Friday, April 8, 2011

Travelog Al-Andalus: Bertapaknya Di Al-Andalus

 Dalam linangan air kumenapak
di celah jalan-jalan berliku
Mencari jiwa Muslim rabani 
Yang kian pudar luntur kelapukan
Ingin kembali pulih seperti MEREKA..

  
Pengenalan Andalusia
Merupakan satu izzah buat umat islam pada masa itu tatkala sistem khalifah menguasai pelusuk seantero dunia, di mana sistem pemerintahan yang adil lagi saksama menujahkan seribu kecanggihan teknologi sama ada dalam bidang Sains, Sosial, Arkitektur, Perladangan, Pembinaan, Pengairan dan lain-lain. Andalusia itu terdiri daripada beberapa kawasan utama yang menjadi tombak penujah kebangkitan seperti Cordoba, Servilla, Malaga, Granada dan lain-lain. Pada saat itu, kekuatan dan tampuk pemerintahan Islam berada pada puncak tertinggi dengan berbagai-bagai kemajuan yang dikecapi, namun akhirnya ia tertimbus akibat keruntuhan dan juga serangan Kristian terhadap Islam. Bahkan segala apa yang Islam kumpulkan ilmu pengetahuan pada masa itu dari zaman-zaman lalu seperti Yunani, dan Greece dijaga rapi. Namun, banyak sekali yang terkubur dalam kitab-kitab yang dibakar oleh musuh-musuh yang menyerang. Travelog ini bakal membicarakan segala yang dilalui oleh penulis sama ada dari aspek pemikiran, tindakan, dan pengalaman untuk tatapan umum, untuk sama-sama kita mencapai semangat Himmah demi membangunkan perasaan cinta akan Islam yang tidak berbelah bahagi seperti apa yang wujud kepada para sahabat, dan generasi selepas mereka. Penulis mengalu-alukan sebarang komen mahupun cadangan. 




Peta Kawasan Andalusia [Rujukan: Map-of-Spain]
Laluan Jaulah (mengelilingi) di Spain


Pagi Yang Mencengkam
Saya bersama beberapa orang sahabat yang berlima iaitu: Karim, Mujahid, Fuad, Fadzli dan saya sendiri bergerak ke Airport pada kala waktu pagi yang sejuk mencengkam menantikan penerbangan ke Spain Al-Andalusia. Flight ke Spain berlepas pukul 6.20 pagi. Penerbangan yang mengambil masa 3 jam lebih begitu meletihkan "leher"- Kerusi RyanAir yang sangat keras, tidak seempuk Hospitality Malaysia Airline mahupun syarikat penerbangan lain. Maklumlah, syarikat penerbangan murah. Namun, biarpun murah, itulah yang menjadi pilihan utama orang ramai. Hari ini kita mampu mengamati bahawa, masyarakat dunia lebih memilih suatu yang berbentuk "Economic" berbanding "Exclusive" seperti apa yang dijadikan "tagline" AirAsia juga: "Now Everyone Can Fly!".


Pesawat RyanAir selamat tiba di Malaga Airport


Sambutan dari Malaga
Setiba di Aeropuerto De Malaga (Malaga Airport), kami disambut dengan bunyi hon kereta yang bertalu-talu. Bingit telinga bagai nak pecah gegendang telinga. Oh, begini rupanya orang Spain menyambut tetamu, mungkin hon kereta bukanlah satu perkara luar biasa di sini. Ini ialah persepsi pertama saya. "Different place owns different cultures and customs". Sebagai individu yang memahami konsep perbezaan persepsi dan pandangan, saya yakin anda jua pasti memahami konsep ini. Dan dalam segala aspek yang melibatkan perbezaan pemikiran dan cara bertindak, ia adalah "Normal" dan "standard" kehidupan. Beralih kepada Hon-hon yang dibunyikan tatkala kami sedang ingin memperoleh kereta yang ingin kami sewa selama 7 hari di Spain, rupa-rupanya tujuan mereka membunyikan hon bertalu-talu adalah lebih kepada satu protes terhadap sesuatu syarikat kereta sewa. Saya sendiri tidak faham apa ayang berlaku tetapi saya fikir tindakan protes ini bukanlah satu idea yang baik memandangkan ramai pelancong asing tiba di Airport. Bukan sahaja memburukkan imej, bahkan lagi menambah buruk lagi persepsi terhadap tempat itu. Moga pelajaran ini diambil bagi diri yang merasai ini.


Protes disangkakan adat orang Spain menyambut tetamu


The Great Mosque of Malaga
Berbekalkan GPS Very Smart iPhone, destinasi pertama ialah ke Masjid Malaga. Dari situ kami mampu mencari makanan halal, perut pun sudah mula berkeroncong. Alhamdulillah, sebuah masjid berjaya ditemui. Agak susah untuk berkomunikasi dengan muslim-muslim lain memandangkan mereka tidak fasih berbahasa English, hanya mampu berbahasa arab mahupun Spanish. Alhamdulillah, saudara Mujahid mampu memahami dan berbahasa arab walaupun tidak berapa fasih. Harapkan saya untuk berbahasa arab, memang tidak makanlah kami. Saya masih sedang belajar bahasa arab, namun masih di tangga sekolah "tadika". Perlu lagi di"polish" sebaiknya. Akhirya jumpa jua sebuah restoran halal menghidangkan kami Pasta Bolognese, Pasta Cabbonara, dan Pasta Seafood. Seterusnya solat Jumaat didirikan di masjid tersebut. Ahamdulillah sempat jua merasai nikmat bersolat jumaat di Spain, negeri andalusia.


Masjid Besar Malaga


Masjid Yang Berubah Wajah
Sempat jua kami bergerak ke bandar utama Malaga yng menempatkan Al-Cazaba dan Cathedral. Al-Cazaba, saya tidak pasti maksud yang sebenarnya tapi ianya lebih bermaksud seperti Palace. Suatu ketika dahulu ialah satu pusat pemerintahan wakil khalifah, "Palace of Nazarid" ataupun salah satu tempat pemerintahan khalifah pada zaman empayar Nasrid di bawah naungan Islam. Sangat terbina rapi dan letaknya sangat strategik di atas bukit bertepikan lautan luas. Temboknya sangat tinggi dan kukuh dengan binaan batu-batu kapur tersusun rapi sehingga sekarang. Dari atasya kita dapat lihat seluruh Malaga dan saya pasti ianya menjadi satu "threat" kepada musuh-musuh yang ingin menyerang. Di sebelahnya pula ialah sebuah cathedral yang sangat besar, dilihat secar jelas sememangnya ianya bekas sebuah masjid. Menjadi satu kebiasaan di setiap tempat di Spain, di setiap Al-cazaba pasti wujud Cathedral. Hal ini kerana Cathedral itu adalah sebuah masjid yang sentiasa berada berhampiran dengan pusat pemerintah Khalifah Islam. Namun kini ia telah dikristiankan. Satu perkara yang sangat jelas dari segi penambahan terhadap struktur binaan, namun siapa sahaja pasti mampu membongkarnya dengan hanya melihat arah kiblat menggunakan kompas. =)
La Al-Cazaba, Palace tempat pemerintahan Empayar Nasrid (Islam) suatu ketika dahulu 
Indah di sebalik tembok-tembok kota pertahanan

Seni Ukiran yang banyak dipengaruhi Oleh Al-Hambra dan Mezquita.




Cathedral yang dulunya adalah sebuah masjid
Berubahnya sebuah Masjid.. 


Ibrah dari setiap Jaulah 
Satu jaulah itu dikatakan baik dan terbaik bukanlah disebabkan gambar-gambar kita yang hensem dan "Macho" ber"posing" di hadapan Camera yang canggih-canggih. Bukan jua kerna lawanya tempat kita lawati, cantiknya persisiran pantai, sedapnya makanan, empuknya tilam hotel, seronoknya membeli belah, suka rianya bermandi kolam mandi. Bukan jua berasa hebatnya kita setelah berjaya sampai ke suatu tempat yang orang lain tidak pernah pergi. Tidak, bukan itu. Tapi jaulah yang baik dan signifikan ialah apa yang kita perolehi, ibrah pengajaran dan jua kesan mendalam terhadap jiwa-jiwa, kesan panahan sama ada manis ataupun pedas berukhuwah, kesan mendalam terhadap sikap, pemikiran dan corak bertindak. Bukan setakat kagum, bukan setakat sedih, bahkan lebih dari itu, Moga-moga diri ini jua menapak lebih ke hadapan menjadi seorang Muslim yang berjati diri dan berakhlak mulia. Amin..

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya:  Aku mendengar Rasul Allah s.a.w. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala berdasarkan kepada apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

###BERSAMBUNG###

1 comments:

JHaZKiTaRo said...

andalus is amazing.. anyway, salam kenal.. jemput la singgah my blog 'Aku Sebutir Pasir' kalau nak baca my experiences travelling ke 45 buah negara.. :)