Sunday, September 2, 2012

Ulasan: Ensiklopedia Keluarga Sakinah [Muhammad Thalib]

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT baru-baru ini saya diperkenalkan oleh seorang sahabat akan sebuah buku berjilid yang bertajuk Ensiklopedia Keluarga Sakinah. Saya pada mulanya agak keberatan untuk membacanya, namun mungkin Allah ingin membuka hati saya lalu dibelek-belek jualah buku tersebut. Pada pertama kali membaca helaian pertama buku tersebut yang dibuka secara rawak, saya terus jatuh hati dengan isi kandungan buku tersebut.


"Wah, ini bukan sebarangan buku! Buku ini lain dari yang lain kerana isinya cukup berkualiti." Berbenak di hati saya ketika itu. Rata-rata buku yang saya pernah beli dan baca adalah dalam kalangan 'picisan' sekadar ingin memenuhi tajuk yang gempak-gempak sahaja. Namun, buku tersebut sangat berbeza! Saya akui sama sekali telah jatuh hati untuk membeli buku tersebut. Tanpa membuang masa, saya 'google' dan akhirnya terjumpa seorang pengedar BYC, namun malangnya setelah ditelefon buku tersebut tiada dalam stok. Agak kecewa pada masa itu. Tetapi alhamudlillah, sahabat saya yang memperkenalkan buku tersebut begitu bersemangat untuk mendapatkannya dan dia sendiri telah membuat tempahan khas daripada Indonesia. Selang beberapa minggu, buku tersebut tiba di rumah saya! Alhamdulillah.


Karya Muhammad Thalib iaitu Ensiklopedia Keluarga Sakinah sangat berkualiti tinggi dan ianya sangat bagus untuk bacaan bagi mereka yang mahu menamatkan zaman bujang mahupun mereka yang telah berkahwin. Secara ringkasnya, buku ini merangkumi berbagai-bagai aspek pembinaan baitul muslim yang terasnya disandarkan pada Al-Quran dan Hadis. Setiap kali saya membuka satu topik baru, permulaannya ialah dalil sahih Al-Quran dan Hadis dan kemudiannya ulasan ringkas akan dalil-dalil tersebut oleh pengarang yang kemudiannya berbagai-bagai diskusi diterangkan baik sama ada secara pendapat penulis itu sendiri, pengalaman beliau mahupun sumber-sumber luar.

Tambahan lagi, saya mendapati buku ini tersangat menarik kerana ianya menyentuh secara teori dan praktikal. Ya, saya klasifikasikan buku ini sebagai ilmu dan amal! Ataupun teori dan praktikal. Masih belum jumpa lagi saya mana-mana buku sehinggalah buku ini yang menerangkan serba-serbi secara terperincin bagaimana ingin menentukan seorang wanita itu seorang penyabar, seorang yang mempunyai peribadi Islam, bagaimana ingin bertunang secara terperinci, bagaimana ingin menentukan sama ada seorang wanita itu  mentaati ibu bapa dan bagaimana secara praktikal mahu menyelidik latar belakang beliau. Bahkan banyak lagi isu lain seperti ekonomi rumah tangga, psikologi suami isteri, pendidikan anak-anak, menjadi anak soleh dan lain-lain isu. Semuanya ditekankan oleh penulis secara terperinci, ringkas dan mudah difahami.

Jilid kedua membahaskan isu-isu ke arah pernikahan, memilih calon, dan pertunangan islami.



Terdapat 15 topik ataupun jilid, iaitu:
1. Karakteristik Pernikahan Islami
2. Menuju Pernikahan Islami
3. Memasuki Romantika Kehidupan Baru
4. Menghayati Kehidupan Suami Isteri
5. Bimbingan kemesraan dan Seksualitas Islami
6. Menyambur Sang Buah Hati
7. Menjadi Orang Tua Pemandu Syurga
8. Menjadi anak permata Hati
9. Menghayati Psikologi Suami-isteri
10. Menghayati Psikologi Orang tua dan anak
11. Membina Metal Keluarga sakinah
12. Kiat dan Seni
13. Mendidik anak
14. Praktik Rasulullah Mendidik Anak
15. Membangun Ekonomi Keluarga Islami.


Walaupun buku ini ditulis dalam bahasa Indonesia, namun tida terdapat perbezaan ketara untuk memahaminya kerana bahasa yang digunakan mudah difahami dan jelas. Cuma beberapa perkataan perlu diteliti dan ditelaah untuk memahami maksudnya melalui tafsiran ayat secara menyeluruh. Apa sekalipun, bahasanya tetap mudah dan ringkas.

Penulis iaitu Muhammad Thalib merupakan seorang yang terkenal dalam menghasilkan penulisan-penulisan islamik. Beliau banyak menghasilkan karya-karya bermutu bermula dari hal-hal keluarga sehinggalah pergerakan islam. Beliau menganggotai Rabithah Alam Islamy Komisi Pengembangan Al-Quran dan As-Sunnah dengan nombor 1777A. Secara menyeluruh, penulisan beliau begitu teliti sehinggakan diceritakan bahawa beliau mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkan satu ensiklopedia ini. Namun beliau juga mengakui sebaarang kelemahan yang wujud.

Di dalam perbahasan beliau, beberapa isu menarik seringkali ditimbulkan seperti isu-isu fekah yang mungkin pada pandangan kita adalah jarang sama sekali untuk diajar oleh mana-mana khusus pre-perkahwinan. Isu-isunya pula begitu terperinci. Sebagai contoh bolehkah kita menikah tanpa mahar? Kenapa perlu ada dua orang saksi? Bagaimana garis panduan pertunangan secara islam? Boleh atau tidak kita tidak mahu adakan walimah? Semua persoalan-persoalan yang begitu hebat ini dijawab satu persatu dengan hujah-hujah sahih dari Al-Quran dan Hadis.

Kesimpulannya, saya memberi rekemen kepada mana-mana yang berminat untuk mendalami ilmu-ilmu perkahwinan yang berlandaskan syarak dan syariat, maka cubalah memiliki mana-mana buku yang bersesuai dan jika mampu belilah ensiklopedia ini kerana terkandung di dalamnya satu khazanah hebat yang hanya bisa dikeluarkan oleh mereka-mereka yang rajin dan sanggup. Saya yakin anda pasti tidak akan kecewa dengan membelinya. Cukup bermakna dan boleh disimpan sehingga anak cucu.


Petikan kata-kata pada muka buku jilid 2:

"Barakahlah engkau dalam menggapai jodoh. Awalilah dalam memilih pasangan yang kau damba. Ada ridha Allah sebagai pengikat. Ada kehalalan cinta yang mengaroma. Dan upacara agung itu pun tergelar penuh wanginya Surga"



Koleksi













































































0 comments: