Showing posts with label pemuda. Show all posts
Showing posts with label pemuda. Show all posts

Saturday, August 10, 2013

7 Cabaran ke Alam Perkahwinan: Bersediakah kita?

Acapkali bila sahaja pada zaman berumur antara lingkungan 21-25 tahun ini, pasti setiap individu mula memikirkan soal berumah tangga dan mencari pasangan hidup. Ianya sudah menjadi fitrah setiap insan untuk memiliki pasangan hidup. Tidak terkecuali penulis juga yang mula merasai rasa perlunya mendirikan rumah tangga. Sedar tidak sedar, kita sudah mula melalui fasa perubahan ke arah yang lebih besar tanggungjawabnya. Barangkali, umur 21-25 tahun sebenarnya mungkin hanya wujud dalam era ini kerana zaman-zaman dahulu kebanyakan dari ibu bapa dan datuk nenek kita biasanya berkahwin lebih muda bahkan pada umur 14-16 tahun sudahpun menamatkan zaman bujang. Beberapa isu-isu akan cuba dikupaskan di sini berfokuskan kepada aspek persediaan menghadapi alam rumah tangga.


Tarikh sudah ada, tapi bersediakan kita?


Keutamaan Berkahwin
Terdapat banyak dalil secara umum mahupun dipetik dari sumber AlQuran dan Hadis menggalakkan keutamaan berkahwin dengan hikmah yang sangat luas. Diigatkan kembali Allah SWT berfirman:

"Dan sebahagian daripada ayat-ayatNya (bukti-bukti) bahawa Ia telah jadikan kamu dari jenis kamu berpasang-pasangan, yang kamu senangi kepadanya, dan Ia jadikan di antara kami rasa cinta dan kasih sayang.." Ar-Rum: 21.

FirmanNya lagi dalam surah An-Nur: 32,

"Dan kahwinkanlah laki-laki dan perempuan yang sendiri dari antara kami, dan hamba-hamba laki-laki dengan perempuan yang layak kamu nikahi. Jika mereka miskin, nanti Allah mampukan mereka dengan kurniaNya kerana Allah itu luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Juga hadis-hadis daripada Rasulullah SAW sendiri banyak memberi keutamaan kepada para pemuda agar bersegera berkahwin jika mampu. Jelas sekali kepada kita perkahwinan bukanlah satu perkara remeh temeh yang boleh kita hindari daripada aspek kehidupan bahkan seharusnya para pemuda-pemudi mengambil sebagai satu cabaran di dalam aspek kehidupan. Jadi sejauhmanakah kita bersedia dan apakah cabarannya?

1. Cabaran Nafsu
Cabaran paling besar bila berada di zaman moden ini ialah cabaran melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Terus terang di sini bahwa generasi muda-mudi hari ini dihentam dengan pelbagai-bagai ujian yang boleh melunturkan nilai keimanan bahkan mampu menodai maruah mereka jika tidak dibendung dan dikawal dengan baik. Berapa banyak kes rogol, kes zina, kes sumbang mahram dan kes buang anak dilaporkan di media perdana dan itupun hanya segelintir besar dari yang dilaporkan dan berapa banyak yang belum dilaporkan lagi. Belum dikira lagi bukan kes zina secara paksa; yakni secara sukarela, ataupun dengan lebih tepat dengan kehendak sendiri? Bagaimana pula dengan kes zina yang tidak menyebabkan kelahiran anak dengan adanya pelbagai teknik kontrasepsi di pasaran? Saya yakin jika ditebarkan statistik sebenar, masyarakat kita berada pada kadar yang parah dan semua ini menghentam golongan yang kita gelar sebagai pemuda-pemudi. Jika golongan ini tidak melatih diri melawan cabaran desakan hawa nafsu serta desus desas bisikan syaitan ditambah lagi dengan pengabaian ibu bapa, masakan semua masalah sosial tadi tidak bisa berlaku? Islam hadir membawa jalan dengan memberi ruang semua itu dengan pernikahan, tetapi sejauhmanakah masyarakat kita memahami situasi sekarang dan mengutamakan syariat dari adat?

Pernah lihat statistik seperti di atas bukan? Seringkali memenuhi ruang akbar tempatan. Sekadar buat renungan. Ini yang dilaporkan, tetapi yang tidak dilaporkan? Yang sukarela tanpa dipaksa?


2. Cabaran Adat/Kerenah Masyarakat
Seperti persoalan yang saya timbulkan, berepa kerat dalam masyarakat kita masih lagi kuat memegang adat sehinggakan menyusahkan soal perkahwinan. Saya beri contoh mudah, saya pernah bersembang beberapa orang sahabat yang pada umurnya tua dari saya dan sudah pun berkeluarga. Si A (nama sebenar dirahsiakan) menceritakan kepada saya bagaimana beliau terpaksa menunggu selama 2 tahun untuk bertunang sedangkan pada saat itu beliau sudah sangat 'desperate' untuk bernikah dengan kemampuan sudah ada dah sudah dikira pada tahap wajib. Namun, setelah menunggu sekian lama, beliau berjaya juga menamatkan zaman 'desperate' beliau. Apakah penyebabnya? Sebab utama ialah faktor adat yang terlalu melampau dalam masyarakat kita. Peranan ibu bapa yang terlalu mengikut adat sebenarnya sangatlah menyusahkan generasi yang ingin berkahwin. Ibu bapa seharusnya memahami bahawa situasi hari ini tidak sama dengan situasi 20-30 tahun lepas yang cabarannya mungkin tidak seberat cabaran hari ini dan seharusnya memudah dan mempercepat proses pernikahan. Adat kadang-kadang menyusahkan proses ini, dan yang lebih utama ialah syariat. Maka adalah penting menyedarkan ibu bapa agar tidak terikut dengan adat yang sekian lama menghantui mereka yang ingin berkahwin.

Ooops, kejap, tol dulu. Gambar Hiasan. 


3. Cabaran Akademik
Akademik juga menjadi satu penghalang terbesar pada generasi hari ni memandangkan kehendak terhadap akademik menjadi satu bualan yang sangat penting. Lantas, ia menjadi satu alasan kukuh untuk melambatkan perkahwinan anak-anak kepada 'makcik-makcik' dan 'pakcik-pakcik' yang tidak pernah mahu mengambil tahu soal peri peritnya berada di zaman ini. Pasti alasan yang kukuh diberi ialah: "Awak kena belajar dulu, nanti fail pelajaran kan susah, kahwin pun tak dapat". Ada benarnya. Tetapi sejauhmanakah statement itu benar bergantung kepada tahap individu masing-masing. Tetapi pendek kata, secara umumnya, faktor akademik banyak menyebabkan generasi pemudi khususnya hari ini hilang tempat mencari calon pasangan. Maafkan sekali lagi jika ini isu sensetif. Tapi melalui pemerhatian saya, ramai pemudi-pemudi yang mempunyai background akademik tinggi (Master/PhD) berumur dalam lingkungan 24-27 masih lagi terkial-kial mencari pasangan masing-masing. Hakikatnya ialah tidak ramai lelaki yang setinggi status akademik mereka dan bagi lelaki pula adalah merisaukan untuk mengahwini pemudi yang berkelayakan tinggi ini. Mungkin ini stigma yang selalu dirasai. Juga mungkin si pemudi pula tidaklah mahu pemuda yang berkelayakan rendah yang hanya menjual burger mahupun menjual di pasar malam sahaja sedangkan pemuda yang berkelayakan tinggi pula majoritinya sudah berpunya dan mahukan calon pasangan yang tidak sibuk dengan akademik dan mampu menjaga bakal anak-anak mereka dengan baik. Kata seorang Prof Madya dari UPM yang sempat saya berbual di Edinburgh baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa "7/10 pelajar di dalam kelas beliau ialah pelajar perempuan, mana perginya lelaki?". Lantas dengan berjenaka seorang berkata: "Itulah, orang macam Dr ni perlu mainkan peranan kuatkan sunnah kahwin empat". Semua gelak ketawa dengan nada berjenaka. Gurauan yang mungkin sukar diterima oleh golongan  pemudi. Abaikan jika sensetif.

Cemerlang atau tidak cemerlang bergantung sejauh mana kita benar-benar bersedia. Bersediakah untuk cemerlang?

4. Cabaran Kewangan
Ya, tidak semua yang mampu mengahwini seorang perempuan hari ini disebabkan faktor kewangan yang tidak kukuh terutamanya dari golongan para pelajar. Jika di Malaysia, saya difahamkan dengan elaun bulanan yang tidaklah tinggi sekitar RM700-1500 khsus untuk membiayai kos hidup di universiti, maka mana mungkin untuk mengumpul kos wang hantaran serta kos sampingan perkahwinan yang mencecah puluh ribu ringgit. Saya bertanyakan kepada rakan-rakan yang telah berkahwin, pada kadar sekarang, purata kos semua perkahwinan paling murah adalah sekitar 20 ribu ringgit. Bagi saya yang belajar di luar negara ianya bukanlah satu perkara yang besar kerana elaun bulanan kami sangat tinggi sekitar RM4000 sebulan. Tetapi bayangkan bagi golongan majoritinya yang kebanyakan belajar di dalam negara ini, mahu tidak mahu akhirnya terpaksa membuat pinjaman dari bank-bank yang ada. Akhirnya, hutang PTPTN belum terbayar, ini pula ditambah hutang perkahwinan. Kesannya pasti berpanjangan dan pasti membebankan walaupun sudah berkahwin; boleh menimbulkan konflik rumah tanggan jika tidak ditangani dengan baik. Namun, ada penyelesaiannya, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kedua-dua pihak ibu bapa seharusnya faham dan membantu memudahkan urusan perkahwinan; ibu bapa perlu memainkan perana sebagai support system bagi memastikan anak-anak boleh bertatih meniti alam perkahwinan. Biarlah majlis perkahwinan sederhana dan kos yang tidak terlalu mahal, tetapi yang lebih perlu dilihat ialah post-pernikahan, lebih kritikal dan genting. Saya rasa sudah tiba masa ibu bapa mula celik mata melihat situasi ini sebagai satu perkara keutamaan. Keduanya, pemuda-pemudi perlulah menyedari kepentingan adanya wang simpanan tetap. Seharusnya, setiap pemuda-pemudi perlu mempunya skill pengurusan wang yang effektif. Biarlah bermula sejak di bangku sekolah lagi, paling tidak mempunyai sistem wang simpanan yang berterusan. Dan sudah pasti faktor kewangan sebenarnya menguji tahap kecerdikan kita menguruskan kehidupan kita.

Belajar bijak menguruskan kewangan. Jadilah raja selama-selamanya bukan sehari.

5. Cabaran Pre-Pernikahan
Waktu-waktu paling kritikal yang saya rasa perlu dimasukkan sebagai salah satu cabaran ialah fasa pre-pernikahan ataupun sebelum pernikahan. Saya rasa lebih tepat dalam fasa pertunangan. Fasa pertunangan menuntut individu untuk benar-benar bermujahadah melawan segala godaan dan ujian yang bakal tiba. Pada saat-saat ini wujud pelbagai elemen yang boleh menghacurkan apa yang telah disepakati yang boleh membawa kepada kes putus tunang, kes zina, kes sumbang mahram kemungkaran secara nyata. Ramai yang menjadikan alasan pertunangan sebagai satu wasilah ataupun cara untuk berhubung dengan lebih rapat dengan si pasangan lantas kadang-kadang terlupa bahawa pertunangan tidak menghalalkan pegang tangan dan sebagainya. Konsep ini perlu diubah dalam masyarakat. Selagi lagi golongan yang lebih dewasa seperti pakcik ataupun makcik sedara juga ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi nasihat berterusan kepada kedua-dua bakal pasangan. Dan perlu wujud limitasi perhubungan dan memastikan setiap percampuran (ikhtilat) perlu ada mahram perempuannya paling tidak kakak ataupun abang untuk turut bersama. Komunikasi juga perlu dibataskan dalam hal yang wajib dan perlu disegerakan sahaja kerana dibimbangi bakal mencetuskan salah faham dan akhirnya berkakhir dengan kes putus tunang.


Cincin dan pertunangan, hanyalah sebuah simbol.


6. Cabaran Psikologi/Emosi
Bakal pasangan perlu memahami bahawa penting untuk menguruskan emosi dan memahami psikologi diri masing-masing dengan baik. Persediaan memahami psikologi rumah tangga juga amat penting. Melalui pengalaman saya sendiri, saya pernah mengikuti dua kursus pre-perkahwinan dan post-perkahwinan yang berbeza. Saya dapati dan saya yakini, kursus post-perkahwinan sebenarnya adalah lebih bermanfaat berbanding kursus pre-perkahwinan yang seringkali dibuat oleh majlis agama negeri. Kenapa? kerana saya merasai keperluan ilmu yang lebih mandiri dan berguna. Kursus pre-perkahwinan kebanyakan membahaskan soal hukum-hakam yang membosankan maka kebanyakan speaker menokoktambahkan elemen jenaka yang penuh dengan nilai-nilai lagha. Tetapi bagi kursus post-perkahwinan, suasananya lebih tenang tetapi serius, membicarakan soal menguruskan konflik rumah tanggan dan memahami psikologi suami isteri. Saya lebih kagum dan tertarik dengan konsep kursus post-perkahwinan ini kerana ianya lebih berunsur praktikaliti, mudah didiingati dan mempunyai impak berpanjangan. Mungkin barangkali nilai ilmu psikologi rumah tangga perlu digarapkan bersama ke dalam kursus pre-perkahwinan untuk memastikan para bakal suami isteri bersedia dengan ilmu yang lebih praktikal dan meningkatkan kadar kebahagiaan rumah tangga lantas mengurangkan kes perceraian. Selain itu, banyak juga persediaan ilmu ini melalui pembacaan kendiri. Banyak buku-buku yang berkualiti yang boleh dicari di sekitar pasaran seperti: "Man from Mars, Woman from Venus', 'The Five Love Langguage', 'Things I wish I'd Known before We Got Marriage', 'Hold Me tight' dan lain-lain buku bacaan, mungkin juga berunsur agama.

Belajar urusi konflik, emosi dan stress


7. Cabaran Membina Diri
Saya meletakkan juga topik ini kerana ianya lebih umum untuk difikirkan sendiri termasukan juga dalam aspek ini unsur cara hidup ataupun beragama. Membina diri juga boleh diertikan apa yang kita ingin jadi lebih baik, mungkin dari aspek fizikal, dari aspek mental, dari aspek sikap, dari aspek kesedaran dan lain-lain. Membina diri ini memastikan kita bersedia melalui cabaran-cabaran lain yang bakal kita lalui dan juga memastikan kita berada dalam keadaan 'tip-top'.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, di sini saya berjaya menggariskan tujuh cabaran yang biasanya bakal dilalui oleh mereka yang bakal menghadapi alam pernikahan. Walaupun ianya tidak lengkap, tapi saya rasa ia mencakupi perkara-perkara asas dan umum yang seringkali dihadapi. Pernikahan sebenarnya satu tuntutan murni yang telah Islam gariskan terdapat di dalamnya berbagai-bagai hikmah yang Allah SWT inginkan. Kadang-kadang apa yang ingin kita miliki semua ideal tetapi apa yang kita bakal lalui ataupun realitinya tidak sebegitu rupa. Maka adalah penting untuk sentiasa bersedia. Sekadar perkongsian biasa untuk tatapan bersama.

-Amin Rukaini, Di Sini Aku Menanti-

Tuesday, October 23, 2012

Aku Ingin Jumpa dengan Semua orang!

Subuh di Edinburgh selalunya cukup mencabar bagi setiap golongan. Sejuk, dan sunggu sedap untuk dibuai mimpi indah ditambah dengan tilam yang empuk serta duvette (sejenis selimut tebal) yang panas. Namun, langkah pertama perlu diambil sebelum kita tidur ialah sentiasa menanamkan azam untuk bangun awal. 

Pagi itu suhu tidaklah berapa sejuk, tapi masih cukup untuk membuatkan diri menggeletar tatkala air wudhu diambil. Kira-kira pukul 6.15 pagi, saya bergerak ke masjid, Edinburgh Central Mosque yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah saya. Biasanya, dengan berjalan kaki, saya mengambil masa selama 10-15 minit untuk ke sana. Jadi sudah menjadi kebiasaan untuk keluar awal agar tidak terlepas takbiratul ula. 

Usai solat subuh. Suasana begitu tenang sekali. Masing-masing memanjatkan doa kepada Allah SWT. Subuh adalah masa yang terbaik untuk 'recharge' semula tenaga kita. Acapkali kita menganggap ia sebagai satu perkara yang berat, tetapi sedar tidak sedar ia merupakan sumber inspirasi tenaga dalaman yang cukup mengagumkan!

Semasa ingin saya keluar dari masjid. Terlihat seorang kanak-kanak lelaki comel, berumur dalam lingkungan 5-7 tahun. Beliau sungguh petah berkata-kata. Kedengaran sedang berbicara bersama seorang lelaki besar, yang saya amati mungkin juga abangnya.

"I want to wait for everybody to come out", leter kanak-kanak itu kepada abangnya meminta agar abangnya itu menunggu beliau siapkan tugasnya. Saya kepelikan. Apakah yang ingin dilakukan oleh kanak-kanak ini? Kenapa mahu tunggu semua orang keluar?

Beliau mengomel-ngomel lagi dengan bahasa slang british yang ternyata saya sendiri sukar memahaminya. Walaupun mukanya iras ala-ala kanak-kanak pakistan tapi mungkin keluarganya sudah bermastautin di sini. Saya terkebil-kebil melihat aksi kanak-kanak itu. Sangsi.

Kemudian dia datang kepada saya. Sambil menghulurkan tangan, saya membalas salaman beliau, kemudia beliau bergerak kepada rakan saya pula. Disalam secara penuh sopan. 

Sekarang dia melihat kepada abangnya lantas berkata: "Let's get in to the mosque, i want to meet all of the people!" Dengan kelantangan suara yang sedikit kuat. Baru saya perasan, beliau ingin bersalaman dengan semua jemaah! Alangkah terkejutnya saya pada ketika itu. Jiwa si kecil ini sungguh murni. Bersih. Barangkali ianya mungkin satu amalan yang beliau sendiri tidak ketahui. 

Peristiwa itu cukup memberi saya satu pengajaran ringkas dalam hidup ini. Bertegurlah dengan orang yang anda tidak kenali. Cukup sekadar memberi senyuman ringkas. Ianya bukan sahaja memberi kegembiraan kepada diri orang lain bahkan diri sendiri!

Dahsyat jiwa yang punyai semangat itu, berani dan lantang berkata: "Aku ingin jumpa dengan semua orang!"


Edinburgh Central Mosque, sebuah masjid yang tersergam indah di tengah-tengah City of Edinburgh. 




Saturday, April 16, 2011

Aku Impikan Generasi Ini

Hening Malam Membuai-buai
Di celah-celah hening pagi, aku tersentak dari buaian tidur, astaghfirullah, terlelap rupanya aku seketika tadi, setelah usai silat maghrib. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Nasib baik masih sempat Isya. Maka malam ini Isya berseoranganlah aku. Subuh pula masuk 3.27 pagi, subuh makin awal kerna pada Musim Summer, memang beginilah cabarannya berada di bumi UK. Sejuk itu biasa. Selepas solat dan bermunajat, secawan nescafe menjadi santapan mencerahkan kembali mata. Aku kira sudah hampir 6 jam aku tidur. Sudah memadai.

Tenangnya pagi ini. Mengalir jua air mata pada sujudku sebentar tadi. Sudah lama tidak begini, mencari peluang dan ruang untuk bermunajat. Mengimbas kembali dosa-dosa lalu. Kerna ku sentiasa tahu Dia, Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang. Cukuplah Allah bagiku.


Facebook dan Aku
Tidak kusangkal, peranan facebook dalam memberi kesan kepada para pemuda sangat besar. Secara langsung ataupun secara tidak langsung. Inilah hakikat yang aku sedari walaupun kadang-kadang terjerat dengan keuwjudan facebook. Menjadi satu saluran untuk mengetahui keadaan dunia luar sehinggakan kadang-kadang aku sendiri tidak pasti mengapa aku sendiri sudah tidak menerpa ke mana-mana layar berita lain seperti berita harian dan sebagainya untuk mengetahui isu semasa. Mungkin facebook ini ada beberapa faedahnya jika digunakan dengan sebaik mungkin, tapi awas! Facebook jua memberi kesan buruk. Tidak mahu aku mengulas secara lanjut, cukup sekadar memberi link untuk bacaan.



Impian aku, Impian Kalian juga
Aku mengimpikan sebuah generasi yang mana mempunyai nilai-nilai rabbani. Mampu berdikari, mempunyai jati diri Islam yang luhur. Aku mengimpikan sebuah generasi muda yang bebas dari segala akhlak mazmumah, mempunyai aqidah yang benar-benar mantap, meyakini akan kebangkita Islam dan juga sedia dan berani berkorban wang ringgit, harta dan masa demi membangkitkan semula kejatuhan Islam. Generasi ini ialah generasi yang mendokong semangat kebangkitan, mereka dan aku sangat rapat sehingga aku dapat melihat dari raut wajah mereka akan keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kebangkitan ini. Mereka sudah alpha dengan sinis masyarakat luar yang seringkali mematahkan semangat mana-mana generasi yang lemah. Mereka ini, aku yakin mempunyai satu misi dan visi yang sangat jelas, mampu mereka laksanakan dengan penuh berani tanpa mengira rasa takut, dan seram. Aku membayangkan, mereka ialah generasi kebangkitan di mana pada setiap saat dan waktu, Allah menjadi tempat bertawakkal, memohon pertolongan, Tapi mereka bukanlah generasi yang memegang prinsip Doa tanpa Usaha, Mereka berusaha sedaya upaya kerna mereka tahu bahawa musuh-musuh agama berusaha keras menjatuhkan umat Islam.

Generasi Ini
Generasi ini, aku lihat, mereka merupakan contoh sebuah generasi yang mampu berfikiran matang, mampu menangani segala kemelut, mampu mewujudkan suasana mengikut keperluan. Mereka juga mampu mempengaruhi orang ramai dalam membuat keputusan. Generasi ini aku impikan, mereka adalah pendokong gerakan kebangkitan umat, menyeru kepada makruf dan berusaha membanteras mungkar. Generasi ini ialah generasi yang sukar bertelingkah satu sama lain, mempunyai toleransi yang sangat tinggi. Walaupun mempunyai pendapat yang berbeza, tapi mereka dsatukan dengan misi yang sama. Mereka berjalan seiring di bawah satu payung iaitu islam. Mereka bergerak dari pelbagai sudut dalam menangani lopong-lopong hitam yang masih tidak terisi oleh mana-mana pihak. Mereka tidak lagi menyalahkan mana-mana pihak berwajib, kerna pada hati mereka, mereka yakin tugas itu terbeban berat pada diri mereka.

Generasi ini mengajak kepada perjuangan kebangkitan. Generasi ini bukanlah extremis, mereka bukan jua terrorist, mereka berjuang demi Iman, Islam, dan Taqwa. Mereka tahu mereka menjadi saksi di Akhirat nanti. Mereka mampu lari ke dalam gua seperti generasi Ashabul kahfi, tapi pada masa yang sama mereka terjun meluaskan kefahaman mereka.


Generasi Para Pejuang
Aku mengimpikan generasi sebegini. Aku benar-benar mengharap aku dikalangan generasi ini. Dan aku yakin kalian juga berharap sedemikian rupa. Tapi aku pasti, tidak semudah itu untuk sama-sama berada dalam generasi ini.

Generasi ini ialah generasi Solahuddin. Generasi Tariq bin Zyad, Generasi Hanzalah, Generasi Umar-Alkhattab, Generasi Muhammad Al-Fateh. Generasi Al-Kahfi dan lain-lain lagi. Mereka membesar sebagai generasi yang sanggup berjihad tatkala seruan diseru, bahkan ingin dan mahu berjihad walaupun tidak cukup wang dan harta seperti jihadnya generasi pra sahabat tatkala perang Tabuk memanggil-manggil.

"Kami ingin berjihad wahai Rasulullah, carikanlah kami tunggangan supaya kami mampu turut bersama!" Air mata mereka mengalir kerana tidak mampu bersama.

"Tidak ada dosa (kerana tidak pergi berperang) atas orang yang lemah, orang yang sakit, dan orang yang tidak mempunyai apa yang akan mereka infakkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada alasan apa pun untuk menyalahkan orang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." At-Taubah: 91


Sungguh aku impikan!

Monday, February 21, 2011

Pemuda Generasi Harapan

Wakalah ilmu membicarakan. Pemuda itu harapan segala-galanya. Pemuda itu kuat semangatnya. Pemuda itu cerdas mindanya. Pemuda itu tangkas tindakannya. Akulah pemuda itu. Pemuda yang kini masih alpa perlu disedarkan. Wakalah ini menggerak seluruh insan yang bernama pemuda bahawa kita tidak punyai masa. Tapi kita punyai pilihan untuk bergerak. Generasi lalu yang tua bangka bakal menghembuskan nafas mereka. Kitalah pengganti di medan perjuangan ini. Usah kita tunggu tatkala semboyan itu perlu berbunyi, kerna kita punyai masa ini. Masa muda sebelum masa tua. Masa sihat sebelum masa sakit. Masa kaya jiwa sebelum miskin jiwa. Kekuatan kita punya, ilmu kita cari, Kita kuat tubuh badan. Kitalah pemuda generasi harapan.

Rempuhh!! Rempuhilah horizon yang menghalang seribu tindakan baikmu. Rempuhilah dujana nafsu yang melekati pada celah-celah hatimu dan akalmu. Pecahkanlah dan bebaskanlah dirimu dari segala penjajahan minda, kekotoran jiwa, kehitaman hati nurani, kepincangan dan tohmahan pemimpin-pemimpin yang kini bertengkar di sana sini, menyuarakan pendapat yang memutarkan keadaan. Jangan muda terpengaruh wahai sang pemuda. Kita punyai jati diri. Kita punyai kesedaran. Kita harus peka dan terus bertahan kerna kelak kita pula yang bakal memimpin. Maka, usah ambil yang buruk dari mereka, tapi tanamkanlah hasrat murni kita untuk bersama. Untuk bersama-sama tanpa ada dengki, durjana, dan al-hawa.

Islam perlukan kita. Islam dibina dengan bantuan pemuda. Contohilah kekuatan dan ketabahan Saidinina Ali, yang sanggup dan berani tidur menggantikan Rasulullah tatkala Si bedabah Quraisy itu ingin membunuh baginda. Ali dan kita, tiada beza, Ali dan kita hampir sama. Seorang pemuda yang berjiwa tekad dan cekal. Itulah kita yang kita mahu bina; jati diri muslim pemuda sejati. Yang hanya takut pada larang-Nya, yang hanya tunduk pada suruhan-Nya.

Pemuda-pemudi generasi harapan. Engkau pewira di angkasa raya ini, engkau hero dan heroin yang bakal muncul menggegarkan dunia ini. Engkau pemuda dan pemudai generasi harapan. Yang bakal membimbing ketumbukan ISlam di arus kemenangan.

Sedarlah wahai pemuda-pemudi
Ayuh kita kembali
Pada Illahi
Kitap punyaui hati nurani
Kita masih muda-mudi
muda-mudi kini kita miliki
Maka ayuhlah kita sedari
Kita bina jati diri
Masa hadapan
Dunia kita selosori
Akhirat kita miliki!



Andai kamu pemuda-pemudi kini pengecut tidak berdiri, kami generasi berani anak-anak kamu bakal BERDIRI BERJUANG serta MENUDING JARI!!




Monday, May 31, 2010

Gempita Ar-Rijal Dan Syabab

"Jika ingin melihat kepada kehebatan sesuatu umat, lihatlah pada pemuda-pemudinya!" Ungkapan ini dek telah kita ketahui sejak dahulu lagi. Jika ramai pemuda sesuatu kaum asyik melepak sana sini, nah, pasti kaum tersebut kita dapat lihat sebagai kaum yang pemalas dan tidak berdaya saing. Jika pemudanya sibuk berjuang, memasuki alam ketenteraan, berlatih ilmu-ilmu peperangan, nah, negara tersebut sangat maju, dan sangat digeruni. Mereka pemuda-pemuda ini mampu meluncur laju membelah awan dengan kehebatan tungggagan jet pejuang mereka, senapang menjadi maruah mereka. Tapi jika pemuda kini hanya mampu meraih keseronokan hanya dengan bersenda gurau, sememangnya kemunduranlah yang menjadi-jadi.
As-syabab dan Ar-rijal. Siapakah mereka?? Adakah mereka hanya boneka yang tidak mampu berkata? Adakah mereka hanya robot yang hanya perlu tundu kepada anasir-anasir durjana? Merekalah yang sewajarnya bangun. Kerana mereka ibarat permata yang mampu menungkah seribu cabaran dan halangan. Namun jika permata yang tidak digilap, sudah pasti menjadi malap selamanya. Bangunlah dan sedarlah wahai pemuda-pemudi, kita ialah pewira, yakinlah. Kita ialah pembela. Yakinlah. Kita ialah generasi pejuang, yakinlah. Peliharalah diri kalian dari sengeketa. Tapakkanlah kekuatan yang berterusan.



Nabi SAW bersabda: “Rebutlah lima sebelum lima … salah satunya masa mudamu (syababaka) sebelum masa tuamu” (HR Al-Hakim)

Hadith: “Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah pada hari kiamat ketikamana tiada perlindungan-Nya … salah satunya ialah para pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah” (HR Bukhari dan Muslim)

Usah tanya siapa mereka: Salehuddin Al-Ayyubi, Salman AlFarisi, Ziad bin Tariq, Sultan Mehmed Al=Fateh, Ali bin Abi Talib, pemuda Kahfi dan banyak lagi. Semuanya merupakan Ar-rijal dan berjiwa syabab. Mereka tidak lepak, menghabiskan masa berseronok, tidak mengenal erti hiburan, mereka memberi fokus yang jelas, mereka berkorban. Rahsia mereka ialah tarbiyah dan kesedaran yang tinggi.

Ayuh wahai jiwa-jiwa yang muda, bersihkanlah diri kalian. Dunia Islam memerlukan kebangkitan kesedaran kalian! Ini tujuan kita!




Blogger Templates