Monday, October 20, 2014

Penemuan Sains: Benarkah Proses Sertu Air Liur Anjing Menyucikan Kuman?

Panas dengan isu kempen sentuh anjing, ramai rakan-rakan di facebook mula berkongsi pendapat sama ada pendapat peribadi mahupun pendapat para ulama yang disegani. Masing-masing memberikan hujah kendiri. Dan seharusnya dalam hal ini memang perlu berlapang dada kerana akan sentiasa ada perbezaan pendapat dalam perkara-perkara cabang ini.

Mencari Hikmah Bukan Logik
Apa-apa pun saya tertarik untuk mengupas satu perkara yang umat Islam kadang-kadang terlepas pandang dan tidak cakna. Saya tertarik dengan satu statement beberapa orang ulama yang meyatakan bahawa Sains sendiri telah membuktikan bahawa proses sertu ini mampu menyucikan najis air liur anjing daripada kuman berbahaya dan jangkitan. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang Sains dan Bioteknologi, saya terpanggil untuk mengkaji statement tersebut. Pada awalannya, isu anjing ini bukan isu baru, saya telah lama cuba untuk mencari info dan kajian saintifik berkenaan kesan tanah terhadap air liur anjing. Pelbagai cara saya gunakan: melalui database Web of Science tidak dijumpai, saya cuba 'google' ( Soil + Dog Saliva), (Soil + Kill Bacteria), (Soil + Dog + Kill Bacteria) juga tidak diketemui jawapannya. Mungkin dengan ilmu saya yang dangkal pada waktu itu, saya tidak menemui hikmah di sebalik isu ini. Pada hemat saya, mungkin kadang-kadang Sains belum sampai tahap ini atau mungkin ilmu agama ini kadang-kadang tidak didahului logik. Ya, saya bukanlah penggemar logik, tapi saya ingin mengejar hikmah kerana saya yakin dalam setiap suruhan daripada Allah mahupun Rasulullah pasti ada hikmah tersembunyi dan dalam hal ini dalam kajian saintifik. Cumanya saya agak sedih, apabila saya mencari persoalan ini, tiada jawapan yang terkeluar dengan jelas. Jelasnya, memang tiada penulisan khas yang dibuat oleh umat Islam dalam sudut sains berkenaan isu ini. Saya tidak mencari logik, tetapi hikmah.

Kebuntuan: Soil?
Hampir setahun lebih saya buntu. Saya berhenti berfikir. Namun, baru-baru ini isu ini dibangkitkan semula. Dan kali ini mengerah otak saya untuk meneliti secara serious. Benarkah proses sertu ini membunuh kuman? Kuman saya definisikan sama ada bakteria ataupun fungus. Dalam hadis memang ada disebut berkenaan dengan basuhan 'debu/tanah'. Cuma kali ini saya agak terfikir adakah 'tanah' dalam hadis ini dimaksudkan soil? Akhirnya baru saya tersedar akan kesilapan besar saya. Saya terlupa bahawa 'tanah' boleh membawa berbagai-bagai jenis tanah. Saya bukan pakar hadis dan bahasa arab, tapi yang saya fahami bila diterjermahkan dalam bahasa Malaysia - ianya dipanggil debu/tanah ataupun air basuhan tanah. Akhirnya, barulah mampu saya uraikan kebuntuan diri saya ini dengan menjumpai berbagai-bagai hikmah yang amat luar biasa bahkan akan menjadi satu potensi besar masa hadapan. Cuma malangnya, kebanyakkan info santifik ini tidak ketengahkan secara baik oleh umat Islam.

Tanah, banyak kegunaannya.

Saya cuba memahamkan para pembaca yang budiman bahawa kebanyakan statement yang ada di luar sana dari website, forum dan blogs kebanyakan kurang memberi penerangan saintifik. Kebanyakkannya hanya meletakkan dakwaan liar tanpa ada sumber rujukan laporan kajian berfokus. Sebagai contoh, website A mengatakan: "... kajian saintifik juga membuktikan bahawa tanah (debu) mampu menghapuskan kuman...". Tamat di situ tanpa ada quotation kajian atau sumber rujukan. Mungkin saya rasa umat Islam kini terlalu malas untuk berfikir. Mungkin kerana kita sebenarnya hanya mendengar cakap-cakap orang. Bagi saya, agak memalukan jika kita hanya tahu memberikan statement tanpa ada bukti kajian. Dan memang ini merupakan tanggungjawab para saintis umat Islam yang pakar dalam bidang ini juga, saya juga kadang-kadang berasa malu kerana pernah buntu tidak dapat mencari hikmah ini. Tetapi Alhamdulillah Allah kurnikan ilham untuk berfikir. Berikut adalah hasil literature review yang mampu saya simpulkan. Ini adalah hasil usaha peribadi, maka pasti akan ada kekurangan dan berbeza konteks tapi dengan ilmu yang saya ada, saya merasakan konteks ini masih bertepatan dengan apa yang dimaksudkan dengan tanah.

Jenis Mikrob Dalam Air Liur Anjing
Terlebih dahulu sebelum kita meneliti bukti-bukti kajian saintifik akan peranan tanah dalam menyucikan kuman, perlu kita tahu apakah jenis-jenis kuman yang selalunya wujud dalam air liur anjing. Secara ringkasnya dua jenis kategori kuman yang perlu anda tahu yang mampu menyebarkan jangkitan: Bakteria dan Fungi. Adapun mikroorganisma lain seperti kekutu yang menyebarkan penyakit Lyme diseases serta virus seperti rabies virus tidak diketahui akan kesan tanah terhadapnya. Apa yang saya lampirkan ini berfokus kepada dua kumpulan iaitu bakteria dan fungi, berdasarkan limitasi dan apa yang saya ketemui. Wujud pelbagai jenis bakteria dalam air liur ataupun dalam mulut anjing, biasanya ialah Streptococcus sp., Staphylococcus sp. Escherichia coli, Pasteurella multocida, Moraxella sp., Pasteurella canis, Enterobacter cloacae (Glodstein, Clinical Infectious Diseases, 1992). Kesemua bakteria di atas adalah jenis penyebab jangkitan (pathogens) dan telah dikaji dan ditemui wujud pada kesan gigitan anjing. Mungkin secara clinical symptoms berbeza-beza dan kebarangkalian umumnya ialah inflammation, sepsis, meningitis dan endocarditis (Thomas, 2011). Apa pun, ianya bergantung kepada jenis bakteria. Berlainan dengan virus, umumnya diketahui anjing merupakan salah satu reservoir (tempat menyimpan dan menyebarkan) beberapa jenis virus klasik seperti rabies virus. Saya sebut virus klasik kerana ianya merupakan salah satu jangkitan paling banyak disebarkan kepada manusia selepas proses domestikasi anjing ke dalam masyarakat dan kini mampu dikawal dengan adanya injeksi immunoglobulin (antibodi) untuk meneutralkan jangkitan serta vaksin sebagai mengelakkan jangkitan. Berkenaan dengan fungi, fungi yang paling terkenal selalunya menyebabkan jangkitan dermatophytosis atau ringworm (jangkitan kulit) ialah Microsporum sp. dan Trichophyton sp serta lain-lain jenis fungi.

Terlalu banyak jenis bakteria dan fungi yang perlu diketahui jika ingin ditulis, tetapi saya biarkan pembaca yang budiman untuk menggalinya. Apa yang ingin saya sampaikan ialah wujud berbagai-bagai jenis bakteria dan fungi dalam air liur anjing. Jadi perkaitannya ialah, bermula daripada sini saya akan cuba lampirkan beberapa kajian yang diketemui secara saintifik, untuk membiarkan para pembaca berfikir sejenak akan hikmahnya. Berbalik kepada persoalan 'tanah' atau 'debu' tadi, apa yang saya temui yang mempunyai properties 'antimicrobial' ataupun 'antibacterial' wujud dalam tanah jenis clay ataupun tanah liat.

Penemuan Sains: Tanah Liat (Clay)
Hanya baru-baru ini, kajian saintifik telah membuktikan bahawa tanah liat ternyata mampu bertindak sebagai antibacterial dan antifungal (Otto and Haydel, 2013; Keith et al., 2014; Muraleedharan et al., 1994; Chan et al., 2003; Oya et al., 1994). Mengikut Keith et al., (2014), tanah liat mempunyai beberapa jenis mineral seperti Fe (II) yang mampu bertindak sebagai antimicrobial. Hasil kajian Keith et al., (2014) menunjukkan dua jenis species bakteria iaitu Staphylococcus aureus dan E. coli tidak berjaya hidup apabila diberikan tanah liat tersebut. Hipotesisnya ialah mineral-mineral ini berperanan mengganggu metabolisme sel bakteria. Kajian ini telah menyatakan bahawa tanah liat mempunyai potensi besar untuk dijadikan sumber alternatif kepada antibiotik pada masa hadapan terutamanya dalam melawan antibiotic-resistance bacteria seperti methycilin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). Hal ini konsisten dengan hasil penemuan yang dilakukan oleh Otto&Haydel (2014), yang membuktikan bahawa tanah liat mampu melawan MRSA, iaitu sejenis 'bakteria degil' dan tidak mudah dihapuskan dengan antibiotik biasa. Dalam kajian mereke berdua, mereka berjaya merungkai wujud lebih kurang 5 jenis mineral yang mampu menghapuskan bakteria seperti E. coli dan MRSA. Lima jenis mineral tersebut ialah Fe (II), Cu (II), Co (II), Zn (II) dan Ni (II). Daripada kelima-lima mineral tersebut, gabungan antara Co (II), Cu (II) dan Zn (II) telah dikenalpasti amat effective dalam melawan MRSA. 

Haydel merupakan saintis di Biodesign Institute Arizona State University dan pelajar undergraduate -  merupakan orang yang mengetengahkan penemuan idea tanah liat sebagai antibacterial. Sumber: ScienceDaily.com

 
Salah satu website sains (www.insidescience.org) ada meletakkan satu video yang saya rasa amat berkaitan dengan apa yang ingin disampaikan.




Sumber video: (http://goo.gl/zsQDkg)

FIKIRKAN!: Anda boleh bertanya kepada diri setelah melihat video ini: adakah debu/tanah yang dimaksudkan dalam hadis juga relevan? Kaedahnya serupa: campurkan debu/tanah dengan air agar memperoleh air basuhan tanah. Lihat video ini dan ada pasti tersedar sesuatu.
 
Selain kajian di atas, kajian terdahulu oleh saintis jepun, Oya et al., (1994) juga telah ada menunjukkan tanah liat mampu bertindak sebagai antibacterial dan antifungal. Dalam kajian tersebut, Oya et al., telah membuktikan bahawa ions yang wujud dalam tanah liat seperti ammonium cations mempunyai aktiviti antimicrobial dan erjaya membunuh bakteria dari jenis E. coli dan S. aureus. Manakala kajian yang dilakukan oleh Muraleedharan et al., (1994) dan Chan et al., (2003) pula mendemostrasikan bahawa dalam keadaan tertentu tanah juga mampu bertindak sebagai antifungal. Kedua-dua kajian ini menghubungkaitkan faktor kewujudan mikrob semula jadi di dalam tanah yang mampu menghasilkan natural antifungal. Bakteria yang wujud di dalam tanah perlu mampu hidup bermandiri dan salah satu caranya dengan mempunyai 'senjata' sendiri biasanya dalam bentuk rembesan antifungal. Muraleedharan et al., (1994) telah berjaya mengasingkan sejenis antifungal antibiotic yang dikenali sebagai gopalamicin daripada sejenis fungi semula jadi dalam tanah dikenali sebagai actinomycetes. Mengikut kajian tersebut, gopalamicin telah berjaya menyekat sepenuhnya segala jenis pathogenic fungi daripada terus hidup. Walaupun kita boleh skeptikal mengatakan bahawa tidak semua tanah mempunyai actinomycetes, tanggapan kita mungkin salah kerana tahukah bahawa actinomycete merupakan salah satu fungus yang paling banyak wujud dalam tanah. Walaupun ini tidak menjustifikasikan peranan tanah secara berfokus paling tidak ianya memberi gambaran bahawa tanah dihuni oleh berbagai-bagai bakteria yang mampu melawan fungi berbahaya. Juga kajian terpencil oleh Chan et al., (2003) menunjukkan bahawa bakteria seperti Bacillus subtilis yang terdapat di dalam tanah mampu menghasilkan antifungal agent dan menunjukkan kesan antagonis terhadap fungi Fusarium graminearum. Walaupun kajian ini tidak berkaitan dengan fungi yang wujud dalam air anjing, paling tidak ia menggambarkan betapa tanah memiliki potensi kuat sebagai antifungal agent.

Wujud banyak website-website sains lain yang melaporkan penemuan yang sama terutamanya hasil kajian Otto&Haydel (2014). Saya letakkkan links di bawah untuk memudahkan para pembaca yang budiman untuk menjelajah dengan lebih jauh.

Konklusi
Seperti dari awal makluman saya, penulisan ini bukan untuk saya mencari erti logik tetapi untuk saya bawa saudara dan saudari menelusuri erti hikmah yang hilang. Sains tetap sains, ilmunya terbatas tetapi kajiannya semakin meluas. Manakala hadith merupakan satu sandaran yang terkandung di dalamnya hikmah. Ini bukan isu anjing dan babi, ini bukan isu halal atau haram. Ini isu persoalan di manakah kita sebagai umat Islam untuk mengkaji persoalan yang kadang-kadang hanya pandai melemparkan dakwaan sains sampai kita sendiri tidak cakna mana dan apa buktinya? Benar, umat Islam masih jauh ketinggalan dari aspek menghargai ilmu. Masih banyak yang perlu kita dahului. Dari sudut sains, teknologi dan sebagainya. 

Penulisan ini bertujuan untuk mengetuk hati para pembaca bahawa kita perlu cakna dengan segala hikmah yang ada dengan menunjukkan hasil kajian dan bukti yang jelas. Peranan para asatizah amat dihargai, juga peranan para ilmuan sains patut duduk bersama memikirkan dari sudut pandangan kepakaran masing-masing. Penulisan ini tidak ditulis untuk menyatakan bahawa: 'inilah bukti hadis itu!' dan dilemparkan kepada orang ramai. Tidak sama sekali. Boleh jadi ianya hanya kebetulan dengan hadis, boleh jadi ianya tidak benar, boleh jadi ianya menyimpang dari tafsirah para ilmuan agama. Tetapi sedaya mampu yang saya fikirkan, saya merasakan bahawa hadis berkenaan basuhan dengan tanah amat relevan dengan sudut pandangan sains bahkan selari. Dan apa yang saya lampirkan pada penulisan ini hanya merupakan salah satu daripadanya. 

Saya juga menyeru kepada para saintis muslim agar lebih proaktif dalam mengkaji dan meneliti hikmah-hikmah yang tersembunyi. Umat Islam kini ketandusan ilmuan dan kepakaran. Usah duduk diam, tetapi keluarlah berbicara akan soal kepakaran masing-masing dalam urusan yang menguntungkan umat Islam sedunia. Kesimpulan kenapa semasa saya meng'google' tiada jawapan sebelum ini ialah (1) Kurangnya kepakaran oleh pengkaji umat Islam. (2) tiada inisiatif, sekadar menerima secara konservatif, (3) penemuan ini masih baru dan tidak 'digali'.

Realitinya, tanah liat dihasilkan dengan mencampurkan cebisan-cebisan ataupun serpihan kering dengan air lalu jadilah sebentuk yang lembut seperti karakternya. Sains baru sahaja berbicara kurang daripada dua tahun (dari sekarang) bahawa tanah liat mampu menjadi alternatif kepada masalah antibiotic-resistance terutamanya MRSA, kerana melihatkan potensinya yang cukup jauh. Sudahkah kita bertanya - sedangkan hikmah yang Islam berikan sudah lama tersedia buat kita? Mana pergi si pujangga pemikir Islam? Bangunlah.

Future Prospects:
  • Peranan umat Islam untuk mengkaji jenis tanah liat yang berpontensi jauh dalam bidang therapeutic dan antibiotics. 
  • Kajian faktor-faktor lain selain minerals dan ions. 

Sekian.

Amin Rukaini Mustafa
BSc.(Hons), MSc.(Distinction) in Biotechnology. 
__________________________________________________________________________


Rujukan: 
Yiu-Kwok Chan, Wayne A McCormick, Keith A Seifert, (2003), Characterization of an antifungal soil bacterium and its antagonistic activities against Fusarium species, Canadian Journal of Microbiology, 49(4): 253-262,
Nicole Thomas, Itzhak Brook (2011), Animal Bite-associated infections, Expert Rev Anti Infect Ther. 9(2):215-226.
Caitlin C. Otto, Shelley E. Haydel. Exchangeable Ions Are Responsible for the In Vitro Antibacterial Properties of Natural Clay Mixtures. PLoS ONE, 2013; 8 (5):
Morrison et al (2014) Mineralogical variables that control the antibacterial effectiveness of a natural clay deposit, Environmental Geochemistry and Health, 36 (4): 613-631
Oya et al., (1994), antimicrobial and antifungal agents derived from clay minerals, Gumma University, 11-14.  
Muraleedharan et al., (1994), Gopalamicin, an Antifungal Macrodiolide Produced by Soil Actinomycetes, J. Agric. Food Chem., 42: 2308–2310

Websites cadangan:

NaturalNews (Klik)
ASUNews (Klik)
ScienceDaily (Klik)

1 comments:

Anonymous said...

Bagaimana dengan ini? Endospores Baccilus berpotensi untuk pelbagai kegunaan.

http://www.popularmechanics.com/science/energy/articles/a16045/evaporation-engine/