Monday, July 20, 2015

Perang terhadap Denggi: Bioteknologi & Penyelesaiannya

Mukadimah
Kes denggi di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Dengan rujukan statistik terkini dari KKM berdasarkan data dari 4 Jan 2015 sehingga 5 Julai 2015, kes demam denggi kini mencecah hampir 65 ribu kes yang dilaporkan dengan sebanyak 165 kematian. Negeri Selangor merupakan negeri yang memiliki kes laporan dan kematian yang tertinggi, diikuti oleh Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. 

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membendung wabak jangkitan ini. Salah satu usaha paling terkini ialah dengan pelancaran kit anti-denggi hasil kerjasama antara Inno Biologic Sdn Bhd dan EntoGenex Sdn Bhd. Adapun pelancaran kit tersebut, ianya adalah salah satu usaha untuk mengawal penyebaran jangkita denggi dengan mengganggu kitaran vektornya iaitu Aedes aegypti. Melalui maklumat daripada laman web UKM, produk tersebut dikatakan mengandungi trypsin-based yang mampu membantut dan menbunuh pembesaran larvae dan semburan penghalau nyamuk. Dari segi kewujudan teknologi, ianya merupakan salah satu teknik yang telah lama digunapakai bagi mengatasi pembiakan nyamuk betina Ae. agypti. Dari sudut keberkesanan, pihak UKM menyatakan bahawa hasil jualan produk tersebut dijual di Singapura dan Thailand menunjukkan keputusan yang baik, Namun, sejauh manakah keputusan yang baik tersebut terhadap pengurangan kadar jangkitan demam denggi masih menjadi satu persoalan yang belum terjawab. Paling tidak, pihak UKM seharusnya menampilkan statistik secara berkala demi menyokong hujah tersebut. Apa-apa pun usaha yang telah dijalankan tersebut merupakan salah satu solusi yang wujud melalui penerokaan bidang bioteknologi. 

Sebagai seorang yang memiliki latar belakang dalam bidang Bioteknologi, saya melihat Malaysia memerlukan satu revolusi teknologi yang lebih dinamik, menyeluruh dan berkesan. Sudah pasti, bagi mengatasi masalah jangkitan demam denggi, ianya melibatkan gabungan pelbagai usaha pada berbagai-bagai peringkat memandangkan penyebaran wabak denggi melalui kitaran umum yang difahami. Melalui kefahaman tersebut, kita mampu menghalang penyebaran virus denggi dengan memastikan kitaran tersebut terganggu (rujuk rajah di bawah)

Penyebaran denggi bermula apabila nyamuk betina Ae. aegypti menghisap darah dari pesakit yang mempunyai denggi virus. Virus tersebut kemudiannya membiak dalam nyamuk tersebut dan disebarkan kepada manusia lain melalui gigitan.


Bioteknologi dan Perang Terhadap Denggi
Di sini, berdasarkan dapatan dan pentelaahan situasi di Malaysia, saya cuba lampirkan beberapa pelaksanaan bioteknologi yang sedia ada dalam menangani kes denggi dan juga beberapa peluang lain yang mampu kita terokai.

1. Vaksin
Seperti sedia maklum, selain Malaria, jangkitan demam denggi masih tidak mempunyai sebarang vaksin di pasaran melainkan masih dalam fasa percubaan klinikal. Terkini, salah satu calon vaksin denggi milik Sanofi Pasteur menunjukkan harapan yang tinggi. Berdasarkan kepada keputusan percubaan klinikal fasa ketiga baru-baru ini, vaksin milik Sanofi Pasteur tersebut ternyata memberi impak kawalan sebanyak 60% kepada keseluruhan seroytpe denggi. Namun demikian, jika diambil kira daripada pecahan serotype, prestasi vaksin tersebut masih lagi dikira tidak terlalu efikasi dalam melawan serotype DEN-1 dan DEN-2 yang sememangnya menghuni di banyak kawasan Asia termasuklah Malaysia. Hal ini menimbulkan persoalan, andai kata vaksin ini akan dipasarkan dalam masa terdekat, mampukah vaksin tersebut mengawal penyebaran wabak tersebut dengan jayanya? 



Berdasarkan data dapatan fasa percubaan klinikal ketiga tersebut, ianya jelas menyatakan bahawa Malaysia sudah tentu memerlukan penyelesaian tambahan lain yang lebih dinamis dan memberi nilai tambah. Apa-apapun, dengan nada optimis kita menantikan kehadiran vaksin ini dalam masa terdekat kerana ianya merupakan salah satu harapan dalam membanteras jangkitan denggi.

2. Kempen
Umumnya, kempen memberi kesedaran berkenaan wabak ini sudah lama dipraktiskan di Malaysia. Paling tidak ianya membantu mencorak dalam aspek 'prevention'. Banyak maklumat-maklumat terkini disalurkan kepada masyarakat umum sama ada melalui flyers, televisyen atau iklan bagi mengambil langkah-langkah berjaga-jaga. Hal ini termasuklah memelihara kebersihan persekitaran bagi mengawal pembiakan vektor tersebut. Peranan kempen tidak diragui mempunyai impak yang baik. Cumanya, dari sudut pelaksanaan ianya sukar dijangkakan kerana bergantung kepada kehendak dan kemahuan individu-individu. 

3. Semburan Racun Perosak (insecticides)

Salah satu teknik yang masih dan sedang dipraktiskan sekarang ialah semburan racun perosak dikenali sebagai pyrethroid, iaitu sejenis bahan kimia sintetik yg seringkali digunapakai dalam melawan serangga perosak. Terkini, KKM juga mendakwa mereka sedang mencuba sejenis semburan racun perosak yang lebih berkesan berasaskan kepada deltamethrin yang didakwa mampu bertahan pada persekitaran selama tiga bulan. Fogging ataupun semburan asap ini selalunya menimbulkan rasa tidak selesa bagi penduduk disebabkan kepulan asap yang tebal dan pencemaran bunyi. Walaupun WHO menyatakan ianya adalah selamat, namun keberkesanannya hanyalah kepada nyamuk dewasa dan tidak membunuh larva. Maka ianya tidak memberi perlindungan yang terbaik. Hanya mampu melindungi pada kadar jangka pendek. 

4. DDT
Pelaksanaan semburan racun perosak yang ada sekarang sebenarnya adalah kesinambungan daripada kegagalan mendapat kepercayaan kepada semburan DDT yang dahulunya ternyata agak berjaya digunakan dalam menangani Malaria. Dichlorodiphenyltrichloroethane atau pun mesra dipanggil DDT pernah digunapakai bermula sejak perang dunia pertama bagi mengawal malaria. Namun, disebabkan kontreversi yang ditimbulkan akan kesannya terhadap persekitaran dan perkaitan dengan kanser, ianya lama-kelamaan ditinggalkan dan akhirnya tidak digunakan lagi. Menariknya, dalam satu artikel 21st Century Science & Technology yang ditulis oleh Mohd Peter Davis bertajuk 'With DDT Spraying, Malaysia Can Show The World How to Control Dengue' yang menjelaskan bahawa WHO telah memberi kebenaran dan secara langsung menyarankan Malaysia menjadi salah sebuah negara dalam mempraktikkan semula penggunaan DDT, secara tidak langsung menjadi model kepada negara-negara lain dan memberi kepercayaan semula terhadap penggunaan DDT. Imej DDT selama ini telah dilihat buruk; adapun kontreversi berkenaan kesan penggunaan DDT, ianya masih tidak mempunyai kajian saintifik yang terperinci bagi membuktikannya. DDT tidak membunuh nyamuk tetapi sebaliknya menjadi agen penghalau nyamuk yang mampu bertahan keberkesanannya selama lebih kurang 6 bulan, satu tempoh yang cukup memberangsangkan. Sejauh mana pelaksanaannya kini menjadi satu tanda tanya yang tiada capaian.

Penggunaan DDT dahulu popular, namun telah ditamatkan namun ianya kini dibincangkan kembali.

5. Agent biologi (Biological agent)
Mengikut satu kenyataan oleh Menteri Kesihatan, Dr. S Subramaniam pada tahun lepas, Malaysia juga sedang mencuba menggunakan agen biologi, iaitu Bacillus thuringiensis israelensis (BTi). B. thuringiensis (BT) ialah sejenis bakteria yang amat dikenali oleh para ahli biologi dalam menangani serangan serangga perosak dalam sektor pertanian. Ianya terkenal dengan sifat protein yang amat toksik (membunuh) kepada serangga perosak dan digunakan oleh syarikat Mosanto, US dalam menghasilkan genetically modified crops yang tahan lasak terhadap serangan serangga perosak. Manakala BTi yang diketemui di Israel (nama Isrealensis memberi cadangan ianya diketemui di Israel) pula sub-species yang kesan ketoksikan proteinnya amat efektif terhadap nyamuk dan larvae. Mengikut laporan kajian yang dilakukan oleh Nordin et al., (2012), juga hasil kajian yang dijayakan oleh Entogenex Sdn Bhd, menyatakan bahawa keberkesanan protein yang terhasil daripada BTi tersebut terletak pada kesan synergistic antara dua protein utama iaitu protein BTi itu sendiri yang sedia toksik dengan sejenis protein dikenali sebagai Trypsin Modulating Oostatic Factor (TMOF) yang berasal daripada nyamuk betina Ae. aegypti. TMOF adalah sejenis hormon yang secara semula jadi dihasilkan oleh ovari nyamuk dalam mengawal penghasilan trypsin yang berperanan terhadap tumbesaran larva. Pada hemat saya, inilah teknologi yang digunapakai oleh UKM dalam menghasilkan Kit anti-denggi yang saya sebutkan pada mukadimah berkenaan hasil kerjasama antara Inno Biologic Sdn Bhd dengan Entogenex Sdn. Bhd.

6. Anti-Mosquitoes Paint
Satu lagi teknologi yang cuba diimplementasikan dalam percubaan menangani denggi ialah penggunaan cat dinding anti-nyamuk. Menurut kenyataan Dr. S. Subramanian, kajian yang telah dilakukan oleh Institute for Medical Research (IMR), yang pada pengetahuan saya berpusat di Durham, UK telah membuktikan cat anti-nyamuk berkesan membunuh mana-mana nyamuk yang hinggap di dinding tersebut. Rahsianya terletak pada campuran cat tersebut yang secara jelas dinyatakan mengandungi campuran cat dan racun serangga. Namun, jenis apakah racun yang digunakan tidak dapat dipastikan. Beliau juga mendakwa penggunaan cat tersebut mampu mengurangkan sebanyak 95% kes jangkita denggi sekiranya dilaksanakan. Pada hemat saya, dakwaan pengurangan 95% tersebut adalah agak ambitious namun usaha merealisasikannya amat berharga bagi melihatkan sejauhmanakah keberkesanannya pada skop realiti.

Kansai merupakan salah satu jenama yang giat mempromosikan cat anti-nyamuk.


7. Genetically Modified Mosquitoes
Akhir sekali, satu strategi yang bagi saya memerlukan satu evolusi kepada penerimaan umum ialah pelaksanaan genetically modified mosquitoes. Seperti biasa, bila sahaja disebut perkataan 'genetically modified', ketakutan rakyat umum (public fear) akan mula meningkat. Sama ada ianya disebabkan kepada keterikatan kepada konotasi tersebut, tekanan pejuang environmentalists ataupun disebabkan oleh persepsi yang berpunca daripada kurang kesedaran dan pendidikan. Malaysia secara tidak sedar telah menjadi sebuah 'guinea pig' kepada pelaksanaan projek ini. Sekitar tahun 2010-2011 telah dilaporkan bahawa sebanyak 6000 ekor nyamuk yang diubah genetiknya telah dilepaskan ke dalam kawasan terkawal bagi melihat kesannya pada skala kecil. Dan seperti yang dijangkakan ianya telah menerima tekanan daripada pihak environmentalists dan juga orang awam. Selain Malaysia, Cayman Islands juga turut terlibat mencuba penggunaan nyamuk OX513-A yang dihasilkan oleh sebuah syarikat bioteknologi British bernama Oxitec. Nyamuk OX513-A adalah sejenis nyamuk yang diubahsuai genetiknya supaya apabila berlakunya persenyawaan dengan nyamuk liar betina Ae. aegypti akan melahirkan larva yang tidak mampu membesar (mati). Dalam erti kata lain, teknologi ini menyebabkan nyamuk Ae. aegypti menjadi mandul dan tidak mampu berkembang biak. Hasil laporan journal terkini melaporkan bahawa daripada percubaan di Brazil menyatakan ianya berkesan mengurangkan kadar populasi nyamuk sebanyak  95% konsisten dengan hasil laporan dari Cayman Island yang berjaya menurunkan sebanyak 80% populasi nyamuk liar. Adapun keputusan ini kelihatan menarik, wujud pelbagai kritikan terhadap kajian yang dijalankan. Salah satu isunya ialah ianya tidak seefektif yang disangkakan. Semasa ujian di Cayman Island, sebanyak hampir 2.8 million OX513-A telah dilepaskan demi untuk menurunkan sejumlah 20,000 nyamuk liar. Manakala result percubaan di Malaysia tidak dapat dikira memandangkan jumlah nyamuk yang terlalu sedikit telah digunakan. Persoalan demi persoalan masih belum terjawab namun dengan keputusan terbaru dari Brazil, ianya seolah-olah memberikan harapan baru kepada nasib pengawalan nyamuk Ae. aegypti. Yang pasti, untuk melaksanakan teknologi ini, ianya memerlukan persetujuan umum bersama. Masyarakat perlu diperjelaskan tanpa ada sebarang syak wasangka. Jika tidak, ianya pasti terkubur sebagai kajian yang kontreversi.


Kesimpulan
Secara ringkasnya, apa yang telah saya nyata dan huraikan adalah usaha-usaha yang telah dan sedang diambil bagi menangani kes demam denggi. Apa yang kita lihat bukanlah satu episod penipuan politik tetapi ianya satu realiti di mana kes denggi seperti juga kes menangani malaria tidak mempunyai jalan penyelesaian yang senang. Ianya memerlukan kombinasi usaha-usaha luar biasa dari pelbagai sudut dan percubaan. Ianya bukan isu Malaysia semata-mata tetapi isu sedunia demi mencari penyelesaian dalam membanteras demam denggi yang semakin banyak meragut nyawa. 

Peranan bioteknologi ialah cuba mencari teori, metodologi serta aplikasi yang mampu disesuaikan kepada keperluan semasa dan akan datang. Setiap solusi kemungkinan tidak akan memberi apa-apa kesan drastik tetapi paling tidak membuka ruang pengkajian dan eksplorasi secara lebih profesional dan serius. Dari hakikat realiti ini, kita akan dapati bahawa dalam menyelesaikan sesuatu masalah tiada istilah 'satu peluru tunggal' yang mampu mengenai sasaran penyelesaian. Masalah realiti terlalu kompleks yang memerlukan kerjasama semua pihak. Andai kata ianya sesemudah menjawab persoalan berobjektifkan 'A', 'B', 'C', dan 'D', maka sudah pasti dunia ini sudah lama aman. Dalam konteks ini, perbezaan pendapat serta kepelbagaian cara adalah amat diraikan bahkan dialu-alukan demi kepentingan sejagat. 

Barangkali. apa yang saya lampirkan ini masih tidak menyeluruh. Ianya hanyalah sebahagian daripada solusi-solusi yang wujud di luar sana. Barangkali, jika anda sendiri mempunyai idea-idea yang lebih bernas dan berfungsi, ianya perlulah direalisasikan bersama. Peranan pemikir, peranan bijak pandai, peranan usahawan, jurutera, para saintis, doktor perubatan dan lain-lain perlu turut serta kerana dalam perang terhadap denggi, ianya isu bersama. 

Antara peluang-peluang lain yang masih belum kita terokai termasuklah mengeksploitasi teknologi genomik serta bioinformatik, combinatorial dan rational drug design dan proteomics.

Ini agak trivia dan boleh jadi kelakar (walaupun serius). Saya rasa mungkin masyarakat perlu kembali menyedari hakikat kegunaan kelambu. Ya KELAMBU! Walaupun nampak tidak relevan dengan kesesuainnya, tetapi ianya merupakan salah satu langkah paling berkesan dalam kes melawan dengan Malaria dan sudah tentu juga berkesan kepada Denggi. Cumanya, mungkin dari segi etikanya, ianya perlu dikemaskini menjadi suatu yang lebih moden dan kontemporari. Bila ditanya kenapa cadangan ini dilontarkan, ianya sebenarnya adalah cadangan peribadi yang saya terima daripada Professor David Arnot, iaitu Tutor dan guru Master saya semasa di University of Edinburgh, UK seorang professor in molecular parasitology yang mempunyai pengalaman lapangan luas dalam membanteras Malaria).

Seolah-olah dia mahu bergurau tetapi seperti apa yang saya cakapkan dengan pengalaman beliau selama 30 tahun dalam menangani Malaria, pandangan tersebut jangan dipandang rendah. Kadang-kadang, teknologi mudah jangan dipandang enteng! 

Ditulis oleh:

Amin Rukaini Bin Mustafa
BSc., MSc. in Biotechnology
University of Edinburgh, UK. 

Segala rujukan saya letakkan pada link yang dihighlightkan. 





0 comments: