yang berterusan dan janganlah sesekali ibu bapa mahpun guru-guru menjadi malas dan bosan dalam memberikan nasihat  yang berguna agar mereka tidak terpengaruh dengan 'role model' yang salah dan agar mereka terhindar daripada terjebak dengan dorongan nafsu syahwat yang seringkali membawa manusia jatuh ke lembah kehinaan dalam hidup ataupun kerosakan terhadap sistem tubuh badan dan jiwa mereka. Apa yang paling penting dalam fasa ini ialah perlu tertanamnya keyakinan yang benar-benar mantap terhadap urusan agama, nasihat yang bermanfaat berdasarkan nas-nas Alquran dan Hadis nabu Muhammad SAW.
4 Masa Dewasa
Iaitu dalam lingkungan 21 sehingga 26 tahun. Pada masa ini merupakan masa yang penuh dengan cacat celatnya; pada saat jiwa mnusia mula terumbang ambing dengan nafsu syahwat yang sedang bergelora kuat. Pada masa ini, ramai yang sedang dirundung cinta asmara, saling rindu-merindui antara satu sama lain. Dan juga, pada masa ini, semangat para pemuda dan pemudi berkobar-kobar dan menyala-nyala. Pada saat inilah sempurnanya hakikat sistem tubuh badan manusia sama ada jasmani mahupun rohani. Namun, di sebalik nafsu syahwat yang terumbang-ambing, ada segelintir golongan pemuda yang masih mampu memelihara diri mereka daripada kerosakan, menjaga nama baik keluarga, kesihatan dan pemikiran mereka.
Dan pada fasa inilah seseorang itu dianjurkan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan perkahwinan agar segara desas-desus nafsu syahwat itu dapat disalurkan ke tempat yang baik dan tidak menghancurkan maruah diri dan juga kesihatan. Dan juga, mampu memberikan rasa bertanggungjawab dalam menggalas peranannya terhadap isteri dan memelihara kestabilan keluarganya.


Melambatkan perkahwinan ataupun nikah pada masa ini akan mengakibatkan berlakunya kemudaratan terhadap sistem tubuh badan dan rohani para pemuda dan pemudi. Tidak kurang juga ada yang bakal melemahkan sistem urat saraf manusia, melembapkan aspek pemikiran dan lain-lain kajian yang telah terbukti secara saintifik. 
Perlu diigatkan bahawa bahaya terbesar yang menanti bagi mereka yang menidakkan perkahwinan adalah kes penzinaan yang merosakkan akhlak, kesihatan dan juga pemikiran manusia.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Jauhilah zina, sebab ia menimbulkan empat bahaya:perzinaan itu melenyapkan kecantikan diri,menimbulkan kemelaratan menyebabkan kemarahan Allah, SWT dan mengekalkan seorang dalam api neraka.”

Sungguh besat nikmat Allah SWT yang telah memberikan rasa nikmat berahi kepada lelaki dan wanita dan besar peranannya perasaan itu dalam memberikan kepuasan dan kegembiraan hidup manusia. Namun sekiranya ia tidak diletakkan pada tempat yang betul, maka berlakulah kerosakan.
Azab Allah SWT seringkali muncul di bumi ini disebabkan 2 perkara iaitu, kerana perzinaan dan riba.


Sabda Rasulullah saw.:
“Bila jelas perzinaan dan riba menguasai satu negeri, maka bererti mereka sudah meghalalkan diri untuk menerima siksaan Allah"
5.Masa Sempurna Dewasa
Iaitu di antara umur 27 sehingga 35 tahun.  Pada masa pertumbuhan jasmani dan pemikiran mula mencapai tahap yang tertinggi. Akan fikiran sudah mula terbuka dan matang dan senang untuk membuat sesuatu keputusan mahupun pendapat. Dan dia terus merencanakan hidup diri, keluarga, begitu juga bangsa serta tanah airnya. Bagi orang-orang yang rajin membawa dan suka akan ilmu pengetahuan, mereka pasti akan meneruskan perjuangan tersebut untuk menambahkan lagi ilmu yang mereka miliki.

6.Masa Pertengahan Umur


Iaitu dalam lingkungan umur 36 sehingga 40 tahun. Pada masa inilah manusia mula stabil. Pada ini jugalah kebanyakan para nabi dan rasul-rasul diangkat dan dilantik oleh Allah SWT. Pada masa inilah ramai orang menjadi pakar dan mampu mengeluarkan pendapat-pendapat baru. Pada saat ini, manusia mula melihat bagaimana mahu menjadi terkemuka, menjadi orang yang penuh berjasa kepada masyarakat dan negara. Pada masa ini ramai yang akan mula berkorban untuk manusia, bangsa, negara dan tanah air; mereka mula tidak mementingkan diri lagi.
7.Masa Setengah Tua


Iaitu dalam lingkungan umur 41 sehingga 50 tahun, di mana pada masa ini kebiasaanya mereka tidak mahu lagi menyebut diri mereka sebagai pemuda mahupun pemudi walhal segan pula disebut sebagai orang tua. Tetapi purata umur manusia hanyalah sekitar 60 sehingga 70 tahun, maka bolehlah kita klasifikasikan umur ini sebagai umur yang sudah tua memandangkan sudah menjangkau separuh jangka hayat manusia normal.
Pada masa ini, seseorang individu itu mula merasa rasa bosan dan tidak berminat lagi kepada kebendaan. Ramai juga yang sudah tidak mula kisah akan perihal makanan mahpun minuman yang biasanya diminatinya dahulu kala. Mereka juga tidak akan mula suka menonton hiburan yang sebelumnya disukai oleh mereka.
Dengan pengalaman hidup hampir lebih 40 tahun yang mereka miliki, menjadikan mereka menjadi orang yang mula mengalihkan pemikiran dan jiwa mereka kepada luar daripada dunia kebendaan. Fokus mereka adalah lebih kepada soal kematian, hidup sesudah mati, mengenal Allah dan agama mula timbul di benak hati mereka.
Kalau zaman dewasa dahulu, ramai yang berubah daripada orang baik kepada tidak baik, tapi pada masa ini ramai yang akan berubah daripada tidak baik kepada baik ataupun yang baik kepada yang lebih baik. Jika dahulunya dia tidak percayakan Allah dan agama, sekarang pasti dia mula percaya akan Allah dan agama. Dan beruntunglah mereka yang sudah mengenali Allah dan agama sejak seusia muda lagi.
Jika pada usia 40 tahun masih menjadi manusia yang alpa, lalai, selalu berkecimpung dengan maksiat dan dosa, itu tanda-tandanya mereka kemungkinan bakal  terjerumus sebahagai ahli neraka (Nauzubillah). Kerna hal ini pernah disebut oleh Imam Al-Ghazali R. A.,

Inilah masa di mana manusia mula menjadi tenang, sabar dan tabah. Orang-orang yang tidak ada dasar ilmu agama yang kuat, banyak di antara mereka sudah terporosok kepada aliran syirik.
Inilah masa keinsafan dan kesedaran. Mereka mula menyedari kesalahan yang dilakukan mereka sebelum ini. Dan ramai yang akan mula menyesali perbuatan jahat mereka yang lalu.
Ramai yang akan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT dari segala dosa yang telah mereka lakukan. Pada saat ini, mereka mula mendekati diri kepada Allah dan cuba menjalani hidup suci semula. Dan ianya teraplikasi dalam setiap aliran agama, bagi yang sudah islam akan cuba merapat carai islam sebenar dan agama lain cuba mengikut kefahaman agama masing-masing.


8 Masa Lemah
Iaitu umurnya antara 51 sehingga 65. Pada masa ini segala kekuatan khudrat sudah mulai menurun dan lemah. Rambut sudah mula menjadi putih, gigi mula berguguran satu persatu, tulang belulang juga mulai rapuh, pernafasan mulai semakin sesat dan peredaran darah dan jantung seringkali terganggu. Mereka yang berada dalam fasa ini mula merasai bahawa mereka sudah mula hampir dengan liang kubur. Fikiran mereka mula menerawang ke arah persiapan selepas mati.

Orang yang kosong jiwa mereka daripada kepercayaan agama dalam hidupnya pasti akan mengalami kegeilsah yang teramat hebat. Mereka gelisah dalam menghadapi kematian kerana tidak langsung mengetahui apa yang bakal dilalui mereka sesudah mati.
Tetapi mereka yang mempunyai kepercayaan agama yang kuat dalam hidupnya, mereka akan kelihatan tenang sahaja dalam menghadapi kematian itu kerana mereka yakin akan adanya hidup sesudah mati.


Bagi orang yang benar-benar beriman, bahkan mereka tidak takut menghadapi mati itu kerana bagi mereka mati itu hanya perpisahan sementara dengan anak-anak dan ister dan semua orang yang mereka kasihi. Kecuali yang paling layak berasa sedih sekiranya mereka itu masih banyak membawa dosa-dosa dalam menghadapi kematian.
Benar, beruntunglah manusia yang mencapai pada umur ini dalam keadaan dia benar-benar sedar dan bertaubat. Dan yang paling teruk ialah manusia yang apabila sudah mencapai umur ini masin lagi tidak sedar dan bertaubat bahkan mereka masih hidup sepert zaman muda remaja mereka.


Sabda Rasulullah.saw.:
” Sebaik-baik manusia , ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya , seburuk-buruk manusia ialah orang panjang umurnya tetapi buruk amalannya .”
9. Masa Tua

Iaitu umur 65 sehinga 75 tahun, iaitu umur yang penuh dengan penderitaan dan keluh kesan disebabkan segala tubuh badan sudah lemah dan selalu berasa sakit. Orang-orang yang kurang tabah pasti akan menderita batin pada tahap ini.

Dan yang paling beruntung pada umur ini sekiranya masih mempunyai anak-anak mahupun cucu-cucu yang mampu memberi pertolongan dalam urusan harian dan sentiasa beramal kebajikan.
10. MAsa Tua Bangka


Iaitu umurnya antara 75 tahun keatas. Pada tahap ini penderitaannya adalah tahap terhebat, bukan sahaja anggota tubuh badannya lemah bahkan terlalu sakit. Sukar sekali untuk membuka kelopak mata, dan susah jua untuk mendengar. Badan hanya mampu terdampat di atas katil menunggu belas kasihan anak-anak dan cucu untuk membantu.
Sukar untuk kita bayangkan penderitaan setelah mencapai tahap umur ini bagi mereka yang tidak mempunyai anak-anak mahupun cucu untuk menguruskan hal harian mereka. Rasulullah SAW seringkali berdoa agar baginda tidak mencapai tahap umur tua bangka sedemikian rupa.

Di sini, untunglah sekirannya perasaan dan pemikiran dia dapat lagi mampu berfungsi seperti biasa kerana dapat menghargai nilai nikmat hidup di dunia. Dan beruntung jugalah bagi mereka yang sentiasa bersedia menghadapi saat-saat sakaratul maut kerana kesedaran mereka sejak dahulu lagi.
Sebagai penutup digabungkan beberapa Hadis Rasulullah saw dan nas-nas Al-quran.
Telah bersabda Rasulullah saw:
“Barang siap yang kami panjangkan umurnya dapat mencapai 40 tahun di dalam agama islam,akan dijauhkan Allah daripada berbagai-bagai bala, iaitu gila,kusta dan sopak. Dan apabila dia mencapai umur 50 tahun, Allah akan mempermudahkan perhisaban baginya, dan apabila dia mencapai 60 tahun, Allah akan memberi rezeki yang berupakan pendekatan diri kepada Allah, dan apabila dia mencapai 70 tahun,diampuni Allah dosanya yang dahulu dan yang sekarang, dan diberi gelaran ”ASIRULLAH” iaitu,”TAWANAN ALLAH”,dan akan dicintanya oleh seluruh penduduk langit (Malaikat)”.
Firman Allah Surah an-Nahl 70:
Yang ertinya :
” Allah jualah yang telah menciptakan kamu, kemudian ia mewafatkan kamu. Di antara kamu ada yang dipanjangkan umurnya sampai tua bangka , sehingga menjadi tak tahu apa-apa sesudah dia mengetahui segala-galanya .sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Kuasa .”
Firman Allah Surat Yassin ayat 68:
yang ertinya :
“Dan sesiapa yang kami panjangkan umurnya , Kami kembalikan kejadiannnya ( sebagai anak kecil kembali), apakah kamu tidak pikirkan ?.”

Begitulah kekuasaan Allah, kerana Allah jualah yang mampu memendek mahupun memanjangkan umur seseorang itu. Manusia tidak mampu mencapur tangan dalam urusan ini sekalipun menggunakan teknologi yang tinggi.
Cubalah kita fikirkan, apabila seseorang yang sehebat manapun ilmu pengetahuannya, apabila Allah panjangkan umurnya sehingga tua bangka, orang itu tetap akan memiliki peranai seakan-akan kanak-kanak kecil dan tidak tahu apa-apa (nyanyuk dan pelupa)


Semua ini haruslah kita renungkan untuk melihat kebesaran Alllah dan juga kelemahan diri kita sebagai manusia. Agar moga-moga kita mampu kembali untuk menyembah Allah lantas insaf tidak mendabik dada terhadap Allah kerana Allah jualah yang menciptakan kita dan seluruh alam.




Sejahat-jahat manusia ialah yang sombong dalam hidupnya , sombong terhadap sesama manusia, dan sombong terhadap Allah ………. !
Wallohu’ alam bis sowab.

[Dipetik dan diadaptasikan daripada Karya Bey Ariffin, Hidup Sesudah Mati]




0 comments: