Seringkali orang bertanyakan saya: "kenapa ambil Bioteknologi tak ambil medic?". Bila dengar soalan begini saya senyum. Senyum mengimbau bagaimana saya boleh membuat keputusan memilih bioteknologi. Ceritanya mudah. dari segi kelayakan semasa SPM, saya sememangya layak untuk mengambil jurusan bidang perubatan bahkan jurusan ini pernah menjadi salah satu cita-cita saya pada suatu masa dahulu. Bahkan saya dahulunya mempunyai tiga cita-cita iaitu menjadi seorang Chemical Engineer, doktor perubatan, dan ahli sainstis atau ahli fizik. Minat saya sangat mendalam terhadap bidang sains lahir sejak dari kecil lagi, maka saya amat berbelah bahagi dalam membuat keputusan ini, bahkan saya menyukai ketiga-ketiga bidang ini. Jadi kenapa saya membuat keputusan dengan Bioteknologi dan ada apa dengan Bioteknologi?
Jurusan Perubatan dan Trendnya
Tidak dinafikan bahawa seorang doktor pada umumnya dianggap sangat berprestij dalam profesionalisme. Sehinggakan semasa saya berada di MRSM langkawi, sebuah maktab yang bercirikan teras sains tulen (pure science), bila sahaja ditanya oleh guru-guru apa yang kamu mahu jadi? Maka majoritinya mahu menjadi ahli perubatan. Tetapi persepsi itu tidak bagi saya, saya lebih suka menganalisis fakta berbanding persepsi semata-mata. Faktanya negara kita sedang menghala ke arah negara maju, dan jumlah doktor kian meningkat dengan meningkatnya polisi kerajaan ke arah memperbanyak jumlah doktor di pasaran perubatan. Dan bagi saya pula, hal ini mungkin satu faktor kecil yang membuatkan saya menoleh kepada bioteknologi, tetapi satu faktor besar lain ialah sikap diri sendiri yang suka mencuba dan berkeyakinan tinggi akan perkara yang telah dikaji rapi. Bagi saya, saya lebih melihat ke hadapan. Negara kita kaya dengan biodiversiti ataupun biokepelbagaian. Kita punyai banyak sumber yang Allah kurniakan, dengan hutan hujan yang begitu luas, dengan flora dan fauna yang bermacam-macam, namun satu perkara yang saya sedar sejak di MRSM ialah kita kurang daya sumber manusia bagi mengeksploitasi sumber ini dengan baik. Andai kata negara ini diserahkan kepada tangan Barat, pasti mereka sudah terokai habis-habisan dengan teknologi yang mereka miliki. Jadi, fikir di luar kotak persepsi, saya mengorak langkah, mengkaji bidang ini dan akhirnya membuat keputusan tetap untuk mengejar cita-cita ini sebagai seorang ahli sainstis atau ahli Bioteknologi.
*P/S: bukan mahu merendah-rendahkan kerjaya doktor, sekadar perkongsian pengalaman. i wish i could be all of them.
Before you walk and choose, anticipate it! With facts. Lot of facts.
Ada apa dengan Bioteknologi?
Pada awal mulanya setelah membuat keputusan untuk mengambil bidang ini dan telah pun ditawarkan untuk menyambung ijazah luar negara dalam bidang Bioteknologi, wujud soalan-soalan yang agak sukar saya perjelaskan kepada orang ramai akan apa itu Bioteknologi? Sukar bukan kerana saya tidak tahu tetapi sukar kerana persepsi masyarakat yang menyerong jauh dek mungkin kerana kurangnya ilmu dan pendedahan. Ditambah lagi sukar jika bersembang dengan makcik-makcik kampung yang tidak faham Sains secara amnya. Maka ada yang mengatakan Bioteknologi ini ibarat petani moden, ibarat seorang ahli kaji pokok, ibarat seorang ahli kaji makanan dan lain-lain. Saya terpaksa mengiyakan dengan sedikit pembetulan. Pada tahap mereka, kita terpaksa memudahkan bicara dan kadang-kadang terpaksa mengiyakan juga. Hakikatnya tidak begitu, seorang ahli bioteknologi bagi saya ialah seorang yang mempunyai gabungan ilmu biology yang luas, paling tidak memahami konsep asas segala lapangan ilmu yang wujud dalam Biologi baik dari aspek mikrobiologi, genetik, fisiologi haiwan dan tumbuhan, genomic, genes, molecular biology bahkan ilmunya merentasi beberapa aspek kejuruteraan serta fizik. Dengan kefahaman segenap disiplin-disiplin ilmu ini, beliau kemudiannya mencari sesuatu dari kesemua ilmu itu untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan manusia. Tugas yang agak berat, tapi itulah yang dilakukan oleh seorang ahli Bioteknologi. Setiap ilmu dan penemuan baru yang dikaji oleh ahli bioteknologi menjanjikan seribu peluang untuk aplikasi-aplikasi lain.
Ada Contoh lagi Mudah?
Contoh lagi mudah? Hurm. Ok macam ini. saya ambil contoh yang saintifik sikit dan mudah difahami kerana ia dekat dengan kita. Kita tahu bahawa pesakit diabetes (kencing manis) memerlukan insulin untuk merendahkan tahap gula dalam darah, dan biasanya doktor akan menyuntik insulin tersebut kepada pesakit. Tetapi pernahkah anda ambil tahu dari mana datangnya insulin ini? Lebih kurang 40 tahun yang lalu, insulin diambil secara terus daripada haiwan setelah ditapis. Namun, proses ini sangat tidak effective dan tidak menghasilkan banyak insulin dalam sesuatu masa kerana kadar insulin yang dihasilkan oleh haiwan seperti lembu adalah sangat sedikit. Jadi, dengan adanya genetik modification, genes yang menghasilkan insulin ini telah diklon dan dimasukkan kepada bacteria. Disebabkan bacteria mampu membiak dengan laju, maka kadar penghasilan insulin adalah sangat besar dan mampu dijana secara mass production. Kesannya, para pesakit diabetes kini mampu dirawat dengan mudah dan lebih murah kosnya berbanding dahulu. Inilah yang dikatakan bioteknologi, menggunakan aplikasi teknologi yang ada untuk kegunaan manusia. Dalam contoh ini, teknologi yang dimaksudkan ialah genetic modification. Genetic modification merupakan satu teknologi alam ciptaan Allah yang sedia ada dalam bacteria, dan ianya dieksploitasikan oleh ahli bioteknologi untuk digunakan dalam menghasilkan pelbagai produk yang banyak membantu ke arah kebaikan manusia sejagat digabung dengan teknologi-teknologi lain.
Peluang Luas Ke?
Saya jika orang bertanyakan soalan ini, saya akan jawab: "Luas, awak rasa bumi ini ada luas ke tidak? Dalam bumi ini ada macam-macam jenis biological substances yang belum lagi diterokai. Jadi luaslah". Itu jawapan skema untuk membuat perumpamaan spektrum yang ada bagi bidang ini, selagi mana ada kehidupan (biological organism), selagi itulah bidang ini akan terus bernyawa. Dan untuk lebih mendalam, manusia dari dahulu tidak berputus asa mencari penemuan baru dan terus menerus mengkaji demi kebaikan mereka. Dan ini juga tugas seorang khalifah di muka bumi, menggunakan segala sumber yang Allah berikan kepada kita dengan baik. Ok, itu bab nak jawab secara umum, jika soalan tersebut berkisar tentang peluang pekerjaan, saya akan katakan ya juga. Kerana peluang pekerjaan ada di mana-mana dengan lahirnya terlalu banyak syarikat-syarikat Biotechnology. Jika ianya dimaksudkan peluang, maka perlulah ada orang yang merebutnya, apa yang saya mahu katakan ialah mestilah perlu berusaha mencari. Dan perlu lihat fakta daripada perspesi. Lihat di mana kekurangan dan di mana ada permintaan yang tinggi. Dan disiplin mana yang anda minat? Research-based? Academic? Industrial-based? Biopharmaceutical-based? Lihat keupayaan anda dan minat! Jika anda rasa anda tidak mahu bekerja dengan orang dan mahukan gaji lumayan, percayalah bidang Bioteknologi merupakan salah satu bidang yang menjana kekayaan, maka pilihlah usahawan muda Bioteknologi - pasti jalan ini lebih jauh terkehadapan tetapi sudah tentu punyai risiko yang tersendiri.
"Selagi mana ada DNA (kehidupan), selagi itu peluang Bioteknologi masih ada."- AminRox-
Pengalaman Sendiri Setakat Ini
Alhamdulillah, saya mampu katakan bidang ini amat kena dengan personaliti diri saya yang suka mengkaji. Ianya satu bidang yang lebih fleksibel dalam erti kata, jika anda ada idea gempak, nampak peluang dan potensi sesuatu perkara, anda boleh pergi jauh ke hadapan - ianya memerlukan imaginasi dan pelaksanaan. Satu perkara yang perlu anda tahu, Bioteknologi merupakan bidang core ataupun engine kepada banyak bidang perubatan yang ada sekarang. Kebanyakan aplikasi dari peringkat penemuan ubat-ubatan (protein based) kepada tahap klinikal, boleh dikatakan hampir 70 peratus adalah disumbangkan oleh bioteknologi dan peranan doktor hanyalah menggunakannya dengan baik kepada pesakit. Dan kajian mendalam terhadap sesuautu penemuan baru itu dimainkan oleh ahli-ahli sainstis dari berbagai-bagai lapisan latar belakang ilmu. Jika anda benar-benar berminat dalam lapangan ilmu sains biologi, bidang ini sangat menjanjikan kepuasan ilmu serta eksploitasinya. Orang kata bidang ini hanya di Lab sahaja. Mungkin juga jika anda sedang dalam project ataupun anda memilih untuk membuat research-based. Tetapi realitnya lebih dari itu. Ianya bergantung kepada pilihan yang anda buat.
Bersambung..
InshaAllah saya akan sambung dengan Siri II dan seterusnya, menjelaskan beberapa idea dan produk-produk menarik yang mampu dijana dari bidang Bioteknologi. Antara yang bakal saya jelaskan ialah: Microbial Fuel cells (sel bateri dari mikroorganisma), Monosodium Glutamate (MSG) production, Biofuel, Antibiotik dan kesannya, Biosensor, serta lain-lain. Saya juga akan cuba menerangkan beberapa idea yang mungkin amat menarik untuk difikirkan untuk tatapan umum dan juga perkara-perkara yang mungkin tidak pernah terfikir yang ada dalam kehidupan biologi.







