Showing posts with label vaksin. Show all posts
Showing posts with label vaksin. Show all posts

Friday, July 16, 2021

PERANAN VAKSIN: HALA TUJU WABAK COVID-19 PASCA VAKSINASI


"Vaksin dicipta sekadar untuk melindungi komplikasi penyakit, kematian dan mengelakkan simtom".

Penyataan ini selalu saya dengar dari orang ramai dalam pelbagai isu dan keadaan.


Daripada perspektif sains biologi, ianya hampir tepat. Namun, tahukah anda bahawa semua tujuan vaksinasi yang disebut dalam penyataan tersebut hanyalah sebahagian daripada peranan vaksin yang paling ASAS.

Tujuan Vaksin: Sterilising vs non-sterilising immunity

Matlamat utama atau ultimate goal bagi sesuatu vaksin itu jauh lebih daripada sekadar mampu mengelakkan simtom, komplikasi serta kematian, bahkan berperanan mewujudkan satu sistem imuniti yang mampu menghalang jangkitan dan penyebaran daripada terus berlaku. Dalam istilah Sains, inilah yang kita panggil sebagai 'sterilising immunity' (imuniti nyah jangkitan). Bahasa mudah bagi istilah sterilising immunity ini ialah jika seseorang individu itu telah diberi vaksin, sistem imuniti yang telah ada mampu menangkis dan menghapuskan agen penyebab penyakit (pathogen) secara langsung. Baru sahaja sesuatu virus atau bakteria masuk ke dalam tubuh badan melalui mana-mana jenis laluan (sel dan sebagainya), dah kena 'cantas' dengan agen-agen imuniti (antibodi dan sebagainya). Maka, dalam situasi ini, tiada jangkitan berlaku kerana agen penyebab penyakit telah dinyahkan secepat mungkin. Bila tiada jangkitan berlaku, maka tiadalah simtom mahupun komplikasi daripada jangkitan yang boleh membawa kematian.



Manakala, kemampuan untuk mengelakkan simtom, komplikasi jangkitan serta kematian seperti mana yang dinyatakan dalam penyataan awal tadi itu dipanggil sebagai 'non-sterilising immunity'. 'Non-sterilising immunity' atau imuniti tidak nyah jangkitan terdiri daripada dua kategoti: (1) imuniti terhadap simtom dan (2) imuniti terhadap penyakit (yang boleh membawa komplikasi dan kematian). Jika kita memiliki imuniti tidak nyah jangkitan, ianya bererti, badan kita memiliki imuniti (antibodi dan sebagainya) tapi imuniti ini tidak mampu menghalang jangkitan daripada berlaku kerana tidak cukup 'kuat' atas sebab dan faktor tertentu yang akan diperbincangkan dengan lebih lanjut. 

 


Kemampuan sesuatu vaksin dalam memberi kesan 'sterilising immunity' amat penting dalam beberapa aspek. Antaranya ialah dalam penubuhan imuniti kelompok (herd immunity) dan pembasmian (eradication) penyakit secara total. Dalam sejarah vaksin dunia, tidak semua jenis vaksin mampu memberikan kesan 'sterilising-immunity' ini. Antara yang mampu memberikan kesan 'sterilising-immunity' yang efektif termasuklah vaksin bagi penyakit cacar (smallpox). Disebabkan kemampuan menghasilkan 'sterilising immunity' ini, juga penyakit smallpox kini sudah berjaya dibasmi secara total dari muka bumi. 

 Sejarah Vaksinasi Dunia

Jika kita menelusuri sejarah pembangunan vaksin, vaksin terawal ditemui, iaitu vaksin bagi smallpox, dikaitkan dengan kemampuan menghalang jangkitan daripada berlaku. Pada sekitar tahun 1790-an di Britain, Edward Jenner, iaitu seorang pengamal perubatan yang mempelopori kaedah vaksinasi telah membuat pemerhatian penting apabila mendapati pekerja tenusu (dairymaid) telah dilindungi daripada jangkitan smallpox yang berleluasa pada ketika itu setelah dijangkiti dengan cacar lembu (cowpox). Melihat kepada situasi ini, beliau membuat hipotesis bahawa jangkitan cowpox bukan sahaja mampu melindungi seseorang itu daripada jangkitan smallpox bahkan boleh diberikan secara sengaja. Untuk menguji hipotesis ini, beliau telah mengambil sebahagian sampel daripada luka seorang pekerja tenusu yang dijangkiti oleh cowpox dan secara sengaja beliau telah memberikannya kepada seorang kanak-kanak bernama James Phipps. Phipps kemudiannya mula mengalami demam sederhana namun kembali pulih beberapa hari kemudian. Beberapa bulan kemudian, beliau dengan sengaja mendedahkan Phipps dengan agen penyebab smallpox dan Phipps tidak mengalami sebarang jangkitan. Hasil eksprimen ringkas ini (walaupun tidak beretika untuk dilakukan pada zaman sekarang) jelas membuktikan bahawa individu yang telah diberikan agen penyebab cacar lembu (cowpox), iaitu sejenis virus dipanggil vaccinia (inilah asal usul nama vaksin), tidak akan mengalami sebarang jangkitan atau simtom apabila didedahkan secara sengaja kepada agen penyebab cacar manusia (smallpox). Lantas, lahirlah konsep asas proses dikenali 'vaccination ' yang berasal dari perkataan vaccinia (dalam Bahasa Latinnya ialah vacca yang bermaksud lembu), iaitu nama yang diberikan kepada virus penyebab cacar lembu. 

 

Gambaran pelukis: Edward Jnner memberikan calitan kepada Phipps bagi membuktikan hipotesis beliau.




Sebelum kaedah yang lebih selamat ini digunapakai, wujud kaedah popular lama yang dikenali sebagai innoculation. Kaedah innoculation sudah lama dipraktiskan oleh peradaban manusia beribu-ribu tahun lalu. Namun, catatan sejarah hanya mula tertulis apabila Lady Montogu yang merupakan isteri kepada konsulat British di Turki telah menyaksikan kaedah innoculation ini dilakukan dengan secara meluas di kota Constantinople pada kurun ke-17.     
Berbanding vaccination, kaedah innoculation ini memiliki risiko berbahaya kerana mempertaruhkan agen penyebab cacar smallpox yang masih hidup aktif dan mampu menyebabkan penyakit sebagai kaedah mewujudkan imuniti, sepertimana konsep vaksinasi. Melihat keberkesanan kaedah innoculation ini, Lady Montogu kemudiannya membawa pulang ‘teknologi’ ini ke Britiain dan idea ini pada awalnya telah menerima tentangan yang hebat daripada pengaman perubatan konventional. Beberapa tahun kemudian, idea ini telah diadaptasi oleh Edward Jenner dan akhirnya lahirlah kaedah vaccination yang jauh lebih selamat dan berjaya meyakinkan komuniti sains dan seterusnya mempelopori kaedah vaksinasi sedunia.  Begitulah serba sedikit latar belakang sejarah vaksinasi.


Apakah Hala Tuju Wabak COVID-19 Pada Pasca Vaksinasi?


Sedar tidak sedar, ‘pertarungan’ antara kita dengan wabak COVID-19, kini sudah berlarutan sehingga hampir dua tahun. 

 

Apakah nasib dan hala tuju wabak pandemic COVID-19 pada masa hadapan selepas program imunisasi terlaksana dengan jayanya? 

 

Adakah akan terbasmi wabak ini? 

 

Walaupun kita masih belum mengetahui dengan tepat sama ada vaksin COVID-19 mampu memberikan perlindungan ‘sterilising immunity’ kerana masih tiada data rasmi yang dikeluarkan, namun, berdasarkan pemerhatian awal - kesan ‘sterilising immunity’ seolah-olah gagal diberikan oleh vaksin COVID-19 yang ada di pasaran sekarang, berdasarkan kepada laporan-laporan jangkitan yang berlaku dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksin seperti frontliners.  Adapun kajian mengaitkan pengambilan vaksin Pfizer mampu mengurangkan kadar penyebaran sebanyak 50%, ianya lebih menggambarkan bahawa vaksin tersebut tidak memiliki sterilising immunity yang kuat. 

 

Ketidakmampuan untuk mewujudkan 'sterilising immunity' ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor termasuklah (1) penghasilan antibodi yang rendah (memerlukan dos penambah atau booster dose), (2) ketidakstabilan imuniti (antibodi); untuk vaksin COVID-19 - kita akan hanya dapat mengetahuinya hakikat kestabilan antibodi ini dalam beberapa bulan akan datang selepas vaksinasi ini, (3) virus mampu menyelinap lari (evade) daripada sistem imun badan sama ada disebabkan antibodi tak dapat akses ke kawasan serangan atau, (4) kewujudan varian baru yang lebih ‘fit’ dan pelbagai dan (5) wujud banyak hos perumah haiwan selain daripada manusia. Semua ini serba sedikit menyumbang kepada ketidakmampuan vaksin COVID-19 dalam memberi impak 'sterilising immunity' yang diharapkan. 

 

Jadi, Apakah Jangkaan Kita Terhadap Hala Tuju Wabak COVID-19?


Adakah dengan ketidakmampuan vaksin COVID-19 ddalam memberikan ‘sterilising immunity’ ini akan menghalang penubuhan imuniti kelompok (herd immunity)? Imuniti kelompok bermaksud, andaikata majoriti sesuatu komuniti sudah memiliki imuniti, golongan yang tiada imuniti atas sebab-sebab tertentu seperti bayi dan kanak-kanak akan terlindung. Penubuhan imuniti akan menjadi lebih mudah sekiranya sesuatu vaksin itu mampu memberikan kesan sterilising seperti yang dibincangkan. 

Bagi wabak COVID-19, saya menjangkakan akan ada dua kebarangkalian atau jangkaan hala tuju yang mungkin akan berlaku:

 


Jangkaan Pertama: Imuniti kelompok berjaya ditubuhkan, tetapi saya menjangkakan tahap ambang (threshold) bagi liputan peratusan vaksinasi mungkin akan memerlukan angka yang jauh lebih tinggi menjangkaui nilai kebiasaanya (70-80%), mungkin memerlukan 80-95% nilai ambang. Hal ini kerana disebabkan ketiadaan faktor sterilising immunity yang kuat, bermakna jangkitan dan penyebaran masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksinasi. Namun, kemampuan untuk tersebar dan berjangkit ini mungkin lebih rendah berbanding kelompok masyarakat yang langsung tidak diberikan vaksin. Maka, lama-kelamaan kitaran rantaian penyebaran virus akan menjadi semakin perlahan dan terbantut secara sendirinya. Untuk mencapai jangkaan pertama ini, aspek pelaksanaan SOP seperti pemakaian mask dan penjarakan sosial perlu tetap dikekalkan untuk beberapa ketika sehingga kadar jangkitan mula perlahan dan tiada. Perlu juga diingat, pada ketika ini juga, masih wujud golongan yang terdedah seperti bayi dan kanak-kanak yang belum diberikan vaksin – maka pelaksanaan SOP menjadi bertambah kritikal sebelum tugas imuniti kelompok mengambil alih.  

Jangkaan Kedua: Imuniti kelompok mungkin akan gagal untuk ditubuhkan secara konsisten. Dalam hal ini, kes jangkitan akan tetap berlaku (outbreak) di beberapa kawasan tertentu (endemik). Kita mungkin akan melihat satu trend di mana wabak COVID-19 akan menjadi seperti apa yang berlaku kepada wabak Flu (influenza virus) yang muncul secara bermusim dan dalam berbagai jenis varian. Perlu diingatkan, wabak Flu bukan penyakit demam selsema biasa seperti yang disangka oleh sesetengah orang Malaysia, kerana Malaysia jarang-jarang terkena tempias Flu. Kes Flu banyak berlaku di negara beriklim empat musim dan selalu pada musim sejuk, biasa di UK dan Eropah (hemisfera utara) serta Australia dan NewZealand (hemisfera selatan). Kes kematian dikaitkan dengan Flu juga tidak kurang banyaknya terutama dalam kalangan orang tua dan golongan berisiko. Walaupun wujud vaksin bagi wabak Flu, tetapi disebabkan wujud banyak varian virus, maka usaha membasmi wabak Flu amat sukar dilakukan dan kini ianya menjadi satu kitaran norma bagi negara-negara yang terlibat. Kebarangkalian untuk COVID-19 menjadi sedemikian rupa juga tinggi bahkan banyak saintis merasakan begitu juga. 

Konklusi

Sudah tentu jangkaan yang kedua itu bukanlah sesuatu yang kita inginkan untuk berlaku dek setelah hampir dua tahun ‘terkurung’ dalam arena pandemik. Apa yang pasti – keadaan (InshaAllah) akan kembali seperti sedia kala, ie. ekonomi dan aktiviti sosial akan berjalan seperti biasa. Sama ada wabak COVID-19 ini akan tetap berada dalam komuniti kita – suatu yang belum pasti. Boleh jadi, akan wujud varian-varian baru yang akan mendominasi di beberapa kawasan terutamanya di negara-negara miskin di mana vaksinasi bukanlah satu pilihan yang ada. Kesimpulannya, apa yang dikupaskan di atas hanyalah beberapa kemungkinan yang akan berlaku berdasarkan kepada kefahaman sains biologi dan juga trend sejarah yang lepas.

 

 


Tuesday, February 16, 2016

Menjawab Konspirasi Teori Virus Zika Dan Rockefeller

Saya menyedari wujud beberapa teori konspirasi berkenaan virus zika yang kononnya dimiliki oleh Rockefeller foundation. Hal ini telah menimbulkan rasa curiga dan kerisauan dalam kalangan masyarakat umum yang kurang memahami selok belok bidang ini. Semua terjadi gara-gara kerana sebuah website iaitu www.atcc.org ada mengatakan bahawa Zika Virus boleh diperolehi secara online dan boleh dibeli dengan harga sekitar 430/516 US dollar.

Website ATCC

Beberapa pihak telah menggunakan sumber ini bagi menguatkan hujah teori konspirasi mereka mengatakan bahawa virus Zika ini dimiliki oleh Rockefeller Foundation dan tujuannya ialah untuk memastikan umat manusia bergantung kepada vaksin. Hal ini membolehkan organisasi ini menguasai ekonomi dalam bidang perubatan moden. Orang ramai yang mula risau mengambil hujah konspirasi ini sebagai satu yang logik dan seterusnya menviralkan dakwaan-dakwaan tersebut.
Bagi saya, dakwaan-dakwaan tersebut amatlah tidak saintifik dan tiada asas yang kukuh.
Berikut merupakan penjelasan dan pembetulan berdasarkan hujah-hujah saya:

1) Virus Zika dalam website tersebut merupakan sejenis specimen virus asal yang dikeluarkan atas nama ATCC® VR-84 TM, strain MR 766.

2) Strain virus Zika MR 766 ini digunapakai untuk tujuan kajian saintifik demi memahami dengan lebih mendalam akan virus Zika, ini termasuklah dalam mengkaji genomik, karakter genetik dan sebagainya.
Rujukan: 

3) Virus Zika MR 766 tersebut tidak dimiliki oleh oleh Rockefeller Foundation. Ianya hanya didepositkan (disimpan) oleh salah seorang saintis dari Rockefeller Foundation yang bernama Dr. Jordi Casals di Rockefeller Foundation Virus Laboratory pada tahun 1953. Yang memiliki virus Zika ATCC® VR-84 TM, strain MR 766 ialah company ATCC sendiri (lihat nama strain pun akan tahu). ATCC merupakan supplier spesimen seperti bahan-bahan biologi dan mikrob.
(updated: Dr Jordi Casal merupakan salah seorang ahli virologi terkemuka dunia yang banyak menyumbang dalam penemuan virus-virus baru dan menyimpan banyak koleksi spesimen virus untuk kegunaan research)
Rujukan: 

4) Bahkan ada mengatakan Rockefeller Foundation telah patent virus jenis ini. Setahu saya, tiada virus mahupun mikroorganisma asal (natural) boleh dipatentkan di bawah undang-undang sedia ada di dunia ini. Apa-apa jenis organisma asal (naturally-occuring) tidak boleh dipatentkan. Jika ada, pasti ia akan mendapat tentangan yang hebat seperti kes BRCA1/BRCA2 breast cancer genes.

5) Dan jika masih ada juga yang mahu patentkan virus Zika, ianya sudah pasti dari jenis yang sudah dimodifikasikan (genetik) untuk tujuan kajian seperti ATCC® VR-84 TM MR 766 ini yang mana ianya dijadikan supaya tidak berbahaya kepada manusia. Bahkan sumber asal MR 766 ini juga berasal daripada haiwan asalnya bukan manusia.
Apa yang perlu anda tahu ialah, strain virus MR 766 ini dilabel sebagai biological safety level 2 pathogen. Maka ianya tidak berbahaya seperti E-bola dan lain-lain, ianya memerlukan sedikit latihan asas mikrobiologi bagi sesiapa yang ingin mengkajinya.

6) Berdasarkan kepada website ATCC tersebut juga, virus Zika MR 766 hanya dijual kepada mereka yang benar-benar layak (memiliki permit) dan mematuhi syarat sahaja. Individu biasa yang tiada latar belakar sains sudah tentu tidak boleh membelinya.
(Tidak percaya? Ada duit? Cubalah order satu)

7) Sesetengah pihak hanya menayangkan snapshot dari 'history' yang terdapat di website tersebut tetapi ramai tidak sedar bahawa selain 'history' virus Zika ATCC® VR-84 TM tersebut, wujud juga maklumat lebih penting iaitu documentation sebenar tentang virus MR766 yang ramai terlepas pandang. Sila layari http://www.atcc.org/products/all/VR-84.aspx#documentation untuk memahami serba sedikit tentang strain MR766 ini.

8) Akhir kata, adapun teori konspirasi mengatakan bahawa semua ini dibuat untuk tujuan keuntungan vaksin dan melemahkan umat Islam. Bagi saya:
i - kos untuk membuat vaksin itu sendiri amat tinggi dan sukar untuk menguntungkan
ii - Rockefeller akan lebih kaya kalau dia tidak galakkan vaksin kerana kos kawalan rawatan kepada penyakit-penyakit yang ada tanpa vaksin ternyata lebih lumayan.
iii - Umat Islam boleh jadi kaya juga jika berjaya dapat hasilkan vaksin dan keluarkan sendiri.
iv - Yang melemahkan umat Islam sebenarnya ialah golongan antivaksinasi yang mempercayai tanpa vaksin manusia boleh hidup tanpa jangkitan. Barangkali mereka lupa apa yang sedang terjadi di Afrika Selatan, kes Ebola yang masih lagi tiada vaksin yang berkesan. Mereka juga lupa tanpa vaksin, proses menunaikan haji lebih mencabar kerana akan berlaku banyak jangkitan yang mampu dihindari dengan vaksin seperti jangkitan meningitis (pneumococcal).

Kesimpulannya, website tersebut memang jual virus Zika tapi bukan virus zika yang tengah outbreak. Ianya strain jenis lain yang digunapakai untuk tujuan kajian di makmal, dijamin selamat dan di bawah pantauan ketat.
Konspirasi teori muncul kerana kita gagal memahami dan tiada solusi sendiri. Maka, yang wujud ialah andaian bukan-bukan.

Kasihan dekat para doktor perubatan yang belajar penat-penat; usaha sungguh-sungguh nak kawal infection, last-last ada sekelompok masyarakat ini dengan mudah buat dakwaan Zika dan vaksin ini Yahudi yang punya!

Wallahualam, sekadar pencerahan; jangan kecam saya. 

Friday, May 29, 2015

Anti-Vaksinasi di Malaysia: 'Ignorant', Persepsi atau Kegagalan Realiti

Pada awalnya saya tidak pernah ketemui golongan yang dilabel 'anti vkasinasi' di Malaysia ini. Namun, alhamdulillah saya berjaya menganalisis beberapa respon dan komen golongan ini dalam usaha cuba memahami atas dasar apakah penolakan vaksinasi.


Apa yang saya ketemui ialah sebuah 'ignorant' berbentuk kurang pendedahan ilmu sains serta persepsi buruk berbanding hujah-hujah argument yang digunapakai oleh gerakan antivaksinasi international. Sudah tentu golongan ini ialah makcik-makcik, kakak-kakak dan abang-abang yang memiliki anak-anak masing-masing.
Di manakah silapnya sehingga mereka menganggap program vaksinasi ini satu program yang gagal dan tidak perlu diambil serius?
Pada hemat saya, ada beberapa sebab kritikal:
1. Isu di Malaysia saya lihat adalah isu terlepas pandang persoalan pelaksanaan public science engagement sejak di awal-awal lagi.
2. Kegagalan masyarakat khususnya mereka yang bukan aliran sains tulen/biologi sejak di bangku sekolah menyebabkan golongan ini terus menjadi 'ignorant' terhadap vaksinasi.
3. Hal ini ditambaj oleh kegagalan tenaga kepakaran sama ada doktor mahupun saintis dalam membuat public engagement yang kuat telah menyebabkan persepsi terhadap vaksinasi menjadi sebuah mimpi gelap.
4. Mungkin vaksin dilihat dan dibaca sebagai satu 'toksin' yang mampu memberikan kesan besar terhadap anak-anak mereka. Sumber-sumber luar yang tidak sahih seperti FB, buku-buku pandangan menjadi sumber rujukan mereka.
5. Disebabkan hal-hal di atas, kini kita mula melihat gerakan menolak vaksinasi ini. Dan risau atss gerakan ini kita muncul kononnya sebagai hero di tengah melontarkan hujah-hujah sains 'hard core' sambil melabel mereka sebagai golongan 'anti-vaksin'.
6. Golongan seperti ini mungkin 'termakan hati' ataupun menjadi reaktif terhadap desakan-desakan di atas lantas terus menerus dalam agenda penolakan.
7. Golongan yang menolak vaksinasi di Malaysia bagi saya agak berbeza hujah-hujah penolakannya berbanding gerakan antarabangsa di luar sana. Di Malaysia penolakan jelas terarah kepada ceteknya ilmu, terpengaruh dengan idea-idea tidak cakna sains, rujukan yang tidak sah dan sahih serta kurangnya pendedahan terhadap vaksinasi sedangkan golongan vaksinasi antarabangsa pula menggunakan hujah-hujah sains dipelopori oleh individu yang cakna perkembangan sains dengan menggunakan hujah-hujan science 'hard core' ie rujukan -journal, report clinical trials dan ect. (walaupun hujah mereka gagal dan tidak relavant).
8. Isunya juga ialah kita, yakni golongan pakar sains - doktor, saintis, pensyarah, guru-guru sains gagal secara total meyakinkan golongan ini. Kita gagal memberi sumber rujukan yang mudaj difahami oleh masyarakat marhaen akan persoalan vaksinasi.
9. Langkah yang wajar ialah sudah tentu dua (perlu selari). (1) Tegas menyatakan bahawa vaksinasi adalah perlu dan penting kerana ianya mengambil kira kesan terhadap masyarakat umum yang lain. (2) usaha memahamkan akan isu vaksinasi perlu dipergiat dengan public science engagement kerana jelas wujud perbezaan lapangan ilmu sains dalam masyarakat ini. Hanya yang mengambil jurusan sains tulen akan sedia maklum dan cakna sedangkan golongan yang terpisaj dengan ilmu ini lambat laun akan menidakkan vaksinasi.
10. Kesimpulannya, vaksinasi adalah penting hatta dari sudut agama sekalipun. Public engagement ataupun pendedahan umum oleh pakar-pakar masih kurang. Mahu tidak mahu, gerakan menjelaskan isu ini perlu disusun rapi bukan hanya oleh orang perseorangan. Peranan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan seharusnya diperkuatkan sedaya mampu.
Realitinya, semua pihak mahukan kebaikan sama ada kepada anak-anak dan masyarakat . Cuma kebaikan yang manakah perlu diambil itu kadang-kadang memisahkan kita disebabkan oleh faktor-faktor yang telah saya jelaskan. Yang hak gagal menegakkan dan yang batil terus menerus tidak disedarkan.
InsyaAllah, saya akan menulis sebuah artikel berkenaan isu vaksinasi ini secara jelas di blog/website peribadi.
Sekian.
Amin Rukaini Mustafa,
BSc (Hons) (Edinburgh), MSc (Edinburgh) in Biotechnology.

Friday, September 7, 2012

Genetik: Vaksin Pisang Goreng?


Pisang (gambar hiasan)

Kadang-kadang susah saya mahu cerita apa itu bioteknologi kepada orang ramai. Sebab jika saya sebut ianya berkaitan  aplikasi biologi dalam kehidupan, mereka pasti angguk kepala menandakan faham. (mungkin tidak pada hakikatnya). Tipikal orang Malaysia.

Tapi di sini analogi mudah untuk fahami dengan lebih lanjut, mungkin barangkali mengejutkan. Tahukah anda bahawa pisang goreng boleh dijadikan vaksin melawan hepatitis B virus ataupun (HBV)?

Mungkin pelik, tapi itulah hakikat penguasaan ilmu bioteknologi. Kini dengan adanya kombinasi ilmu cross-discipline (ilmu berbagai cabang), kita mampu menghasilkan pisang yang mengandungi vaksin dan ianya memerlukan penguasaan dalam bidang Genetic Engineering.

DNA terpilih (mengandungi maklumat protein receptor HBV) diambil dan dimasukkan ke dalam vector (pembawa DNA) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam DNA pokok pisang (menggunakan peranan Agrobacterium iaitu bacteria semula jadi yang mampu menyuntik DNA ke dalam tumbuhan). 

Kesannya ialah pisang yang terhasil mengandungi protein Hepatitis B virus. Ianya tidak berbahaya dan membantu sistem immune tubuh badan untuk menghasilkan antibody serta mampu menghalang serangan HBV.

Crunchy super delicious (gambar hiasan)


Jadi, sedar tidak sedar, anda boleh menikmati vaksin pisang goreng yang enak dalam pada masa yg sama memperoleh daya immune system yang kuat. Walaupun pada hakikatnya protein tidak mampu bertahan dalam suhu yg panas. (sengaja saya sebut, siapa tahu). Mungkin juga boleh dibuat banana chips!
XD

Kelebihan penghasilan vaksin daripada tumbuhan seperti pisang ialah kosnya yang murah, mampu dibiakkan melalui vegetative, sesuai untuk negara membangun, enak dan sedap. Buat masa ini, pisang adalah tumbuhan terbaik untuk menghasilkan vaksin. Walaupun kajian secara mendalam masi dijalankan di tambah lagi dengan kerisauan para saintis akan kesan sampingannya (kebarangkalian kontaminasi dan cross breeding). Namun ianya menjanjikan satu teknologi yang cukup menarik untuk diterokai pada masa hadapan! 




Rujukan: 

  • "Production of Hepatitis B Surface Antigen in Recombinant Plant Systems: An Update", Biotechnology Progress
  • Kumar et al. Expression of hepatitis B surface antigen in transgenic banana plants.Planta. 2005 Oct;222(3):484-93. Epub 2005 May 26. 
  • Sharma et al. A banana or a syringe: journey to edible vaccines, WORLD JOURNAL OF MICROBIOLOGY & BIOTECHNOLOGY, 27: 471-477


Bagi yang berminat untuk membaca abstract dan journal berkaitan:
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15918027?dopt=Abstract