Saturday, April 30, 2011

Antara Kereta Mewah & Anak Soleh Solehah

Baru-baru ini saya berpeluang bersama dengan seorang aktivis dan juga seorang profesionalis dalam bidang kedoktoran iaitu Dr Zainurrasyid. Mungkin sebilangan dari anda cukup mengenali beliau. Semasa menemani beliau bergerak ke Newcastle, banyak beliau berkongsi pandangan dan pengalaman dengan saya. Dan Alhamdulillah, pada kali ini saya ingin berkongsi satu pandangan beliau yang saya kira ramai yang pandang sebelah mata mahupu tidak pandang langsung.

Materialistik
Antara isu yang dibincangkan secara bersahaja adalah berkaitan dengan materialistik yang melampau dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Semua ingin mewah. Jika rumah, mahu besar, jika duit mahu banyak. Sampai kadang-kadang tidak memikirkan perkara yang lebih mustahak. Dan isu ini isu yang seringkali kita abaikan.

Kereta Mewah VS Kereta Kodok
Sengaja saya pilih tajuk ini, kerana yang pertamanya ianya memang seperti apa yang diceritakan oleh Dr sendiri kepada saya. Hari ini, ramai yang suka dan ingin memiliki sebuah kereta mewah. Kalau boleh kereta yang orang Malaysia jarang pakai, Audy, Mercedes, BMW, Ferrari dan sebagainya. Jadi, banyaklah wang perlu dibelanjakan. Ada yang gaji tidak seberapa, dalam lingkungan RM 1500 - RM2000 sebulan, tapi masih mahu memiliki kereta sebegitu. saya bercakap dalam lingkungan golongan orang biasa, bukan ahli korporat. Maka lebih banyak duit ditarik masuk untuk membayar duit kereta. Kereta mewah, tapi sejauhmanakah ia memberi kesan kepada hidup kita?

Antara Kereta Mewah Dan Anak Soleh
Ini yang doktor Zainurrasyid kongsikan. Beliau membuka minda saya terlalu luas. Sebelum ini tidak pernah pula saya berfikir tentang hal ini. Beliau sifatkan beliau seorang yang sangat pentingkan pendidikan anak-anak. Beliau sanggup menggunakan kereta murahan dan terpakai. Biarlah sebuah van kodok, mahupun kereta kecil sebesar MyVi. Sudah cukup baginya. Jika mahu beli sebuah Mercedes, terang-terang dia mampu. Tapi kenapa beliau tidak berbuat demikian. Ini jawapannya. Beliau memberi pendapat bahawa dengan membelanjakan harta secara berhemat cukup sekadar boleh hidup dan selesa, sebuah rumah yang sederhana, kereta yang sederhana. Lebihan wang itu kita boleh gunakan untuk perkara pokok. Salah satunya melaburkan duit kita kepada anak-anak. Tempatkan anak-anak di sekolah yang berkualiti, sekolah private lagi bagus supaya anak-anak bisa membesar menjadi seorang yang berkualiti. Duit lebihan jua boleh anda laburkan seperti membeli sebidang tanah dam sebaganinya kerna ia merupakan satu harta yang memberi kesan pelaburan positif. Harganya akan naik tahun ke tahun, berbanding sebuah kereta mewah harganya akan turun mendadak tahun ke tahun.

Habuan dunia dan Habuan Akhirat
Dan apa yang mungkin anda dapat andai kata sebuah kereta yang sederhana dengan duit lebihan itu anda laburkan demi pendidikan anak-anak. Anda boleh dapat kedua-duanya. Anak-anak anda mungkin menjadi seorang yang benar-benar beradab mulia, seorang yang cemerlang akademik, sahsiah, dan mungkin bakal lahir seorang pemimpin yang al-hafiz sebagainya. Anda jua punyai sebuah kenderaan yang mampu dipandu, punyai air-cond, punyai stereng, punyai tayar, punyai semua kelengkapan biasa. Bahkan secara keseluruh anda mendapat habuan dunia dan juga habuan akhirat.

Pentingnya Suasana Dalam Membesarkan Anak-Anak
Saya bukan seorang suami, bahkan seorang bapa, tapi isu ini isu besar. Isu tarbiyah. Isu menggerakkan umat masa hadapan. Kita bukan perlu fikir akan keseronokkan perkahwinan, bahkan lebih dari itu. SaifulIslam dalam karyanya Aku Terima Nikahnya dengan tegas menekankan bahawa erti sebuah perkahwinan bukan setakat menghidarkan diri dari zina, tapi lebih dari itu. Seorang yang benar-benar bersedia adalah mereka yang melihat apa itu lampin anak, susu anak, pendidikan anak, makan minum, suasana kekeluargaan dan saudara mara dan sebagainya. Suasana pembesaran anak-anak sangat penting. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana bi'ah hasanah mampu menjadi seorang individu yang faham akan tuntutan agama. Ibu bapa adalah role model terdekat. Rosak role model, maka rosaklah institusi ini.

Calon Pasangan?
Ya, memang ada juga berbincang tentang calon pasangan ini. Tapi cukup banyak yang sudah perkatakan dalam hal-hal ini. Dan secara kesimpulannya, memilih calon yang benar-benar serasi, berketerampilan, mampu berikan komitmen, dan berbagai macam lagi sangatlah penting dalam membentuk sebuah keluarga hakiki.

Video ini saya petik dari perkongsian saudara Faqih Aqili. Mohon Share sheikh! XD



0 comments: