Showing posts with label Biotek. Show all posts
Showing posts with label Biotek. Show all posts

Thursday, March 13, 2014

Siri II: 7 Sikap Ahli Bioteknologi

Bioteknologi merupakan salah satu bidang yang banyak disalahfahami oleh masyarakat umum termasuklah saya sendiri ketika mula-mula ingin menceburkan diri dalam bidang ini. Alhamdulillah kini saya sudah berada di fasa terakhir untuk menamatkan Msc Biotechnology di University of Edinburgh. Saya ada menulis sebelum ini berkenaan 'Kenapa Bioteknologi' pada siri I beberapa lama dahulu. Ini ialah sambungannya.

Berikut merupakan definisi ringkas dan antara yang terangkum. Pie chart seterusnya  memaparkan beberapa bidang yang selalunya melibatkan ahli Bioteknologi.




Bioteknologi merupakan satu bidang yang sangat meluas. Selagi mana wujudnya aspek biologi di situ akan ada skop bioteknologi. Contoh-contoh skop bidang yang jarang kita dengar ialah regenerative medicine, stratified medicine, genetics, sequencing technology, vaccines development, drug development dan lain-lain. Untuk menjadi ahli bioteknologi yang baik, kita memerlukan beberapa sikap asas dan penting. Antaranya ialah:

1. Ilmu Biologi yang mendalam dan meluas
Untuk menjadi seorang ahli bioteknologi sebenarnya merupakan proses yang agak rumit tetapi amat menarik. Sikap ataupun karakter seorang ahli bioteknologi sebenarnya bolehlah dikatakan seorang yang optimis dan memandang ke hadapan digabung dengan sikap 'enterprenuerial' yang tinggi. Seorang ahli bioteknologi terlebih dahulu perlu memahami segala latar belakang ilmu biologi secara mendalam mahupun secara meluas. Contoh, untuk menghasilkan biological drugs, seorang ahli bioteknologi bukan sahaja perlu memahami bagaimana untuk menghasilkan protein tetapi perlu juga memahami mikrobiologi (untuk expression system), genetics (genetic modification), sequencing technology (mencari genes untuk protein), bioprocessing (nak hasilkan protein besar-besaran), human physiology (kena fahami kesan protein terhadap manusia), drug development (fahami fasa-fasa, regulatories) serta lain-lain.  Pendek kata, seorang ahli bioteknologi perlu mempunyai latar blakang ilmu biologi yang meluas dan pakar menguasainya secara intelektual mahupun praktikaliti.

2. Menguasai ilmu sampingan dan kemahiran
Seorang ahli bioteknologi juga tidak terlepas daripada berinteraksi dengan manusia lain yang mempunyai latar belakang berbeza. Jadi sudah pasti dirinya harus mempunyai ilmu dah kemahiran yang memungkinkan beliau mampu berkomunikasi dengan baik. Seorang ahli bioteknologi contohnya perlu memiliki ilmu sampingan seperti regulation, intellectual property, business & management, political economics, computer and information technology, kemahiran berucap, kemahiran mempengaruhi orang ramai, kemahiran berurusan, mampu pitching dan lain-lain. Dalam keadaan sebenar, dunia seorang ahli bioteknologi tidak akan berlegar di ruang makmal sahaja kerana kemungkinan pada sesuatu masa beliau perlu berinteraksi dengan potential investor mahupun ingin mendapat grant untuk mendapat dana projek. Di sini skills sampingan amatlah penting. Jelasnya seorang ahli bioteknologi itu bukan sahaja seorang yang pakar dalam bidang sains yang diceburi tetapi mampu berinterkasi dengan baik dengan orang lain.

3. Mampu melihat masalah dan permintaan (demand)
Masalah boleh jadi masalah biasa mahupun masalah global. Biasanya dalam sebarang masalah kita memerlukan penyelesaian. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah sebarang masalah yang biasanya jika diselesaikan akan mendapat permintaan tinggi. Untuk mempunyai cara fikir ini amat susah tetapi boleh dilatih dari hari ke hari. Sebagai contoh, antara masalah yang timbul ialah berlaku pencemaran arsenic di beberapa buah Negara membangun seperti di India. Arsenik adalah toksik dan berbahaya. jadi pengkaji bioteknologi melihat ini sebagai satu peluang, dan jika beliau mampu menghasilkan satu penyelesaian, ianya sudah pasti akan mendapat permintaan. Maka wujudlah berbagai pihak menghasilkan pelbagai produk bioteknologi seperti biosensor. Biosensor merupakan sensor yang dihasilkan menggunakan aplikasi mikrobiologi. Menggunakan synthetic biology, bakteria seperti Escherichia coli mampu diubah genetiknya untuk menjadi satu 'device' yang mampu mengesan kehadiran input arsenic. Maka kesannya ialah E. coli ini mampu mengeluarkan output tersendiri seperti perubahan cahaya dan warna dan secara langsung dapat memberitahu pengguna bahawa wujud pencemaran arsenic di sekitar kawasan yang dikesan menggunakan biosensor ini.

4. Mampu menjana idea unik dan novel
Idea novel bererti idea yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Idea tersebut biasanya unik dan berhak mendapat pujian ataupun intellectuall property. Karakter ini merupakan asas paling utama untuk menjadi seorang ahli bioteknologi berjaya. Ianya memerlukan kefahaman aspek biologi yang kuat ditambah dengan sikap berfikir yang berterusan. Dalam dunia sebenar, penyelesaian mampu hadir dalam berbeza bentuk dan bukan bersifat objektif A, B, C atau D. Tetapi mana-mana cara yang mampu menyelesaikan masalah ataupun membawa nilai tambah dikira sebagai novel. Sebagai contoh, artemisinin merupakan drug yang digunakan secara meluas dalam merawat malaria yang disebabkan oleh parasite Plasmodium falciparum. Artemisinin biasanya diperolehi daripada sejenis pokok yang dipanggil artermisia sp. Memandangkan jumlah penghasilan dan pengextrakkan dari pokok ini tidak terlalu efisien dan lambat, maka hadirlah satu idea bernas dan novel untuk menghasilkan drug artemisini ini menggunakan yeast. Genes yang 'encode' artemisinin ini di'sequnce' dan dikaji.Kemudiannya genes tersebut di'masuk'kan ke dalam yeast genome. Dengan ini penghasilan artemisinin dapat dihasilkan secara besar-besaran melalui proses fermentasi yeast menggunakan bioreactor.

5. 'Entrepreneurial' and 'business-minded'
Seorang ahli bioteknologi sudah pasti perlu memiliki 'otak business' dan juga memiliki karakter seorang usahawan. Hal ini termasuklan mampu melihat peluang, berani mengambil risiko, berdaya saing, proaktif dan kreatif. Realitinya, bidang bioteknologi ialah satu bidang 'membuat duit'. Hal ini kerana segala jenis hasil produk bioteknologi; target paling tingginya ialah untuk masuk ke dalam pasaran dunia, iaitu bergantung kepada wujudnya permintaan umum. Aspek business juga perlu ditekankan memandangkan tidak semua produk mampu masuk dengan jayanya. Contoh mudah ialah dari kisah yang berlaku kepada Quorn. Quorn merupakan salah satu produk bioteknologi yang berjaya memasuki ke dalam pasaran global. Quorn ialah sejenis makanan 'meat-free' yang dihasilkan daripada fungus ataupun mycoprotein. Pada awalnya, konsep ini diperkenalkan hanyalah untuk menghasilkan jumlah protein secara besar-besaran untuk dipasarkan di Negara membangun yang kebuluran protein dan mengalami kwashiorkor. Namun, setelah melalui proses pembangunan yang panjang, didapati produk ini menelan kos yang tinggi dan tidak membawa pulang langsung jika dipasarkan ke Negara yang sedang membangun. Akhirnya, melihat dari sudut business dan demand, produk ini akhirnya laris di UK dan beberapa Negara membangun disebabkan ianya mampu membuat keuntungan sekiranya mensasarkat marketnya kepada golongan yang berada dan suka menjaga pemakanan. Quorn diletakkan sebagai premium price untuk mereka yang inginkan meat-free protein tanpa lemak.

6. Mampu bekerja keras dan menerima kegagalan
Dua sikap ini adalah sikap penting untuk menjadi ahli bioteknologi. Hal ini kerana tidak semua yang dilakukan semasa dalam kajian akan menjadi dengan baik. Kebanyakannya akan gagal. tetapi biasanya dari kegagalan itulah akan lahir satu penyelesaian baru. Kajian memerlukan individu yang mampu berusaha keras dan mampu menyahut cabaran. Seorang ahli bioteknologi juga harus jelas akan apa yang ingin dicapai. Hal ini penting kerana tanpa sasaran yang jelas segala kerja akan menjadi sia-sia dan tidak membuahkan sebarang keputusan yang baik.

7. Sentiasa ambil tahu perkembangan penemuan semasa
Aspek ini antara yang penting kerana seorang ahli bioteknologi tidak mencukupi dengan ilmu yang dimiliki daripada degree, master atapun PhDnya. Sifat ilmu dalam dunia biologi sentiasa berkembang, bahkan kita hanya mengetahui sedikit daripada apa yang belum kita ketahui. Saban hari, berbagai-bagai penemuan baru ditemui dan semua ini pasti akan mempengaruhi cara dan teknik kita menyelesaikan masalah yang ada. Contohnya, beberapa tahun dahulu, saintis tidak pernah tahu bagaimana  cara untuk membuat bacterial cloning. Tetapi disebabkan penemuan restriction enzymes, ligase, dan lain-lain telah membolehkan saintis hari ini melakukan proses tersebut dengan mudah di makmal-makmal biasa. Bahkan proses cloning ini merupakan salah satu proses yang paling berleluasa berlaku hari ini dan ianya bukan satu benda yang baru. Seorang ahli bioteknologi perlu sentiasa membuat bahan bacaan ilmiah sama ada di website sains, menghadiri conference, berdiskusi mahupun berdialog dengan para saintis lain.


Rumusannya, karakter seorang ahli bioteknologi itu sangat dinamis dan memerlukan integrasi segala macam ilmu. Ianya sudah tentu memerlukan pengorbanan yang berterusan. Ianya juga unik kerana mampu berdialog dengan semua jenis individu yang berlatarbelakang berbeza seperti doctor, jurutera, farmasi, businessman dan lain-lain. Seorang ahli bioteknologi paling tidak pasti mempunyai isu persamaan dengan mana-mana individu lain.

Tuesday, April 16, 2013

Siri I: Kenapa Bioteknologi?

Seringkali orang bertanyakan saya: "kenapa ambil Bioteknologi tak ambil medic?". Bila dengar soalan begini saya senyum. Senyum mengimbau bagaimana saya boleh membuat keputusan memilih bioteknologi. Ceritanya mudah. dari segi kelayakan semasa SPM, saya sememangya layak untuk mengambil jurusan bidang perubatan bahkan jurusan ini pernah menjadi salah satu cita-cita saya pada suatu masa dahulu. Bahkan saya dahulunya mempunyai tiga cita-cita iaitu menjadi seorang Chemical Engineer, doktor perubatan, dan ahli sainstis atau ahli fizik. Minat saya sangat mendalam terhadap bidang sains lahir sejak dari kecil lagi, maka saya amat berbelah bahagi dalam membuat keputusan ini, bahkan saya menyukai ketiga-ketiga bidang ini. Jadi kenapa saya membuat keputusan dengan Bioteknologi dan ada apa dengan Bioteknologi?

Jurusan Perubatan dan Trendnya
Tidak dinafikan bahawa seorang doktor pada umumnya dianggap sangat berprestij dalam profesionalisme. Sehinggakan semasa saya berada di MRSM langkawi, sebuah maktab yang bercirikan teras sains tulen (pure science), bila sahaja ditanya oleh guru-guru apa yang kamu mahu jadi? Maka majoritinya mahu menjadi ahli perubatan. Tetapi persepsi itu tidak bagi saya, saya lebih suka menganalisis fakta berbanding persepsi semata-mata. Faktanya negara kita sedang menghala ke arah negara maju, dan jumlah doktor kian meningkat dengan meningkatnya polisi kerajaan ke arah memperbanyak jumlah doktor di pasaran perubatan.  Dan bagi saya pula, hal ini mungkin satu faktor kecil yang membuatkan saya menoleh kepada bioteknologi, tetapi satu faktor besar lain ialah sikap diri sendiri yang suka mencuba dan berkeyakinan tinggi akan perkara yang telah dikaji rapi. Bagi saya, saya lebih melihat ke hadapan. Negara kita kaya dengan biodiversiti ataupun biokepelbagaian. Kita punyai banyak sumber yang Allah kurniakan, dengan hutan hujan yang begitu luas, dengan flora dan fauna yang bermacam-macam, namun satu perkara yang saya sedar sejak di MRSM ialah kita kurang daya sumber manusia bagi mengeksploitasi sumber ini dengan baik. Andai kata negara ini diserahkan kepada tangan Barat, pasti mereka sudah terokai habis-habisan dengan teknologi yang mereka miliki. Jadi, fikir di luar kotak persepsi, saya mengorak langkah, mengkaji bidang ini dan akhirnya membuat keputusan tetap untuk mengejar cita-cita ini sebagai seorang ahli sainstis atau ahli Bioteknologi.

*P/S: bukan mahu merendah-rendahkan kerjaya doktor, sekadar perkongsian pengalaman. i wish i could be all of them.

Before you walk and choose, anticipate it! With facts. Lot of facts.

Ada apa dengan Bioteknologi?
Pada awal mulanya setelah membuat keputusan untuk mengambil bidang ini dan telah pun ditawarkan untuk menyambung ijazah luar negara dalam bidang Bioteknologi, wujud soalan-soalan yang agak sukar saya perjelaskan kepada orang ramai akan apa itu Bioteknologi? Sukar bukan kerana saya tidak tahu tetapi sukar kerana persepsi masyarakat yang menyerong jauh dek mungkin kerana kurangnya ilmu dan pendedahan. Ditambah lagi sukar jika bersembang dengan makcik-makcik kampung yang tidak faham Sains secara amnya. Maka ada yang mengatakan Bioteknologi ini ibarat petani moden, ibarat seorang ahli kaji pokok, ibarat seorang ahli kaji makanan dan lain-lain. Saya terpaksa mengiyakan dengan sedikit pembetulan. Pada tahap mereka, kita terpaksa memudahkan bicara dan kadang-kadang terpaksa mengiyakan juga. Hakikatnya tidak begitu, seorang ahli bioteknologi bagi saya ialah seorang yang mempunyai gabungan ilmu biology yang luas, paling tidak memahami konsep asas segala lapangan ilmu yang wujud dalam Biologi baik dari aspek mikrobiologi, genetik, fisiologi haiwan dan tumbuhan, genomic, genes, molecular biology bahkan ilmunya merentasi beberapa aspek kejuruteraan serta fizik. Dengan kefahaman segenap disiplin-disiplin ilmu ini, beliau kemudiannya mencari sesuatu dari kesemua ilmu itu untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan manusia. Tugas yang agak berat, tapi itulah yang dilakukan oleh seorang ahli Bioteknologi. Setiap ilmu dan penemuan baru yang dikaji oleh ahli bioteknologi menjanjikan seribu peluang untuk aplikasi-aplikasi lain. 



Ada Contoh lagi Mudah?
Contoh lagi mudah? Hurm. Ok macam ini. saya ambil contoh yang saintifik sikit dan mudah difahami kerana ia dekat dengan kita. Kita tahu bahawa pesakit diabetes (kencing manis) memerlukan insulin untuk merendahkan tahap gula dalam darah, dan biasanya doktor akan menyuntik insulin tersebut kepada pesakit. Tetapi pernahkah anda ambil tahu dari mana datangnya insulin ini? Lebih kurang 40 tahun yang lalu, insulin diambil secara terus daripada haiwan setelah ditapis. Namun, proses ini sangat tidak effective dan tidak menghasilkan banyak insulin dalam sesuatu masa kerana kadar insulin yang dihasilkan oleh haiwan seperti lembu adalah sangat sedikit. Jadi, dengan adanya genetik modification, genes yang menghasilkan insulin ini telah diklon dan dimasukkan kepada bacteria. Disebabkan bacteria mampu membiak dengan laju, maka kadar penghasilan insulin adalah sangat besar dan mampu dijana secara mass production. Kesannya, para pesakit diabetes kini mampu dirawat dengan mudah dan lebih murah kosnya berbanding dahulu. Inilah yang dikatakan bioteknologi, menggunakan aplikasi teknologi yang ada untuk kegunaan manusia. Dalam contoh ini, teknologi yang dimaksudkan ialah genetic modification. Genetic modification merupakan satu teknologi alam ciptaan Allah yang sedia ada dalam bacteria, dan ianya dieksploitasikan oleh ahli bioteknologi untuk digunakan dalam menghasilkan pelbagai produk yang banyak membantu ke arah kebaikan manusia sejagat digabung dengan teknologi-teknologi lain.

Peluang Luas Ke?
Saya jika orang bertanyakan soalan ini, saya akan jawab: "Luas, awak rasa bumi ini ada luas ke tidak? Dalam bumi ini ada macam-macam jenis biological substances yang belum lagi diterokai. Jadi luaslah". Itu jawapan skema untuk membuat perumpamaan spektrum yang ada bagi bidang ini, selagi mana ada kehidupan (biological organism), selagi itulah bidang ini akan terus bernyawa. Dan untuk lebih mendalam, manusia dari dahulu tidak berputus asa mencari penemuan baru dan terus menerus mengkaji demi kebaikan mereka. Dan ini juga tugas seorang khalifah di muka bumi, menggunakan segala sumber yang Allah berikan kepada kita dengan baik. Ok, itu bab nak jawab secara umum, jika soalan tersebut berkisar tentang peluang pekerjaan, saya akan katakan ya juga. Kerana peluang pekerjaan ada di mana-mana dengan lahirnya terlalu banyak syarikat-syarikat Biotechnology. Jika ianya dimaksudkan peluang, maka perlulah ada orang yang merebutnya, apa yang saya mahu katakan ialah mestilah perlu berusaha mencari. Dan perlu lihat fakta daripada perspesi. Lihat di mana kekurangan dan di mana ada permintaan yang tinggi. Dan disiplin mana yang anda minat? Research-based? Academic? Industrial-based? Biopharmaceutical-based? Lihat keupayaan anda dan minat! Jika anda rasa anda tidak mahu bekerja dengan orang dan mahukan gaji lumayan, percayalah bidang Bioteknologi merupakan salah satu bidang yang menjana kekayaan, maka pilihlah usahawan muda Bioteknologi - pasti jalan ini lebih jauh terkehadapan tetapi sudah tentu punyai risiko yang tersendiri. 

"Selagi mana ada DNA (kehidupan), selagi itu peluang Bioteknologi masih ada."- AminRox-


Pengalaman Sendiri Setakat Ini
Alhamdulillah, saya mampu katakan bidang ini amat kena dengan personaliti diri saya yang suka mengkaji. Ianya satu bidang yang lebih fleksibel dalam erti kata, jika anda ada idea gempak, nampak peluang dan potensi sesuatu perkara, anda boleh pergi jauh ke hadapan - ianya memerlukan imaginasi dan pelaksanaan. Satu perkara yang perlu anda tahu, Bioteknologi merupakan bidang core ataupun engine kepada banyak bidang perubatan yang ada sekarang. Kebanyakan aplikasi dari peringkat penemuan ubat-ubatan (protein based) kepada tahap klinikal, boleh dikatakan hampir 70 peratus adalah disumbangkan oleh bioteknologi dan peranan doktor hanyalah menggunakannya dengan baik kepada pesakit. Dan kajian mendalam terhadap sesuautu penemuan baru itu dimainkan oleh ahli-ahli sainstis dari berbagai-bagai lapisan latar belakang ilmu. Jika anda benar-benar berminat dalam lapangan ilmu sains biologi, bidang ini sangat menjanjikan kepuasan ilmu serta eksploitasinya. Orang kata bidang ini hanya di Lab sahaja. Mungkin juga jika anda sedang dalam project ataupun anda memilih untuk membuat research-based. Tetapi realitnya lebih dari itu. Ianya bergantung kepada pilihan yang anda buat. 

Bersambung..
InshaAllah saya akan sambung dengan Siri II dan seterusnya, menjelaskan beberapa idea dan produk-produk menarik yang mampu dijana dari bidang Bioteknologi. Antara yang bakal saya jelaskan ialah: Microbial Fuel cells (sel bateri dari mikroorganisma), Monosodium Glutamate (MSG) production, Biofuel, Antibiotik dan kesannya, Biosensor, serta lain-lain. Saya juga akan cuba menerangkan beberapa idea yang mungkin amat menarik untuk difikirkan untuk tatapan umum dan juga perkara-perkara yang mungkin tidak pernah terfikir yang ada dalam kehidupan biologi. 





Friday, October 5, 2012

Bioteknologi & Anda



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sidang pembaca. Acap kali saya ingin menulis akan tajuk ini, banyak sekali halangan yang tiba. Tapi saya tetap terpanggil juga untuk menulis tajuk ini kerana saya yakin ramai adik-adik dan orang ramai di luar sana ingin tahu apakah itu sebenarnya bioteknologi. Juga bagi rakan-rakan yang lebih muda dari saya yang dalam preparation programm seperti IB, A-Ievel dan sebagainya, mereka sudah pasti ingin tahu dengan lebih lanjut soal ini. Di sini saya juga ingin merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT, tiada tuhan melainkan Dia yang hanya layak disembah kerana memberikan saya peluang melanjutkan pelajaran pada tahap ini. Alhamdulillah dan perjalanan ini masih jauh untuk diterokai.

Bioteknologi. Sekali imbas, ia hanyalah satu bidang biasa. Namun, pada hakikatnya bioteknologi merupakan salah satu bidang paling banyak memberikan impak kepada kemajuan manusia di seluruh dunia. Bahkan terdapat begitu banyak sekali sumbangan bioteknologi dalam kehidupan yang tidak pernah kita terfikir dan ambil tahu. Sebagai contoh, dunia kini bergantung kepada sumber makanan utama iaitu makan ruji seperti beras, gandum, jagung dan ubi-ubi. Sedar ataupun tidak sedar, bioteknologi telah meningkatkan kualiti pemakanan kita pada hari ini pada tahap di mana kita mampu memiliki tumbuh-tumbuhan yang mampu mengeluarkan hasil yang banyak, berkualiti tinggi, mempunyai daya tahan terhadap cuaca, angin, dan serangan serangga perosak. Bahkan, beras yang anda makan hari ini adalah beras yang telah melalui begitu banyak proses kacukan baka dan teknologi genetik.

Tambahan lagi, dunia kini diancam dengan berbagai-bagai jenis penyakit terutamanya disebabkan oleh mikroorganisma seperti virus, bacteria dan fungi. Contoh umum ialah terjadinya wabak pandemic H1N1 di seluruh dunia baru-baru ini. Kini kita mula memahami bagaimana mekanisme yang diperlukan untuk melawan penyakit seperti ini. Berbagai-bagai vaksin dikeluarkan untuk melindungi manusia dan ianya tidak lain tidak bukan melalui sebahagian ilmu bioteknologi. Bahkan banyak lagi contoh-contoh lain seperti penghasilan aspartame (pemanis tiruan) untuk diabetes, kit ujian kehamilan, kit ujian darah, kit ujian virus dan lain-lain, penghasilan makanan sihat seperti yogurt, penghasilan penyedap makanan (ajinomoto), bahan pencuci pakaian, penghasilan protein ubat-ubatan serta banyak sekali.

Secara ringkas, bioteknologi ialah satu bidang yang memerlukan seseorang itu memahami secara menyeluruh kefahaman cabang biologi seperti genetik, genomic, fisiologi, biologi sel, immunology, tumbuhan, haiwan, microbiology dan lain-lain. Dengan mengabungkan segala jenis disiplin yang ada, seorang ahli bioteknologi mampu menjana idea-idea yang menarik; menggunakan teknologi biologi yang ada seterusnya menghasilkan satu produk baru demi kebaikan bersama. Bahkan bioteknologi juga dianggap sebagai satu bidang untuk menjana kekayaan kerana mampu mempelopori keusahawanan dan bisnes.

Konsep bioteknologi telah lama wujud dalam masyarakat di dunia ini sejak zaman kuno dahulu. Manusia dilengkapi dengan pemikiran dan kebolehan berfikir dengan baik. Oleh itu, sejak dahulu lagi telah wujud 'bioteknologi' tapi fokusnya lebih kepada pemakanan, pertanian dan kemandirian hidup. Sebagai contoh, daging-daging yang diperoleh daripada pemburuan biasanya akan disimpan terlebih dahulu melalui proses peraman (fermentasi) untuk meningkatkan tempoh pakainya. Selain itu, wujud penghasilan arak dan alcohol secara meluas di pelusuk dunia. Namun kini, era bioteknologi berkembang dari konsep pertanian dan sara diri kepada era perindustrian dan komersialisasi. Kini, sesuautu produk itu perlu dipasarkan secara meluas kepada seluruh dunia. Jadi, wujud satu keperluan untuk memastikan ianya dapat dilakukan dengan skala besar dan efisyen. Contoh, satu-satu vaksin yang ditemui bukan sahaja perlu effektif dan selamat, tetapi ia juga perlu digandakan jumlah keluaran secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan dunia.

Dalam sebuah buku tulisan Richards W. Oliver yang bertajuk, The Biotech Age. Beliau membahaskan bahawa bioteknologi akan mendominasi dunia dalam masa beberapa tahun lagi. Beliau memberikan beberapa hujah yang menarik untuk difikirkan. Antaranya ialah dunia bermula dengan Era Agraria (pertanian), Era Perindustrian, Era Teknologi Maklumat (kini) dan sudah pasti akan diganti dengan satu era baru! Melalui dapatan kajian beliau, beliau medapati bahawa era teknologi maklumat sekarang sedang berada pada taham maksimun (plateau) dan menunggu masa untuk digantikan dengan era baru. Beliau menyebutkan era tersebut sebagai era 'Bioterial era' di mana manusia akan mula berfokus kepada teknologi alam semula jadi. Segala bahan-bahan ada berasaskan kepada sumber semula jadi yang mesra alam sekitar dan mapan. Dan ini dijana oleh satu bidang yang lain tidak bukan iaitu Bioteknologi!

Satu perbezaan ketara antara zaman kini berbanding pada zaman dahulu ialah munculnya syarikat-syarikat bioteknologi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini disebabkan oleh berbagai-bagai penemuan baru yang menjadi impetus kepada pencarian dan penghasilan produk bermutu tinggi. Sebagai contoh, teknologi 'recombinant DNA' serta 'recombinant protein' ternyata memberi peluang luas kepada jurutera genetik untuk menghasilkan berbagai-bagai produk bermutu tinggi dan membawa pulangan lumayan. Sebagai contoh, hari ini protein seperti insulin, hormone tidak lagi diambil dari sumber binatang tetapi dihasilkan oleh mikrob. DNA yang mempunyai maklumat sesuautu protein boleh diekstrak dan dimasukkan kedalam mikrob seterusnya dalam menghasilkan protein tersebut secara lambakan! Dan teknologi ini mula mendominasi dalam bidang perubatan dan biopharmceutical.

Penemuan-penemuan lain yang mesra alam seperti penciptaan microbial fuel (bateri janaan mikrob), penghasilan bioethanol dari cellulose, Bioremediation (rawat kawasan tercemar), Waste-water treatment plant (rawatan air) dan lain-lain. Paling giat kajian dijalankan ialah berkaitan dengan drug melawan penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS, Heptstein Barr Virus diseases, penyakit kanser dan penyakit bawaan genetik. Proses kajian biasanya mengambil masa yang lama, namun ianya memberikan peluang yang luas kepada ahli-ahli bioteknologi untuk bergiat aktif.

Malaysia khususnya mempunyai peluang yang amat luas dalam bidang Bioteknologi. Hal ini disebabkan beberapa faktor utama seperti biodiversiti yang begitu luas, pengurusan sumber pertanian yang belum efisyen, penerokaan sumber hijau, tenaga sumber manusia yang makin meningkat, peluang komersialisasi dan bisnes yang tinggi, polisi kerajaan, serta penyelidikan yang berterusan. Namun, beberapa halangan masih wujud terutamanya kurangnya kesedaran umum, kurangnya elemen pendidikan yang menyeluruh, masih wujud peratusan buta huruf serta sains, kemiskinan tegar, serta sikap negatif masyarakat yang memandang remeh akan soal ilmu. Kemiskinan jika dilihat satu halangan bagi sudut bioteknologi, namun bioteknologi sebenarnya berperanan kuat dalam membangunkan taraf hidup masyarakat. Kemiskinan dan pertanian merupakan satu ikatan yang kuat namun dapat dibantu dengan wujudnya teknologi. Sebagai contoh, nelayan yang tidak mengaplikasikan kefahaman teknologi dalam tangkapannya tidak akan kaya tetapi seorang nelayan yang mempunyai ilmu mampu menjana pulangan yang sangat lumayan. Hari ini bioteknologi membolehkan konsep akuakultur dijalankan di mana-mana sahaja. Ini satu peluang yang sangat luas kepada pengusaha ikan air tawar mahupun masin.

Golongan-golongan yang terlibat dalam bidang bioteknologi sangat banyak. Ada di antara mereka adalah para saintis yang berterusan menjalankan kajian, para cendekiawan, para pensyarah, para usahawan moden, para petani moden, para kejuruteraan, para penyelidik kecil-kecilan, serta lain-lain. Masyarakat khususnya perlu diberi pendedahan yang luas akan bioteknologi. Murid-murid seharusnya diberi pendedahan agar mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu sains. Setiap masyarakat berperanan untuk merebut peluang yang ada serta mengaplikasikan segenap ilmu dalam kehidupan. Kerajaan perlu lebih proaktif dalam melaksanakan segala agenda pembangunan ilmu dan pembelajaran, dana-dana seharusnya diperuntukan dengan baik dan digunapakai secara berhemat dan cermat. Ibu bapa pula perlu juga proaktif memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak. Sains seharusnya tidak dipisahkan daripada agama (khususnya Islam) kerana sains dan Islam adalah sangat selari dan saling melengkapi.

Kesimpulannya, Bioteknologi adalah sebuah bidang yang mapan. Sebuah bidang yang menjanjikan satu pulangan yang lumayan untuk generasi akan datang. Walaupun timbul berbagai-bagai isu sampingan, namun kesan jangka panjang bioteknologi ada sangat baik. Bidang ini merupakan bidang yang telah lama wujud dan memerlukan kecekapan tinggi dalam mengaplikasikan cabang-cabang ilmu biologi dalam kehidupan. Usaha-usaha perlu dilakukan bagi menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah hub-bioteknologi pada masa hadapan. Generasi pelapis perlu sedar tanggungjawab yang ada bagi memakmurkan dunia yang kita miliki.


Ditulis oleh,
AMIN RUKANI MUSTAFA
Pelajar Tahun Terakhir Bioteknologi (Hons)
University of Edinburgh, UK.

Membangunkan Teknologi Hijau