Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts

Tuesday, October 23, 2012

Aku Ingin Jumpa dengan Semua orang!

Subuh di Edinburgh selalunya cukup mencabar bagi setiap golongan. Sejuk, dan sunggu sedap untuk dibuai mimpi indah ditambah dengan tilam yang empuk serta duvette (sejenis selimut tebal) yang panas. Namun, langkah pertama perlu diambil sebelum kita tidur ialah sentiasa menanamkan azam untuk bangun awal. 

Pagi itu suhu tidaklah berapa sejuk, tapi masih cukup untuk membuatkan diri menggeletar tatkala air wudhu diambil. Kira-kira pukul 6.15 pagi, saya bergerak ke masjid, Edinburgh Central Mosque yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah saya. Biasanya, dengan berjalan kaki, saya mengambil masa selama 10-15 minit untuk ke sana. Jadi sudah menjadi kebiasaan untuk keluar awal agar tidak terlepas takbiratul ula. 

Usai solat subuh. Suasana begitu tenang sekali. Masing-masing memanjatkan doa kepada Allah SWT. Subuh adalah masa yang terbaik untuk 'recharge' semula tenaga kita. Acapkali kita menganggap ia sebagai satu perkara yang berat, tetapi sedar tidak sedar ia merupakan sumber inspirasi tenaga dalaman yang cukup mengagumkan!

Semasa ingin saya keluar dari masjid. Terlihat seorang kanak-kanak lelaki comel, berumur dalam lingkungan 5-7 tahun. Beliau sungguh petah berkata-kata. Kedengaran sedang berbicara bersama seorang lelaki besar, yang saya amati mungkin juga abangnya.

"I want to wait for everybody to come out", leter kanak-kanak itu kepada abangnya meminta agar abangnya itu menunggu beliau siapkan tugasnya. Saya kepelikan. Apakah yang ingin dilakukan oleh kanak-kanak ini? Kenapa mahu tunggu semua orang keluar?

Beliau mengomel-ngomel lagi dengan bahasa slang british yang ternyata saya sendiri sukar memahaminya. Walaupun mukanya iras ala-ala kanak-kanak pakistan tapi mungkin keluarganya sudah bermastautin di sini. Saya terkebil-kebil melihat aksi kanak-kanak itu. Sangsi.

Kemudian dia datang kepada saya. Sambil menghulurkan tangan, saya membalas salaman beliau, kemudia beliau bergerak kepada rakan saya pula. Disalam secara penuh sopan. 

Sekarang dia melihat kepada abangnya lantas berkata: "Let's get in to the mosque, i want to meet all of the people!" Dengan kelantangan suara yang sedikit kuat. Baru saya perasan, beliau ingin bersalaman dengan semua jemaah! Alangkah terkejutnya saya pada ketika itu. Jiwa si kecil ini sungguh murni. Bersih. Barangkali ianya mungkin satu amalan yang beliau sendiri tidak ketahui. 

Peristiwa itu cukup memberi saya satu pengajaran ringkas dalam hidup ini. Bertegurlah dengan orang yang anda tidak kenali. Cukup sekadar memberi senyuman ringkas. Ianya bukan sahaja memberi kegembiraan kepada diri orang lain bahkan diri sendiri!

Dahsyat jiwa yang punyai semangat itu, berani dan lantang berkata: "Aku ingin jumpa dengan semua orang!"


Edinburgh Central Mosque, sebuah masjid yang tersergam indah di tengah-tengah City of Edinburgh. 




Monday, October 8, 2012

Kunukilkan Ukhuwwah Sejauh Angkasa

Kita berukhuwwah bukan atas sebab satu 'jamaah', satu parti, satu organisasi mahupun satu bangsa.

Jangan silap dengan semua ini. Andai kata hari ini ada yang berkata: "Bro, dia bukan 'ahli' kita, jangan rapat sangat dengan dia"

Jangan silap dengan semua ini. Andai kata hari ini ada lagi yang berkata: "Hish, dia ni jamaah lain, ok bye"

Tidak sesekali tidak. Kita berukhuwwah tidak kerana sebab itu. Tetapi kita berukhuwwah kerana kita yakin akan kata-kata Allah dan sabda Rasulullah:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat 49:10)

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., khadam Rasulullah s.a.w. bersabda, "seseorang di antara kalian tidak beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Inilah ukhuwwah kita, menerobos pelusuk dunia, menerobos hati berbilang kaum, bangsa, jamaah dan sempadan politik serta kontradiksi pandangan idea!!

Maka, kunukilkan ukhuwwah ini sejauh luas ruang angkasa. Andai kata masih ada yang bersaudara seagama di luar angkasa sana; yang berkata, Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, selagi itu kita redah biarpun ke Marikh, ke mana sahaja! Inilah Ukhuwwah Fillah.

Hari ini bukan untuk kita mendabik dada."Ya inilah jamaah paling terbaik, maka masukilah!" Tidak sesekali tidak.

 Hari ini bukan untuk kita berpanas dada. "Cis, berdebah si pemikir kolot, pengkhianat idea!" Tidak sesekali tidak.

Hari ini adalah untuk kita bergembira, beramah mesra demi Islam tercinta. Hari ini adalah untuk hidup bersama membawa panji sejahtera dan janji kemenangan kita.  Hari ini kita kenal, esok kita bersua, lusa tiada sengketa tulat kita tetap bersama.

Dan kita pula tidak mahu hari akhirat kelak masing-masing berkata: "Ah,dialah yang tarik aku ke lembah durjana, maka engkau hukumilah dia!". "Tidak, bukan aku tetapi dia lah yang mengajak aku".

"Pada hari itu manusia lari dari saudaranya. Dan dari ibu dan bapanya. Dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya." Abasa: 33-37

Hari ini. kunukilkan Ukhuwwah Sejauh Angkasa, agar kita mampu dakapi semula, agar kita mampu berpegang pada tali yang sama, Tali Allah. Moga ukhuwwah kita dinukilkan sejauh angkasa raya!